BERMADU: Adakah Payung Emas Menjadi Milikmu


Isteri iring suami ke rumah madu

KUALA NERANG - Lazimnya pasangan suami isteri akan bercerai-berai apabila suaminya menyatakan hasrat untuk memadukan isterinya.

Namun lain halnya bagi pasangan Che Su Taha, 29, dan suaminya, Mohammad Asri Che Ismail, 39, apabila Che Su bukan sahaja merelakan dimadukan tetapi turut mengiring suaminya ke rumah pengantin iaitu madunya sebagai lambang kasih sayang dan pengorbanan untuk suami yang dicintainya itu.

Che Su memberitahu, dia tidak pernah terfikir akan hidup bermadu, akhirnya redha dengan ketentuan Ilahi dan menerimanya dengan hati yang terbuka tanpa ada sedikit perasaan marah dan dendam.

“Pada mulanya memang susah nak terima, tetapi apabila difikirkan sedalam-dalamnya, saya mula sedar yang ini adalah jodoh dan rela mengiringi suami saya ke rumah madu saya.

“Walaupun ada khabar yang tidak enak didengar, namun ia bukan alasan untuk saya cepat melatah, sebaliknya ia adalah penguat semangat untuk saya hidup dengan keluarga saya sekarang ini,” katanya yang turut berpakaian pengantin mengiringi suaminya itu.

Che Su berkata, dia bukan sengaja menunjuk-nunjuk kepada orang ramai, tetapi mahu membuktikan kepada umum bahawa dia boleh berfikiran rasional dan menerima takdir ini dengan hati yang terbuka.

“Memang ada yang saya dengar, orang mengata bermacam-macam tetapi bagi saya, asalkan madu saya boleh menjaga baik suami saya sebagaimana saya menyayanginya, ia sudah memadai kerana apa yang penting adalah kebahagiaan kami semua,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Asri berkata, perkahwinannya kali ini adalah kerana jodoh yang ditentukan Allah.

“Tiada siapa yang boleh menolak takdir dan saya harap perkahwinan kedua saya ini akan membahagiakan semua pihak dan saya harap kedua-dua isteri saya bertolak ansur antara satu sama lain.

“Saya faham, tanggungjawab kali ini lebih banyak dan mahu keluarga saya ini hidup aman damai dan sangat bersyukur apabila isteri pertama saya boleh menerimanya.

“Ini bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang tetapi apa yang terjadi ini sudah tertulis dan saya harap tidak ada lagi cakap-cakap yang tidak enak didengar menggoyahkan rumah tangga kami sebaliknya mendoakan kami,” katanya yang mempunyai sepasang cahaya mata berumur 10 dan enam tahun.

Selain itu, beliau terharu dengan pengorbanan isteri pertamanya yang dapat menerima madunya walaupun pada awalnya susah menerima kenyataan tetapi menerimanya sebagai takdir.

Pada perkembangan lain, isteri kedua Asri, Saadiah Wahab, 22 berkata, dia tidak pernah berfikir akan mendirikan rumah tangga bersama Asri, memandangkan Asri merupakan majikannya suatu ketika dahulu.

“Saya juga pada awalnya tidak dapat menerima kenyataan ini kerana tidak mahu sakitkan hati akak tetapi jodoh kami kuat dan akak memberi keizinan serta restu membuatkan saya percaya dengan takdir dan jodoh ini.

“Bagaimanapun, saya tetap akan menghormati akak sebagai isteri pertama dan tahu hak serta tanggungjawab masing-masing dalam rumah tangga.

“Saya harap mahligai yang dibina oleh kami ini akan kekal hingga ke akhir hayat dan akan menyelesaikan segala masalah dengan perbincangan,” katanya.

1 comments:

  1. che su......... ni kawan satu kelas (smkpt) ana.......
    jika ada ramai insan macam ni aman dunia.........

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.