Masalah Teknikal SULIHH Tertangguh La Pulak..


ALOR SETAR: Pelaksanaan projek penapisan minyak Hab Hidro Karbon Sungai Limau (SULIHH) bernilai RM36 bilion (AS$10 bilion), kini sudah tertangguh lebih setahun - kali ini akibat pelabur menarik diri.

Sebelum ini, majlis pecah tanah SULIHH yang dijadualkan November lalu dan beberapa kali selepas itu, tertangguh apabila laporan kesan alam sekitar (EIA) yang dikemukakan oleh pelabur, ditolak Jabatan Alam Sekitar.

SULIHH ialah projek penapisan minyak di kawasan laut di Sungai Limau, Yan, yang ditambak. Minyak mentah dari Timur Tengah akan diproses untuk dieksport semula ke China dan negara Asia lain apabila loji itu beroperasi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, bagaimanapun yakin projek "emas" yang diharap memberi hasil kira-kira RM400 juta setahun kepada kerajaan negeri itu, akan terlaksana selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Tanpa mendedahkan pihak yang menarik diri, beliau memberi alasan projek itu tergendala kerana masalah teknikal, termasuk punca penarikan diri pelabur asing.

Masalah teknikal ini membabitkan ketiga-tiga pelabur - Merapoh Resources Sdn Bhd, Hong Kong Beijing Star Ltd, Winson Investment Ltd dan SK Engineering and Construction Ltd dari Korea," katanya kepada pemberita ketika ditanya perkembangan projek itu selepas mesyuarat mingguan Exco, di sini hari ini.

Azizan mengakui kerajaan negeri mengalami kerugian akibat kegagalan SULIHH dilaksanakan mengikut jadual dan memberi kesan terhadap agenda pembangunan negeri.
"Kelewatan itu bermakna jangkaan siap projek itu turut dipinda dari 2014 kepada 2015," katanya.

Beliau berkata, projek pembinaan depot simpanan minyak di Jerlun dan pemasangan paip sepanjang 50 kilometer dari Jerlun ke Bukit Kayu Hitam, akan dilaksana pada awal tahun depan.

"Projek pemasangan paip tiada masalah, cuma yang tinggal masalah pengambilan tanah untuk pembinaan depot simpanan minyak di Jerlun yang dijangkakan selesai tidak lama lagi," katanya.

Minyak yang diproses di SULIHH akan disalurkan ke depot simpanan Jerlun untuk dieksport semula ke negara Asia lain melalui paip bawah tanah dari Bukit Kayu Hitam yang disambung ke Thailand

ADUN PR Keluar Dewan Bantah Tindakan BN Langgar Peraturan



IPOH 31 Mac - Seperti yang dijangka perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang berlangsung bagi hari kedua tidak selancar yang dirancangkan hasil kegagalan Menteri Besar 'Mahkamah' dan Speaker "Haram' yang enggan bermesyuarat dengan anggota Dewan Pakatan Rakyat sehari sebelum sidang bermula.

Keadaan kecoh timbul apabila Ahli-ahli DUN Pakatan Rakyat bertikam lidah dengan ADUN Barisan Nasional berhubung beberapa aspek perjalanan sidang yang dianggap melanggar peraturan Dewan oleh Pakatan Rakyat.

Pertelingkahan bermula dengan dakwaan Speaker 'haram', Datuk R. Ganesan yang mendakwa menerima hanya tujuh daripada 216 soalan yang dihantar oleh 28 ADUN Pakatan Rakyat kepada Setiausaha Dewan sehinggalah pertikaian mengenai keabsahan Ganesan sendiri sebagai Speaker.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir secara 'unilateral' membentangkan usul kepercayaan kepada Ganesan yang disokong sepenuhnya oleh ADUN BN sementara kesemua ADUN Pakatan Rakyat menolak sebulat suara.Mala h mikrofon pada meja ADUN Pakatan Rakyat dipadamkan untuk menghalang mereka daripada bercakap.

Semua ADUN Pakatan Rakyat juga bersepakat mengenakan pakaian serba hitam sebagai tanda bahawa demokrasi telah mati di negeri Perak.

Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin bertindak keluar Dewan apabila Ganesan tidak menghiraukan bantahan beliau mengenai peraturan mesyuarat.
Ini diikuti pula oleh ADUN Pakatan Rakyat lain sebagai membantah perjalanan sidang yang dikongkong serta disalahgunakan oleh Ganesan dan BN.

"Kita telah bertegang leher kerana kita ingin jelaskan bahawa Ganesan tidak layak menjadi Speaker. Walaupun beliau tidak menghormati kita namun kita cuba beri kerjasama. Selain itu sesi soal jawab hanya dari jam 10.10 pagi hingga 10.49 pagi habis, ini tidak pernah berlaku.

"Sebab lain kami keluar ialah dalam agenda tidak ada perbahasan titah Tuanku dan dibantah oleh Speaker Sivakumar. Saya dengan Datuk Ngeh bantah dan tidak ada jawapan.
"Maka kami ambil keputusan keluar dewan kerana dengan beberapa alasan kuat tersebut.
"Kami mencabar Zambry dan Ganesan, kalau ada perbahasan kami akan hadir esok. Malangnya selepas keluar tidak dapat disahkan samada Zambry ada usulkan titah ucapan, namun sudah tersangat terlewat. Kalau ada sekarang itu sudah terlewat," tegas Nizar pada sidang media selepas keluar dari Dewan.

Media juga dihalang daripada membuat liputan sepenuhnya dengan ditempatkan dalam bilik khas bercermin gelap.Nizar memohon maaf kepada media dia atas tindakan keterlaluan BN terhadap petugas media.

"Saya merasa kesal dan memohon maaf kepada semua rakan media yang telah dinafikan hak untuk membuat liputan secara bebas sepanjang sidang DUN kali ini.
"Sedangkan sebelum ini semasa Pakatan Rakyat memerintah kita telah memberi kebebasan sepenuhnya kepada rakan media , malahan mengadakan siaran langsung setiap kali sidang berlangsung," kata Nizar lagi.

Beliau juga berkata semua talian internet dan pengunaan talipon untuk mengakses twitter, facebook dan pautan internet yang lain telah disekat .

Bang Brahim : Separuh Kepimpinan Perkasa Ahli dan Bekas Ahli Umno




MEMERHATI kepada barisan kepimpinan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) 2010/13 yang dilantik pada mesyurat agung pertama dua tiga hari lepas jelas NGO itu tidak dapat lari daripada dibelenggui oleh parti Umno. Hampir separuh mereka yang menerajuinya bekas ahli Umno ataupun mereka yang sudah terpinggir dari arus perdana parti itu. Ada juga mereka yang frustasi dengan Umno dan menjadikan Perkasa sebagai gundik singgahan.

Presidenya, Ibrahim Ali seperti mana dimaklumi orang yang dibuang oleh Umno pada tahun 2004. Beliau politikus yang keluar masuk parti macam keluar masuk jamban saja. Kedudukan beliau itu tidak menghairankan. Begitu juga dengan jawatan Timbalan Presiden, Ab Rahman Bakar juga ahli Umno yang tidak mendapat tempat di dalam parti berkenaan.

Manakala dua dari naib presidennya terdiri daripada ahli Umno yang tewas dalam pilihan raya lalu dan juga ahli Umno yang digantung kerana terlibat dengan politik wang. Ashraf Wajidi Dusuki merupakan calon UBN di kerusi parlimen Tumpat pada pilihan raya umum lalu tewas kepada Kamaruddin Jaaffar. Beliau juga merupakan anak tokoh Umno yang kini sudah bersara dan tidak aktif dalam Umno, iaitu Dusuki Ahmad.

Seorang lagi Naib Presiden, Mokhtar Samad adalah bekas ketua Umno Bandar Tun Razak. Keahliannya digantung kerana terlibat dengan politik wang. Disebabkan itu jawatan ketua bahagian yang dimenanginya ditarik balik.

Shuaib Lazim yang memegang jawatan Bendahari agung adalah bekas Adun Pantai Merdeka, Kedah. Kini sudah tidak lagi diperlukan oleh Umno negeri berkenaan. Begitu juga dengan Ketua Penerangan, Ruslan Kassim bekas pemimpin Umno dan juga bekas ahli parti PKR. Anak didik Anwar Ibrahim yang telah meninggalkan gelanggang reformasi. Berbeza dengan Ezam Mohd Nor, Ruslan tidak bertidak memburukkan Anwar.

Manakala ketua Wiranitanya, Raihan Sulaiman Palestin juga merupakan ahli Umno dan bekas pimpinan Puteri Umno. Pernah mencuba nasib untuk merebut jawatan ketua Puteri Umno tetapi tewas disebabkan masalah teknikal.

Begitu juga dengan ahli jawatankuasanya terdiri daripada ahli-ahli Umno yang pernah menjadi pemimpin peringkat bahagian. Antara mereka , Ahmad Saad, Yusuf merah, Nasiruddin Rais bekas ahli pemuda Umno sebuah bahagian di Perak yang sudah tidak laku dan bermusuh dengan Zahid Hamidi.

Begitu juga beberapa nama dalam jawatankuasa dilantik merupakan bekas ahli Umno kemudian menyertai Umno semula.

Keseluruhannya kepimpinan Perkasa adalah ahli atau bekas ahli Umno. Adalah tidak benar kalau ada orang mendakwa Perkasa adalah NGO bebas dan bukan bias kepada Umno. Berdasarkan kepada latar belakang kepimpinan itu Perkasa jelas adalah perkakas kepada Umno.

Sementara itu beberapa nama yang menjadi ahli jawatankuasa penaja tidak tersenarai dalam barisan kepimpinan Perkasa itu. Apakah mereka telah memufarakah dari NGO berkenaan ataupun memang disingkir.

Antara mereka ialah Fuad Hassan yang memegang jawatan Timbalan Presiden, Rohanie Ahmad, Ketua Penerangan, Md Radzi Mustapa selaku penasihat undang-undang Perkasa dan Yahya Lampong yang mewakili Sabah. Begitu juga dengan aktvis dan tokoh belia Perak Yammy Samad juga tidak tersenarai dalam kepimpinan baru itu. Kamal Amir Kamal Hijaz yang turut dijemput menganggotai pertubuhan itu juga tidak kedapatan dalam mana-mana senarai penjawatan

http://msomelayu.blogspot.com/

Isteri Tan Sri Osman Aroff (Bekas MB Kedah) Kembali Ke Rahmatullah




ALOR SETAR 31 Mac - Isteri bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, Puan Sri Azizah Abdul Hamid, meninggal dunia akibat barah hati di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini kira-kira pukul 9 malam tadi.

Allahyarhamah Azizah berusia 65 tahun.

Osman berkata, isterinya dimasukkan ke HSB dua bulan lepas selepas mengadu buang air besar berdarah dan doktor mengesahkan arwah mengalami masalah usus dan perlu menjalani pembedahan segera.

"Semasa menerima rawatan di HSB, doktor telah mengesahkan isteri saya dijangkiti barah hati peringkat empat dan rawatan boleh dilakukan selepas luka di tempat pembedahan sembuh,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini hari ini.

Osman berkata, Allahyarhamah turut menghidap penyakit kencing manis.

"Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Sultanah kira-kira pukul 1.30 petang dan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kelubi, Jitra selepas Zohor,” katanya.

Allahyarhamah meninggalkan empat orang anak iaitu Jeffril, Rizal, Ileana dan Adzmin.

Osman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang keenam pada 28 Januari 1985, menggantikan Datuk Seri Syed Nahar Tun Syed Sheh Shahabuddin yang meletak jawatan Menteri Besar Kedah pada 24 Januari 1985. - Bernama

Kenari Terbang Tinggi, meninggalkan si penyu menangis hiba. MASIH ADA HARAPANKAH SIPENYU KETAWA??





Malam tadi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu, Pasukan tuah rumah gagal menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri setelah tewas 0-2 kepada Kedah.

Penyerang pasukan Kedah, Mohd Faizal Abu Bakar menonjolkan aksi cemerlang apabila menjaringkan gol pertama Kedah pada minit ke-28.

Walaupun pasukan Terengganu berkali-kali membuat serangan namun ternyata kubu Kedah sukar ditembusi.

Gol kedua Kedah dijaringkan oleh Azlan Ismail pada minit ke-58.

Pertemuan kedua, suku akhir dijadualkan berlangsung pada 3 April ini pasukan Kedah pula akan bertemu Terengganu di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah. Jom kita pakat pi bagi sokongan.. Jika kita menang Insya Allah pasukan kita akan bertemu Negri Sembilan atau Selangor, yang pasti semalam Selangor kalah kepada Negeri Sembilan 2 - 1 di mana permainan berlangsung di Stadium Shah Alam.

Pelajar pintar yang didakwa dilarikan, rupanya mahu segera nikah di Langkawi


HALIMATON dan Mohamad Noor menunjukkan salinan laporan polis dan keratan laporan akhbar berhubung kes mereka di Ibu Pejabat Daerah Langkawi, semalam.

Halimaton yang dilaporkan hilang berada di rumah keluarga teman lelaki

LANGKAWI: Halimaton Abd Rashid, 15, pelajar pintar yang dilaporkan hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, sejak lapan hari lalu kini berada di rumah keluarga teman lelakinya di Kampung Kisap, di sini.

Ketika ditemui, Halimaton yang berasal dari Kampung Lanai, Kupang, Baling, berkata dia sanggup meredah segala kepayahan bagi memastikan dia dan teman lelakinya, Mohamad Noor Abdullah, 19, dapat berkahwin dalam tempoh terdekat.
Halimaton juga menafikan dakwaan kakaknya, Hamiza, 23, dan ibunya, Normah Abd Mutalib, 46, mengenai dirinya, selain menyifatkan ia sebagai fitnah.

"Saya keluar dari rumah kakak di Sungai Petani jam 9 pagi Isnin lalu dengan rela hati sebelum menaiki bas ke jeti Kuala Perlis sebelum menaiki feri ke Langkawi dan dijemput adik Mohamad Noor pada jam 11.30 pagi di jeti Kuah.

"Saya terus ke rumah mak cik (ibu Mohamad Noor). Jadi dakwaan dibuat kakak dan ibu mengatakan saya dilarikan adalah fitnah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Halimaton yang tidak bersekolah sejak seminggu lalu berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Kuala Teriang, di sini, manakala Mohamad Noor juga berbuat demikian bagi mempertahankan diri.
"Kami belum berkahwin dan sedang berusaha ke arah itu. Beberapa hari lalu kami menemui Pegawai Agama Daerah Langkawi,” katanya.

Halimaton turut mempersoalkan tindakan Hamiza yang beria-ria membuat kenyataan tidak mengenali Mohamad Noor sedangkan mereka mengenalinya sejak empat tahun lalu.

"Sebelum ini mereka ada hubungan sebagai adik dan kakak angkat. Kalau cakap tidak kenal itu satu penipuan kerana empat tahun kakak saya bekerja di Langkawi dan mereka memang kenal antara satu sama lain.

"Apa jadi pun saya mahu kahwin dengan Mohamad Noor. Malah, keluarga Mohamad Noor menerima saya dengan elok, cuma keluarga saya menentang hasrat kami untuk berkahwin," katanya.

Sementara itu, Mohamad Noor yang bekerja sebagai penyelia restoran berkata, beliau kecewa kerana kakak dan ibu Halimaton menuduhnya menculik dan melarikan gadis itu.

"Saya tidak pernah pergi Kelantan dan saya belum kahwin dengan Halimaton. Malah, ibu saya, Azizah Senapi dan bapa tiri, Abd Razak Md Hashim setiap hari cuba menghubungi keluarga Halimaton di Baling untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik,” katanya.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Ishak Hasan yang dihubungi mengesahkan menerima kedua-dua laporan itu.

Sementara itu, Normah yang dihubungi Berita Harian berkata, Halimaton ada menghantar SMS kepadanya tengah hari semalam memaklumkan dia berada di Langkawi bersama keluarga Mohamad Noor.

"Dia pesan supaya saya menonton berita televisyen dan membeli akhbar esok (hari ini) untuk mengetahui cerita sebenar,” katanya.

Penyampai Radio Era, Din Beramboi kritikal dijangkiti virus kencing tikus







KUALA LUMPUR 30 Mac — Seorang penyampai radio popular yang juga personaliti televisyen, Mior Ahmad Fuad atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi, kini dalam keadaan kritikal selepas dipercayai dijangkiti virus kencing tikus.

Din Beramboi, 43, dimasukkan ke Hospital Selayang kira-kira 3.25 petang semalam, demikian menurut jurucakap hospital itu ketika dihubungi hari ini.

"Doktor mengesahkan keadaannya kini sangat kritikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi,” menurut jurucakap itu.

Punca beliau dijangkiti penyakit itu masih dalam siasatan, kata jurucakap itu lagi.

Selain menjadi penyampai radio, Din Beramboi juga pernah bergiat dalam bidang nyanyian, kartunis, pelakon dan pernah menjadi juri dalam rancangan program realiti Raja Lawak baru-baru ini.

— BERNAMA

************************************************************************************
sumber: Mangga Online

Din dikatakan mengadu tidak sihat sebelum ini dan sumber mengatakan beliau jatuh sakit selepas penggambaran di Zoo bersama Aflin Shauki. Din disyaki terkena jangkitan air kencing tikus dan organ dalamannya berhenti berfungsi.

Din Beramboi perlukan darah jenis O dalam masa 24 jam ini. Sesiapa yang boleh membantu diminta terus ke Hospital Selayang.

Apa-apa pun mari sama-sama kita doakan kesihatan dan kesejahteraan beliau. Semoga Din Beramboi cepat sembuh.

Antara Agresif dan Pengalaman, MCA Pilih Politik MAAF



Oleh Zukri Aksah

Dalam perlawanan sengit tiga penjuru, Chua Soi Lek yang menawarkan dirinya bertanding untuk jawatan Presiden MCA sempena pemilihan semula parti pada Ahad baru-baru ini yang diadakan bagi menyelesaikan kemelut panjang MCA, terpaksa berdepan dengan dua Presiden, seorang mantan dan seorang juara bertahan.

Melihat kedudukan ini tentulah ramai pemerhati politik meletak Soi Lek di kedudukan underdog, apalagi dengan latar belakang kontroversi yang pernah dicetusnya dahulu. Apapun yang diperkata, dianalisis dan ditebak, kalangan perwakilan yang hadir ke EGM Ahad baru-baru inilah yang berkuasa, di tangan merekalah letaknya keputusan.

Dalam kesudahan yang dikira mengejutkan, para perwakilan telah memberi kepercayaan kepada Soi Lek untuk memimpin MCA, meninggalkan pencabar terdekatnya, Ong Ka Ting, Presiden yang bersara selepas PRU 2008 dengan majoriti hanya 68 undi, sementara Ong Tee Keat pula hanya memperoleh 578 undi, ketinggalan 323 undi di belakang Soi Lek.

Krisis kekal kalau Tee Keat kekal

Maksud yang boleh dilihat di sebalik keputusan ini ialah sebahagian besar perwakilan MCA mula mengundur ke belakang, bagi mereka tidak payahlah lagi untuk berfikir tentang perubahan dan politik baru, lebih baik kembali ke asal, mengangkat seorang Presiden yang sebenarnya sudah bersara. Walaupun keputusan PRU 2008 di pihak MCA begitu memilukan, tetapi sekurang-kurangnya MCA di bawah Ka Ting lebih aman.

Tetapi kehendak ini belum mampu menewaskan kemahuan majoriti perwakilan yang tetap mahukan MCA dipimpin dengan gaya, gagasan dan prinsip kepimpinan yang baru. Kumpulan ini tidak memilih Tee Keat (gambar kanan) kerana mereka sedar keagresifan Tee Keat selama menerajui MCA telah menjentik banyak pihak sama ada di kalangan pimpinan MCA sendiri atau tokoh-tokoh (lebih tepat taiko-taiko dan towkey-towkey) masyarakat Cina di luar sana. Mengekalkan Tee Keat bermaksud mengekalkan krisis, mempertahankan Tee Keat bermaksud terus menghidupkan jentera serangan terhadap kepimpinan MCA oleh pihak-pihak yang berkepentingan, atau oleh pihak-pihak yang dinaungi oleh orang berkepentingan.

Walaupun 68 undi, Soi Lek telah menang, dalam demokrasi, kemenangan dikira bermula dengan majoriti satu undi. Soalnya kenapa Soi Lek, kenapa perwakilan meyakini beliau adalah yang terbaik untuk memimpin MCA dan menundukkan segala serangan? Padahal Soi Lek sendiri dibelenggu dengan kesilapan masa lampaunya, terjerat dalam perangkap penyebaran DVD perlakuan seksnya, kalau saya pantas mengingatinya, sementelah lagi para perwakilan MCA.

Siapa dari UMNO sanggup hilang semua?

Rupa-rupanya insiden DVD seks tersebut adalah satu permulaan gelap untuk jalan yang terang-benderang. Sungguhpun isu ini kontroversi, bagi saya, yang lebih mempopularkan Soi Lek adalah konsekuens selepas peristiwa tersebut. Tidak sampai sepenggal pilihanraya, Soi Lek telah dua kali meletak jawatan dan sekali dipecat!

Kali pertama beliau meletak jawatan, iaitu sebagai Menteri Kesihatan, Naib Presiden MCA dan semua jawatan lain dalam parti serta kerajaan ialah selepas tersebarnya DVD seks tersebut. Soi Lek ) membuat pengumuman untuk melepaskan semua jawatannya selepas sehari sebelumnya beliau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia. Beliau mengambil keputusan meletak jawatan itu setelah melihat respon dari permohonan maafnya adalah negatif.

Reaksi Soi Lek yang diingat ketika itu adalah sangat bersederhana, tidak melebih-lebih dan penuh bertanggungjawab terhadap kesalahannya. Tertanya-tanya juga, berapa kerat kalangan pemimpin parti-parti pemerintah dalam BN, terutamanya dari UMNO yang sanggup kehilangan semua sekali seperti itu demi sebuah pertanggungjawaban?

Oleh kerana desakan para penyokongnya, Soi Lek telah membuat kemunculan semula kali pertama dalam pemilihan parti pada Oktober 2008 dan beliau menang kerusi Timbalan Presiden. Pada masa itu juga, Tee Keat yang dikenali sebagai MCA Maverick berjaya memenangi jawatan Presiden. Sama ada kerana Tee Keat, atau kerana trauma dari prestasi buruk PRU 2008, MCA di bawah teraju Tee Keat tidak pernah kebah dari dirundung krisis dan masalah. Soi Lek, dek kerana latar belakang kontroversinya pernah dilihat menjadi mangsa keadaan bila beliau dipecat dari jawatannya oleh Jawatankuasa Pusat MCA, itupun beliau terima dengan tenang dan hati terbuka. Walau bagaimanapun, jawatan itu dikembalikan semula kepada beliau oleh Pendaftar Pertubuhan.

Pada 4 Mac yang lalu, Soi Lek sekali lagi, bersama 21 orang Ahli Jawatankuasa Pusat yang lain meletak jawatan bagi memberi laluan kepada perlaksanaan EGM dan pemilihan baru. Sekali lagi Soi Lek dilihat tidak mementingkan diri, tidak mementingkan jawatan dan berjiwa besar, bila bersetuju untuk memulangkan kepada ahli dalam menyusun semula kepimpinan parti bagi menyelesaikan masalah yang sudah sekian lama berpanjangan.

Menariknya, Soi Lek tidak bertindak meletak jawatan bersama-sama dengan kumpulan pertama yang berbuat demikian dahulu yang diketuai oleh Liow Tiong Lai, Naib Presiden ketika itu yang dilihat bermusuh dengan Tee Keat. Jelas, Soi Lek mahu tindakan meletak jawatannya dilihat semata-mata kerana maslahah parti keseluruhannya, bukan kerana beliau berpihak kepada mana-mana kumpulan.

Mungkin kerana peristiwa-peristiwa yang berlaku, berkonsekuensi dari insiden DVD seksnya itu telah berjaya menyerlahkan keperibadian dan karakter sebenar Soi Lek. Hasil dari keputusan-keputusan dan tindakan-tindakan yang dibuatnya, Soi Lek seperti yang saya kata, dilihat oleh para perwakilan khususnya dan ahli MCA amnya sebagai seorang yang bersahaja dan penuh bertanggungjawab, tidak ralat untuk mengakui sebuah kesilapan, lebih dari itu beliau sangat berlapang dada dan berjiwa besar orangnya.

Pilih Soi Lek untuk rungkaikan masalah

Pada ketika beginilah, ketika persepsi ahli MCA terhadap Soi Lek menjadi semakin lunak, hadirlah pemilihan bagi memberi laluan kepada pemilihan pasukan kepimpinan baru, tujuannya tidak lain tidak bukan, semata-mata untuk merungkai masalah dalaman MCA yang semakin mengusut. Mereka, para perwakilan MCA telah memilih Soi Lek untuk memikul amanah ini, mereka bersedia memaafkan Soi Lek.

Melainkan jika ada lagi kumpulan dalam MCA yang masih mahu memutar kembali DVD seks Soi Lek, saya tidak nampak wujud masalah bagi Soi Lek yang berimej tenang dan damai ini untuk menenang dan mendamaikan MCA dari badai dan gelora. Tinggal lagi bagaimana pula MCA sebagai sebuah parti politik di bawah teraju Soi Lek mahu berdepan dengan "pasaran" utamanya, iaitu rakyat, khususnya dalam pilihanraya umum akan datang yang bakal menjengah tiba. Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor tentulah bukan kayu pengukur sebenar keupayaan Soi Lek (walaupun ada peranannya) kerana di situ majoriti pengundinya adalah Melayu.

Soi Lek tentulah tidak mahu mewarisi badi Ka Ting dalam PRU 2008 yang menyaksikan MCA sebagai parti kedua terbesar dalam BN hanya memenangi 15 kerusi Parlimen. Bagaimana Soi Lek mahu membawa MCA berdepan dengan pengundi sekte Cinanya bila perkembangan mutakhir parti sekutunya, UMNO menyaksikan bekas Presiden dan pengasas UMNO Baru, Mahathir Mohamad, yang juga dilihat rapat dengan Presiden UMNO sekarang mula menaiki pentas PERKASA, sebuah kumpulan pelobi Ketuanan Melayu yang pekat dengan sifat ultra-kanan nasionalis Melayu?

Bagaimana pula Soi Lek mahu membawa MCA berdepan dengan sekte pengundi Melayu yang mengundinya selama ini, dalam pada katanya sekte ini sangat mementingkan moral, katanyalah… cuba tanya Umno.

*Zukri Aksah ialah bekas aktivis keADILan (PKN - PKR), pernah terpilih sebagai Exco AMK selama dua penggal. Beliau meninggalkan PKR pada tahun 2007, kini sebagai kolumnis Harakahdaily.

Nota Ucapan Anwar Ibrahim Di Parlimen Berkenaan Skandal APCO – 30 Mac 2010

Terima kasih kepada Tan Sri Speaker kerana memberi ruang kepada saya untuk memberi penjelasan mengenai peranan dan skop penglibatan firma perhubungan awam bernama APCO. Isu ini wajar diberi perhatian khusus kerana ianya bukan sekadar isu 1Malaysia atau 1Israel atau tohmahan yang dilemparkan kepada saya sebagai seorang agen Yahudi. Namun demikian, isu-isu terbabit ditenggelami jika hendak dibandingkan dengan skandal dahsyat yang bakal didedahkan hari ini; yang tidak bersangkutan dengan kedudukan mahupun reputasi saya atau pun reputasi rakan-rakan saya. Sesungguhnya keselamatan negara kita dalam bahaya. Isu ini membongkar politik kronisme yang membarah serta rundingan sulit pihak tertentu sehingga membelakangkan kepentingan rakyat dan negara. Tidak dapat dinafikan lagi kini wujud ancaman terhadap keselamatan nasional, maklumat strategik negara terdedah kepada agensi perisikan asing dan tercalarnya maruah umat.

Bagi mengelak sebarang keraguan penjelasan saya hari ini bukan sekadar muslihat politik atau tuduhan tidak berasas, Insya Allah, setiap kenyataan saya hari ini akan disokong dengan dokumen, rencana malah salinan perjanjian yang ditandatangani oleh pihak-pihak terbabit.

Sehingga kini Perdana Menteri belumpun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaan saya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit; peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan.

Selama ini kita hanya dimaklumkan bahawa penglibatan APCO adalah terhad, tetapi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini menunjukkan penglibatan yang lebih menyeluruh dan membimbangkan.

Ini berdasarkan kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri yang menyatakan:

“Kerajaan ada melantik Syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada Kerajaan Persekutuan secara menyeluruh…APCO Worldwide juga disarankan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara. ”

Manakala bagi pihak APCO sendiri, mereka merumuskan penglibatan mereka seperti berikut:

“APCO’s work has included communication support for a broad range of reform initiatives undertaken by the government of Malaysia, especially in the areas of creating jobs, promoting education, and strengthening delivery of services to the people.”

Kenyataan tersebut sebenarnya membuka pekung serta memunculkan lebih banyak persoalan. Ini bukan syarikat perhubungan awam biasa yang sekadar menulis ucapan mahupun kenyataan akhbar ataupun bertindak melonjakkan imej Perdana Menteri walau itupun amat dikesalkan kerana ianya dilakukan menggunakan dana rakyat. Dilaporkan usaha ini menelan belanja sekitar RM 20 juta. Secara sedar atau tidak kenyataan APCO mengakui bahawa lantikannya adalah untuk membantu strategi komunikasi yang menyeluruh, bermakna firma tersebut terlibat secara langsung memberi bantuan komunikasi di dalam pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan. Ini bermakna, APCO terlibat secara langsung dalam mempengaruhi mesej yang disampaikan kepada rakyat dan saya akan terangkan dengan mendalam kenapa perkara ini sangat membahayakan kepada rakyat dan negara.

Pada 18hb Mac 2010, APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan mereka dengan gagasan 1Malaysia, kononnya konsep itu wujud sebelum APCO dilantik sebagai firma perunding.

Penafian yang dibuat oleh APCO itu merupakan usaha mereka untuk mengelirukan kita akan tarikh sebenar firma tersebut terbabit dengan pentadbiran Perdana Menteri sekarang. Penafian tersebut menggambarkan bahawa ianya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak, atau Dato’ Sri Najib sendiri, pembantunya atau para penasihatnya.

Sebuah portal berita telah melaporkan pada 28 Julai 2009 setakat mana penglibatan APCO dengan pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Najib.

Antara lain, dilaporkan bahawa perkhidmatan APCO ini diperkenalkan kepada Perdana Menteri oleh Omar Mustapha, penasihat Perdana Menteri yang juga teman lama YB Rembau dan rakan kongsi firma perunding Ethos Consultancy. Saya akan buktikan selepas ini bagaimana perkaitan di antara Omar Mustapha dan APCO sebelum pun APCO dilantik secara rasmi sebagai perunding kerajaan.

Walaupun yang diumumkan kepada negara dan rakyat bahawa 1Malaysia dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri peranan Ethos Consultancy tidak boleh diremehkan. Ternyata kebanyakan dari kita tidak menyedari hubungan akrab eksekutif Ethos dan APCO yang masih berterusan.

Sebab itu kita tidak hairan, sebaik sahaja Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri, Omar Mustapha dikhabarkan membawa masuk APCO menjadi perunding komunikasi kerajaan.

Malah, laporan berita tersebut dengan jelas menyatakan bahawa seorang penasihat dari APCO telah pun ditempatkan di pejabat Perdana Menteri sejak dari awal Perdana Menteri mengambil alih.

APCO juga dilaporkan terlibat secara langsung dalam menentukan strategi 100 hari pentadbirannya, termasuklah mesej dan dasar utama seperti 1Malaysia dan inisiatif yang lain.

Berdasarkan laporan tersebut juga pegawai-pegawai kanan kerajaan dikatakan tidak selesa apabila Perdana Menteri ingin menganugerahkan kontrak bernilai RM20 juta kepada APCO untuk meneruskan kerja-kerja rundingan kepada kerajaan. Kontrak itu dijangka dianugerahkan antara bulan Julai dan September 2009; iaitu selepas penglibatan individu dari APCO yang dibawa masuk pada tempoh awal Perdana Menteri mengambil alih.

Semua ini bukan saya yang kata, bukan Pakatan Rakyat yang cipta – semuanya telah pun dilaporkan sejak tahun lalu dan ianya belum pun dinafikan pihak yang dikatakan terlibat.

Sebab itu mengambil kira beberapa peristiwa atau contoh yang berlaku apabila kerajaan ditipu oleh penasihat-penasihat asing sehingga menyebabkan kerugian berbillion ringgit; atau diaibkan di peringkat antarabangsa; saya melihat episod perlantikan APCO ini sebagai satu lagi kelalaian yang boleh merugikan dan membahayakan negara.

Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengingatkan Perdana Menteri dan kerajaan untuk tidak mengulangi kesilapan dan kelalaian lepas apabila terlalu percayakan penasihat asing sehingga kita tidak memeriksa dengan tepat reputasi mereka serta penglibatan mereka sebelum ini. Apatah lagi perlantikan tersebut diselubungi misteri dan tanpa penelitian.

Dulu, mantan Perdana Menteri mengizinkan kerajaan melantik David Zaidner dari firma Marc Rich untuk menasihati agensi kerajaan dan Bank Bumiputra cuba memanipulasi pasaran timah sedunia sehingga kita kerugian besar. Tidak sewajarnya kita lupa skandal Maminco itu. Mantan Perdana Menteri ketika itu seolah-olah tidak meneliti dahulu rekod David Zaidner, yang diketahui umum tidak suka mengikut peraturan dan undang-undang di dalam amalannya.

Kemudian, episod yang membabitkan Jack Abramoff hanya untuk mendapatkan satu temujanji dengan Presiden Bush dalam tahun 2002 dengan membayar USD$1.2 juta tanpa memeriksa dahulu latar belakang Jack Abramoff. Dalam tahun 2006, kerajaan Malaysia dimalukan apabila Jack Abramoff didapati bersalah menipu dalam satu transaksi kewangan sehingga dipenjarakan dan pada masa itulah semua penglibatan kerajaan Malaysia didedahkan. Abramoff juga merupakan seorang pelobi yang terlibat dalam penipuan tanah kaum peribumi Amerika Syarikat(Red Indian) untuk tujuan pembinaan kasino. Perlantikan Abramoff juga dibuat dengan penuh kerahsiaan dan pasti tidak diketahui umum sekiranya Abramoff tidak diheret ke muka pengadilan di Amerika Syarikat.

Walaubagaimanapun, mantan Perdana Menteri tersebut hanya memberikan tugasan yang spesifik kepada firma Marc Rich dan Jack Abramoff dan tidak melibatkan perjalanan jentera kerajaan yang menyeluruh.

Dalam konteks inilah, kita melahirkan kebimbangan kerana kenyataan keraajaan sendiri menjelaskan bahawa mereka memainkan peranan penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya yang melibatkan rakyat. Kenyataan APCO menyatakan:

“will work to assist in strengthening the government’s online and other strategic communication capabilities to speed the delivery of accurate information to the media and public.”

Sekarang, kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO, tetapi bentuk penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO.

APCO DAN MODUS OPERANDI

Tetapi sebelum kita meneliti dengan lebih dalam kenapa penglibatan APCO secara rapat dengan kerajaan merupakan satu risiko yang wajar kita elakkan, kita perlu meneliti dahulu modus operandi firma-firma seperti APCO.

Hanya dengan memahami modus operandi yang digunakan oleh APCO, baru kita boleh memahami kenapa penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia diselubungi misteri dan rahsia.

APCO memanglah sebuah firma hubungan awam bertaraf antarabangsa. Reputasinya digilap kerana penglibatan tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan pentadbiran Amerika Syarikat atau pun ahli-ahli politik di Capitol Hill.

Pada masa yang sama, APCO juga menggunakan khidmat mereka yang mempunyai pengaruh di dalam bidang atau kerajaan masing-masing. Kalau kita lihat senarai Panel Penasihat Antarabangsanya, ahli penasihat APCO termasuklah beberapa tokoh diplomatik dan tokoh perisikan Israel.

Oleh itu, adalah penting untuk Dewan dan rakyat memahami bahawa reputasi APCO adalah sebagai sebuah firma pelobi. Apa fungsi firma pelobi di Washington?

Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-pemimpin (atau badan-badan) yang mempunyai rekod yang tidak baik. Saya akan senaraikan selepas ini contoh-contoh pemimpin sebegini; yang secara tidak langsung kini Perdana Menteri Dato’ Seri Najib telah mendapat penghormatan kerana tergolong dengan pemimpin-pemimpin sebegini.

Untuk menjalankan tugas ini, mereka juga perlu menjaga nama dan reputasi mereka sebagai firma perhubungan awam. Sebab itu ada beberapa perkara penting di dalam modus operandi mereka yang perlu kita fahami.

Pertama – mana-mana pihak yang mengambil APCO sebagai perunding akan menandatangani perjanjian. Salah satu bahagian utama di dalam perjanjian ini adalah mengenai perkara-perkara rahsia; dengan izin “Confidentiality” atau “non-disclosure”.

Reputasi APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang berimej buruk ini.

Sebab itu, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam 1Malaysia, atau peranan sebenar dengan kerajaan Malaysia. Biar saya ingatkan rakyat Malaysia tidak mudah untuk diputarbelitkan.

Mereka faham bahawa adalah menjadi sebahagian dari tugas APCO, seperti yang termaktub di dalam perjanjian lantikan bersabit perkara-perkara sulit dan rahsia; untuk melindungi klien mereka dan secara langsung menafikan penglibatan.

Saya ambil contoh dua perjanjian lantikan yang melibatkan APCO. Satu yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan APCO bertarikh 4hb Ogos 2009 yang secara khusus memberi tugasan kepada APCO untuk membaikpulih imej kerajaan Malaysia. Ini mempunyai tandatangan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sendiri, iaitu Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad yang menunjukkan betapa dekatnya APCO dengan Perdana Menteri – sedangkan pada kebiasaannya perjanjian kerajaan hanyalah ditandatangani oleh pegawai-pegawai kerajaan sahaja.

Satu lagi contoh adalah perjanjian lantikan oleh Kerajaan Israel yang melantik APCO untuk menjalankan tugasan yang sama, bertarikh 9hb Januari 1992. Pada jangka waktu yang sama, Ehud Barak masih berkhidmat sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Negara Israel.

Kedua-dua perjanjian ini dengan jelas menghuraikan peranan APCO sebagai pelobi; yang antara lain perlu menyimpan rahsia-rahsia kerajaan yang diberikan kepada APCO dalam menjalankan tugasan. APCO juga tidak boleh mendedahkan maklumat kecuali diberi keizinan oleh kerajaan Malaysia. APCO malahan terlibat dengan apa yang dipanggil sebagai komunikasi strategik yang menyeluruh.

Kita berhak menuntut kerajaan dan Perdana Menteri datang ke Dewan Rakyat dan berterus terang mengenai perjanjian yang telah ditandatangani dengan APCO – terutamanya semua soalan-soalan yang telah saya timbulkan minggu lalu mengenai tugasan, bayaran, penasihat-penasihat yang terbabit dan pengaruh mereka setakat ini.

Berbalik kepada modus operandi yang kita tekankan tadi. APCO dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (dengan izin “associates”) di seluruh dunia. Selain Asero, firma bersekutu lainnya adalah Global Political Strategies.

Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide10 yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO.

Jadi kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO.

Kalau di Israel, lantikan dibuat melalui Asero Worldwide. Contohnya, kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International. Tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO APCO.

Oleh sebab itu, kita perlu berhati-hati dengan penafian oleh APCO bahawa ianya tidak terlibat. APCO sebagai sebuah firma mungkin tidak terlibat dengan idea gagasan 1Malaysia – Apa mungkin Perdana Menteri hadir ke Dewan Rakyat dan menyatakan secara tegas bahawa tidak ada mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO atau firma bersekutu dengan APCO atau penasihatnya yang terlibat dengan gagasan 1Malaysia? Kita pertikai gagasan penting bagi pentadbiran sekarang tidak tergolong dengan apa yang dikira sebahagian dari komunikasi yang menyeluruh.

Bolehkah Perdana Menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO? Perdana Menteri perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur. Paul Stadlen yang kini mengetuai APCO di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia. Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO APCO dan invidu penting yang terlibat dengan akaun di Israel.

Perdana Menteri juga perlu menerangkan kepada Dewan; kenapa Omar Mustapha penasihat yang dipercayai Perdana Menteri dilaporkan membawa APCO untuk menasihati kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya 1Malaysia? Tidakkah ini menimbulkan persoalan mengenai perkaitan di antara Ethos, APCO dan 1Malaysia? Manakala itu Perdana Menteri beria-ia menonjolkan Omar Musthapa sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Petronas walaupun ditolak pada mulanya oleh Lembaga Pengarah atas alasan gagal membayar biasiswanya.

Soalan-soalan ini perlu dijawab oleh Perdana Menteri, kerana kita tahu modus operandi APCO yang diselubungi degan rahsia dan melibatkan banyak individu yang bernaung dengannya tetapi menggunakan firma-firma yang berlainan.

REKOD APCO

Kebimbangan kita mengenai penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia banyak bersabit dengan rekod APCO dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi manusia atau penyelewengan harta rakyat di seluruh dunia.

Ada dua aspek yang membimbangkan kita – pertama; APCO banyak memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin-pemimpin sebegini yang menindas rakyat di negara masing-masing. Sehinggakan akhbar The Times of India menulis bagaimana APCO mempunyai diktator-diktator di dalam senarai pelanggannya. Rencana tersebut menyenaraikan antaranya:

“Adolf Hitler was a brilliant propagandist. Narendra Modi too believes in the power of image.

Which is probably why the chief minister hired a US lobbying firm which has serviced clients like former Nigerian dictator Sani Abacha and President-for-life of Kazakhstan Nursultan Abishuly Nazarbayev.

This Washington-based firm, Apco Worldwide, was hired by Modi sometime in August this year, in the run-up to an important Assembly election, to improve his image before the world community. Among its recent clients are Mikhail Khodorkovsky, a former Communist youth leader-turned-Russian billionaire with mafia links.”

Keduanya; mereka yang terlibat dengan APCO mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Israel serta ahli politik Amerika Syarikat yang mempunyai pandangan yang serong terhadap umat Islam.

Soalan saya kepada Perdana Menteri – jika ini reputasi dan rekod APCO yang diketahui umum; apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui perlantikan APCO sebagai perunding kerajaan?

Apakah pentadbiran Perdana Menteri mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya Umno adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?

Saya ingin kupas kedua-dua aspek dan memberikan bukti bahawa berdasarkan rekod APCO selama ini, sewajarnya kerajaan tidak melantik mereka kecualilah kepakaran yang diperlukan kerajaan adalah kepakaran menggunakan wang untuk membeli pengaruh di Washington.

Dalam tahun 2007, seorang wartawan penyiasat yang terkenal di Amerika Syarikat bernama Ken Silverstein telah menyamar untuk melantik APCO mewakili kerajaan Turkmenistan. Beliau telah melaporkan hasil siasatannya mengenai peranan dan pendekatan APCO membantu membersihkan imej diktator-diktator dunia di dalam sebuah rencana yang disiarkan di dalam Majalah Harper’s. Berikut antara pendedahan majalah tersebut:

“Apco was the first firm I contacted, because it was a natural candidate to represent Turkmenistan: it has experience working not just on behalf of authoritharian regimes in general-the dictatorship of General Sani Abacha in Nigeria, for example, which employed the firm in 1995, the same year it hanged 9 democracy activists.”

Pendedahan Ken Silverstein itu jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh APCO dalam membantu pemimpin-pemimpin yang begitu buruk rekodnya. Nama-nama yang disebut di dalam pendedahan tersebut termasuklah Barry Schumacher yang juga pernah terlibat di dalam tugasan lantikan kerajaan Israel pada tahun 1992 dan Jennifer Millerwise Dyck, bekas jurucakap CIA dan jurucakap Naib Presiden Dick Cheney; yang rekodnya di dalam perang di Afghanistan dan Iraq kita semua sedia maklum.

Sekiranya YB meneliti laporan tersebut, lebih membimbangkan adalah pendekatan yang diambil oleh APCO dalam menjalankan assignment itu.

Kepada kerajaan yang melantiknya, mereka dijanjikan pertemuan-pertemuan dengan pemimpin Kongres, dialog atau seminar dengan pelbagai institusi untuk memberi imej yang amat berlainan dengan apa yang berlaku.

Kepada pemimpin Kongres dan kerajaan Amerika Syarikat, mereka akan menjaja pertemuan-pertemuan ini sebagai peluang untuk mempengaruhi kepimpinan kerajaan yang melantik mereka sebagai perunding. Tidakkan ini satu amalan yang kurang beretika kerana ia seolah-olah mengambil untung di kedua-dua belah pihak? Bukankah ini satu isu yang besar apabila ada risiko campur tangan semata-mata untuk mendapatkan pertemuan-pertemuan di Washington?

Sebab itu saya akan terangkan selepas ini risiko-risiko yang telah ditanggung oleh negara apabila Perdana Menteri dicucuk hidung oleh Omar Mustapha dan juak-juak dari Ethos untuk melantik APCO.

Senarai pemimpin-pemimpin yang menggunakan khidmat APCO untuk membaikpulih imej diktator adalah panjang dan mengejutkan.

Selain Turkmenistan, Kazakhstan dan Azerbaijan; salah seorang klien APCO yang paling terkenal adalah bekas diktator Nigeria iaitu General Sani Abacha. Mengikut laporan-laporan BBC General Sani Abacha merupakan pemimpin berkedudukan No. 4 yang paling korup di dunia. Semasa pemerintahannya, berbillion-billion dollar dilesapkan. Wang yang dilesapkan oleh orang kanannya sahaja berjumlah USD$2.5 billion.

APCO sebagai firma perhubungan awam yang terlibat dengan komunikasi strategi mempunyai misi untuk melunakkan imej Sani Abacha yang melesapkan wang negara.

Aspek kedua yang membimbangkan kita adalah kehadiran ramainya tokoh-tokoh yang berkait rapat dengan kerajaan Israel dan organisasi pertahanan negara itu termasuklah agensi perisikan sebagai perunding atau penasihat APCO.

Tidakkah tindakan Perdana Menteri melantik APCO, yang umum diketahui rapat dengan tokoh-tokoh kanan rejim Zionis, merupakan sikap kepura-puraan? Di depan rakyat, kerajaan Barisan Nasional bercakap mengenai perjuangan Palestin, mengutuk rejim Zionist malah merotan pesalah-pesalah rakyat marhaen yang lemah untuk membuktikan ia sebuah kerajaan yang menegakkan Islam – adil atau tidak itu belakang kira.

Tetapi secara senyap di belakang, tanpa pengetahuan rakyat; Perdana Menteri dinasihati secara terus dan dekat oleh sebuah firma yang ditunjangi oleh tokoh-tokoh kanan rejim Zionis? Regim yang memenjarakan Gaza dan menindas baik umat Islam dan mereka yang beragama Kristian di Palestin.

Secara khususnya, saya ingin membawa perhatian Dewan kepada tiga tokoh utama Israel di dalam APCO iaitu Doron Bergerbest-Eilon, Ittamar Rabinovich dan Shimon Stein14. Ketiga-tiga tokoh ini adalah tokoh kanan rejim Zionis.

Doron Bergerbest-Eilon adalah Ketua Bahagian Keselamatan dan Perlindungan, Agensi Keselamatan Israel. Apa itu Agensi Keselamatan Israel?( Israel Security Agency)

ISA adalah nama rasmi kepada satu organisasi yang cukup busuk namanya di kalangan umat Islam; iaitu Shin Bet. Apa ini Shin Bet? Shin Bet adalah adik kembar kepada Mossad; iaitu agensi perisikan Israel. Bezanya – Shin Bet adalah agensi perisikan dalam negara dan Mossad adalah agensi perisikan luar negara.

Siapa lagi tokoh-tokoh kanan rejim Zionis di dalam APCO? Antaranya Itamar Rabinovich; Duta Israel ke Amerika Syarikat, salah satu jawatan terpenting dalam rejim Zionis. Ini adalah jawatan diplomatik paling kanan dan hanya tokoh paling kanannya sahaja yang menjawat jawatan ini. Begitu juga dengan Shimon Stein iaitu mantan duta Israel ke Jerman. Kedua-dua ini merupakan jawatan diplomatik kanan buat Negara Israel. Kedudukan mereka yang kanan dalam lingkaran diplomatik memperlihatkan keupayaan mereka untuk mempengaruhi serta melobi bagi pihak APCO sekarang.

RISIKO KEPADA NEGARA

Sebab itu kita menimbulkan isu ini kerana ia melibatkan keselamatan dan reputasi negara serta maruah umat.

Kita jelas mengapa kita bangkitkan isu ini. Ianya kerana kita mempertikaikan tindakan kerajaan menganugerahkan kontrak perkhidmatan puluhan juta ringgit kepada sebuah syarikat yang mana ada dari kalangan eksekutif kanannya pernah memegang jawatan tinggi dalam organisasi seperti Shin Bet dan Kerajaan Israel. Kita khuatir kerana pentadbiran Dato’ Sri Najib seperti tidak runsing dan gundah mengambil sebuah firma yang tercemar dengan rekod berkhidmat untuk para diktator dan petindas. Sikap membisu Perdana Menteri pastinya mengundang pelbagai kemusykilan serta persoalan.

Membicarakan persoalan seperti komunikasi menyeluruh, pastinya ia berkait rapat dengan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan dan banyak kementerian lainnya. Maknanya APCO mempunyai akses/terdedah kepada jaringan strategik serta penting dan pastinya memberi kesan kepada keselamatan negara. Melantik organisasi asing yang mempunyai rekod seperti APCO, lalu mengamanahkannya dengan tanggungjawab besar serta kemudahan sedemikan rupa pastinya menggadai kepentingan negara. Oleh kerana itu saya menggesa kerajaan agar segara membatalkan kontrak perkhidmatan dengan APCO dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal yang memalukan ini.

———

*Ini bukan sebahagian dari ucapan. Sekadar penilaian dan perbandingan berhubung persamaan di antara 1Malaysia dan 1Israel:

- 1Israel adalah parti gabungan yang dipimpin oleh Ehud Barak yang menang pilihanraya Israel pada tahun 1999. Ia pada asalnya mengumpulkan Parti Buruh, Gesher dan Meimad dan kemudiannya bergabung dengan parti-parti agama Yahudi dan sayap kanan seperti Shas, Meretz dan beberapa parti lain.

- 1Israel menandakan beralihnya dasar Parti Buruh menjadi lebih keras dan bersayap kanan; dengan kemasukan parti-parti lain di dalam gabungan. Ia merupakan gabungan pilihanraya yang mengumpulkan parti-parti perkauman bersayap kanan yang berbeza ideologi dan kepentingannya.

- Sebab itu pendekatan yang diambil oleh Ehud Barak adalah dengan menumpukan kepada perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh 1Israel kepada rakyat untuk mengalih perhatian pengundi daripada perbezaan ideologi parti-parti di dalam 1Israel.

- Platform 1Israel menjanjikan perkhidmatan-perkhidmatan yang lebih baik terutamanya di dalam pendidikan dan kesihatan yang terpampang di papan tanda besar.

- Mesej-mesej yang konsisten di papan tanda besar ini adalah tumpuan 1Israel untuk mendahulukan rakyat; dengan mendahulukan perkhidmatan seperti pendidikan dan kesihatan sebelum meluaskan kawasan penempatan Israel.

- Jadi mesej 1Israel adalah “rakyat didahulukan”, mesej 1Malaysia adalah “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.

-Satu lagi inisiatif utama kerajaan 1Israel adalah dengan merombak sistem kesihatan. Di bawah 1Israel, fungsi Kementerian Kesihatan diubah dengan menjadi perancang dan mengurangkan penekanan kepada rawatan wad dan hospital – sebaliknya rakyat digalakkan mendapatkan rawatan pencegahan sebelum ke hospital; sama ada di klinik atau dengan ubat-ubatan yang diberikan.

- Maka 1Israel penekanannya adalah klinik, di Malaysia kita ada Klinik 1Malaysia.

- Selain itu di bawah 1Israel pelbagai tabung, yayasan dan kempen dilancarkan secara bertubi-tubi; semuanya di bawah payung 1Israel. Begitulah juga di Malaysia tiap-tiap hari kita disuap dengan pelancaran, yayasan (contohnya Yayasan 1Malaysia), tabung, kampung dan pelbagai lagi – semuanya konsep 1Malaysia.

Pasai apa Jadi Lagu nie.. Malaysia hilang 350,000 pekerja mahir

Situasi modal insan di Malaysia tidak bertambah baik kerana negara kehilangan tenaga kerja mahir yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan di masa depan.

Banyak tenaga kerja mahir Malaysia meninggalkan negara untuk mencari peluang lebih baik di negara lain dan menurut anggaran Kementerian Sumber Manusia pada 2008 - kira-kira 350,000 dewasa Malaysia bekerja di luar negara, lebih separuh daripadanya lulusan institusi pengajian tinggi.

Kehilangan besar-besaran tenaga kerja mahir Malaysia diburukkan lagi dengan hakikat bahawa sistem pendidikan, disebalik modal besar yang diperuntukkan melalui beberapa usaha pembaharuan, tidak mengeluarkan tenaga kerja mahir yang diperlukan secara efektif, kata Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) dalam Laporan Pertama Model Ekonomi Baru bagi Malaysia yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Kehilangan besar-besaran tenaga kerja mahir Malaysia diburukkan lagi dengan hakikat bahawa sistem pendidikan, disebalik modal besar yang diperuntukkan melalui beberapa usaha pembaharuan, tidak mengeluarkan tenaga kerja mahir yang diperlukan secara efektif, kata Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) dalam Laporan Pertama Model Ekonomi Baru bagi Malaysia yang dikeluarkan di sini hari ini.

"Kita tid
ak membangunkan tenaga kerja mahir dan apa yang kita ada pula meninggalkan kita," kata NEAC.

Laporan itu menyatakan pemain industri sering mengeluh mengenai ketiadaan tenaga kerja mahir yang sesuai di pasaran, mencadangkan tenaga kerja mahir yang dikeluarkan oleh sistem pendidikan dan yang diperlukan oleh syarikat adalah tidak sepadan.

Penilaian terbaru oleh Bank Dunia mencadangkan syarikat-syarikat kini semakin bimbang, pertamanya mengenai teknologi maklumat (IT), kemahiran dan kemahiran teknikal/profesional pekerja Malaysia diikuti aduan mengenai kurang kreativiti dan tidak fasih bahasa Inggeris.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan pada 2007, 80 peratus tenaga kerja Malaysia menerima pendidikan hanya setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Data Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan pada 2008, kira-kira suku daripada lulusan universiti tempatan masih menganggur selepas enam bulan menamatkan pengajian.

"Malahan mereka yang mendapat kerja, hampir satu pertiga bekerja dalam bidang kemahiran lebih rendah," menurut laporan itu.

Menurut Kementerian Sumber Manusia, antara 2001 dan 2005, kerajaan membelanjakan RM415 juta untuk melatih kira-kira 40,000 siswazah untuk meningkatkan kemahiran mereka untuk diambil bekerja.

"Pelbagai program untuk menarik tenaga kerja mahir diperkenalkan di masa lalu tetapi hanya sedikit yang dicapai secara konkrit. Hasilnya ialah kekurangan tenaga kerja dinamik yang diperlukan untuk memacu Malaysia dalam aktiviti-aktiviti nilai tambah lebih tinggi," kata NEAC.

Menurut laporan itu, kerjasama lebih baik antara majikan sektor swasta dan universiti akan dapat membantu membetulkan keadaan tiada sepadan antara permintaan industri dan siswazah serta meningkatkan peluang siswazah mendapat kerja.

"Malaysia perlu melaksanakan program mampan dan sistematik untuk memastikan pelajar Malaysia diberi peluang untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran global," menurut laporan itu.

Laporan itu menyatakan sistem sedia ada lebih tidak menggalakkan daripada menggalakkan pengekalan tenaga kerja mahir tempatan dan kemasukan tenaga kerja mahir asing.

Kekangan termasuk penghijrahan besar-besaran dan dasar-dasar insentif yang tidak menggalakkan pakar asing diambil kerja di samping amalan sekatan oleh persatuan-persatuan profesional yang menghalang pekerja asing daripada bekerja di Malaysia, menurutnya.

- Bernama

Pecah Tanah Masjid Baru Padang Petani, Langgar Oleh MB


Oleh: NIK NURUL NADZIRAH NIK MD ZABARI

LANGGAR – Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, masjid bukan sahaja tempat untuk beribadat malah merupakan tempat penyatuan masyarakat.

Masjid perlu dijadikan sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan bukan hanya tertumpu pada aktiviti ibadah sahaja.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan antaranya, kelas tambahan untuk kanak-kanak, kelas agama untuk orang dewasa serta tempat belajar kursus haji dan umrah.

“Kita membina masjid bertujuan untuk membimbing masyarakat Islam. Masjid sebagai tunggak bagi mendidik dan membimbing ummah dalam membentuk mental, rohani serta jasmani,” katanya.

Menurutnya, sumbangan guru agama sukarela harus dipandang oleh masyarakat kerana itu adalah kerja yang mulia serta dipandang tinggi oleh Allah SWT.

“Sumbangan-sumbangan ini turut mendapat perhatian Kerajaan Negeri Kedah serta sumbangan berupa saguhati telah diberikan oleh pihak kerajaan negeri kepada mereka,” kata beliau.

Beliau juga mengingatkan kepada masyarakat agar sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah serta sentiasa berusaha untuk mengatasi sesuatu masalah yang dihadapi.

“Kalau hari ini kita susah, zaman dahulu lagi susah kerana tidak ada kemudahan asas seperti elektrik dan air tetapi kita sentiasa berusaha untuk mengatasi kesusahan pada masa itu,” jelas beliau di Majlis Pecah Tanah Masjid Baru Padang Petani, Langgar.

Sementara itu, jumlah derma untuk pembinaan masjid baru tersebut hampir menjangkau RM250,000.

UMT Runtuh - YB Haji Ab Azizi USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN 18(1)




YB Haji Ab Azizi Bin Ab Kadir Ahli Parlimen Kawasan Ketereh membawa "USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN 18(1)" bagi membolehkan Dewan yang mulia ini membincangkan kejadian bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang sedang dalam pembinaan runtuh, petang semalam yang mengakibat seorang buruh mati dan empat cedera parah.”

Kepada
Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia,
Yang Di Pertua Dewan Rakyat,
YB Tan Sri,

USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN 18(1)

Saya, YB Haji Ab Aziz Bin Ab Kadir [Ketereh] akan mencadangkan:
“Bahawa Dewan ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan Dewan yang mulia ini membincangkan kejadian bangunan Institiut Oseanografi dan Institiut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang sedang dalam pembinaan runtuh, petang semalam yang mengakibat seorang buruh mati dan empat cedera parah.”

Tan Sri Yang Dipertua,
Pada 29 Mac 2010 jam 5.10 petang ketika para pekerja sedang sibuk melakukan kerja-kerja binaan di Universiti Malaysia Terengganu tiba-tiba
bangunan Institiut Oseanografi dan Institiut Akuakultur Tropika runtuh. Kejadian ini mengakibatkan seorang buruh mati dan empat lagi cedera parah.

Bangunan ini akan digunakan oleh ribuan pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan universiti apabila siap kelak. Kejadian ini menjadi tandatanya samaada keseluruhan pembangunan kampus universiti ini selamat dan tidak mengancam keselamatan dan nyawa penggunanya.

Terlalu banyak kejadian keruntuhan dan kecacatan dalam pembangunan projek-projek di Terengganu yang mengancam keselamatan dan nyawa orang awam. Antaranya, keruntuhan Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, keruntuhan kubah Masjid Kampung Puteh, keruntuhan Dewan Sekolah Menengah Wakaf Tapai,
keruntuhan Terminal Pengangkutan Awam Kuala Berang, kebocoran Pusat Akuatik Batu Burok, keretakan Pusat latihan Antarabangsa (ITC) yang menjadi fakulti Baru kolej Universiti Institiut Teknikal Tinggi Terengganu (TATIUC), kebocoran siling Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Terengganu dan pelbagai lagi.

Kejadian keruntuhan dan kecacatan ini berlaku bukan secara kebetulan tetapi akibat kecuaian di semua peringkat dari proses tender hingga kelulusan pembangunannya. Kejadian ini mengancam keselamatan dan nyawa orang awam. Projek prasarana ini akan digunakan ramai orang awam dan perlu penyelesaian segera sebelum lebih banyak nyawa akan terkorban.
Terima kasih

YB Haji Ab Azizi Bin Ab Kadir
Ahli Parlimen Kawasan Ketereh

'MIC digesa berkorban serah Hulu S'gor pada Umno' : Apakah MIC Sanggup??....



MIC diminta berkorban dengan menyerahkan kerusi parlimen Hulu Selangor kepada Umno yang lebih berpeluang untuk merampasnya semula dalam pilihan raya kecil akan datang.

Kerusi tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Zainal Abibin Ahmad yang meninggalkan kerana barah otak, khamis lalu.

"MIC kena berkorban, pilihan raya kecil ini penting kerana ia adalah pertama kali di Selangor selepas (negeri itu) terlepas kepada Pakatan Rakyat," kata sumber Umno Selangor.

"Ia akan menjadi kayu pengukur, apa salahnya (diberikan kepada Umno) kerana ia adalah kejayaan parti, bukan kejayaan individu atau kejayaan sesuatu kaum.

"Dalam pilihan raya umum ke-12 kita kena ambil kira pandangan akar umbi. Atas semangat persefahaman kita akan serah salah satu daripada kerusi milik umno kepada MIC.

Sumber-sumber itu berkata, sebagai gantinya, pucuk pimpinan parti barangkali boleh menjanjikan mana-mana kerusi milik Umno untuk diserahkan kepada MIC.

Menurutnya, selama ini, Umno memberikan kerusi sama ada parlimen atau DUN untuk ditandingi calon MIC di kawasan yang majoriti pengundi Melayu, antanya di parlimen Kota Raja dan DUN Batu Caves, Sri Andalas dan Ijok.

"Kerusi yang ditandingi MIC majoriti pengundinya adalah orang Melayu. Umno berikan atas dasar persefahaman (sebagai komponen BN) dan Umno memberi MIC peluang untuk bertanding di situ.

"Oleh itu, kita hendak kepada pengorbanan MIC (serahkan kerusi parlimen Hulu Selangor), supaya pilihan raya kecil kali ini menjadi mudah (untuk menang)," katanya.

Sumber-sumber itu berkata, berdasarkan tanda atau isyarat dalam pilihan raya yang lalu, terdapat penolakan akar umbi terhadap calon MIC yang bertanding.

"Berdasarkan konsep 'rakyat didahulukan' apa salahnya mengambil kira pandangan akar umbi. Pengorbanan MIC amat kita harapkan. Namun, ini tidak bererti kita mengingkari persahabatan dalam BN.

"Pengorbanan MIC dalam pilihan raya kecil ini amat penting supaya BN diterima kembali di Selangor. Kita letak calon pilihan akar umbi," katanya.
Menurutnya, terdapat ramai calon dari Umno yang layak dipertimbangkan, antaranya, naib ketua bahagian, Datuk Adnan Buyong; setiausaha bahagian, Nazri Dahalan; ketua Pemuda, Mahmud Kassim dan juga ketua Wanita bahagian, Rosni Sahar yang juga setiausaha wanita Umno pusat.

Sementara itu, BN Selangor yang bermesyuarat malam tadi telah membincangkan mengenai persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Mesyuarat selama dua jam setengah itu dihadiri oleh 70 pemimpin BN negeri dari Umno, MCA, MIC, Gerakan dan PPP.

Bagaimanapun, Malaysiakini dimaklumkan bahawa mesyuarat tersebut tidak menyentuhkan tentang calon BN yang bakal bertanding di situ.

Difahamkan, pengarah pilihan raya kecil Hulu Selangor, Datuk Noh Omar yang mempengerusi mesyuarat tersebut, memaklumkan bahawa pemilihan calon akan diputuskan oleh pucuk pimpinan BN pusat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.