Penyayi Yuna Makin Intim Dengan Seseorang, Apakah Hubungan Mereka Akan Berakhir Di Jinjang Pelamin?

Qushairi Razali. - Foto THE STAR Oleh RAJA FAISAL HISHAN

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Qushairi Razali atau lebih dikenali sebagai Qi mengakui semakin rapat dengan penyanyi Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai.



Dia mengakui bertambah selesa berdampingan dengan calon Anugerah Juara Lagu ke 25 (AJL25) pada waktu lapang.



“Saya tidak keluar dengan orang lain secara eksklusif, tetapi jika saya mempunyai masa lapang, saya selesa meluangkan masa dengan Yuna," katanya kepada pemberita semasa pelancaran Field Trip! USA musim kedua di sini, Isnin.



Qi ialah hos rancangan pengembaraan televisyen itu yang bakal bersiaran setiap Rabu, pada pukul 9.30 malam bermula 28 September 2011 di saluran 8TV.


Kerana masing-masing meminati muzik, Qi, yang berusia 34 tahun berkata, dia senang berkomunikasi dengan Yuna yang lebih muda sembilan tahun daripadanya.



"Saya tak rasa janggal bersamanya. Mula-mula, saya mengakui segan berkawan dengannya kerana dia merupakan artis yang pernah memenangi banyak anugerah," katanya.



Menurut Qi, mereka mula berkenalan dalam rancangan Kawanku Bintang Coca-Cola baru-baru ini.



Dalam program di saluran TV9 itu, Yuna merupakan salah seorang juri manakala Qi menjadi pengacara. Dari situlah, perhubungan mereka semakin rapat.



Sementara itu, Qi memberitahu, dia hadir menyaksikan AJL25 Ahad lalu di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini untuk memberikan sokongan kepada Yuna.



Bagaimanapun, katanya, dia beredar sebaik sahaja rancangan itu berakhir kerana mempunyai kerja pada keesokan paginya.


Yuna ketika hadir di AJL25, Ahad lalu.

"Saya sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya untuk memujuk dia supaya tidak bersedih.



"Saya kata, rezeki itu masing-masing. Ada masa kita kalah, insya-Allah kita menang (lain kali)," katanya yang berharap Yuna dapat menang tetapi akur saingannya hebat-hebat belaka.


PRK DUN Tenang - Jom Tengok Apa Strategi Pakatan Untuk Menangi Hati Pengundi...

PETALING JAYA, 12 Jan: Pilihan raya kecil Dun Tenang yang akan berlangsung 30 Januari ini akan dijadikan medan terbaik oleh Pakatan Rakyat untuk menjelaskan program-programnya kepada orang ramai, sekiranya diberikan mandat memerintah negara dalam PRU Ke-13 nanti.


Oleh itu, pilihanraya tersebut akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Pakatan Rakyat bagi menjelaskan pelbagai isu kepada orang ramai terutama yang membabitkan penyelewengan kerajaan BN terhadap rakyat.


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dengan itu para pengundi di Dun Tenang akan membuat pilihan terbaik dalam pilihanraya itu dengan memberikan undi kepada calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.


Menjawab pertanyaan wartawan mengenai keyakinannya dengan kemenangan calon PAS dalam pilihanraya itu, beliau menegaskan, soal menang atau kalah tidak dapat dipastikan kerana ia berada dalam pengetahuan Allah.


"Pilihan raya kecil Dun Tenang itu diwakili oleh PAS. Saya yakin PAS mempunyai strateginya yang tersendiri untuk menghadapi pilihan raya itu.
"Bagi Pakatan Rakyat, pilihanraya itu akan dijadikan medan untuk menjelaskan isu termasuk program Pakatan Rakyat supaya rakyat sedar dan menolak BN. Jadi saya yakin para pengundi di Dun Tenang akan membuat pilihan yang baik," katanya ketika menjawab soalan wartawan pada sidang medianya di ibu pejabat PKR di sini, semalam.


Sebelum itu, beliau menjelaskan, tindakan pertama Pakatan Rakyat sekiranya diberikan mandat memerintah negara adalah melancarkan perang habis-habisan menentang rasuah di setiap peringkat di tanah air, bermula dengan pemimpin-pemimpin kanan politik.


Tindakan tersebut akan menyelamatkan RM28 bilion yang tiris dari Perbendaharaan Negara setiap tahun akibat rasuah, seperti yang dianggarkan oleh Ketua Audit Negara.


"Selepas itu, Kerajaan Pakatan Rakyat akan menstrukturkan semula sistem subsidi untuk memansuhkan subsidi korporat yang hanya mengkayakan beberapa kerat kroni (Umno BN). Jumlah RM19 bilion subsidi korporat yang ditanggung oleh Petronas untuk membayar IPP milik kroni itu akan dipulangkan kepada Perbendaharaan.


"Kita juga akan menyemak semula sistem konsesi tol untuk memansuhkan bayaran pampasan RM4 bilion setiap tahun yang kini ditanggung oleh kerajaan," katanya.


Kesemua perkara yang dinyatakan itu adalah antara perkara yang terkandung dalam Janji 100 Hari Pakatan Rakyat, sekiranya diberikan mandat memerintah negara dalam PRU Ke-13 nanti, yang kini cukup mencemaskan para pemimpin Umno BN.


Beliau berharap agar para pengundi di Dun Tenang turut memahami perkara itu bagi membantu mereka membuat pilihan yang tepat dalam pilihanraya itu nanti.

Bandaraya Alor Setar Dipasang CCTV Pantau Jenayah Dan Lalulintas

Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah memasang 16 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh bandar raya ini bagi memantau kejadian jenayah dan kemalangan jalan raya.

Antara kawasan yang dipasang CCTV ialah di persimpangan Jalan Kolam Air, Jalan Tunku Ibrahim/Pekan Rabu, Jalan Sultan Badlishah/Bulatan Maal Hijrah dan persimpangan Jalan Tunku Ibrahim/OCBC Bank.

"Kawasan yang diletakkan CCTV ini ialah kawasan yang dicadangkan oleh pihak polis dan pihak majlis kerana kawasan tersebut merupakan kawasan yang sering berlaku jenayah seperti ragut, rompakan bank dan curi motosikal, selain untuk memantau keadaan lalu lintas termasuklah kemalangan jalan raya," kata Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Khazali Din.

Beliau berkata penggunaan CCTV itu telah dilaksanakan sepenuhnya mulai awal bulan ini yang dikawal dan dipantau dari pejabat MBAS dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Beliau berkata pemasangan CCTV tersebut dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan.

Banyaknya Peruntukan Kerajaan Di KawasanKu... Moga MBku Terus Dipanjangkan Usia.. Memerintah Dengan Jayanya..

YAN: Kerajaan Negeri terus memberikan penekanan dalam usaha membangunkan Daerah Yan dengan menyediakan peruntukan bagi kemudahan infrastruktur yang lengkap untuk kesejahteraan

rakyat sepanjang tahun 2010 melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Yan dan Pendang.



Pegawai Khas Kawasan Kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan berkata, antara perbelanjaan Kerajaan Negeri bagi tahun 2010 ialah menaik taraf jalan serta lain-lain kerja yang berkaitan di Jalan K 146 Guar Chempedak/Yan (Titi Serong), Yan dengan peruntukan sebanyak RM469,000.



“Penjelasan ini perlu untuk menjawab soalan yang sering dilontarkan oleh pihak tertentu iaitu, Kerajaan Negeri buat apa?” ujarnya.



Antara kerja lain ialah membersihkan semak samun, memotong rumput dan tumbuh-tumbuhan di kawasan bahu jalan di sepanjang jalan Negeri bagi Daerah Yan dengan peruntukan sebanyak RM119,000.

Menurut Muzaini, kerja-kerja perkhidmatan kebersihan di kawasan jalan, bahu jalan dan longkang serta kerja-kerja kecemasan di jalan ke Puncak Gunung Jerai di Daerah Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM97,000.

“Kerja-kerja membaikpulih jalan turut dijalankan di samping menaik taraf jalan dan lain-lain kerja yang berkaitan di Jalan Kuala Kedah/Bedong (K1), Yan dengan peruntukan sebanyak RM385,000,” katanya.



Muzaini menegaskan, kerja-kerja membekal dan menghantar Guardrail serta lain-lain kerja yang berkaitan dengannya di Jalan-Jalan Negeri di Daerah Yan dengan peruntukan sebanyak RM180,000.



“Kerja-kerja membaik pulih jalan dan lain-lain kerja yang berkaitan di Jalan K1, Sungai Limau/Sungai Kering, Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM373,000,” ujarnya.

Di samping itu, katanya, kerja-kerja membaik pulih jalan serta lain-lain kerja yang berkaitan dengannya di Jalan Kampung Pondok Sheikh Mahmud (MARRIS), Bukit Besar turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM118,000.

“Peruntukan sebanyak RM80,000 turut dibelanjakan untuk kerja-Kerja membaik pulih jalan serta lain-lain kerja yang berkaitan dengannya di Jalan Kampung Seberang Jaya, Mukim Sala (MARRIS), Yan,” jelasnya.



Beliau berkata, kerja-kerja menambun tanah penempatan semula mangsa tsunami turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM780,000.



Tambahnya, peruntukan sebanyak RM300,000 turut dibelanjakan untuk kerja-kerja membaru muka jalan di Jalan Guar Chempedak/Yan (Teroi) dan kerja-kerja membaru muka jalan di Jalan Bedong/Singkir turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

Muzaini berkata, kerja-kerja membaru muka jalan di Jalan Yan/Tanjung Jaga turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM300,000.

Sementara itu, jelasnya, antara projek-projek pembangunan kecil luar bandar bagi Daerah Yan tahun 2010 ialah peruntukan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan peruntukan sebanyak RM48,200.



“Kerja-kerja menaik taraf Padang Awam Kuala Sala, Yan adalah antara projek pembangunan di Daerah Yan dengan peruntukan sebanyak RM71,070,” ujarnya.



Beliau menjelaskan, peruntukan DUN Guar Chempedak turut disalurkan sebanyak RM33,500 di samping peruntukan khas tahap pertama perbelanjaan pembangunan untuk daerah sebanyak RM240,000.

Di samping itu, katanya, peruntukan membaiki rumah DUN Sungai Limau sebanyak RM35,706 turut disediakan serta peruntukan di bawah Projek Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) tahun 2010 bagi Yan sebanyak RM75,000.

“Peruntukan sebanyak RM73,363 turut disediakan untuk membaiki rumah DUN Guar Chempedak serta peruntukan kereta tolak dan pengusung jenazah sebanyak RM2,700,” jelasnya.



Tambahnya, peruntukan menaiktaraf Surau Lebai Abu Bakar, Kampung Teroi turut disediakan sebanyak RM50,000 di samping membina jambatan di depan Surau Kampung Kabu 10 Bawah, Sungai Limau sebanyak RM14,480.



“Kerja-Kerja membekal bahan dan peralatan yang berkaitan untuk pembinaan laluan premix di Kampung Sungai Daun Luar, Yan sebanyak RM19,820 turut disediakan serta pembinaan sebuah jambatan konkrit bagi menggantikan titi kayu di Kampung Teroi Tua, Yan sebanyak RM15,760,” katanya.

Muzaini menegaskan, peruntukan membekal peralatan untuk DUN Sungai Limau turut disediakan sebanyak RM45,500 di samping mengadakan besi pengadang keselamatan jambatan di Kampung Kepala Bukit, Gunung Jerai dan Kampung Titi Teras, Gurun dengan peruntukan sebanyak RM19,975.



Menurutnya, sumbangan bagi membaiki serta menyiapkan rumah penduduk daif Daerah Yan turut diperuntukan sebanyak RM49,074 serta peruntukan khas tahap kedua perbelanjaan pembangunan untuk Daerah Yan sebanyak RM240,000.

“Kerja-kerja mereka bentuk, membekal dan memasang peralatan permainan kanak-kanak di Wad Melor 2 Hospital Daerah Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM19,980,” ujarnya.

Di samping, katanya, kerja-kerja membina sebuah titi atau jambatan di Lot 1733 Simpang Empat Sedaka, Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM17,600 di samping peruntukan sebanyak RM48,200 untuk membekal peralatan untuk DUN Sungai Limau.

Beliau berkata, kerja-kerja membina titi konkrit turut dijalankan di Kampung Selengkoh Tengah, Yan dengan peruntukan sebanyak RM10,000 serta membina dua buah wakaf orang ramai (10’kali 10’) di Pejabat Daerah Yan dengan peruntukan sebanyak RM10,000.



“Peruntukan sebanyak RM33,500 turut disediakan untuk membekal peralatan untuk DUN Guar Chempedak di samping menaiktaraf Surau Kampung Setar, Yan dengan peruntukan sebanyak RM50,000,” jelasnya.



Muzaini memberitahu, kerja-kerja membaiki jambatan di Kampung Teroi Bukit, Yan turut dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM17,600 serta kerja-kerja-kerja membina sebuah titi atau jambatan dari tiang konkrit di Kampung Kabu 10 Atas, Selengkoh (32 kaki panjang kali 10 kaki lebar) dengan peruntukan sebanyak RM16,000.

“Jumlah peruntukan keseluruhan untuk projek-projek pembangunan kecil luar bandar bagi Daerah Yan untuk tahun 2010 ialah sebanyak RM1,268,928,” katanya.

Manakala bagi peruntukan untuk Skim Kafalah Kerajaan Negeri Kedah sehingga bulan Disember tahun 2010 melibatkan seramai 248 orang bagi DUN Guar Chempedak, DUN Sungai Limau dan DUN Gurun sebanyak RM124,000.



Beliau menjelaskan, peruntukan itu disediakan untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira fahaman politik serta keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.



“Apa yang penting, kita ingin membangunkan Daerah Yan di samping membantu golongan yang memerlukan serta menaiktaraf kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, sungai dan lain-lain,” ujarnya.


Ummi Hafilda Mengamuk Sakan - Akan Failkan Saman Berjumlah RM700Juta, PAS Turut Kena Sama...


KUALA LUMPUR 11 Jan. – Ummi Hafilda Ali (gambar) akan memfailkan saman berjumlah RM700 juta terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; peguam Karpal Singh dan Pas, Khamis ini. Menurut Ummi Hafilda, saman terhadap Anwar berjumlah RM300 juta dibuat atas dakwaan salah guna kuasa selaku Timbalan Perdana Menteri pada 1997 yang mengarahkan dia ditangkap dan didera bagi mendapatkan pengakuan palsu.

Beliau memberitahu, saman ke atas Karpal pula berjumlah RM200 juta kerana melanggar kepercayaannya selaku anak guam selepas beliau dan bekas pemandu Anwar, Azizan Abu Bakar bertemu Karpal pada tahun yang sama untuk mendedahkan perilaku buruk Anwar.

“Beliau (Karpal) gembira dengan pendedahan itu dan mendesak di Parlimen agar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil tindakan. Tetapi apabila tindakan diambil, beliau pusing 360 darjah untuk membela Anwar pula sehingga saya menjadi mangsa keadaan.
“Saya ambil tindakan saman ini setelah hilang sabar dengan Anwar dan konco-konconya yang kian angkuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ummi Hafilda menambah, saman RM100 juta pula dibuatnya terhadap Dr. Wan Azizah kerana Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tahu apa yang berlaku tetapi tidak mahu mendedahkan kebenaran menyebabkan dia difitnah terlibat dengan konspirasi yang menjatuhkan imejnya.

Katanya, Pas pula disaman RM100 juta kerana mereka pernah menghantar Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu bertemunya juga pada 1997 untuk mendapatkan cerita sebenar.

“Apabila sudah tahu segalanya, beliau merupakan orang pertama menggelar Anwar sebagai peliwat di Parlimen. Alih-alih, setelah segalanya terbongkar, Pas dan Mohamad Sabu sokong Anwar pula,” tegasnya.

Ditanya mengapa baru sekarang tindakan saman itu dibuat, beliau memberitahu, selama ini masih terdapat pertimbangan dalam dirinya berhubung penglibatan darah daging sendiri, Azmin Ali dengan PKR.

“Emak saya juga menasihatkan supaya bersabar dan menyerahkan kepada Tuhan selain sentiasa mendoakan agar Azmin bertaubat.

“Tetapi setelah Azmin dan PKR kian melampau termasuk mahu menghapuskan ketuanan Melayu, saya rasa cukuplah. Apa hendak jadi, jadilah. Saya mengisytiharkan mereka sebagai musuh dan perlu ditentang habis-habisan,” katanya.

Permasalahan Yang Timbul Akan Diatasi - Anak Syarikat Kerajaan Negeri, KCE Terus Beroperasi

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj6Ph9fQnWud2e8nnFERUU65ltIAJaA0MlN5E4GA5IHeQr3-1c9oEqkS4sqt14m5mc98Waup1chQj2NuPtXrd1UzJLZE9cKwpYCroJcAJF73Xa37kvsJKxGM3EOw4WwiqynYLWtlPRvKqaF/s211/logo+kce.jpgALOR SETAR, 11 Jan: Kerajaan Negeri Kedah mengambil keputusan tidak akan menutup anak syarikatnya, Kedah Communication & Event Sdn Bhd (KCE) sepertimana keputusan yang telah dicapai semalam.

Menurut Exco Kerajaan Negeri, S.Manikumar, KCE tidak akan ditutup. Namun pengurusannya telah diberi jangkamasa tertentu untuk melihat kembali segala permasalahan yang timbul.


"Kita akan cuba mempertahankan anak syarikat kerajaan negeri ini melalui aspek penambahbaikan yang telah dikenal pasti. Ini termasuklah dalam aspek pengurusan.


"Buat ketika ini, ia masih beroperasi seperti biasa. Terdapat harapan besar pada KCE dan kita yakin sepenuhnya pada Perbadanan Menteri Besar Kedah atau PMBKed untuk mengatasi masalah yang timbul. Sebagai Pengerusi KCE saya akan melakukan yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ini, " katanya.



Baru-baru ini desas-desus mengenai penutupan KCE telah hangat diperkatakan di negeri ini.

Timbulnya isu ini adalah ekoran notis pemberhentian kerja dan operasi yang ditandatangani oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Fuad Mohd Ali yang diterima oleh kakitangan anak syarikat tersebut.


Ekoran itu kebimbangan wujud dikalangan kakitangan kerana bimbang hilang punca pendapatan.


Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif PMBKed, Datuk Bakar Din turut menyatakan pengurusan KCE akan distruktur semula berikutan kewujudan masalah dalaman yang dihadapi oleh anak syarikat tersebut.


Manikumar yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Bukit Selambau, turut memberi keyakinan akan melaksanakan tanggungjawab yang dipikulkan ke atasnya dengan terbaik bagi membantu menangani masalah tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.