Malunya... 17,303 anak luar nikah didaftar 2009



KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.
Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.

Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.

Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara. Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.

Bagi anak pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa.
Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).

Beliau berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna (nama-nama Allah).

“Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran.

“Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.

Bagi kes bayi pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia, beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk majlis agama atau mahkamah.

“Jika anak dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke Malaysia, daftar semula dengan JPN.

“Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak akan dimasukkan dalam rekod.
“Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” katanya.

Sah Bertanding Presiden : Bekas Menteri Skandal Seks


Pertandingan merebut jawatan presiden MCA hujung bulan ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru selepas Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini mengesahkan akan bertanding jawatan tersebut.

Dengan sokongan lebih 1,000 penyokong yang hadir di sebuah hotel di ibunegara hari ini, tokoh berusia 61 tahun itu, akan berdepan dengan penyandangnya Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas presiden, Tan Sri Ong Ka Ting.

Ketika mengumumkan keputusannya itu, Dr Chua berkata, beliau mempunyai strateginya sendiri untuk menyatukan parti dan MCA kembali dihormati masyarakat.

Sambil membidas Ka Ting, Dr Chua berkata prestasi lemah parti dalam pilihan raya umum lalu adalah akibat kesilapan Ka Ting memilih calon.

"Inilah yang diharap dapat dipulihkan semula apabila saya menang dan menjadikan MCA sebuah parti yang kuat dalam BN, untuk menyediakan dan membantu gabungan itu menang dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Walaupun MCA mengalami kekalahan pada 2008, kata Dr Chua, bagaimanapun struktur dan ketaatan ahli-ahli parti kekal kuat dan padu.

Beliau juga menyuarakan rasa optimisnya terhadap peluangnya dipilih sebagai presiden parti, dan berharap para perwakilan memberinya peluang.

Dr Chua berkata sokongan akar umbi yang kuat terhadapnya akan mencerahkan peluangnya dalam pemilihan minggu depan.

Beliau juga berikrar akan bekerjasama dengan mereka yang menang dalam pemilihan parti itu pada 28 Mac ini bagi menguat dan menjamin kestabilan MCA.

BERMADU: Adakah Payung Emas Menjadi Milikmu


Isteri iring suami ke rumah madu

KUALA NERANG - Lazimnya pasangan suami isteri akan bercerai-berai apabila suaminya menyatakan hasrat untuk memadukan isterinya.

Namun lain halnya bagi pasangan Che Su Taha, 29, dan suaminya, Mohammad Asri Che Ismail, 39, apabila Che Su bukan sahaja merelakan dimadukan tetapi turut mengiring suaminya ke rumah pengantin iaitu madunya sebagai lambang kasih sayang dan pengorbanan untuk suami yang dicintainya itu.

Che Su memberitahu, dia tidak pernah terfikir akan hidup bermadu, akhirnya redha dengan ketentuan Ilahi dan menerimanya dengan hati yang terbuka tanpa ada sedikit perasaan marah dan dendam.

“Pada mulanya memang susah nak terima, tetapi apabila difikirkan sedalam-dalamnya, saya mula sedar yang ini adalah jodoh dan rela mengiringi suami saya ke rumah madu saya.

“Walaupun ada khabar yang tidak enak didengar, namun ia bukan alasan untuk saya cepat melatah, sebaliknya ia adalah penguat semangat untuk saya hidup dengan keluarga saya sekarang ini,” katanya yang turut berpakaian pengantin mengiringi suaminya itu.

Che Su berkata, dia bukan sengaja menunjuk-nunjuk kepada orang ramai, tetapi mahu membuktikan kepada umum bahawa dia boleh berfikiran rasional dan menerima takdir ini dengan hati yang terbuka.

“Memang ada yang saya dengar, orang mengata bermacam-macam tetapi bagi saya, asalkan madu saya boleh menjaga baik suami saya sebagaimana saya menyayanginya, ia sudah memadai kerana apa yang penting adalah kebahagiaan kami semua,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Asri berkata, perkahwinannya kali ini adalah kerana jodoh yang ditentukan Allah.

“Tiada siapa yang boleh menolak takdir dan saya harap perkahwinan kedua saya ini akan membahagiakan semua pihak dan saya harap kedua-dua isteri saya bertolak ansur antara satu sama lain.

“Saya faham, tanggungjawab kali ini lebih banyak dan mahu keluarga saya ini hidup aman damai dan sangat bersyukur apabila isteri pertama saya boleh menerimanya.

“Ini bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang tetapi apa yang terjadi ini sudah tertulis dan saya harap tidak ada lagi cakap-cakap yang tidak enak didengar menggoyahkan rumah tangga kami sebaliknya mendoakan kami,” katanya yang mempunyai sepasang cahaya mata berumur 10 dan enam tahun.

Selain itu, beliau terharu dengan pengorbanan isteri pertamanya yang dapat menerima madunya walaupun pada awalnya susah menerima kenyataan tetapi menerimanya sebagai takdir.

Pada perkembangan lain, isteri kedua Asri, Saadiah Wahab, 22 berkata, dia tidak pernah berfikir akan mendirikan rumah tangga bersama Asri, memandangkan Asri merupakan majikannya suatu ketika dahulu.

“Saya juga pada awalnya tidak dapat menerima kenyataan ini kerana tidak mahu sakitkan hati akak tetapi jodoh kami kuat dan akak memberi keizinan serta restu membuatkan saya percaya dengan takdir dan jodoh ini.

“Bagaimanapun, saya tetap akan menghormati akak sebagai isteri pertama dan tahu hak serta tanggungjawab masing-masing dalam rumah tangga.

“Saya harap mahligai yang dibina oleh kami ini akan kekal hingga ke akhir hayat dan akan menyelesaikan segala masalah dengan perbincangan,” katanya.

Keluhan KPN: Haru Biru Dgn Campurtangan Orang Ke-3


Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kebelakangan ini "semacam ada tekanan kepada pasukan polis, sama ada dari pihak politik atau orang-orang tertentu".

Menurutnya, mereka cuba memberi tekanan, mungkin kerana kurang selesa dengan tindakan yang beliau arahkan.


"Jadi, ada juga arahan yang diberikan terus kepada pegawai-pegawai bawahan saya tanpa pengetahuan pengurusan atasan," kata Musa dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia hari ini.

"Bagi saya, ini merupakan satu trend yang salah kerana dalam pasukan polis, terdapat perintah dan kawalan.

"Yang hanya boleh memberi arahan adalah KPN kalau ikut undang-undang," katanya sambil menegaskan bahawa Seksyen 4 Akta Polis 1957 mengatakan bahawa semua arahan dan kawalan PDRM adalah di bawah KPN.

"Maka kalau ada mereka yang cuba campurtangan, ini boleh merosakkan polis. Kerana pada masa itu, anggota akan merasa serba salah kerana terdapat autoriti lain yang memberi arahan kepada mereka," tegasnya.

Musa menjelaskan, kalau ada seorang ketua yang memberi arahan, maka ketua berkenaan akan bertanggungjawab terhadap arahan itu.

"Dalam polis, jika ketua memberi arahan yang salah, maka dia perlu bertanggungjawab terhadap arahan itu," katanya sambil menambah bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka.

"Tetapi jika orang ketiga yang memberi arahan dan kita tidak tahu siapa mereka, kemudiannya pegawai pula menjalankan kerja yang salah, jadi pegawai saya yang akan menjadi mangsa.

"Ini kerana kesalahan yang dilakukan, mengikut arahan yang tidak sepatutnya. Jika orang yang memberi arahan kemudiannya nafi memberi arahan tersebut, maka ia akan merosakkan pasukan polis," tegas Musa lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap agar perkara sedemikian perlu dihentikan kerana pentadbiran kepolisian dan segala tindakan dan operasi dijalankan adalah di bawah bidang kuasa KPN dan pegawai atasan yang mengendalikan operasi berkenaan.

Ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar yang mendakwa beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya, Musa berkata beliau hairan dan terkejut kenapa berita itu boleh keluar.

"Benda yang saya tidak buat, kata saya buat. Ini seolah-olah macam hendak mempercepatkan pemergian saya dari jawatan ini.

"Kita pun tahu bila hendak pergi, jadi tidak perlulah suruh dipercepatkan.

"Tapi kalau seseorang itu mahu mempercepatkan(nya), saya kena dapat arahan dari kerajaan untuk bersara awal.

"Jika demikian saya akan bersaralah. Itu yang saya boleh cakap tapi sekarang ini di pihak kerajaan tidak ada apa-apa yang berlaku," tambahnya.

Musa juga ditanya mengenai dakwaan yang menyatakan terdapat menteri yang tidak berapa sebulu dengan beliau.

"Itu saya tidak tahu. Saya hanya menjalankan tugas saya sama ada orang suka atau tidak selesa dengan cara saya menjalankan tugas, saya tidak tahu," jawabnya.

Ditanya sama ada isu tersebut akan memberi kesan kepada PDRM, Musa berkata: "Saya rasa begitulah".

"Kalau dilihat apabila seorang ketua boleh diperkotak-katikkan sebegini rupa, maka anggota bawahan akan turut merasa begitu," kata beliau sambil menambah, ada yang menghantar SMS bertanyakan kenapa jadi begitu.

"Saya pun tidak tahu nak jawab. Jadi saya suruh anggota saya bersabar. Saya pun faham, saya akan pencen pada bulan September ini," tambahnya.

Pelancaran Dana STAR CARE YB Mahfuz




Alor Mengkudu,19 Mac: Semalam tabung STARCARE telah dilancar dengan rasmi oleh Yb Dato Hj Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena.


STARCARE adalah satu NGO yang baru ditubuhkan bertujuan untuk membiayai kebajikan warga Alor Setar.


Mereka -mereka yang memerlukan bantuan dari segi kebajikan terutamanya keperluan asas seperti membaiki rumah dan kebajikan kesihatan akan dibantu menggunakan sumber tabung ini.

Kepada para dermawan boleh menghulurkan sumbangan ke Akaun Bank Islam 02011010106916

Dipenjara jika gagal bayar nafkah: Menteri Kampungku


Jamil: Bekas suami boleh dipenjara jika gagal bayar nafkah

YAN, 20 Mac — Bekas suami yang enggan atau gagal membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak masing-masing boleh dikenakan hukuman penjara selama sebulan mengikut enakmen dan akta kekeluargaan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata wanita terbabit seharusnya melaporkan segera kepada Mahkamah Syariah mengenai keingkaran bekas suami membayar nafkah supaya pendakwaan dapat diambil terhadap mereka.

“Kegagalan bekas isteri berbuat demikian menyebabkan banyak kes tuntutan nafkah tertangguh atau gagal diselesaikan dengan segera,” katanya kepada pemberita hari ini selepas menyampaikan sumbangan wang tunai RM13,000 kepada 13 mangsa kebakaran di Pekan Sungai Limau, di sini, Februari lalu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia semalam mengenai 12,300 bekas suami dikesan enggan membayar nafkah masing-masing walaupun mereka sudah diperintah berbuat demikian oleh mahkamah syariah di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir menasihatkan wanita di negara ini supaya memikirkan kesan jangka panjang sebelum mengahwini pemuda warga asing bagi mengelak sebarang masalah.

Katanya mereka seharusnya mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku kepada wanita tempatan lain selepas mengahwini lelaki warga asing seperti yang sering dipaparkan oleh media.

“Kesan seperti kesukaran mendapatkan bekalan makanan dan taraf hidup rendah yang dialami wanita tempatan seharusnya difikirkan sedalam-dalamnya,” katanya.

Katanya, cadangan Pergerakan Puteri Umno agar kerajaan membekukan pengambilan tenaga kerja dari Lombok, Indonesia, berikutan trend kahwin lari membabitkan lelaki dari wilayah itu semakin membimbangkan, wajar diberi perhatian. — Bernama

PR tunai janji RM100 kepada warga emas



SEBERANG JAYA, 20 Mac: Apa yang dijanjikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang hari ini dikotakan apabila seramai 300 orang warga emas seluruh Seberang Perai menerima wang RM100 setahun sebagai penghargaan mereka peringkat Perdana di Dewan Serbaguna Tapak Ekspo Seberang Jaya petang tadi.

Sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng diiringi Timbalan Ketua Menteri 1, Dr Mansor Othman serta Exco Kerajaan Negeri itu terbukti kesungguhan kerajaan negeri membantu golongan terbabit bukannya cakap kosong sebagaimana yang disangkakan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

Pemberian itu sekaligus melawan dakyah Umno dan BN yang sering mendakwa pemberian berkenaan merupakan 'sogokan politik' kononnya untuk memastikan Pakatan Rakyat terus berada di hati rakyat setelah berjaya menang pada pilihan raya umum dua tahun lalu.

Lim Guan Eng dalam ucapanya menegaskan, selain memberikan RM100 setahun pada warga emas kerajaan negeri tetap mengutamakan kebajikan rakyat berbanding kerajaan BN yang asyik memenuhkan poket kroni sahaja.

Prinsip 3P iaitu Perkasakan, Perkuasakan dan Perkayakan bukan slogan kosong bahkan telah menjadi realiti BN hingga segala curahan yang mereka berikan tiada tolok bandingnya dengan kemajuan yang diperolehi oleh Negeri Pulau Pinang dari dulu sehinggalah sekarang.

Hari ini juga tambahnya, dakwaan bahawa penghargaan warga emas digunakan untuk menambah ahli DAP silap sama sekali sebaliknya merupakan suara sumbang ekoran perasaan dengki kerajaan terdahulu kerana gagal melaksanakan program seumpama itu walaupun telah memerintah lebih 51 tahun.

"Untuk pengetahun anda semua seluruh warga emas yang didaftarkan berjumlah 82,983 orang. Jumlah itu meliputi 54 peratus di bahagian pulau manakala 47 peratus di Seberang Perai. Kami bukan anti Melayu atau Islam sebagaimana yang digambarkan kepada umum," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih.

Beliau juga mengucapkan terima kasih pada jentera Adun, Ahli Parlimen, Senator, Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus lumus untuk menjayakan hasrat Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Selagi Pakatan Rakyat memerintah Pulau Pinang selagi itulah bantuan kepada warga emas akan diteruskan tanpa ada pilih kasih sepertimana yang diamalkan oleh Kerajaan BN dahulu.

"Kerajaan sekarang merupakan kerajaan yang dengar suara rakyat, buat kerja untuk rakyat dan memberi harapan baru kepada rakyat. Kerajaan Pakatan Rakyat tetap tidak akan melupakan jasa yang telah ditaburkan demi pembangunan Pulau Mutiara, " kata Lim bersemangat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.