GRO
SABAK BERNAM - Seramai 27 wanita warga asing, termasuk tiga remaja bawah umur yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO), ditahan dalam serbuan Ops Noda di sebuah premis hiburan dua tingkat di Jalan Bunga Orkid, Sungai Besar, di sini, semalam.

Tiga remaja Vietnam berusia 15 dan 16 tahun yang ditahan, dikesan menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan turut dipaksa menjadi pelacur di premis terbabit.

Serbuan jam 1.30 pagi semalam, dijalankan 16 anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman dan diketuai Superintendan Amir Rasid Derani.

Amir Rasid berkata, sebelum serbuan dilakukan, pihak­nya membuat pemantauan serta risikan selama empat hari selepas memperoleh maklumat berhubung premis terbabit yang didakwa menggaji remaja bawah umur untuk bekerja sebagai GRO.

Beliau berkata, ketika diserbu ketiga-tiga remaja bawah umur itu dilihat sedang sibuk melayan pelanggan, termasuk menuangkan minuman keras di dalam sebuah daripada 16 bilik yang terdapat di premis hiburan itu.

Menurutnya, ketiga-tiga remaja yang turut dilacurkan itu, ditahan bersama 23 wanita warga Vietnam dan seorang wanita Thailand berusia lingku­ngan 20-an.

Katanya, tujuh individu tempatan terdiri daripada ejen serta penjaga premis hiburan berusia 20 hingga 40-an turut ditahan kerana melindungi pekerja asing tanpa permit.

“Siasatan mendapati kebanyakan pelanggan premis terdiri daripada golongan nela­yan dan peladang.

“Harga bagi setiap langganan GRO pula adalah sebanyak RM40 sejam dan tambahan upah sebanyak RM3 akan diberi bagi setiap jag minuman keras yang dipesan pelanggan,” katanya, semalam.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis turut merampas wang tunai berjumlah RM4,718.

Katanya, tiga remaja bawah umur yang diselamatkan dihantar ke Rumah Perlindungan Bukit Ledang di Jalan Travers, Kuala Lumpur dan siasatan dijalankan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang.