Nampaknya UMNO Makin Kuat Menhentam Ketua Pembangkang... Laporan Yang Putarbelit Fakta..

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Umno menggunakan isu APCO Worldwide untuk menyerangnya semasa berada di luar negara.

“Masalahnya, Umno menggunakan APCO, yang diketahui mempunyai hubungan dengan Israel, untuk menyerang saya di luar negara,” ujarnya kepada media di Parlimen petang ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan akhbar hari ini berhubung perjumpaannya dengan beberapa pemimpin Yahudi di Washington sebagaimana laporan akhbar Washington Post, Isnin lalu.

Berita muka depan Utusan Malaysia hari ini melaporkan Anwar yangh dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beberapa tokoh Yahudi disahkan mengunjungi Amerika Syarikat (AS) pada 23 hingga 26 Jun lalu bagi 'menjernihkan' hubungan dengan kelompok tersebut selepas dikatakan membuat kenyataan yang dilihat beliau anti Yahudi dalam isu APCO Worldwide, baru-baru ini.

Kunjungan Anwar itu didedahkan oleh kolumnis terkenal berbangsa Yahudi, Jackson Diehl dalam tulisannya di akhbar The Washington Post.

Berkenaan dengan zionis, Anwar menjelaskan, beliau ditanya kenapa menggunakan perkataan itu.

Jelasnya, mengikut fahamannya, zionis adalah berhubung kait dengan pencerobohan dan dasar imperial Israel yang terus memperluaskan wilayah Israel yang asal sehingga dalam keadaan sekarang.

Tetapi, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, mereka kata, bagi mereka zion adalah tanahair Yahudi.

“Saya kata jika itu istilah anda, ia berbeza dengan apa yang saya faham. Itu yang diputar belit oleh Utusan (Malaysia).

“Bila saya kata ‘dunia sudah hilang kesabaran terhadap Israel', itu Utusan tak sebut. Bila yang membayar lebih RM70 milion kepada APCO, itu Utusan tak sebut, jadi kita fahamlah. Saya pun tak fikir RTM dan TV3 akan sebut, itu faktanya,” kata beliau lagi.

Anwar menjelaskan, tujuan beliau ke Washington adalah di atas jemputan Woodrow Wilson International Center untuk memberikan syarahan.

Selepas itu, katanya seperti biasa diadakan perjumpaan yang telah diatur untuk kakitangan editorial dan media antarabangsa.

“Ramai rakyat Amerika dan Yahudi merasakan ia adalah satu terjemahan yang tidak adil kerana bagi mereka, zion adalah negeri/kerajaan yang adil dan sah.

“Jadi saya katakan pada mereka, jika itu maksud mereka, saya tidak merasakan demikian, dan saya tetap dengan pendirian dan fahaman saya bahawa zionis itu adalah pencerobohan dan penjajahan,” jelasnya.

PM Tidak Menjawab Soalan MP Padang Serai Berkenaan Kos Perbelanjaan Rosmah Ke New York

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan mendedahkan kos yang dibelanjakan bagi membawa isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke New York, April lalu meskipun didesak supaya berbuat demikian di Dewan Rakyat.

Dalam jawapan bertulisnya kepada N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), Najib mengelakkan daripada memberikan sebarang jumlah.

"Kos perbelanjaan penginapan dan perjalanan Datin Seri Rosmah adalah termasuk di dalam perbelanjaan yang disediakan untuk perdana menteri, selaras dengan kedudukan beliau sebagai isteri perdana menteri,” kata Najib dalam jawapan satu perenggannya.

Gobalakrishnan yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang kurang tepat itu, cuba menimbulkan perkara berkenaan dengan speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Bagaimanapun, Pandikar menjawap Aturan Dewan tidak memberikannya kuasa untuk menilai 'kualiti' jawapan menteri dan sehubungan itu, beliau tidak boleh bertindak.

Selepas menghadiri Persidangan Keselamatan Nuklear di Washington DC, Najib dan Rosmah menghadiri sebuah majlis gilang-gemilang di hotel lima bintang St Regis di New York pada 16 April.

Majlis itu juga dihadiri oleh bintang filem antarabangsa seperti pelakon pemenang Oscar, Robert De Niro, Charlize Theron dan Emmy Rossum, serta diacarakan oleh Jamie Foxx.

Ketika majlis itu, Rosmah diberikan anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada US Business Council for International Understanding (BCIU).

Meskipun tidak dapat disahkan, beberapa laporan Internet mendakwa kemuncak majlis itu ialah apabila Rosmah berduet dengan Foxx.

Majlis berkenaan tidak mendapat liputan akhbar tempatan tetapi menjadi perdebatan berikutan penyiaran dua halaman iklan berwarna di New York Times yang mengucapkan tahniah kepada Rosmah daripada “keluarga dan sahabatnya di Amerika dan Malaysia”.

Tidak kurang juga rakyat marah apabila Rosmah dirujuk sebagai 'wanita pertama Malaysia' - gelaran yang sepatutnya dikhaskan untuk Raja Permaisuri agong.

Menurut laporan The Nut Graph, New York Times pada mulanya berkata iklan berkenaan dibiayai oleh kerajaan Malaysia tetapi kemudian menarik semula kenyataan berkenaan.

Berikutan itu, Najib memberitahu Dewan Rakyat bahawa BCIU yang meletakkan iklan berkenaan. Bagaimanapun majlis berkenaan belum mengesahkan perkara tersebut.

Bercakap kepada wartawan, Gobalakrishnan berkata kerajaan harus telus dan mendedahkan kos sebenar perbelanjaan Rosmah.

"Sebelum ini, mereka dakwa ada NGO yang membiayai lawatan isteri perdana menteri. Tetapi sekarang mereka berkata pejabat PM pula yang membayar,” katanya.

"Saya akan terus menulis meminta jawapan. Saya minta perangkaan, tetapi mereka tidak memberikan jumlahnya. Rakyat seharusnya tahu berapa yang dibelanjakan oleh isteri PM.”

RM200 juta: PKR Akan Jawab Di Mahkamah

Felda hari ini menuntut ganti rugi sebanyak RM200 juta terhadap akhbar Suara Keadilan dan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari berhubung penyiaran artikel "Felda bankrap" oleh akhbar berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata notis tuntutan sudah dihantar kepada PKR sebagai pemilik, Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit dan Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai pencetak, hari ini.

“Notis itu antara lain menuntut pampasan bagi reputasi yang tercemar ke atas Felda yang didakwa bankrap oleh Suara Keadilan dalam akhbar itu yang bertarikh 22 hingga 29 Jun dengan tajuk 'Felda Bankrap',” katanya.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menjelaskan tidak akan melayan tuntutan RM200 juta dan tidak akan memohon maaf kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) seperti dituntut mereka berhubung laporan 'Felda Bankrap' akhbar Suara Keadilan.

Naib Presidennya, Sivarasa Rasiah (gambar) berkata, pihaknya bersedia ke mahkamah bagi mengemukakan segala bukti terhadap pendedahan yang dilakukan itu.

"Pendirian kita jelas, memang kita tidak akan layan dan kita akan jawab di mahkamah," katanya yang juga Ahli Parlimen Subang, ketika ditemui di Parlimen hari ini.

"Kalau mereka ingin membawa kes itu ke mahkamah kita alu-alukan," tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan ganti rugi Felda terhadap parti itu dan Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd sebagai penerbit serta Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd.

"Berhubung perkataan ‘bankrap’, maksud kita jelas bahawa penyelewengan berlaku sehingga menjejaskan kewangan Felda," jelasnya lagi.

'Pendidikan seks perlu bermula 9 tahun' : Ketua Sub-Unit Seksualiti Bahagian Reproduksi Manusia LPPKN

Para pelajar perlu didedahkan dengan pendidikan seks di sekolah seawal umur 9 tahun atau darjah 3 lagi, kata Ketua Sub-Unit Seksualiti Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Hamizah Mohd Hassan.

Menurut Dr Hamizah, hasil kajian menunjukkan golongan muda mula terlibat dengan seks bebas seawal umur 11 tahun tanpa mempunyai pengetahuan yang luas mengenai perkara itu.

"Saya merupakan salah seorang panel yang membuat sistem kokurikulum yang baru di sekolah dalam pendidikan sains dan kesihatan.

"Saya telah mencadangkan kepada kementerian pelajaran supaya pendidikan seks diajar seawal sembilan tahun dengan memulakan pembelajaran mengenai bahagian-bahagian fizikal badan.

"Manakala pada umur 12 tahun, mereka boleh mula diajar mengenai persenyawaan. Saya harap, pelajaran ini akan mula diajar pada tahun 2011 atau 2012," kata Dr Hamizah.

Beliau berkata demikian ketika berucap di forum pendidikan seks yang bertajuk 'Always Be Careful - Examine Your Zip' (Sentiasa Waspada - Periksa Zip Anda) yang dianjurkan oleh sebuah NGO Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM) di ibu negara malam tadi.

Dapat filem lucah daripada bapa, pakcik


Turut sama memberikan dalam forum berkenaan ialah penggiat Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduksi Malaysia (FRHAM) Wong Li Lieng dan Pengasas Hak Reproduksi Perikatan Advokasi Malaysia (RRAAM) Rashidah Abdullah.

Membentangkan padangannya dalam majlis yang hanya hanya dihadiri tidak sampai 30 orang pendengar, Dr Hamizah berkata, golongan muda perlu diberi tunjuk ajar lebih-lebih lagi dalam perkara yang melibatkan hubungan seks.

Ini kerana, tambahnya, bagi golongan muda, pemikirannya masih lagi tidak berkembang.

Sementara itu, beliau mendedahkan, hasil daripada sesi kaunseling yang dikendalikannya, kebanyakkan mereka terjebak dengan seks bebas dengan mempelajarinya daripada media seperti filem dan internet.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya kerana adakala keadaan sekeliling yang menjadi penyebab mereka terjebak dengan seks bebas.

"Ketika saya membuat sesi kaunseling dengan pelajar sekolah berumur 16 tahun, dia mengatakan, adakalanya dia mendapatkan filem pornografi daripada bapa mereka, abang mereka dan adakalanya pakcik mereka yang tinggal serumah.

Guru sebut 'anu'

"Hasil daripada menonton pornografi, mereka berasa ingin mencuba. Mereka tidak berfikir panjang kerana minda mereka tidak matang sepenuhnya. Mereka juga tidak memikirkan sebab dan akibat yang bakal mereka alami," kata Dr Hamizah.

Beliau juga mengkritik guru di sekolah yang tidak terlatih dan mengajar dengan cara yang tidak betul.

"Ada sesetengah guru apabila mengajar, mereka menyebut 'anu' dan bukan nama alat sulit tersebut," kata Dr Hamizah.

Sementara itu, Wong pula berkata, pendidikan seks di sekolah perlu diajar dalam konteks yang lebih mudah walaupun terdapat sesetengah pihak menganggapnya lebih mengalakkan remaja untuk melakukan seks.

"Kita perlu buat sesuatu seperti mengajar mereka tentang pendidikan seks. Remaja yang melakukan seks luar nikah semakin hari semakin banyak.

"Saya rasa ini merupakan masa yang sesuai untuk kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama melakukan sesuatu bagi mengelakkan perkara ini lebih berleluasa," tegasnya.

Zahid: TAK PERLU SPRM Siasat Pembelian Scorpene, Semuanya Ikut Prosedur...

Isu pembelian kapal selam Scorpene tidak perlu dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau ber
kata ini kerana pembelian kapal selam itu dibuat mengikut prosedur yang sepatutnya, malah kos pembelian kapal selam buatan Perancis bernilai kira-kira satu bilion euro pada tahun 2002 itu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

"Pembelian dibuat mengikut apa yang ditetapkan prosedur, semua langkah diikuti sebaik-baiknya," katanya kepada media selepas melepaskan peserta Ekspedisi 1Malaysia ke Kota London di Bangi hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai pembelian kapal selam itu yang dilaporkan oleh sesetengah media membabitkan pembayaran komisen bernilai kira-kira 114 juta euro kepada syarikat di Malaysia.

Semalam, Dewan Rakyat menolak usul supaya pembelian kapal selam negara itu dibahaskan.

Speaker Pandikar Amin Mulia dalam jawapan bertulis kepada William Leong (PKR-Selayang) berkata beliau telah dimaklumkan bahawa SPRM sedang menyiasat perkara itu.

Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.7 bilion untuk membeli kapal selam buatan Perancis itu.

Daripada jumlah keseluruhan, RM574.8 juta pergi kepada Perimekar Sdn Bhd, yang dimiliki Abdul Razak Baginda , seorang teman karib Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib merupakan menteri pertahanan sewaktu urusniaga tersebut.

Kerajaan juga sebelum ini telah menafikan komisyen dibayar dalam urusan pembelian kapal selam tersebut, dengan menegaskan bahawa jumlah itu - yang merupakan 10 peratus daripada harga keseluruhan kapal selam berkenaan yang berjumlah RM4.85 bilion - adalah untuk perkhidmatan sokongan dan penyelarasan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pembayaran tersebut juga kini sedang disiasat pihak berkuasa Perancis kerana "komisyen" seumpama itu adalah salah di bawah undang-undang Perancis.

KDN Masih Tidak Berpuas Hati Jawapan Suara Keadilan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menunggu jawapan kepada satu lagi surat yang akan dihantar hari ini kepada akhbar Suara Keadilan sebelum memutuskan status permit penerbitan wadah PKR itu.

Setiausaha bahagian kawalan penerbitan dan teks al-Quran KDN, Datuk Zaitun Ab Samad berkata jawapan itu akan dikaji oleh satu panel kementerian berkenaan sebelum membuat keputusan berkenaan.

"Keputusan itu mungkin positif, mungkin juga negatif," katanya dan menjelaskan keputusan itu bergantung kepada jawapan yang bakal diberikan oleh Suara Keadilan.

Tambahnya, keputusan itu juga akan dibuat berdasarkan pandangan dalam jawatankuasa khas KDN untuk menilai permohonan permit tersebut, yang dikenali dengan nama "Panel 13."

"Kita
akan beri satu surat kepada Suara Keadilan untuk beritahu bahawa KDN tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan (semalam)," katanya tanpa memperincikan kandungan surat berkenaan.

Beliau seterusnya menolak laporan yang menyebut KDN akan memutuskan status permit tersebut hari ini.

"Tidak diputuskan hari ini. Saya cakap kita akan teliti," katanya dan menambah perkara itu akan diputuskan dalam panel yang pengerusikan ketua setiausahanya Datuk Seri Mahmood Adam (atas, kanan) "dengan mengambil kira suara ramai."

Jelasnya, ia juga akan mengambil kira pandangan daripada ketua-ketua jabatan dalam kementerian berkenaan dalam memutuskan perkara itu.

Suara Ke
adilan yang permit penerbitannya tamat pada Rabu memperoleh kebenaran menerbitkan surat berita parti politik dari KDN pada 2007 dan pernah digantung selama tiga bulan pada 2008.

Minggu lalu, Suara Keadilan diberikan surat tunjuk sebab berhubung artikelnya yang mendakwa Felda bankrap.

Timb. Menteri Kewangan gagal memberi Jawapan Terbaik Kepada MP Rembau

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) nyata tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim di Dewan Rakyat hari ini apabila bertanyakan soalan berhubung masa depan Proton dan rakan strategiknya.

"Ini adalah jawapan paling teruk di parlimen sepanjang dua tahun saya menjadi ahli parlimen,” katanya dalam mikro blog Twitter.

Pan
dangan Khairy itu disokong oleh Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara).

"Heh, KJ, Donald telah memberi jawapannya berhubung Proton di parlimen! Apa pandangan anda?” soal ahli parlimen pembangkang itu menerusi tweetnya sendiri.

Semasa sesi soalan, Khairy (kiri) ingin mendapat penjelasan berhubung strategi kerajaan dalam mencari rakan kongsi asing untuk syarikat kereta nasional Proton dan sama ada ia akan membabitkan pemilikan ekuiti asing.

Jawapan yang diberikan Lim bukan sahaja ringkas tetapi langsung tidak menjawap apa yang disoalkan.

"Kerajaan akan memastikan Proton lebih berdaya saing,” kata Lim yang jelas cuba menjawap soalan itu.

Khairy yang nyata tidak berpuas hati berkata ia adalah jawapan parlimen yang paling teruk dalam dua tahun beliau menjadi ahli parlimen.

“Kementerian Kewangan ingat pertanyaan MP ni main-main dan boleh bagi jawapan ala lepas batuk ditangga? Sia-sia saja baca laporan kewangan Proton,” katanya dalam Twiteer.

Bagaimanapun, menurut Khairy beliau tidak menyalahkan timbalan menteri itu tetapi mempersalahkan kementeriannya kerana tidak membekalkan Lim (atas, kanan) yang baru dilantik dengan maklumat yang tepat.

Abdullah Sani (PKR-Hulu Langat) kemudiannya bangkit dan ingin tahu jumlah kereta Proton yang dihasilkan sejak beroperasi 25 tahun lalu dan statik kereta Proton yang dieksport.

Sekali lagi, Lim yang tidak bersedia mengakui beliau tidak mempunyai perangkaan itu dan berkata akan memberikan jawapan bertulis kemudian.

G40 Masuk UMNO - Siapa Yang Bercakap Benar? Dedahkan...

Beberapa pihak yang mendakwa diperdaya Umno dicabar mendedahkan identiti individu yang bertanggungjawab membawa mereka ke majlis serahan borang keahlian kepada presidennya Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu.

Jurucakap kepada 40 ulama muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid - yang sering mengulangi dakwaan ditipu 'menyertai' Umno - hendaklah tampil menjelaskan perkara itu supaya masyarakat dapat menilainya.

"Buat masa ini kami tidak mahu layan dia (Hosni). Amat tidak cerdik untuk melayannya. Kalau dia dakwa ditipu? Siapa tipu dia?

"Biar dia jelaskan siapa yang bawanya datang (ke majlis itu)? Saya minta dia dedahkan dua perkara ini sahaja dalam siri ceramahnya," kata Fathul ketika ditanya langkahnya bagi menangani dakwaan berterusan Hosni terhadap kumpulan mereka.

Selepas tampil dengan dakwaan itu awal minggu ini, Mohd Hosni dilaporkanmengulanginyaberkali-kali, termasuk kepada pihak media dan di pentas ceramah pembangkang.

Tiga lagi rakannya turut didakwa berkongsi nasib yang sama.

Selain mereka, laman web PAS Harakahdaily juga melaporkan seorang lagi ulama daripada Perlis Abdul Wahab Abdullah juga mendakwa ditipu menyertai Umno.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Fathul sekali lagi mengulangi penafiannya bahawa Hosni, tiga rakannya dan Abdul Wahab tidak termasuk dalam senarai kumpulan ulama muda yang menyertai Umno.

"Mereka tidak ada dalam senarai kami," kata Fathul yang juga anak bekas mufti Perlis Mat Jahaya Hussin.

Sementara itu, ketua kumpulan 40 ulama itu Fadlan Mohd Osman pula berkata pihaknya tidak pernah menerima borang permohonan menjadi ahli Umno daripada kesemua nama yang dilaporkan membuat penafian itu.

"Kami memang tak ada panggil dia. Kalau dia kata dia ditipu, bukan kami yang menipunya," kata Fadlan yang juga pensyarah pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tun Omar Ong meninggal dunia


KUALA LUMPUR, 1 Julai — Tun Omar Ong Yoke Lin, 92, yang memainkan peranan penting dalam pencapaian kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, meninggal dunia di sini hari ini kerana sakit tua.

Menurut seorang pembantu kepada isteri beliau Toh Puan Dr Aishah, Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di No. 44, Persiaran Duta pada pukul 8.15 pagi.

Jenazahnya akan dikebumikan di Makam Pahlawan, sebelah Masjid Negara pada pukul 4.30 petang hari ini.

Allahyarham merupakan salah seorang pemimpin utama yang memainkan peranan penting dalam arena politik negara sebelum dan selepas kemerdekaan.

Beliau terlibat dalam penubuhan perikatan Umno dan MCA, dan menyertai delegasi Perikatan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman untuk rundingan di London mengenai pencapaian Kemerdekaan pada tahun 1957.

Allahyarham yang pernah memegang pelbagai portfolio dalam Kabinet, juga merupakan salah seorang daripada mereka yang menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia di London pada 1963. — Bernama

23 Syaaban ini: Rayuan Kes Poligami Bung Moktar

Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam hari ini menetapkan 4 Ogos ini untuk mendengar rayuan anggota parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang dikenakan hukuman penjara sebulan kerana berpoligami tanpa kebenaran.

Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Zainor Rashid Hassin memutuskan perkara itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya di dalam kamar.

Bung Moktar yang hadir di mahkamah dengan ditemani isteri keduanya pelakon Zizie Izette A Samad, diwakili oleh peguam Amli Embong sementara pendakwaan diwakili oleh Pegawai Pendakwa Syarie Zusyarafain Md Yusof.

Amli ketika ditemui pemberita berkata mahkamah turut memerintahkan pihaknya memfailkan hujahan bertulis pada 12 Julai ini, dan pihak pendakwaan mengemukakan
hujahan balas seminggu selepas itu (19 Julai).

"Kedua-dua pihak akan berhujah di hadapan hakim secara lisan pada 4 Ogos ini, bagaimanapun hakim yang akan mendengar kes ini belum diketahui," katanya.

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk pihak perayu (Bung Moktar) menyediakan hujahan bertulis dan kronologi kes.

Pad
a 19 Mei lalu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Bung Moktar, 51, kerana kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan Zizie Izette, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam 16 Disember tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bung Moktar memfailkan rayuan itu di sini pada 25 Mei lalu dan memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan kepada hukuman denda.

Pada 19 Mei juga Bung Moktar turut didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana kesalahan bersubahat dengan Zizie Izette kerana berkahwin tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk.

Beliau membayar denda itu.

- Bernama

Kenapa Sampai Jadi Begini... Dalam Masjid Pun Hampa Bertumbuk, Takdak Rasa Nak Hormat Masjid Ker...

PERNU – Hanya kerana disangka menutup lampu masjid, seorang lelaki dibelasah beberapa jemaah lain di Masjid Bukit Pegoh, di sini, Ahad lalu.

Kejadian berlaku sebelum solat Maghrib apabila mangsa, berusia dalam lingkungan 37 tahun itu disergah seorang jemaah yang berusia 20an yang baru tiba.

Mangsa yang memegang jawatan ahli jawatankuasa masjid itu belum menyalakan lampu masjid kerana hari masih siang, tetapi dipercayai memadamkan lampu.

Sumber berkata, lelaki terbabit dikatakan menyerang jemaah itu selepas menyergah mangsa dengan pertanyaan "kenapa kau tutup lampu masjid?".

Mangsa kemudiannya diserang bertubi-tubi dan cuba melawan untuk mempertahankan diri sebelum seorang lagi jemaah yang juga ‘orang kuat’ masjid itu turut sama menyerang dengan mengetuk kepala mangsa dengan lampu suluh.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila berlaku campur tangan jemaah lain yang menyokong kedua-dua pihak berkenaan sehingga bertukar menjadi ‘medan gusti’ sambil disaksikan lebih 60 jemaah.

Akibat kejadian itu, mangsa dan beberapa jemaah terbabit mengalami lebam lebam.

Sumber berkata, kejadian itu ada kaitan dengan pemecatan salah seorang imam masjid itu beberapa bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah mengesahkan kejadian itu.

-SHarian

Aziz Bari: Kerjaan PR Disaran Tukar sekali SUK, Pegawai Kewangan & Penasihat Undang2...

Pakatan Rakyat bukan sahaja disaran menggantikan penasihat undang-undang dengan peguam sendiri, malahan gagasan itu turut dicadang melantik pegawai kewangan dan setiausaha kerajaan negeri pilihan mereka.

Hal ini disuarakan oleh pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Aziz Bari.

Beliau yang dipetik oleh TV Selangorberkata ketiga-tiga jawatan berkenaan adalah lantikan kerajaan persekutuan yang disyaki berperanan sebagai tali barut kerajaan pusat untuk mengkucar-kacirkan kestabilan di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

"Oleh kerana penasihat undang-undang, pegawai kewangan negeri dan setiausaha kerajaan negeri adalah anggota kabinet negeri, jadi mereka ini mungkin membocorkan rahsia negeri kepada pusat," katanya.

"Gaji dibayar oleh negeri tetapi kesetiaan dan kiblat mereka kepada kerajaan persekutuan kerana kita faham mereka ini dipilih oleh peguam negara untuk mengkucar-kacirkan. Ini yang berlaku," katanya lagi.

'Tali barut'

Mesyuarat majlis tertinggi Pakatan Rakyat sebelum ini mencadangkan supaya empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat melantik peguam luar dan bukannya dari pejabat peguam negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perubahan itu perlu dilakukan kerana penasihat undang-undang sedia ada, tidak bebas dan tertakluk kepada telunjuk kerajaan pusat.

"Yang disebut Anwar sebagai 'kecuaian' cukup lembut. Ia bukan kecuaian tetapi memang menjadi tali barut, menjadi gunting dalam lipatan kerana kenaikan pangkat ditentukan Peguam Negara bukan kerajaan negeri, bukan MB," katanya.

Mengulas lanjut, kata Aziz, tidak ada sebarang perlembagaan khusus melibatkan perkara berkenaan.

"Saya melihat perkara ini sebagai satu kelemahan dalam struktur perlembagaan. Saya tidak faham kenapa... Kalau zaman dulu mungkin susah hendak dapatkan peguam tetapi sekarang lain.

Guna istana

Beliau bagaimanapun mengesyaki tidak mustahil hasrat kerajan negeri Pakatan Rakyat akan dihalang berikutan kepentingan politik pihak berkepentingan termasuk memperalat institusi istana.

"Masalahnya, mereka (kerajaan persekutuan) akan gunakan istana untuk menghalang pelantikan ini," katanya.

Penasihat undang-undang di negeri-negeri Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum 2008 seringkali bertindak dan membuat keputusan yang bercanggah dengan kerajaan negeri. Paling ketara, ia berlaku di Perak sebelum kerajaan negeri Pakatan ditumbangkan.

Di Selangor pula, penasihat undang-undang negeri didakwa melenggahkan hasrat kerajaan negeri menjadikan dokumen konsesi perjanjian air sebagai dokumen awam.

PI Bala: Sumber Kewangan Dari Ahli Perniagaan Yang Rapat Dengan Isteri PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai — Detektif persendirian P. Balasubramaniam yang kini berada di luar negara mengakui “menerima pembiayaan” daripada seorang tetapi orang yang dimaksudkan bukannya mereka yang rapat dengan Pakatan Rakyat, tetapi ahli perniagaan permaidani yang dikenali sebagai Deepak Jaikishan.

Balasubramaniam yang semalam berhadapan dengan situasi enggan ditemui oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) di London minggu depan atas faktor implikasi perundangan berkata, dia bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim dalam hal tersebut.

Bagaimanapun, dalam jawapan yang dihantar menerusi peguamnya Americk Sidhu beliau berkata, sumber kewangannya bukan daripada orang lain tetapi “dana” diterima ahli perniagaan.

“Saya merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Bebas Datuk Zahrain Hashim (semalam).

“Saya diarahkan oleh pelanggan saya untuk mengatakan bahawa dia menyokong penuh cadangan dibuat Datuk Zahrain atas alasan mudah yang mana wang yang digunakan untuk membayar perjalanan ke London dan penginapan adalah diperoleh daripada dana diterima daripada Deepak Jaikishan,” katanya.

Selepas portal-portal tempatan menyiarkan temu bual terbaru Balasubramaniam (gambar)akhir tahun lalu beberapa pemimpin atasan Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan laporan kepada SPRM dengan menamakan Datuk Mohamed Nazim Razak dan Deepak sebagai dua individu utama yang perlu disiasat.

Laporan media sebelum ini menyebut Deepak juga didakwa kenalan rapat Datin Seri Rosmah Mansor, isteri perdana menteri.

Di bangunan Parlimen semalam, Zahrain mendesak SPRM menyiasat individu yang terbabit menaja Balasubramaniam di London.

Beliau yakin ada individu yang menaja kehidupan Balasubramaniam di negara itu kerana mengetahui penyiasat berkenaan tidak mampu menetap di sana tanpa bantuan kewangan.

“Saya mendesak melalui menteri minta SPRM siasat siapa sponsor. Lagipun, saya tahu tidak mungkin Bala mampu duduk di London berbulan-bulan tanpa ditaja,” katanya.

Balasubramaniam mengundang kontroversi apabila pada 3 Julai 2008 muncul dan mengumumkan akuan bersumpahnya berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaiamanapun keesokannya, beliau menarik balik kenyataan akuan sumpah awalnya itu melalui akuan sumpah kedua dalam satu sidang media sebelum bertindak menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarganya.

Zahrain berkata episod kehidupan Balasubramaniam seakan menyerupai episod kehidupan pengendali portal berita Malaysia Today Raja Petra Kamarudin dan yakin pihak yang sama menaja kedua-dua individu terbabit.

Katanya berdasarkan pada bukti-bukti yang beliau peroleh, mendapati kedua-dua individu terbabit mendapat tajaan daripada parti pembangkang.

Beliau berkata dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa parti itu tidak mempunyai hubungan dengan Raja Petra adalah tidak benar.

-TMI

Mana Buktinya 'Geng 40' boleh digelar Ulama? : Datuk Nakhaei

Datuk Nakhaie Ahmad Nakhaie (gambo) berkata kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai ulama itu perlu buktikan bahawa memang layak untuk diiktiraf ulama.


“Ulama dikenali dengan hasil ilmiyahnya, jadi bagaimana orang yang tidak mempunyai sebarang hasil ilmiyah boleh digelar ulama?

“Mereka perlu buktikan terlebih dahulu bahawa mereka benar-benar layak digelar ulama,” katanya.

Mengulas lanjut, kumpulan 40 ulama yang menyertai Umno Jumaat lalu adalah pengikut bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan mempunyai agenda tersendiri apabila menyertai parti itu.


Beliau berkata Asri menghantar pengikutnya supaya aliran pemikiran dan idealoginya dapat disalurkan ke dalam kepimpinan Umno.

“Ulama yang menyertai Umno baru-baru ini adalah pengikut Asri yang dihantar untuk menyampaikan aliran pemikiran beliau ke dalam Umno.

“Asri menghantar ulama ini dengan harapan mendapat kedudukan yang penting dalam Umno ataupun kerajaan.

“Jadi apabila sudah ada kedudukan yang baik mudah untuk mereka terapkan idealogi Asri,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Dari awal Nakhaie, yang merupakan bekas naib presiden PAS tetapi sertai Umno, tidak mempunyai hubungan “baik” dengan Asri.

Tolong Biar Bertempat, Tak Salah: Peminta derma untuk masjid tiada permit JAIK

ALOR SETAR: Orang ramai dinasihatkan jangan murah hati memberi sumbangan kepada peminta derma yang mendakwa mengumpul dana untuk membina masjid, rumah kebajikan dan asrama anak yatim kerana kebanyakannya tidak mempunyai permit sah dari Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).

Pengarah Jaik, Datuk Khairudin Zin, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai kegiatan berleluasa peminta derma yang tidak mempunyai permit Jaik sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, peminta derma itu sering menunjukkan surat kebenaran yang dipercayai palsu dengan ditandatangani oleh pegawai Jaik yang sudah bersara.

"Kita hairan bagaimana mereka memperoleh surat kebenaran yang menggunakan kepala surat JAIK, sedangkan kita tidak mengeluarkan surat kebenaran seperti itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, ada antara peminta derma itu menggunakan nama pegawai tertentu sedangkan pegawai itu sudah bersara sejak beberapa tahun lalu.

"Ini jelas menunjukkan mereka (pengutip derma) itu menipu, kita tidak menolak perbuatan itu dilakukan secara berkumpulan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Khairudin berkata, untuk tahun ini, belum ada mana-mana pihak yang memohon permit untuk mengutip derma kepada Jaik dan orang ramai perlu lebih berhati-hati.

"Kita sudah menghantar surat peringatan kepada setiap masjid di negeri ini bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan kegiatan pengutip derma itu," katanya.

Beliau merancang mengadakan operasi dengan beberapa jabatan lain termasuk polis dan Majlis Bandaraya Alor Setar untuk membasmi kegiatan pengutip derma itu dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, tinjauan di kaki lima sebuah bank di Jalan Sultan Badlishah mendapati seorang peminta derma berusia 20-an mendakwa mengutip derma untuk membina asrama anak yatim di Perak.

Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai permit, pengutip derma itu tidak dapat memberi jawapan jelas selain menunjukkan surat yang ditanda tangani oleh seorang pegawai JAIK yang sudah bersara selepas diberi peringatan pengutip derma itu juga berjanji tidak akan membuat kutipan lagi.

Seorang pekerja swasta yang enggan dikenali mendakwa, pengutip derma itu datang ke kawasan itu seawal jam tujuh pagi setiap hari sebelum meletakkan kotak dan bangku di situ.

“Kita percaya pengutip derma itu menipu orang ramai dan mendapat wang mudah setiap hari, kita berharap pihak berkuasa melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini," katanya.

-BH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.