TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

Tahniah MB Ku... Hasil Negeri Meningkat 205% Kejayaan Besar Pemerintahan Kerajaan PR Kedah

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini mengakui bahawa kerajaan negeri itu masih belum berjaya mencapai manifesto Pilihan Raya Umum 2008 dalam bidang ekonomi.

Bagaimanapun, Azizan berkata kerajaan pimpinannya berjaya meningkatkan hasil negeri sebanyak 205 peratus.

"Jika dipandang dari sudut ekonomi, memang kita masih belum menampakkan hasil, tetapi dari sudut lain, kita telah dapat meningkatkan hasil negeri sebanyak 205 peratus.

"Kita telah tingkatkan hasil negeri, itu kejayaan kita yang tak dibuat oleh BN dulu," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentalon di Alor Setar.

Beliau juga berkata pencapaian 80 peratus pelaksanaan manifesto PAS di Kedah bukan hanya tertumpu kepada bidang ekonomi semata-mata, tetapi merangkumi semua aspek.

Katanya, kenyataan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa pencapaian 80 peratus itu merupakan retorik semata-mata, adalah tidak benar kerana peratusan itu merupakan pencapaian keseluruhan manifesto yang dibuat kepada rakyat semasa pilihan raya umum lepas, dan bukan hanya dalam bidang ekonomi.

"Apa yang dikatakan oleh Mahdzir tentang sambungan projek itu memang betul. Kita telah menyambung semua projek-projek yang telah dirancang oleh kerajaan terdahulu, seperti meneruskan pentadbiran Kolej Universiti Insaniah (KUIN), itu kita akui," katanya.

Azizan berkata walaupun KUIN ditubuhkan semasa pentadbiran kerajaan negeri terdahulu, namun kerajaan yang ada sekarang merancang dan membina kampus induk di Kuala Ketil, selain menambah program baru di kolej itu.

"Jadi, bila kita bercakap tentang konsep 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua', kita sudah buat, tetapi ia tidak boleh dilihat dari segi sudut ekonomi sahaja, tetapi kita bercakap untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat, rakyat melihat kita adil untuk semua," katanya.

Beliau berkata jika mahu melihat hasil ekonomi, tempoh antara tiga dan empat tahun diperlukan kerana ia tidak boleh diperoleh dengan segera.

--Bernama

Disebalik Cerita 3 Remaja Tingkatan 2 Tidak Pulang Selepas Keluar Beraya

HARLIZA  (kanan) dan Che Norliah  menunjukkan gambar Nurulashiqin, kembarnya,  Nurulain; dan Suhaily.
HARLIZA (kanan) dan Che Norliah menunjukkan gambar Nurulashiqin, kembarnya, Nurulain; dan Suhaily.
Pergi ke Teluk Intan untuk jumpa teman lelaki

KAMPAR: Dua beradik kembar dan seorang rakan mereka yang dikatakan hilang selepas beraya di rumah rakan mereka di sini, Sabtu lalu, ada menghubungi sahabat karib menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) semalam mengatakan mereka selamat.
Elia Delaila Kamarudin, 14, berkata Suhaily Abdul Rahman yang keluar bersama pasangan kembar berkenaan menghantar SMS supaya menyampaikan pesanan kepada ibunya tidak perlu risau kerana mereka akan pulang nanti.
Elia yang juga rakan sekelas tiga remaja itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentosa berkata, Suhaily dipercayai menaiki bas ke Teluk Intan bersama Nurul-ashiqin Kamarazmi dan adik kembarnya Nurulain untuk beraya di rumah rakan lelaki.

“Nurulain SMS pagi tadi (semalam) mengatakan mereka tertinggal bas untuk pulang ke Kampar dan memutuskan untuk bermalam di Teluk Intan. Dia berpesan jangan cari mereka kerana semuanya selamat dan akan pulang nanti,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Elia berkata, Suhaily mungkin ke Teluk Intan untuk berjumpa teman lelakinya yang hanya dikenali sebagai Syah, manakala Nurul-ashiqin bertemu teman lelaki dikenali sebagai Akmal.

Sementara itu, seorang lagi rakan baik ketiga-tiga remaja itu, Nur Syahzlin Azhar, 14, berkata Nurulain ada menelefonnya jam 12.45 pagi Ahad lalu, iaitu kira-kira lebih sejam selepas ibunya Harliza Samah, 44, membuat laporan polis.
“Saya tidak menjawab kerana telefon sudah dimatikan. Saya telefon mereka semula pagi Ahad tetapi tidak dijawab,” katanya.

Sementara itu, Harliza berkata, Nurulain ada menghantar SMS kepadanya mengatakan mereka selamat tetapi tidak menyatakan lokasi tempat tinggal mereka.

“Kalau tidak ada duit nak balik, SMS tempat mana. Nanti ada saudara datang menjemput mereka,” katanya.

Ibu Suhaily, Che Norliah Chek Hat, 47, pula berkata dia juga merayu anaknya pulang.

kerana tiada sebarang perselisihan faham berlaku dalam keluarga sebelum mereka keluar rumah, Sabtu lalu.

"Saya tak lalu makan. Minta dia balik semula. Tetapi saya lega kerana dia SMS kepada saudara mengatakan dia selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata polis memandang serius kes remaja keluar rumah dan tidak pulang terutama apabila membabitkan remaja bawah umur.

“Saya harap rakan yang dihubungi oleh remaja terbabit dapat menasihatkan mereka supaya pulang segera atau menghubungi polis,” katanya polis Kampar boleh dihubungi melalui 05-4650020 atau hotline Polis Perak 05-2401999.

Syabas Buat KPN Baru... Ingat Dosa & Pahala, Syurga Dan Neraka

Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Assalamualaikum,

Tahniah saya buat Tan Sri Ismail Omar.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Ismail Omar atas perlantikan beliau selaku Ketua Polis Negara yang baru. Saya sebagai rakyat bawahan yang lemah meletakkan harapan yang tinggi terhadap kewibawaan Tan Sri. Pemilihan Tan Sri sebagai satu kejayaan dalam kerjaya Tan Sri, di samping satu ujian besar daripada Allah yang akan menghitungkannya pada hari kiamat kelak.

Ya! Harapan rakyat amat besar terhadap Tan Sri KPN. Pada hari ini, lebaran Tan Sri selaku KPN masih lagi putih. Tindakan dan keputusan yang bakal diambil Tan Sri KPN selepas inilah yang akan mencorakkan warna kain tersebut. Rakyat akan berbicara mengenai baik atau buruk pada penilaian mereka. Namun apa yang lebih penting segalanya akan tercatat di sisi Allah; adil atau zalim, amanah atau khianat, berjasa atau menganiaya.

Tan Sri, keadilan itu tetap tercatat dengan mulia di sisi Allah, walaupun ada yang menentangnya. Saya percaya Tan Sri akan berusaha sedayanya melaksanakan prinsip-prinsip keadilan itu. Rakyat marhaen seperti saya tentu sahaja akan selalu berdoa agar Tan Sri adil dan berjaya melaksanakan keadilan. Adil dan amanah itu perintah Allah dan RasulNya. Insan yang betul fitrahnya sayangkan keadilan dan amanah, cintakan pula kepada pengamal dan pejuangnya. Rakyat akan mencintai Tan Sri, insyaAllah. Adapun kezaliman dan khianat, ianya dikutuk di langit dan bumi. Allah dan Rasul memurkainya. Insan yang mukmin dan waras melaknatnya. Walaupun ianya dilupai di dunia atas kelicikan manusia, namun Allah menyebut: (maksudnya)

Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; Sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan Yang berlaku). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (Surah Ibrahim 42-43).

Kami berharap Tan Sri berusaha menghindari noda-noda kezaliman.

Saya percaya Tan Sri seorang yang berwibawa dan professional, apatahlagi Tan Sri seorang muslim yang beriman tentang hari akhirat. Tan Sri, dosa manusia ada yang bersifat peribadi antara dia dengan Allah, dan ada pula yang membabitkan hak-hak makhluk Allah yang lain. Dosa peribadi mudah untuk dilangsaikan; taubat dan istighfar antara dia dengan Allah sahaja. Adapun kezaliman terhadap orang lain; ia membabitkan hak hamba-hamba Allah yang tidak mudah untuk diselesaikan. Ada tuntutan yang lain yang mesti bayar, dan Allah juga ada hukumanNya yang setimpal.

Tan Sri, hak dan keadilan itu buta warna perbezaan. Adil itu prinsip yang merentasi batasan perasaan dan kepentingan. Merentasi batasan bangsa dan agama sekalipun. Firman Allah: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8).

Saya pasti Tan Sri lebih faham dan lebih berkesedaran dalam hal ini.

Tan Sri, seperti yang kita bersama tahu bahawa asas sosial (basic social values) yang rakyat perlukan adalah security (keselamatan), freedom (kebebasan), order (peraturan), justice (keadilan) dan welfare(kebajikan). Polis berperanan besar dalam hal ini. Tan Sri adalah insan harapan!

Tan Sri, seperti yang Tan Sri maklum kadar dan jenis jenayah dalam negara kita hari ini amat membimbangkan. Perasaan aman yang merupakan asas kehidupan kemanusiaan mula terhakis hari demi hari. Tugas Tan Sri tentulah besar. Ia adalah jihad yang agung pahalanya jika Tan Sri dapat mengembalikan keamanan dan memberikan keharmonian kepada rakyat. Salah satu sebab negara tidak aman, hilangnya keberkatan pemerintahan dan rakyat. Adil membuahkan rahmat Allah sekalipun jika pemerintah itu bukan muslim. Zalim melahirkan kemurkaan Allah, sekalipun pemerintah itu muslim. Inilah yang sedang kita lihat dalam dunia hari ini. Kami mendoakan agar Tan Sri berjaya meneruskan jihad menegakkan keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat.

Harapan kami agar Tan Sri dapat melaksanakan prinsip-prinsip yang dititahkan Allah dan RasulNya. Semoga Allah memberkati negara ini kerana keadilan insan-insan yang diberikan amanah. Rakyat mengadu kepada penguasa tentang kezaliman orang lain terhadap mereka. Namun, jika penguasa itu yang zalim, rakyat mengadu kepada Allah tentang kezaliman penguasa mereka. Nabi bersabda:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi kerana ianya dibawa atas lindungan awan dan Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Demi kemuliaan dan keagunganKu, akan Aku menangkan engkau sekalipun selepas beberapa lama” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir, dinilai hasan/ al-Sahihah:870).

Tan Sri, selamat bertugas sebagai KPN yang baru. Bersama Tan Sri jutaan harapan rakyat. Jika saya boleh meminjam wasiat bertulis Abu Bakr al-Siddiq ketika amat uzur dan mencadangkan Umar al-Khattab sebagai penggantinya, antaranya beliau menyebut:

“Sekiranya ‘Umar berlaku ‘adil, maka itu sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia sebaliknya, maka setiap individu berdasarkan apa yang dikerjakan. Sedangkan aku inginkan kebaikan dan tidak pula aku tahu perkara yang ghaib. “Nanti orang-orang zalim akan mengetahui di mana kesudahan mereka” Wa al-Salam ‘alaikum wa rahmatulLah”. (al-Sayuti, Tarikh al-Khulafa, 32, Beirut: Dar al-Fikr).

Semoga Allah merahmati tugasan Tan Sri, amin.

Rakyat Bawahan Yang Dhaif,
Mohd Asri bin Zainul Abidin

Majlis Pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra Sebagai Sultan Kelantan Tidak Boleh Dicabar Di Mana2 Mahkamah


Tengku Muhammad Faris Petra menerima watikah pemasyhuran Raja Kelantan daripada Nik Abdul Aziz Nik Mat (tengah) di Balairung Seri Istana Balai Besar di Kota Bharu, semalam.

Seorang anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang juga seorang peguam terkenal, Datuk Mohd Shukri Mohamad berkata majlis pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru semalam tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Katanya, ini kerana keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan berdasarkan Pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Oleh itu, tiada pihak yang boleh mencabar keputusan MPN dalam urusan pelantikan atau pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru kerana ia dibuat mengikut perlembagaan di bawah undang-undang tubuh kerajaan Negeri,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, di Kota Bharu hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.

Mohd Shukri yang mengaku dititahkan oleh Sultan Kelantan untuk mengendalikan sidang media itu juga turut merujuk kepada kenyataan media yang dibuat oleh seorang peguam dari firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli mewakili Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra semalam yang mempertikaikan keputusan MPN mengadakan majlis pemasyuran pelantikan Sultan Kelantan yang baru itu.

Beliau berkata, pelantikan Tetuan Rashid Zulkifli sebagai peguam kepada Sultan Ismail Petra masih lagi dipertikaikan dan kini sedang dicabar.

“Ini merupakan suatu perkara yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan melalui petisyen No 1, 2010 dan Petisyen 2, 2010 ekoran ketidak upayaan Sultan Ismail (berikutan kegeringannya)," katanya.

Keterangan perubatan

Beliau mendakwa, tetuan Rashid telah gagal mengemukakan apa-apa keterangan perubatan untuk membuktikan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk mengarahkan firma tersebut bertindak bagi pihak baginda berhubung dengan prosiding di depan Mahkamah Persekutuan sekarang.

“Tetuan Rashid juga gagal untuk mendedahkan apa-apa keterangan perubatan yang menunjukkan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan untuk memahami kandungan petisyen dan afidavit yang didakwa difailkan di Mahkamah Persekutuan melalui petisyen no.1 2010 dan petisyen no.2 2010 terbabit,” katanya.

Beliau berkata, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) boleh dan telah dipinda dengan cara perisytiharan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan dengan izin dan persetujuan Majlis Penasihat Raja.

Mohd Shukri mendakwa, kedua-dua petisyen yang didakwa telah difailkan oleh Tetuan Rashid Zulkifli di Mahkamah Persekutuan bagi pihak Sultan Ismail Petra adalah tidak relevan dengan isu sama ada pindaan-pindaan berasaskan Perkara 3 undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kelantan adalah sah atau tidak.

Shad Saleem Faruqi: Boleh dicabar

Di Kuala Lumpur , pakar perlembagaan Profesor Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi berkata, mengikut Perkara 63, Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, sebarang kekeliruan tentang pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan boleh diperjelaskan di bawah Mahkamah Persekutuan.

Pensyarah Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata Perkara 63 menyebut Sultan Kelantan boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan jika sebarang keraguan ditimbulkan akibat salah tafsir berkenaan Perlembagaan Kerajaan Kelantan.

"Peruntukan Perkara 23(A) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan
(Bahagian Yang Kedua) jelas menyatakan jika siasatan mendapati raja mempunyai kecacatan besar sehingga menjejaskan keupayaan memerintah, Majlis Perajaan Negeri (MPN) berhak mencari pengganti sultan.

"Walau bagaimanapun, saya pasti perkara ini akan dipersoalkan oleh pihak tertentu iaitu sama ada pindaan Perkara 23(A) pada 22 Julai lalu dilakukan di bawah keadaan sah atau tidak," katanya ketika dihubungi
Bernama hari ini.

Semalam Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan pemasyhuran itu di Balai Rong Seri Istana Balai Besar Kelantan yang turut dihadiri Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Langgar perlembagaan negeri

Bagaimanapun, pemasyhuran tersebut dipertikai kekanda Sultan Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra yang mendakwa pelantikan anak saudaranya itu tidak memenuhi syarat dan melanggar perlembagaan negeri.

Situasi tersebut sekaligus menyebabkan krisis keluarga diraja Kelantan semakin meruncing dan beberapa anggota kerabat yang menyokong Sultan Ismail Petra bertegas mahu membawa kes tersebut ke Mahkamah Khas Raja-Raja di Putrajaya.

Pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim (
bawah, kiri) menegaskan setiap negeri di Malaysia mempunyai perlembagaan tersendiri dan setiap kes harus ditangani mengikut perlembagaan dan undang-undang yang telah termaktub.

"Saya rasa yang paling penting, sejak 31 ogos 1957, setiap raja di negara ini telah menjadi Raja Perlembagaan dan perlembagaan tersebut haruslah dipatuhi.

"Walau bagaimanapun, sekiranya pihak yang menimbulkan keraguan berjaya membuktikan pelantikan tersebut tidak mengikut lunas-lunas perlembagaan, maka ia tidak sah dan mahkamah berhak menentukan tindakan seterusnya," katanya.

PAKATAN sambut baik

Sementara itu, Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim Malaysia (PAKATAN) melahirkan rasa syukur atas pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan baru semalam.

Presidennya Datuk Dr Noordin Ab Razak berkata keprihatinan tinggi Tuanku terhadap rakyat jelata di samping mementingkan keadilan dan kebajikan hamba rakyat menyebabkan persatuan tersebut melahirkan sokongan tidak berbelah bagi terhadap pemerintahan baru tersebut.

"Sebagai rakyat Kelantan yang berada di perantauan, kami berasa amat berbangga dan bertuah sekali berpayung di bawah naungan Tuanku.

"Sikap penyayang Tuanku terhadap rakyat terbukti dengan penganjuran program-program kebajikan seperti pengurniaan zakat kepada orang-orang miskin yang terdapat di seluruh jajahan di negeri Kelantan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Noordin turut berkata PAKATAN akan sentiasa bersedia untuk membantu apa yang terdaya dalam mengangkat kembali taraf Kesultanan Kelantan yang sentiasa dijunjung dan disayangi.

"Sesungguhnya kami sebagai rakyat jelata, amat yakin Tuanku akan dapat memajukan dan memakmurkan lagi negeri Kelantan dengan sokongan padu daripada pihak kerajaan, pegawai-pegawai dan juga rakyat sekalian," katanya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub turut mengucapkan tahniah kepada Tuanku Muhammad Faris Petra atas pelantikan baginda sebagai Sultan Kelantan.

"Warkah ikhlas yang tidak sepertinya ini adalah sebagai pengganti diri daripada patik diutus dengan hasrat mengucapkan sembah tahniah di atas pemasyhuran yang memegang tahta Al-Sultan Kelantan yang ke–29 pada hari semalam," kata ahli parlimen Kubang Kerian itu dalam satu kenyataan.

- Bernama

Awas - Jiran Sendiri Sanggup Membunuh Tetangga Demi Wang.. Polis Tahan Suspek Bunuh Ustazah Dan Anak

pix_gal0
SEREMBAN: Ustazah yang ditemui mati bersama anak lelakinya berusia 10 tahun di sebuah apartmen di Jalan Sutera Lama, Port Dickson, 3 September lalu, dipercayai dibunuh jirannya yang menyamun mangsa bagi mendapatkan wang untuk melangsaikan hutang.

Polis juga tidak menolak kemungkinan Norliza Ishak, 35, turut dirogol manakala anaknya, Amirul Ayman Mohd Yusoff, diliwat sebelum dibunuh dan disamun lelaki berusia 34 tahun yang tinggal bersebelahan rumah mangsa.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata lelaki itu dikatakan memperdayakan ustazah berkenaan kononnya kunci rumah tertinggal dan mahu memanjat masuk ke rumahnya melalui dapur mangsa.

“Sebaik mangsa membuka pintu, lelaki itu terus menghentak kepalanya menggunakan siku. Anak mangsa yang menjerit apabila melihat kejadian itu, pula dipukul di kepala sehingga pengsan.

“Suspek kemudian mengikat tangan dan kaki kedua-dua mangsa, manakala mulut ditutup menggunakan pita pelekat dan kepala dibalut dengan kain sarung serta pakaian sebelum diletak di bawah air pancuran mandi menyebabkan mereka tidak dapat bernafas,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dua beranak itu dikatakan dibunuh pada petang 2 September sebelum mayat mereka ditemui, kira-kira jam 10 pagi keesokannya oleh rakan Norliza. Ketika kejadian, suami mangsa berada di luar negara, manakala isteri dan dua anak suspek pula pulang ke kampung di Sabah.

Osman berkata, suspek yang ditahan di rumah neneknya di Port Dickson pada 5 September lalu, mengaku melakukan pembunuhan itu dan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.

Katanya, bedah siasat juga mendapati ada kecederaan baru pada kemaluan kedua-dua mangsa, tetapi polis masih menunggu keputusan ujian DNA sebelum dapat mengesahkan sama ada Norliza turut dirogol, manakala anaknya diliwat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis turut menemui semula barangan yang dicuri termasuk komputer riba dan tiga telefon bimbit tetapi wang tunai sudah digunakan suspek untuk membayar bil serta bayaran bulanan keretanya.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pemasang paip gas syarikat minyak dan gas, mempunyai masalah kewangan kerana tidak mempunyai kontrak kerja selama beberapa bulan.

Osman juga kesal kerana jiran yang mendengar bunyi mencurigakan pada petang hari kejadian, tidak mengambil sebarang langkah termasuk memeriksa atau melaporkannya kepada polis.

"Kita dapati ada jiran mendengar jeritan luar biasa anak mangsa, selain bunyi bising dari dalam rumah, iaitu ketika mangsa jatuh di atas rak, tetapi tiada siapa berbuat apa-apa," katanya.

Bagaimana Tindakan Licik Suspek2 Pembunuhan Datuk Sosilawati...

  • Foto

    ANGGOTA Unit Gerakan Marin menggunakan alat mengesan logam bagi mencari barangan milik mangsa di Sungai Kanchong Laut, Banting, semalam.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

KUALA LUMPUR: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang bersamanya, dikatakan dibunuh, kira-kira jam 10 malam, 30 Ogos lalu, iaitu pada hari sama keempat-empat mangsa dilaporkan menemui seorang peguam bergelar Datuk di Banting, Selangor, untuk urusan jual beli tanah.

Perkara itu didedahkan suspek hasil soal siasat yang dilakukan polis, sekali gus menolak teori kononnya Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, masih hidup selepas tiga hari kehilangan mereka dilaporkan.
Menurut sumber, kira-kira dua jam sebelum dibunuh dan dibakar di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Noorhisyam dipaksa menelefon isterinya, Suzana Radin Pangat, 38, bagi memaklumkan beliau akan pulang selepas tiga hari.
“Tempoh tiga hari yang dinyatakan itu mungkin taktik kumpulan penjenayah itu untuk menghapuskan segala bukti sebelum ahli keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan mereka,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, Sosilawati dan dua lagi mangsa pula tidak dibenarkan menelefon keluarga masing-masing kerana kumpulan penjenayah itu percaya maklumat yang disampaikan Noorhisyam akan disebarkan kepada semua keluarga mangsa terbabit.

“Hanya Noorhisyam dibenar menghubungi isterinya, tetapi dengan kawalan dan pengawasan ketat kumpulan penjenayah terbabit menyebabkan panggilan itu berlaku dalam keadaan tergesa-gesa.

“Sebab itu, Noorhisyam dalam perbualan dengan isterinya antara lain meminta maaf dan mengaku tidak dapat memberitahu apa yang berlaku terhadapnya dan berjanji untuk menceritakan segala-galanya selepas tempoh tiga hari,” katanya kepada Berita Harian.
Akhbar sebelum ini melaporkan, Suzana menerima panggilan daripada suaminya pada jam 8.15 malam, 30 Ogos lalu.

Suzana berkata, beliau hairan kerana suaminya bercakap dalam keadaan tergesa-gesa tetapi beliau tidak membuat laporan polis kerana suaminya akan pulang tiga hari lagi.

Pembunuhan kejam Sosilawati bersama tiga individu itu hanya terbongkar pada 10 September lalu selepas lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya juga seorang peguam, ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan mangsa.

Sumber berkata, Sosilawati dan tiga individu itu dipercayai dibunuh kerana penjenayah itu menghadapi kesukaran untuk menjaga mangsa serta bimbang dikesan polis.

“Siasatan terperinci sedang dilakukan bagi memastikan sama ada terdapat individu lain terbabit dalam kes pembunuhan kejam ini serta kaitan lapan suspek yang ditahan itu dengan kes berkenaan dan kehilangan empat individu lain yang dilaporkan hilang sejak setahun lalu.

“Bahan bukti yang diperoleh sedang dikumpul untuk dilakukan ujian forensik. Siasatan awal pula mendapati motif pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan masalah perniagaan, tetapi siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

KRONOLOGI

Detik sebelum dibunuh



10 pagi: Sosilawati memasuki pejabatnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

4 petang: Membeli kerepek di Kampung Sungai Lang, Banting.

5 petang: Kamaruddin menghubungi anak saudaranya, Khairul Izuan Ismail.

5-6 petang: Sosilawati menghantar SMS kepada suami memberitahu dia ke Banting.

8.15 malam: Noorhisham menelefon isterinya, Suzana Radim Pangat.

10 malam: Keempat-empat mangsa dibunuh dan dibakar di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.

Pasukan Penyelam Temui Pelbagai Bukti Kes Pembunuhan Kejam Datuk Sosilawati Dan 3 Yang lain


PASUKAN penyelam menemui sebilah senjata tajam di Sungai Kanchong Laut di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting semalam. Gambar kecil: Polis membawa seorang suspek ke Subang Jaya dan menemui kunci kereta dipercayai milik Sosilawati.


BANTING - Pasukan penyelam polis semalam menemui enam keping zink di dasar Sungai Kanchong Laut di Kampung Endah, Ladang Gadong, Tanjung Sepat disini yang dipercayai dijadikan sebagai pelapik untuk membakar mayat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

Bahan bukti itu ditemui selepas tiga suspek yang dibawa ke sungai itu menunjukkan lokasi zink-zink tersebut dibuang selepas selesai membakar mayat Sosilawati dan rakan-rakannya.

Tiga lagi yang turut menjadi mangsa pembunuhan kejam bersama jutawan kosmetik itu ialah pemandu peribadinya, Kamarudin Shansudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Selain itu, di sungai sama polis menemui sebatang besi tajam dipercayai turut dijadikan senjata membunuh empat mangsa itu.

Besi sepanjang 60 sentimeter itu kebiasaannya digunakan untuk kerja-kerja mengangkat buah kelapa sawit yang dimasukkan ke dalam lori. Turut ditemui sejenis senjata berbentuk kerambit sepanjang 30 sentimeter.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.