Jom Infaq!!!

Jom Infaq!!!

TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

Lelaki Maut dalam Pergaduhan Ngeri, Rakannya terjun Bangunan Turut Mati

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati manakala lelaki yang membunuhnya juga maut setelah terjatuh bangunan dalam cubaan melarikan diri dalam kejadian di tingkat tiga sebuah rumah kedai di Taman Melawati, Hulu Klang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hassan, berkata dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa yang juga rakan serumah kepada abang suspek bergaduh dalam sebuah bilik rumah itu.

Beliau berkata, abang suspek yang mendengar pergaduhan itu masuk ke dalam bilik dan terkejut apabila melihat rakan serumahnya mati dengan kepala berlumuran darah akibat dipukul dengan batang besi manakala adiknya juga berlumuran darah dengan sebilah pisau tercacak di perut.

"Abang suspek kemudian meluru keluar untuk membuat laporan polis dan ketika itu suspek walaupun berlumuran darah kerana cedera cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung rumah kedai itu tetapi terjatuh," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), tetapi meninggal dunia pada 6.30 petang manakala mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

"Sebatang besi dan sebilah pisau ditemui di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, rakan mangsa, Eddy Suraj,32, yang juga saksi kejadian, berkata ketika sedang membaiki kereta berhampiran rumah kedai itu beliau terlihat suspek memanjat bumbung sambil memegang sebatang besi.
"Ketika itu badannya berlumuran darah. Apabila polis sampai dia naik ke atas bumbung dan tidak mahu turun walaupun polis memujuknya sehinggalah dia terjatuh," katanya. - BERNAMA


Berita dan gambar di bawah oleh sahabat: http://ondscene.blogspot.com/


Jalan Bandar 3
Taman Melawati
Ampang, Selangor
27 Jun 2010
12-30 tgh


Foto ini saya rakamkan ketika polis sedang mengepung seorang saspek satu kes pembunuhan yang melarikan diri ke bahagian bumbung sebuah rumah kedai di Taman Melawati, Ampang.

Ketika saspek sedang dipujuk polis, yang berdiri di tepi tebing bumbung bangunan, tiba-tiba jatuh pada ketinggian kira-kira 15 meter.

Bagaimanapun, beberapa saat sebelum saspek jatuh, kelihatan dia seolah-olah melambaikan tangan ke arah anggota polis.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12-30 tengahari tadi di bumbung sebuah rumah kedai di Jalan Bandar 3, Taman Melawati, Ampang.

Saspek sebelum itu dilaporkan mengamuk di sebuah rumah kedai dan memukul seorang mekanik dengan sebatang besi.

Akibatnya, mangsa, Fong Chee Keong, 32 tahun, maut akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Sebaik mendapat maklumat, sepasukan anggota polis dari Balai Taman Melawati berkejar ke tempat kejadian.

Saspek didapati telah melarikan diri ke atas bumbung bangunan tiga tingkat ini.

Usaha memujuknya gagal sebaliknya lelaki terbabit mencabar polis supaya menembaknya dan seluarnya didapati berlumuran darah dipercayai mencederakan dirinya sendiri.

Dan jam 12-30 tengahari, setelah kira-kira 15 minit memujuk, lelaki ini beransur-ansur berjalan mengundur ke arah tepi bumbung sebelum sempat melambaikan tangannya ke arah polis dan terus jatuh setinggi kira-kira 15 meter.

Yang pasti, lelaki ini cedera parah di kepala dan badan, dan dihantar ke Hospital untuk rawatan.

Kejadian disaksikan orang ramai termasuk anggota polis, bomba dan anggota perubatan

Saya yang tiba dilokasi, sempat merakamkan detik-detik sehingga lelaki itu jatuh - walaupun pada mulanya tidak mengjangkakan sama-sekali ia akan berlaku begitu.

Jam 6-45 petang tadi, lelaki terbabit meninggal dunia.

'MTUC lebih suka berunding daripada Demo Protes'

Kerajaan memberi jaminan kepada pekerja bahawa pindaan yang dicadangkan terhadap undang-undang buruh negara akan hanya dibentangkan di Parlimen selepas ia menerima maklumat balas mereka.

Ini dinyatakan kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam pada mesyuarat Majlis Bersama Penasihat Buruh pada 27 Mei lepas, kata setiausaha agung MTUC G. Rajasegaran.

Sebagai susulan, majlis itu telah membentuk sebuah jawatankuasa teknikal terdiri daripada wakil-wakil kerajaan, majikan dan pekerja bagi menghalusi butir-butir pindaan itu, katanya kepada Bernama.

Setakat ini, jawatankuasa itu telah bermesyurat dua kali dan beberapa mesyuarat lagi dijadualkan bulan depan, kata Rajasegara.

Pada April, kerajaan mengumumkan cadangan meminda Akta Pekerjaan 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 selaras dengan situasi perburuhan di negara ini sekarang.

"Beberapa daripada cadangan itu adalah amat besar dan mempunyai kesan mendalam terhadap hak pekerja dan kami perlu memberikan input kami," kata Rajasegaran.

Beliau berkata MTUC lebih suka berunding daripada mengadakan demonstrasi di jalan raja bagi mendapatkan apa yang mereka mahukan.

Rajasegaran menafikan yang MTUC mendalangi tunjuk perasaan pekerja Ahad lepas di Shah Alam berhubung pindaan yang dicadangkan itu walaupun Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud berucap pada perhimpunan itu.

"Pendirian rasmi MTUC ialah oleh kerana kita sedang berunding dengan kerajaan, kita tidak akan mengadakan sebarang protes sehingga selesai rundingan.

"Jika kita gagal capai kata sepakat, maka kita akan memutuskan bentuk tindakan seterusnya, mungkin termasuk mengadakan rapat umum bagi menjelaskan situasi kepada anggota kita," katanya.

--Bernama

Sasterawan Negara Samad Said merajuk lagi? Khazanahnya Ditempatkan New Zealand


KUALA LUMPUR, 27 Jun — Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said merajuk lagi selepas dua tahun — kali ini dilaporkan mahu menempatkan khazanah sastera miliknya di New Zealand selepas kecewa dengan layanan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam menyediakan penempatan untuk koleksinya.

Samad berkata, menerusi rundingan bersama beberapa temannya di negara Kiwi itu, beliau mendapati New Zealand lebih menghargai segala usaha penggiat seni, termasuk sasterawan.

Dua tahun lalu beliau merajuk tidak mahu menggunakan lagi gelaran Sasterawan Negara dan memutuskan untuk tidak akan menerima sebarang jemputan ceramah atau program berkaitan Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu.

“Mungkin saya lebih selesa bergerak atas nama individu dalam kegiatan-kegiatan sastera dan jika ada jemputan, lebih baik atas nama peribadi,’’ kata Samad dua tahun lalu.

Mengulas perkembangan isu terbaru, beliau berpendapat bahawa melalui pemerhatian bersama temannya yang bermastautin di negara itu juga mendapati golongan seni di sana lebih dihargai berbanding di negara ini yang disifatkan seperti tidak mahu kewujudan khazanah yang sudah dicipta menerusi golongan sasterawan.

“Saya sebenarnya sudah memberi peluang kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk terus menerima khazanah saya, namun nampaknya tiada sebarang tindakan yang boleh dipegang setakat ini.

“Mereka (kementerian) ada menghubungi saya sejak setahun lalu dan sudah melihat hasil kerja saya, tetapi sehingga kini tiada lagi hubungan (susulan) dilakukan.

“Saya menganggap bahawa mereka tidak mahu. Oleh itu, saya berpendapat pihak berkenaan berasakan khazanah ini tidak penting dan selepas ini jangan salahkan saya pula,” kata beliau dipetik Berita Minggu hari ini.

Samad berkata, beliau juga berasakan New Zealand sememangnya mempunyai kawasan penempatan untuk dibangunkan sebagai khazanah Melayu.

“Jika rundingan bersama teman saya berjalan lancar, tidak mustahil ia akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Jadi, selepas ini mereka berminat untuk mendekati atau mahu tahu mengenai hasil cipta, sumbangan, diari, manuskrip dan lukisan saya selepas ini, mungkin terpaksa ke sana,” katanya.

Anggota Polis Elak Dicekup Penguatkuasa JHEAIK Maut Terjatuh Tingkat 3 Hotel


HOTEL tempat seorang anggota polis dipercayai terjatuh ketika cuba mengelak serbuan anggota JHEAIK di Kota Bharu semalam.


Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mati selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah hotel di bandar ini dipercayai ketika cuba mengelak daripada dicekup sepasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIK) dalam kejadian awal pagi semalam.

Anggota polis terbabit disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas dipercayai mengalami pendarahan teruk di kepala.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi, ketika mangsa dipercayai berada dalam sebuah bilik di hotel tersebut sebelum diserbu oleh penguat kuasa agama.

Sumber hotel memberitahu, sebelum kejadian, hotel tersebut telah didatangi sepasukan pegawai JHEAIK yang meminta kebenaran untuk menjalankan pemeriksaan dan ketika serbuan di salah sebuah bilik di tingkat tiga didapati seorang wanita duduk berseorangan di bilik berkenaan.

Beberapa minit kemudian, menurutnya, seorang peniaga bersebelahan hotel itu memaklumkan terdapat seorang lelaki terjatuh dari bangunan hotel dalam keadaan berlumuran darah.

"Ketika ditemui, lelaki itu mengerang kesakitan dan kakitangan hotel kemudian menghubungi ambulans sebelum lelaki terbabit dibawa ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Lesen Judi: 3 Julai Tetap Diteruskan Dengan Himpunan Kemenangan

Sambutan kemenangan ganti demo anti judi

Perhimpunan besar-besaran pada 3 Julai depan bagi membantah pemberian lesen judi sukan akan tetap diadakan tetapi dijadikan sambutan meraikan kemenangan.

Bagaimanapu

n menurut Gerakan Rakyat Bantah Judi (GMJ), mereka akan membatalkan hasrat untuk berarak ke Istana Negara bagi menyampaikan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jurucakap GMJ, Suhaizan Kayat (kanan) berkata meskipun pihaknya mencatatkan kejayaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan malam semalam bahawa lesen judi berkenaan akan ditarik balik, namun momentum untuk berhimpun masih belum pudar.

“Saya menerima banyak panggilan daripada orang ramai dari seluruh negara, yang masih mahu behimpun. Jadi, kami mungkin mengantikan perhimpunan itu sebagai sambutan meraikan kejayaan,” katanya ketika dihubungi.

Suhaizan juga berkata dia masih tidak yakin dengan pengumuman kerajaan itu dan akan mendapatkan penjelasan berhubung kesahihan keputusan penarikan balik kelulusan lesen judi seperti dilapor media semalam.

Katanya, penjelasan itu perlu berikutan keputusan pembatalan hanya dibuat oleh Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, bukannya mesyuarat kerajaan persekutuan ataupun jemaah menteri.

“Keputusan seharusnya dibuat oleh kerajaan dan kabinet, dan bukannya hanya Umno,” kata Suhaizan.

“Siapa tahu, mungkin Umno tidak bersetuju tetapi kabinet masih boleh meneruskan supaya lesen (judi sukan) diberikan.

“Kami mahu keputusan yang sahih daripada kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Suhaizan, GMJ akan mendapatkan penjelasan secepat mungkin daripada pihak kerajaan berkenaan kesahihan maklumat yang diterima memandangkan bahawa keputusan itu hanyalah dibuat oleh mesyuarat Umno, bukannya mesyuarat kerajaan persekutuan.

"Pihak GMJ akan membuat mesyuarat tergempar pada hari Ahad, 27 Jun, jam 11 pagi di Kuala Lumpur untuk membincangkan tindakan selanjutnya," katanya.

Mengapa Melatah Kalau Felda Tidak Bankrap? Nurul Izzah

Oleh Faizal Ezzany

SHAH ALAM 27 Jun - Pembongkaran isu Felda lidah rasmi KEADILAN, Suara Keadilan adalah satu langkah awal bagi menyelamatkan institusi tersebut daripada terus dipergunakan oleh Umno-Barisan Nasional demi kepentingan politik mahupun peribadi individu tertentu.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar Felda yang matlamat awal penubuhannya adalah untuk membela nasib Bumiputera terutamanya golongan peneroka dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka kini berubah dengan tumpuan kepada kepentingan korporat tanpa memikir pengorbanan golongan peneroka.

"Kalau benar tidak bankrap mengapa perlu melatah sedemikian rupa sehingga mahu mengambil tindakan menyaman Suara Keadilan dan juga beberapa pemimpin lain. Felda sepatutnya mengambil sikap terbuka dengan pendedahan tersebut kerana kritikan diberikan mempamerkan kerisauan dan keprihatinan kita.

"Felda seharusnya melihat pendedahan ini dari sudut yang positif yang dapat membantu Felda lebih berjaya. Bagi saya tindakan menyaman adalah satu tanda jelas bahawa wujud kepincangan dalam pengurusan yang ada sekarang dan ini tidak lain hanya untuk menutup kesilapan dan mengubah perhatian rakyat kepada usaha saman bukan kepada apa yang telah didedahkan.

"Usaha saman itu hanya mempamerkan unsur autoritarian yang wujud dalam institusi tersebut," jelas beliau.

Nurul Izzah berharap seluruh warga Suara Keadilan akan bertahan dan terus berani memperjuangkan kebenaran dan membongkar segala kepincangan samada dalam Felda, agensi kerajaan yang lain dan juga dalam pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional.

"Saya yakin seluruh jentera Suara Keadilan akan bertahan dan berani untuk memperjuangkan kebenaran serta membongkarkan segala kepincangan samada Felda, agensi kerajaan yang lain mahupun kerajaan BN itu sendiri.

"Rakyat menaruh harapan dengan pembongkaran itu kerana ini dapat membantu menyelamatkan dana rakyat dan juga masa depan negara. Apa yang penting kita akan pastikan proses mahkamah berjalan dengan adil dan saksama," tegas Nurul Izzah lagi.

Ust. Idris: PAS Tidak Gentar Dengan Kemasukkan Ustaz Muda ke Dalam UMNO

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Jun: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad menegaskan, parti itu tidak gentar dengan kemasukan 40 orang yang berlatar belakang agama menyertai Umno.

Katanya, kalau beribu-ribu menyertai Umno pun PAS tidak takut, lebih-lebih lagi yang menyerahkan borang semalam adalah mereka yang tidak diketahui langsung dari mana kedudukan mereka di tengah-tengah masyarakat.

“Saya cuba hubungi rakan di Fakulti Islam UKM untuk bertanya seorang yang masuk menyertai Umno itu pensyarah Fakulti Islam, rakan saya beritahu, beliau pun tidak kenal,” ujarnya.

“Jikalau beliau yang menjadi pensyarah senior di Fakulti Islam UKM pun tidak kenal, macam mana pula Pak Mat di Dabong, Gua Musang dan Mak Minah di Hulu Tembeling Pahang hendak kenal,” ujarnya sinis.

Tegasnya, perjuangan PAS bukan menentang peribadi tetapi menentang dasar Umno.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang memimpin Umno, PAS akan tentang selagi mempertahankan dasar Umno yang membawa perkara munkar dan mengkhianati amanah negara dan rakyat.

PAS, jelasnya tidak pernah berundur walau setapak untuk menyatakan Umno parti yang tidak betul.

Beliau berkata, PAS yakin mereka yang berlatar belakang agama dalam Umno tidak ke mana akhirnya kerana hanya akan menjadi kupang tembaga yang digunakan ketika hendak melawan hujah PAS.

“Itu pun bukan secara berdepan. Mereka hanya berani bercakap ketika seorang diri tanpa di pihak lawan. Beberapa kali PAS ajak berdebat sampai hari ini tidak pernah disahut,” katanya lagi.

Tambahnya, PAS juga yakin bahawa Umno bukan tempat untuk orang agama berjuang.

Sekadar menyebut beberapa nama mereka di dalam Umno yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi dan pengaruh yang lebih hebat daripada 40 orang yang baru menyerah borang menyertai Umno, beliau bertanya ke mana perginya mereka yang berkenaan.

Antaranya ialah Dr Hamid Othman (bekas Prof Madya UKM BA Azhar, Phd UK) , Dr Abdullah Mohd Zin (bekas Prof Universiti Sains Islam Malaysia USIM, BA Madinah, Phd UK), Dr Yusof Nor (bekas Prof Madya UKM, Phd Mesir), Brg Jeneral Hamid Zainal Abidin, Dr Ismail Mat (UKM), Ustaz Nakhaei Haji Ahmad di persada politik umno.

Justeru, ujarnya PAS merasa hairan ketika kapal Umno hendak tenggelam dan penyakit barah Umno sudah sampai kepada peringkat keempat untuk ditalqinkan, tiba-tiba ada mereka yang berlatar belakang agama bersama-sama dengan Umno untuk karam sama.

“Sewaktu anak-anak muda yang memakai subang sebelah dan wanita yang tidak bertudung bersama gerakan untuk menukar kerajaan BN kepada kerajaaan Pakatan Rakyat, tiba-tiba mereka yang belajar agama boleh bersekongkol dengan Umno.

“Parti yang rapuh, penuh dengan sarat rasuah, moral yang rendah, mengkhianat wang rakyat dan pembaziran, mengambil APCO Yahudi sebagai penasihat, hak milik negara digadai kepada Singapura dan Brunei,” katanya.

Tegasnya, PAS yang berpegang kepada dasar Islam, ulama yang muttaqin menjadi rujukan akan terus mara ke hadapan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran.

Menteri Arah KDN bertindak ke atas Suara Keadilan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein meminta Ketua Setiausaha KDN supaya meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap akhbar Suara Keadilan kerana sering mengeluarkan berita yang tiada asas dan memfitnah.


Katanya, KDN dan agensi berkaitan mesti peka dan mengambil tindakan bagi mengelakkan ia berterusan dan bagi menunjukkan bahawa hak bersuara dan membuat liputan tidak bermakna sesuatu media itu boleh berbuat apa saja.

"Hak bersuara mesti diimbangi. KDN mesti ambil tindakan. Kita dah bincangkan dengan Peguam Negara. Mereka kena tengok syarat-syarat KDN dan tanggungjawab mereka kepada pembaca dan orang ramai. Saya difahamkan kementerian dah panggil akhbar itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu di Kulim hari ini.

Akhbar itu pada keluaran bertarikh 22 hingga 26 Jun lalu menyiarkan berita utama di muka hadapan bertajuk ''Felda Bankrap'' dan empat lagi artikel berhubung isu itu dalam keluaran sama.


Berikutan laporan itu, semalam Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata Felda akan menyaman akhbar Suara Keadilan serta beberapa pemimpin pembangkang kerana didakwa menyiarkan artikel berunsur fitnah terhadap organisasi itu.

Pada 29 Disember tahun lalu, akhbar yang sama menyiarkan berita bertajuk ''Zambry Disyaki Pengganas - Gagal Masuk ke Amerika Syarikat'' yang mendakwa Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ditahan pihak Imigresen di Amerika Syarikat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco apabila nama beliau tersenarai dalam pangkalan data pengganas.

Zambry kemudian memfailkan saman fitnah RM100 juta kepada akhbar itu dan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR). Akhbar itu bagaimanapun membuat permohonan maaf kepada Zambry.

- Bernama

Ghana Mencipta Rekod Pertama Layak Ke Suku Akhir


RUSTENBURG - Wakil tunggal Afrika, Ghana mencipta sejarah layak ke peringkat suku akhir buat kali pertama dalam sejarah bola sepak negara itu selepas cemerlang mengalahkan Amerika Syarikat (AS) 2-1 dalam perlawanan yang berlanjutan masa tambahan, awal pagi tadi.

Ghana terlebih dahulu mendahului pada minit ke-5 melalui jaringan Kevin Prince-Boateng namun AS menyamakan kedudukan selepas mendapat sepakan penalti yang disempurnakan oleh Landon Donovan pada minit ke-62.

Asamoah Gyan muncul wira Ghana pada masa tambahan apabila jaringannya pada minit ke-93 membantu Black Stars bertemu Uruguay pada 3 Julai nanti.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.