Video: Cuti Sakit 14 Hari Suami Calon Angkara Arahan Pertukaran 24 Jam - Minta TPM Bertemu Doktor


LABIS: Calon PAS, Normala Sudirman mendakwa suaminya, Maarof Abdul Mutalib diberikan cuti sakit sehingga tempoh dua minggu berturut-turut disebabkan oleh masalah kemurungan akibat arahan pertukaran dalam tempoh 24 jam ke sebuah sekolah di Johor Bharu sebelum ini.



Beliau berkata, bagaimanapun jika media berminat menyiasat lebih lanjut mengenai kesahihan sijil cuti sakit kepada suaminya itu, dinasihatkan bertemu terus dengan doktor yang berkenaan.



“Lebih baik media berjumpa dengan doktor yang mengeluarkan cuti sakit tersebut kerana sebagai doktor beliau lebih profesional dan tahu kenapa dan mengapa surat itu dikeluarkan kepada pesakitnya.



“Media kalau nak tahu lebih baik tanya pada doktor itu lebih baik dan ada ketelusan,” katanya kepada pemberita di Dataran Wayang Pacak di sini pada Jumaat.



Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan suaminya mendapat cuti sakit selama 21 hari daripada dua pusat kesihatan di Segamat namun pada masa yang sama Maarof sering didapati menemani isterinya sepanjang musim kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.



Dalam pendedahan yang dibuat oleh sebuah blog http://marahku.blogspot.com/ mendakwa suami calon PAS itu telah mengambil cuti sakit selama dua hari pada 6 dan 7 Januari dari Pusat Perubatan Keluarga di Jalan Segamat-Labis, Johor.



Ia diikuti dengan cuti sakit selama dua minggu bermula 10 hingga 23 Januari yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat dan tambahan cuti lima hari lagi yang diperoleh daripada pusat kesihatan yang sama.



Dalam salinan surat sakit tersebut, dimaklumkan Maarof yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen diberikan cuti sakit selama 2 minggu berturut-turut kerana beliau menghadapi masalah kemurungan yang serius.



Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Normala yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala berkata, suaminya berdepan dengan tekanan yang hebat ketika mendapat tahu mengenai pertukaran yang diputuskan oleh Jabatan Pelajaran Johor sebelum tindakan tersebut ditarik balik dalam tempoh 24 jam selepas itu.



“Ya, hal penukaran itu memberikan kesan di hati suami saya kerana pada hari yang sama juga anak saya dimasukkan ke wad,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana dengan keadaan suaminya ketika ini, Cikgu Mala berkata, emosi suaminya sangat stabil dan beliau juga menegaskan dirinya tidak langsung tertekan dengan isu sijil cuti sakit suaminya yang dijadikan bahan kempen dalam pilihan raya kali ini.



“Saya yakin dengan integriti pihak yang mengeluarkan sijil cuti sakit ini. Apa pun tohmahan atau fitnah yang tidak benar akan berbalik kepada orang yang menyebarkan fitnah itu. Insya-Allah, Allah akan memelihara saya daripada sebarang fitnah dan hasad dengki,” katanya.



Jelasnya isu serangan peribadi sudah tidak relevan untuk memancing undi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.



“Isu ini telah disensasikan dengan kaitan peristiwa yang tidak berasas. Isu sakit ini perlu tanya kepada doktor,” katanya.


Kerajaan Kedah Mantap - Kalau Kerajaan Pusat Tak Bagi Kita Tetap Boleh Buat : MB Kedah


Oleh: ZULKIFLI YAHAYA


Lagi catatan rekod Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Kedah iaitu berjaya melangkau paras defisit bagi tahun ini sebanyak RM19 juta. Maknanya, bila tengok dalam akaun pada hujung tahun masih ada lebihan wang.


Kerajaan negeri tidak perlu menadah tempurung pada kerajaan Pusat untuk membayar gaji atau membiayai pembayaran menampung defisit. Cerita tadah tempurung ini pernah berlaku semasa kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN dulu. Sekarang pun masih berlaku, cuma bukan Kedah sebaliknya kerajaan negeri yang dibawah pentadbiran BN.



“Ini juga adalah hasil usaha kerajaan negeri yang mengawal ketat pengaliran wang keluar, belanja berhemah dan hasil cukai pendapatan.


“Awal tahun saja kita telah melangkaui defisit, jadi apa yang dirancangkan dalam Bajet 2011 dapat kita laksanakan, jika kerajaan persekutuan tak bagi pun kita boleh buat,” jelas Menteri Besar, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak.



Ada lagi catatan menarik ialah hasil negeri Kedah tahun 2010 meningkat sebanyak 17.32 peratus, berbanding 2009. Hasil balak bagi tahun 2010 meningkat 562.5 peratus berbanding tahun 2007, walaupun diusahakan di atas keluasan yang sama. Peningkatan hasil bertambah dari tahun ke tahun sejak Pakatan mengambil alih.



Sultan Kedah dalam titah ucapan sempena Sambutan Hari Keputeraan baginda mengucap tahniah kepada Menteri Besar Kedah kerana berjaya menerajui pentadbiran dengan baik dan berjaya melaksanakan beberapa pembaharuan bagi meningkatkan tahap kesejahteraan hidup rakyat negeri ini.

Suasana ini, menurut baginda, telah memberi keyakinan kepada pelabur dan masyarakat perniagaan dengan kemasukan pelaburan asing dan tempatan bagi memajukan sektor pembuatan. Selain itu Langkawi Permata Kedah turut menjadi pilihan pelabur untuk memajukan produk pelancongan bertaraf antarabangsa.



Sultan sebagai Payung Negeri turut mengakui kehandalan Menteri Besar.



Baru-baru ini satu kajiselidik telah dibuat oleh sebuah badan bebas menunjukkan bahawa majoriti pengundi di Kedah masih mahu mengekalkan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Ertinya dari bawah hingga ke atas, semuanya menyenangi kerajaan yang ada. Itulah barangkali yang sangat memeningkan BN sehingga memaksa orang nombor satu parti itu turun ke Kedah melancarkan serangan.



Presiden Umno turun ke Sungai Petani melancarkan slogan ‘BN Menang, Kedah Senang’. Semua ahli Umno seluruh Kedah dikerah untuk hadir, malangnya kehadiran tidak sampai lima ribu orang. Apa yang dicanangkan Najib adalah bahan temberang lama yang diulang-ulang.

Agak melucukan apabila berkali-kali Najib bertanya hadirin, “Adakah kerajaan negeri (Pakatan) menunaikan janji yang dibuat dalam pilihanraya?” orang ramai buat tidak peduli. Mungkin kerana kasihan melihat dia bertanya soalan berulangkali, barulah soalannya dijawab dengan terpaksa oleh pemimpin-pemimpin Umno negeri sendiri dengan perkataan “Tidak.” Lemah bunyinya, kerana BN sendiri sedar bahawa sebahagian besar janji-jani manifesto Pakatan Rakyat telah ditunaikan.



Seperti Dr. Mahathir, Najib juga mengakui bahawa BN sukar merampas Kedah jika mereka berpecah sesama sendiri. Pengerusi BN itu tidak akan menyebut isu perkelahian dalaman parti mereka jika ianya tidak wujud. Faktor perpecahan dalaman terbukti menjadi sebab penting BN kalah pada 2008. Perpecahan yang sedang dan bakal berlaku lebih sengit. Jangan harap pihak yang disabotaj dulu sehingga kalah, akan datang menyondol dengan tebal untuk menyokong seterunya dalam parti yang pernah mengkhianatinya dulu.

Harus diingat bahawa tahun 2008, PAS dan rakan Pakatan hanyalah pembangkang, modal cuma air liur. Sekarang PAS sudah boleh bersama rakyat di mana-mana kerana mempunyai rangkaian lengkap di semua peringkat, dari atas hingga ke akar umbi iaitu; exco, ahli majlis kerajaan tempatan dan Majlis Ketua Kampung. Rakyat sudah merasai air tangan kerajaan Pakatan Rakyat. Maka laluan untuk BN menjadi gelap, sempit dan berliku.



Najib turun ke Sungai Petani, kawasan di mana ahli-ahli Umno membaling kerusi dalam mesyuarat agung bahagian. Dia mengakui secara jujur bahawa semua pemimpin yang bertelagah itu adalah ‘orang-orangnya’. Itu baru cerita dalam satu kem iaitu kem Najib. Orang Muhyiddin Yasin atau lain-lain pemimpin Umno belum masuk campur. Kalau bertempur semua kem-kem dalam Umno, maka lagi hancur berkecailah Umno Kedah.



Isu yang berlegar dalam Umno sekarang ialah jika BN menang, Menteri Besarnya ialah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Pengerusi Perhubungan Umno kini. Ia sudah menjadi bahan persendaan sebahagian besar kakitangan kerajaan negeri kerana mereka kenal siapa Mat Bashah. Dalam Umno sendiri beliau telah dibelasah habis-habisan oleh penyokong BN dalam medan maya. Itulah untung ruginya revolusi informasi melalui media kedua, segala isu dalaman organisasi tidak boleh dibendung. Seantero dunia tahu bahawa Umno Kedah sedang berpecah dan Mat Bashah tidak dapat diterima secara solid oleh seluruh kepimpinan Umno negeri.



Perkembangan terbaru semua ceramah politik Pakatan Rakyat secara terbuka dilarang di Kedah. Sewaktu Najib berkempen di atas pentas BN di Sungai Petani, ratusan polis berkawal di Tualang, Pokok Sena untuk menghalang Datuk Mahfuz Omar dari berceramah. Ruang demokrasi makin disempitkan.



Pilihan yang ada sewaktu segala maklumat benar disekat dari sampai ke pemikiran rakyat, maka menyemarakkan perpecahan dalam Umno sepatutnya menjadi alternatif untuk meraih ‘undi tidak ikhlas’ (undi protes).



Soalnya bagaimana untuk mengekal dan menyemarakkan lagi perpecahan dalam Umno/BN? Ia perlukan perancangan.


Scha Percaya Awal Seorang Gay? Adakah Cinta Mereka Bakal Berakhir???

Awal tidak kisah dengan apa yang diperkatakan mengenai dirinya. Foto THE STAR Oleh UU BAN

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Awal Ashaari,30, menjelaskan kekasihnya Scha Al-Yahya lebih tahu siapa dirinya yang sebenar serta hubungan yang mereka jalinkan.



Awal berkata, Scha juga bukan jenis individu yang mudah memeprcayai kata-kata dan juga tuduhan yang dilemparkan terhadapnya selama ini.



"Scha lebih tahu siapa diri saya yang sebenar. Itu adalah kepercayaan yang amat paling penting.



"Kami telah berkawan selama satu tahun setengah dan saya pasti dia bukan bodoh untuk menilai tentang diri saya," ulas Awal mengenai gosip dalam sebuah portal yang mengatakan dia hanya berpura-pura bercinta dengan Scha untuk menutup dirinya seorang gay.


Scha

Kata Awal, penampilannya sebagai seorang lelaki yang bergaya ataupun lebih bercirikan metroseksual mungkin menyebabkan sesetengah pihak tersalah anggap dengan statusnya itu.



"Sebelum ini ramai lagi artis lelaki yang dilemparkan tuduhan kononnya mereka adalah gay kerana gaya dan penampilan mereka tetapi terbukti tuduhan itu tidak benar.



"Kebanyakan mereka semua sudah berkahwin dan mempunyai ramai anak. Hanya kerana mengamalkan gaya hidup metroseksual tidak bererti gay," katanya selepas ditemui pada majlis pandu uji kereta model Honda CR-V di sebuah restoran di sini, Khamis.



Dalam pada itu, ketika ditanya adakah dia dan Scha ada berbincang mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya itu, Awal mengakui pernah berbicara mengenainya.



"Kalau ada pihak yang termakan dengan apa yang orang cakap mungkin sekarang Scha telah meninggalkan saya tetapi percintaan kami masih kekal," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran program Rentak Bolly di India.



Pernah berangan-angan untuk mengakhiri zaman bujang sebelum mencecah usia 30 tahun, Awal berkata apabila saat itu tiba, keputusan untuk berkahwin bukan untuk menutup cakap-cakap masyarakat mengenai status seksualnya tetapi kerana kehendak diri sendiri.



"Saya tidak akan berkahwin hanya kerana ingin memberitahu kepada masyarakat bahawa saya lelaki tulen tetapi kerana kehendak diri saya sendiri.



"Saya tidak perlu buktikan bahawa saya bukan gay," katanya yang bakal mengacarakan program Fuhhh! musim terbaru di TV3.



Mengharapkan jodohnya dengan Scha panjang, Awal memberitahu apa yang diperkatakan oleh masyarakat mengenai status seksualnya adalah tidak penting kerana dia lebih mengetahui mengenai perkara itu.



"Saya tidak boleh menutup mulut orang lain untuk berhenti bercakap mengenai diri saya.



"Cukup keluarga,teman rapat dan Scha mengetahui siapa diri saya. Itu sudah memadai," katanya mengakhiri perbualan.


Badrul Hisham Failkan Injuksi Di Mahkamah Tinggi Halang SPR

January 28, 2011
SHAH ALAM, 28 Jan — Badrul Hisham Abdullah memfailkan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada membincangkan status kerusi DUN Pelabuhan Klang, yang kemungkinan membawa kepada pilihan raya kecil.

Kerusi itu diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim minggu lalu.

The Malaysian Insider difahamkan SPR mengadakan mesyuarat khas di Batu Pahat, Johor malam ini bagi membincangkan satu lagi kerusi yang sudah kosong iaitu Merlimau di Melaka.

SPR pagi ini mengadakan mesyuarat bulanan di bandar itu dan disusuli dengan mesyuarat khas pada sebelah malam.

Mesyuarat bulanan itu berlarutan sehingga tengah hari dan disusuli dengan mesyuarat tambahan pada sebelah petang.

Dan, badan pilihan raya itu dijangka akan menetapkan tarikh mesyuarat khas kerusi DUN Pelabuhan Klang pada pertemuan malam ini.

Peguam-peguam Badrul memfailkan permohonan agar perkara itu dibicarakan dengan segera.

Peguam memberitahu The Malaysian Insider bahawa mereka akan berusaha mendapatkan tarikh perbicaraan awal dan jika tidak, perintah sementara dikeluarkan untuk menggantung mesyuarat khas SPR sehingga kes itu selesai didengar di mahkamah.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya akan membincangkan perkara itu memandangkan notis makluman sudah pun dikeluarkan oleh Speaker DUN.

Kes itu mirip isu kerusi DUN Kota Seputeh, Kedah yang berakhir dengan pertikaian mahkamah dan sedang didengar di mahkamah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.