JK Hak & Kebebsan Parlimen Tangguh Keputusan Terhadap Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR, 8 Jun: Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebentar lagi membuat keputusan untuk menangguhkan kes merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Anwar pada sidang media selepas itu berkata, penangguhan itu disebabkan jawatankuasa tersebut perlu menentukan sama ada beliau boleh membawa peguam semasa dirujuk.

Katanya, jawatankuasa itu juga perlu menentukan sama ada peguam yang dibawa bersama dibenarkan bercakap atau tidak.

"Saya telah kemuka cadangan dan notis diberikan semalam supaya peguam pilihan saya dapat bersama dan ini mengikut peraturan mesyuarat yang membolehkan.

"Jadi sekarang ini prosiding ditangguh untuk menetapkan sama ada peguam datang untuk menasihat sahaja atau peguam boleh berbicara.

"Ikut tafsiran saya, kalau peraturan kata peguam dibenar bersama maksudnya peguam boleh mengemukakan pandangan," katanya.

Semasa menunggu untuk dipanggil memasuki kamar jawatankuasa berkenaan, Anwar ditemani oleh peguamnya beserta Ahli Parlimen Machang dan Kuantan daripada PKR, Saifudin Nasution Ismail dan Fuziah Salleh manakala Ahli Parlimen PAS ialah Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Khalid Samad (Shah Alam).

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan memasuki kamar itu kecuali Anwar sahaja.

Pada 22 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul mengheret Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang dianggapnya Umno memaksa satu usul diluluskan walaupun ia bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 36(12) dan 80(1).

Parlimen- Mana Jawapan Kepada Hilangnya Data Kemasukkan Altantunya? Hisham Terkedu Untuk Memberi Jawapan...

KUALA LUMPUR 8 Jun - Menteri Dalam Negeri terkedu apabila Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali mendesak Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi penjelasan bagaimana rekod perjalanan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh dengan kejam pada 2006 telah di padam dari rekod Jabatan Imigresen.

Apatah lagi keadaan menjadi lebih gawat kepada Hishammuddin apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga sepupu beliau ketika itu berada di dalam Dewan Rakyat pada hari pertama sidang Penggal Kedua Parlimen Keduabelas.

Azmin berkata soalan beliau dan penjelasan Menteri amat penting kerana ia melibatkan soal jenayah dan juga faktor keselamatan.

"Saya mengambil kesempatan untuk bertanya kepada Hishammuddin tentang tanggungjawab Jabatan Imigresen untuk memantau pergerakan keluar masuk warga asing ke negara ini.
"Hishamuddin menjawab bahawa Jabatan Imigresen bertanggungjawab dalam memantau pergerakan berdasarkan aspek keselamatan dan ancaman kepada negara. Berdasarkan kepada jawapan yang diberikan itu sudah tentulah Jabatan Imigresen memerlukan satu pengkalan data bagi memastikan segala maklumat warga asing akan disimpan dengan baik, agar menyenangkan untuk mengambil sesuatu tindakan.

"Pada masa yang sama saya inginkan penjelasan dari kementerian apakah bidang kuasa Jabatan Imigresen untuk memadamkan dan menghilangkan rekod perjalanan warga negara asing khususnya Altantuya.

"Sekiranya rekod ini dipadamkan siapakan yang bertanggungjawab dan apakah tindakan yang telah diambil oleh kerajaan supaya perkara ini tidak berulang lagi.
"Kita melihat tindakkan memadam rekod pergerakkan warga asing adalah satu jenayah yang besar dan perlu diambil serius. Perkara ini perlu diatasi bukannya membiarkan begitu sahaja," jelas beliau kepada Suara Keadilan di lobi parlimen semalam.

Azmin juga merasa dukacita dengan tindakan Hishammuddin kerana cuba mengelak memberi jawapan kepada soalan beliau sehingga jawapan yang diberikan terdapat percanggahan.

"Saya dukacita dengan kenyataan yang diberikan oleh Hishammuddin terhadap soalan tersebut, beliau cuba untuk mengelak memberi jawapan. Saya dapat melihat dengan jelas beliau cuba mendapat isyarat dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kebetulan berada di dalam Dewan.

"Kenapa perlu tunggu isyarat dari Najib dan apa kaitannya dengan Najib, bukankah itu adalah tanggungjawab Jabatan Imigresen yang di bawah Kementerian Dalam Negeri. Reaksinya jelas tidak mahu memberi jawapan dan akhirnya beliau memberitahu jawapan telah diberikan sebelum ini.

"Bagi saya tidak ada sebarang jawapan yang diberikan oleh kementerian terbabit berhubung rekod warga Mongolia yang telah dipadamkan itu. Tindakan kementerian yang cuba mengelakan dan membuat penafian ini jelas menimbulkan pertanyaan apa yang sebenarnya berlaku.

"Kita perlukan jawapan yang jelas dari kementerian, beliau bukan selalu ada di Dewan jadi kesempatan inilah yang sepatut digunakan untuk memberi penjelasan bukan membuat penafian. Kita tahu kehadiran Altantuya di Malaysia tetapi kenapa rekod perjalannya memasuki Malaysia telah dipadamkan, kementerian perlu berani berhadapan dengan situasi sedemikian," tegas Azmin lagi.

Anwar Kemukakan Semula Permohonan Dibekalkan Dokumen


KUALA LUMPUR 8 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan semula permohonan kepada Mahkamah Tingga Kuala Lumpur hari ini untuk mendapatkan dokumen dan bahan-bahan yang berkaitan dengan perbicaraan Fitnah 2 yang beliau hadapi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Tetuan SN Nair & Partners, firma guaman yang mewakili Anwar, permohonan sama yang dibuat Khamis lalu ditarik balik dan diganti dengan permohonan terkini manakala tarikh mendengar permohonan tidak berubah pada 18 Jun depan.

Dokumen yang dimaksudkan termasuk semua nota klinikal, laporan, material, spesimen dan maklumat lain seperti emel, nota catatan, surat menyurat, penulisan dan perhatian ketiga-tiga doktor yang membuat pemeriksaan ke atas pengadu, Mohd saiful Bukhari Azlan.

Mereka ialah Dr Razali Ibrahim, Dr Khairul Nizam Hassan dan Dr Siew Sheue Feng.
Anwar juga memohon dibekalkan keseluruhan sejarah perubatan Saiful yang dilakukan di Hospital Kuala Lumpur serta kelulusan akademik ketiga-ketiga doktor tersebut.

Dalam permohonan beliau, Anwar menyatakan keterangan yang diberikan oleh Dr Razali daripada HKL di mahkamah pada 3 Jun lalu bercanggah dengan pendapatnya dalam laporan perubatan bertarikh 13 Julai 2008 yang dibuat bersama Dr Khairul Nizam dan Dr Siew.
Permohonan Anwar juga disertakan dengan afidavit pakar forensik dari Australia, Dr David Wells yang membantu pasukan peguam bela dalam perbicaraan tersebut.

Menurut Dr Wells dalam afidavitnya, beliau yang menghadiri prosiding mahkamah pada 3 Jun terbantut dalam usaha untuk menasihati barisan peguam bela Anwar disebabkan ketiadaan dokumen yang diperlukan.

Beliau berkata adalah amat perlu kesemua dokumen dan bahan yang dipohon hendaklah dibekalkan kepada pihak pembelaan supaya khidmat nasihat yang beliau berikan akan berkesan.

Dato' Mahfuz: Tiada Guna Kecam Kalau Kerajaan Masih Amalkan Polisi "Pro-Israel"

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tidak ada gunanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul mengecam Israel di Dewan Rakyat semalam kerana negara secara rahsia masih menjalinkan perdagangan komersil dengan negara haram zionis itu.

Menurut Harakah Daily, Mahfuz berkata perdagangan komersil dengan Israel masih terjalin sehingga kini sebagaimana diperkenalkan sejak Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi perdana menteri dahulu.

“Sia-sia usul kecaman zionis Israel kerana bagi saya bahawa Najib masih meneruskan polisi yang ditinggalkan oleh Tun (Dr Mahathir) iaitu sesiapa pun boleh memohon daripada kabinet Malaysia secara rahsia untuk apa jua komoditi yang mahu diperdagangkan dengan kerajaan Zionis ini,” kata beliau.

Mahfuz yang juga Ketua Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS berkata, kerajaan dilaporkan masih meluluskan perdagangan sejenis bahan kimia dengan rejim berkenaan secara rahsia sekitar Mac hingga April lalu.

Tidak cukup dengan itu, katanya pentadbiran Najib juga secara rahsia dilaporkan masih bersetuju memperdagangkan minyak sawit kepada negara Israel pada Mei lalu.

Sehubungan itu, Najib dicabar menafikan kedua-dua pendedahan tersebut atau menghentikan sikap hipokrit dalam isu keganasan Israel dalam menghalang bantuan kemunusiaan sedunia ke Gaza yang sedang dikecam oleh dunia dan rakyat Malaysia.

“Kalau tak benar, dia (Najib) kena buat penafian yang kabinetnya tidak lagi melaksanakan polisi yang ditinggalkan oleh Tun Dr Mahathir itu dan kalau benar pula, berhentilah tunjuk sikap hipokrit itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan tentang buku-buku penerbitan komersil Israel yang berada di perpustakaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sekarang.

“Takkan buku-buku yang menjelaskan prospek perdagangan dan perindustrian di negara Israel itu sengaja dibekalkan di perpustakaan MITI, kecuali untuk menggamit minat Malaysia untuk mengadakan hubungan dengan negara Zionis itu.

“Kalau memang tak ada niat apa-apa, KDN tetap perlu jawab mengapa buku sebegini diluluskan di peringkat kerajaan dan dibekalkan di perpustakaan tersebut,” katanya.

Al-Fatihah: Kereta bertembung treler, enam sekeluarga maut

HANCUR ... Keadaan kereta yang terperosok di bawah treler selepas terlibat dalam kemalangan mautdi KM78 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan pada 8.45 malam tadi
Enam sekeluarga terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di KM78 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan pada 8.45 malam semalam.

Mereka dikenali Norfaizah Mansor, 31, dan empat anaknya Norsyahira Atika Saudi, 13; Norsufia Saudi, 10; Norsuhaila Saudi, 7; dan Mohd Shahrul Amir Saudi, 3, serta adik Norfaizah, Mohd Saiful Anwar Mansor, 14.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan, Deputi Superintendan Amran Sidek, berkata ketika kejadian, semua mangsa yang menaiki kereta Proton Iswara yang dipandu Norfaizah, dalam perjalanan pulang ke Pekan dari rumah ibu bapanya di Keratong 2, Pekan.

"Sampai di tempat kejadian yang berhampiran dengan Kampung Runchang, kenderaan yang dinaiki mangsa dari arah Segamat cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya namun gagal dan bertembung dengan sebuah treler," katanya di Pekan, hari ini.

Amran berkata, kereta yang dipandu Norfaizah itu terperosok ke bahagian bawah treler berkenaan.

Beliau berkata, kesemua mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan dada manakala pemandu treler yang berusia 44 tahun serta isterinya berusia 43 tahun cedera ringan di kaki.

Ayah Norfaizah, Mansor Hamid, 55, berkata kebiasaannya, cucu beliau yang paling kecil, Mohd Shahrul Amir, jarang ikut ibunya balik ke Pekan.

"Tetapi hari ini semua nak ikut balik," katanya yang mengetahui kemalangan itu pada 11 malam sebelum terus bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, anaknya sekeluarga berangkat pulang ke Pekan sekitar 7 malam tadi kerana Norfaizah, yang juga adalah Ketua Pusat Amanah Iktiar Malaysia (AIM) kawasan Tanah Putih, terpaksa pulang ke rumahnya bagi membuat persiapan menghadiri satu mesyuarat AIM hari ini.

Ibu Norfaizah, Arfah Sulung, 54, pula berkata, anaknya itu pulang kerana mahu menemui suaminya yang jarang ditemui kerana bekerja di Bukit Ibam, Muadzam Shah.

"Menantu saya juga berhasrat untuk membawa arwah sekeluarga pergi bercuti di Melaka sempena cuti sekolah ini," katanya.

- Bernama

Lesen Judi Sukan: Akar umbi UMNO Cawangan Lorong Masjid Mulai Gelisah

Bibit-bibit protes mula kedengaran hari ini daripada kem penyokong kerajaan berhubung isu pemberian lesen judi sukan.

Tentangan tersebut mula dikesan pada satu sidang mesyuarat cawangan Umno di Teluk Intan yang mengusulkan supaya kerajaan menarik balik pemberian lesen tersebut.

Usul tersebut dikemukakan oleh seorang pemimpin akar umbi, Yuzaile Yusof ketika mesyuarat Umno Cawangan Lorong Masjid, Teluk Intan pada 22 Mei lalu.

Yuzaile berkata, pergerakan pemuda Umno sebelum ini tidak mampu untuk menepis isu judi kerana ia sememangnya memberi kelebihan kepada golongan yang bukan penyokong BN.

"Ke
adaan begini memberi ruang kepada (pro-Pakatan Rakyat) untuk bersuara.Jadi pemuda Umno tidak boleh menepis isu ini, sebab judi sememangnya haram walaupun lesen itu sah atau tidak," katanya.

Tambahnya, alasan yang dikemukakan kerajaan untuk mengawal aktiviti perjudian melalui pemberian lesen itu tidak boleh diterima oleh masyarakat.

Masyarakat juga menolak langkah untuk menggunakan hasil daripada perjudian untuk membangunkan bidang sukan, kata Yuzaile lagi ketika dihubungi.

“(
Jadi) kami menggesa agar kerajaan menarik balik lesen judi bola sepak," kata Yuzaile yang juga ketua pemuda bahagian Teluk Intan.

Katanya lagi, selain isu judi, mesyuarat cawangan kali ini dilihat tidak mengandungi banyak perkara berbangkit untuk diutarakan.

Ini disebabkan, cawangan-cawangan lain masih tidak menyerahkan usulnya ke mesyuarat negeri, katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mesyuarat tahunan peringkat cawangan itu bermula Sabtu lalu di seluruh negara hingga 15 Jun depan.

Ini akan diikuti dengan persidangan perwakilan bahagian serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dalam tempoh bermula 16 Jun dan berakhir 16 Julai sebelum perhimpunan agung dari 28 hingga 30 Oktober depan.

Apple iPhone 4 Lebih Canggih dilancarkan di WWDC 2010... Aku Dah Berkenan, Bila Akan Sampai di Malaysia??

Apple iPhone 4G atau telah diumumkan sebagai iPhone HD telah pun dilancarkan beberapa jam lalu oleh orang kuat Apple, Steve Jobs di WWDC 2010. iPhone yang didatangkan dengan beberapa ciri canggih yang baru dan lebih baik daripada iPhone 3Gs.

Antara ciri-ciri Apple iPhone 4

Pertamanya, Budiey berpendapat, iPhone yang menggunakan 4G ini masih terlalu advance untuk Malaysia di mana kita masih menggunakan 3.5G. Namun sejak iOS4 ini bebas untuk dikemaskini, sebab utama iPhone ni harus dimiliki adalah kerana kameranya yang ada 2 bina dalaman dan juga yang paling penting adalah jangka hayat bateri yang lebih lama.

Bentuk dan reka bentuk barunya sangat lain. Tapi sebenarnya, Budiey tak suprise tengok reka bentuknya yang agak kemas dan lawa itu sebab gambar iPhone baru ini dah pun bocor dan tersebar di internet beberapa bulan lalu. Reka bentuknya agak lebih elegan dan seperti mini iPad. Budiey suka reka bentuknya!

iPhone 4 adalah 24% lebih nipis dari iPhone 3GS dan diperbuat daripada stainless steel dan glass. Besi tahan karat juga adalah sebahagian daripada sistem antenna yang melibatkan Bluetooth, Wi-Fi, GPS, UMTS, GSM smartphones ini. iPhone 4 mempunyai mikrofon kedua untuk noise cancellation.

Glass cover depan dan belakangnya diperkuatkan secara kimia untuk menjadi lebih 20 kali lebih mantap dan 30 kali lebih kuat daripada plastik. Lebih ultra-durable dan lebih tahan daripada calar. Jadi, Budiey rasa tak perlu lagilah beli dan pakai case iPhone, kan?

iPhone 4 mempunyai 2 kamera bina dalaman, iaitu 5 megapixel di belakang dengan LED Flash dan backside illimination sensor, kamera depan pula untuk video calling. Kamera belakang juga digunakan untuk mengambil video dalam bentuk high definition (720p) hingga 30fps dengan audio yang lebih jelas dan mantap!

Dengan teknologi baru yang dipanggil Retina Display, skrin iPhone 4 berkeluasan 960 X 640 pixel per inci. Budiey rasa, ini adalah skrin resolution paling tinggi pernah direka untuk smartphones setakat ini! Jadi, teks dan gambar mestilah jelas dan lebih sharp! Syabas, Apple!

Sebagaimana Apple iPad, iPhone 4 juga dikuasai dengan A4 chip handle complex jobs seperti multitasking, editing movie on iPhone menggunakan iMovie untuk iPhone dan pada masa yang sama menjimatkan jangka hayat bateri. Untuk info semua pembaca budiey.com, jangka hayat iPhone 4 mempunyai lebih 40% lebih lama dari iPhone 3GS.

iPhone 4 adalah telefon bimbit pertama yang dibina dengan 3-axis gyroscope untuk gerakan gestures dan lebih hebat semasa main games!

iPhoneOS 4 kini dikenali sebagai iOS4

iPhone 4 didatangkan dengan iOS4 yang mana dulunya dikenali sebagai iPhoneOS 4 dan mempunyai ciri-ciri multitasking, iAds, Folders, iBooks dan banyak lagi.

Facetime Apple iPhone 4

Budiey pun agak pelik kenapa kali ini reka bentuk iPhone baru ni disebut sebagai Facetime. Mungkin diinspirasikan oleh populariti Facebook yang kini semakin memuncak.

Dengan iPhone versi terbaru ini kita boleh buat video vall dengan Wi-Fi connection tanpa sebarang account atau usernama! Ini pasti ditunggu oleh semua. Ia cuma ada satu butang sahaja untuk menukar antara 2 kamera bina dalaman.

Bagaimana pula dengan harganya?

iPhone 4 didatangkan dengan 2 warna iaitu putih dan hitam. Di USA, harganya USD$199 untuk 16GB dan USD$299 untuk 32GB. Murah ke? Lebih kurang dalam berapa RM ek? Tapi harga ni kat US kedua-dua jenis, kena ada kontrak dengan AT&T. Kalau kat sini, Maxis dan DiGi ambil alih.

Pra-tempahan akan bermula minggu depan iaitu 15 Jun 2010. iPhone 4 akan dihantar ke 5 negara pada 24 Jun iaitu US, Perancis, Jerman, England dan Jepun.

Dalam bulan Julai nanti, iPhone 4 boleh dibeli di 18 lagi negara iaitu Australia, Austria, Belgium, Canada, Denmark, Finland, Hong Kong, Ireland, Italy, Luxembourg, Netherlands, Norway, New Zealand, Singapore, South Korea, Spain, Sweden, Switzerland. Pada Ogos 2010, 24 negara lagi akan ditambah dan 44 lagi negara pada bulan September.

88 negara akan mendapat iPhone 4 mulai September 2010.

Kalau korang belum lagi guna iPhone, lupakan sahaja untuk membeli iPhone 3GS tu, tunggu lah sehingga iPhone 4 ni sampai di Malaysia, okay?

Agak-agak berbaloi tak guna iPhone 4 ka Malaysia?

Ambilan: Blog Sahabat

Sanggup Berbogel Demi Promosi.... Apa Nak Jadi Dunia Hari Ini???


SEKUMPULAN orang memulakan acara berenang bogel di Pantai Teluk Nelly, Australia semalam.

SYDNEY – Sekumpulan perenang sanggup berbogel bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai Terumbu Karang Besar di Australia.

Penganjur aktiviti itu, Ben Schultz berkata, berenang bogel selama 20 minit di Pantai Teluk Nelly, Pulau Magnetic di pesisir pantai timur laut Australia itu melibatkan 23 penyelam dan 10 perenang berusia di antara 19 hingga 60 tahun.

Kebimbangan mengenai pencemaran alam ke atas Terumbu Karang Besar yang merupakan habitat kepada sejumlah besar spesies marin memuncak pada awal tahun ini apabila sebuah kapal kargo arang batu China melanggar terumbu karang itu. – AFP

Cukupkah Dengan Hanya Demonstrasi, Bakar Bendera Israel???

MARI DEMONSTRASI HARI-HARI




Sekadar melihat dari sudut yang berbeza. Bukan sengaja atau saja-saja untuk mencipta kelainan, tetapi sedar bahawa setiap kita ada titik buta (blind spot) masing-masing.

Dan perbezaan bukan semestinya satu pertentangan, ia hanya satu fitrah – manusia sentiasa unik. Ya, dari dimensi inilah saya melihat demonstrasi anti-Yahudi yang begitu marak sekarang.

Sejak sama-sama solat hajat di surau untuk ahli kariah kami yang turut berada di atas kapal misi bantuan yang diserang Israel itu, saya terus berfikir. Rasa marah, kecewa tetapi terus mengharap silih berganti dalam diri, yang saya pasti turut dirasai oleh kita bersama.

Palestin bukan soal ‘mereka’ tetapi soal ‘kita’. Dan hasil berfikir itu saya tumpahkan dalam sebuah artikel yang sengaja saya imiginasikan dalam bentuk dialog. Ikutilah dialog yang saya nukilkan selepas Subuh pagi tadi :

MARI KITA DEMONSTRASI HARI-HARI!

Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.
“Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional.”
Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.

“Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang.”
Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.
“Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk.”

Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, “saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi.”
“Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni.”
“Kenapa Pak Cik?”
“Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni.”
“Pak Cik hisap rokok apa?” saya mula teruja untuk berbual.
“Masih Winston. Dah sebati sejak dulu.”
Winston from America?” bisik saya perlahan.
Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk.

“Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi. Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?” kilasnya mengalih arah perbualan.
“Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu,” tegas saya.
“Apa dia?”
“Solat Subuh berjemaah.”

“Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat.” Muka pak Cik itu mula memerah. Tangannya mula digenggam.
“Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah yang akan membangunkan roh jihad yang sejati.”
“Kita mesti sanggup memikul senjata.”
“Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih tidur menjelang Subuh.”
“Saya tak faham.”

“Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang menyakitkan mereka.”
“Apa yang menyakitkan mereka?”
“Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri.”
“Jadi?”
“Sebaik-baik ‘demonstrasi’ ialah didik umat ini bersolat Subuh secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana Rasulullah saw dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.”
Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar. Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung Pak Cuik tersebut dengan senyuman.

“Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?”
“Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi jangan membakar rokok Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!”
“Awak sindir saya?”

“Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak.”
“Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!”
Lagi-lagi ke situ fikirnya.
“Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka.”
“Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?”

“Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah bangunkan cara hidup Islam?”
“Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam.”
“Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan cara hidup cara Islam.”
“Contoh?”
“Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak, tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis, sosialis mahupun liberalis.”

Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk, “mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?”
“Ketiga-tiga isme itu sama.”
“Sama?”
“Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… ZionisYahudi!”
“Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?”

Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.
“Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat agak artifisial. Kita perlu agenda yang konsisten dan ‘genuine’.”
“Misalnya?”
“Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan dan kemungkaran.”
“Lagi?”
“Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam. Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah untuk menutup aurat dalam ertikkata sebenar dan tinggalkan pergaulan bebas!”
“lagi?”

“Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan mengamalkannya satu persatu kita boleh ‘berdemonstrasi hari-hari’ terhadap atas Yahudi. Bila kita boikot cara hidup berseronok-seronok yakni hedonisme, ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan melalui dalang-dalang mereka di Holywood.”
“Idola Amerika?”
“Ya. Juga idola kita yang meniru persis mereka. Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah.”

Pak Cik itu batuk-batuk.
Saya urut belakangnya.
“Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan perlahan-lahan ya Pak Cik?” kata saya seakan-akan merayu.
“Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin.”
“Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh cara hidup musuh yang kita benci.”
“Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari.”

“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita dibakar. Jeritan Allah hu Akbar dalam demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allah hu Akbar daripada umat yang tidak solat? “

“Eh, kami yang demonstrasi semua solat…”
“Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini. Saya risau kerana ada kajian menunjukkan 80% umat Islam sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang benar-benar kompeten menghadapi Zionis dalam erti kata sebenar?”

Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu, saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi seperti yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen. Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat seusai solat Subuh berjemaah dan sebelum itu didahului oleh qiamulail dan qunut nazilah?

Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi, para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja… tetapi hari-hari. Setiap hari!

Ah, bagaimana umat ini hendak disedarkan bahawa mengamalkan cara hidup Islam itulah cara penentangan yang paling dibenci oleh Yahudi? Firman Allah:
“Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (cara hidup) mereka.”
Dan alangkah baiknya jika jeritan Allah hu Akbar, dibuktikan dengan penegakan hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus ‘mengecilkan’ pandangan akal sendiri dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini?


Sumber: Ustaz Pahrol

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.