Pecah Tanah Masjid Baru Padang Petani, Langgar Oleh MB


Oleh: NIK NURUL NADZIRAH NIK MD ZABARI

LANGGAR – Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, masjid bukan sahaja tempat untuk beribadat malah merupakan tempat penyatuan masyarakat.

Masjid perlu dijadikan sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan bukan hanya tertumpu pada aktiviti ibadah sahaja.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan antaranya, kelas tambahan untuk kanak-kanak, kelas agama untuk orang dewasa serta tempat belajar kursus haji dan umrah.

“Kita membina masjid bertujuan untuk membimbing masyarakat Islam. Masjid sebagai tunggak bagi mendidik dan membimbing ummah dalam membentuk mental, rohani serta jasmani,” katanya.

Menurutnya, sumbangan guru agama sukarela harus dipandang oleh masyarakat kerana itu adalah kerja yang mulia serta dipandang tinggi oleh Allah SWT.

“Sumbangan-sumbangan ini turut mendapat perhatian Kerajaan Negeri Kedah serta sumbangan berupa saguhati telah diberikan oleh pihak kerajaan negeri kepada mereka,” kata beliau.

Beliau juga mengingatkan kepada masyarakat agar sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah serta sentiasa berusaha untuk mengatasi sesuatu masalah yang dihadapi.

“Kalau hari ini kita susah, zaman dahulu lagi susah kerana tidak ada kemudahan asas seperti elektrik dan air tetapi kita sentiasa berusaha untuk mengatasi kesusahan pada masa itu,” jelas beliau di Majlis Pecah Tanah Masjid Baru Padang Petani, Langgar.

Sementara itu, jumlah derma untuk pembinaan masjid baru tersebut hampir menjangkau RM250,000.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.