Oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM
(Wartakedah.net)
ALOR SETAR – Kemeriahan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar pada tahun ini amat terasa apabila menerima kunjungan orang ramai di luar jangkaan, dianggarkan lebih 40 ribu menghadirinya.
Jika sehari sebelum (Jumaat) sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar hujan di bumi Kedah begitu lebat dan berterusan selama sehari. Namun, dengan izin dan kurniaan Allah, pada hari Sabtu, cuaca amat baik tidak mengahalang rakyat Jelapang Padi menziarahi kediaman rasmi Menteri Besar ini.
Malah, kesesakan lalulintas juga tidak menghalang mereka untuk berkunjung ke rumah terbuka ini. Ada di kalangan mereka yang sanggup berjalan sejauh lima kilometer untuk ke Seri Mentaloon.
Orang ramai dari pelbagai kaum mula membanjiri Seri Mentaloon seawal jam 9 pagi walaupun masa yang dijadualkan bermulanya majlis sekitar 11 pagi bagi membuktikan kesejahteraan di kalangan rakyat Kedah. Walaupun terpaksa berasak-asak mereka tetap gembira dan berpuas hati kerana dapat berkunjung ke kediaman pemimpin yang dekat di hati rakyat. Hidangan yang disajikan juga disediakan seawal pagi untuk tidak membuatkan orang ramai menunggunya dengan lebih lama.