KUALA LUMPUR, 27 Jun — Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said merajuk lagi selepas dua tahun — kali ini dilaporkan mahu menempatkan khazanah sastera miliknya di New Zealand selepas kecewa dengan layanan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam menyediakan penempatan untuk koleksinya.
Samad berkata, menerusi rundingan bersama beberapa temannya di negara Kiwi itu, beliau mendapati New Zealand lebih menghargai segala usaha penggiat seni, termasuk sasterawan.
Dua tahun lalu beliau merajuk tidak mahu menggunakan lagi gelaran Sasterawan Negara dan memutuskan untuk tidak akan menerima sebarang jemputan ceramah atau program berkaitan Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu.
“Mungkin saya lebih selesa bergerak atas nama individu dalam kegiatan-kegiatan sastera dan jika ada jemputan, lebih baik atas nama peribadi,’’ kata Samad dua tahun lalu.
Mengulas perkembangan isu terbaru, beliau berpendapat bahawa melalui pemerhatian bersama temannya yang bermastautin di negara itu juga mendapati golongan seni di sana lebih dihargai berbanding di negara ini yang disifatkan seperti tidak mahu kewujudan khazanah yang sudah dicipta menerusi golongan sasterawan.
“Saya sebenarnya sudah memberi peluang kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk terus menerima khazanah saya, namun nampaknya tiada sebarang tindakan yang boleh dipegang setakat ini.
“Mereka (kementerian) ada menghubungi saya sejak setahun lalu dan sudah melihat hasil kerja saya, tetapi sehingga kini tiada lagi hubungan (susulan) dilakukan.
“Saya menganggap bahawa mereka tidak mahu. Oleh itu, saya berpendapat pihak berkenaan berasakan khazanah ini tidak penting dan selepas ini jangan salahkan saya pula,” kata beliau dipetik Berita Minggu hari ini.
Samad berkata, beliau juga berasakan New Zealand sememangnya mempunyai kawasan penempatan untuk dibangunkan sebagai khazanah Melayu.
“Jika rundingan bersama teman saya berjalan lancar, tidak mustahil ia akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Jadi, selepas ini mereka berminat untuk mendekati atau mahu tahu mengenai hasil cipta, sumbangan, diari, manuskrip dan lukisan saya selepas ini, mungkin terpaksa ke sana,” katanya.
0 comments:
Post a Comment