Terkini Mengenai Ketua Pengarang Harakah: Didoakan semoga Lutfi cepat sembuh

Kesihatan Lutfi Semakin Pulih
Oleh Mohd Sayuti Omar



SETELAH beberapa kali tertangguh, lewat petang tadi saya bersama isteri dan dua anak ke rumah Ahmad Lutfi Othman di rumahnya di Bukit Ampang, Selangor. Lutfi sudah lima minggu selamat menjalani pembedahan pintasan jantung. Alhamdulilah walaupun keadaan kesihatannya belum pulih sepenuhnya, namun beliau sudah dapat berjalan, bertatih menggunakan tongkat.

Menurutnya beliau masih menerima rawatan dan luka pembedahan jantung sudah hampir sembuh cuma luka di bahagian kaki masih belum baik sepenuhnya. Kesan kencing manis menyebabkan tahap kesembuhan agak lambat.

Lutfi kelihatan cerita dan kesempatan itu masih bercakap soal dunia penulisan serta dunia persurat khabaran. Lutfi masa ini adalah Ketua Pengarang akhbar Harakah. Beliau juga merupakan orang bertanggungjawab memulakan penerbitan Siasah bersama saya.

Bagaimana pun disebabkan Harakah lebih memerlukan tenaganya menyebabkan Lutfi terpaksa meninggalkan Siasah setelah menerbitnya sehingga keluaran 14 dan berhijrah ke Harakah. Harakah mempunyai sentimen value cukup tinggi kepada Lutfi.

Justeru memandang pembedahan pintasan jantung memerlukan kos yang tinggi elok kalau Harakah tanggungjawab untuk menanggung sepenuhnya perbelanjaan berkenaan. Rasanya budi dan pergorbanan Lutfi untuk Harakah tidak akan terbayar walaupun seberapa banyak bantuan dihulurkan buatnya.

Bercakap mengenai kos perbelanjaan rawatan yang tinggi, Lutfi menyatakan terima kasih kepada rakan-rakan dan pihak membantunya. Beliau juga bernasib baik kerana mendapat perhatian dari dua Exco Kelantan, Husam Musa dan Takiyuddin Hassan yang menghulurkan bantuan. Beliau juga menyebut hampir semua pemimpin Pas menziarahinya antara Abdul Hadi Awang, Dr Hassan Ali dan lain-lain.

Kemurahan hati Husam membantunya, kata Lutfi telah merintis jalan kepada sahabat-sahabat lain turut memberi sumbangan mengikut kadar masing-masing. Dan semasa saya di rumah Lutfi tadi, wartawan Harakah Saidah Hairan bersama seorang rakan turut menziarahi bosnya itu. Didoakan semoga Lutfi cepat sembuh dan kembali ke gelanggang untuk 'menyantun' Harakah seperti biasa. Harakah tanpa Lutfi kurang bersemangat!

Gambar2 Pernikahan : Pembaca Berita TV3, Saiful Nizam & Aida (Gadis Melayu) di Bandar Country Homes, Rawang

Juara Gadis Melayu musim pertama Aida, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, pembaca berita Buletin Utama TV3, Mohd Saiful Nizam Ismail, semalam. - Foto oleh RICKY LAI

RAWANG: Juara Gadis Melayu musim pertama, Khairul Noormaaidah Zali atau Aida, 25, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, pembaca berita Buletin Utama TV3, Mohd Saiful Nizam Ismail, 28, dengan sekali lafaz di rumah keluarga pengantin perempuan di Bandar Country Homes, Rawang, malam semalam.

Mohd Saiful dan Aida dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Zali Ismail, 59, dengan mas kahwin RM6,000 kira-kira jam 9.30 malam.

Akad nikah dilakukan di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Pejabat Jabatan Agama Islam Daerah Gombak Cawangan Kuang, Mohd Nordin Abdullah dengan disaksikan Mohamad Jamil Yeop Majlis dan Mohamad Jamaluddin Yeop Majlis.

Kedua-dua pengantin kelihatan anggun mengenakan busana rona putih sedondon rekaan pereka fesyen terkenal Radzuan Radzwil pada majlis yang dihadiri kira-kira 500 tetamu terdiri daripada saudara mara dan kenalan rapat mereka.

Antara personaliti televisyen yang hadir termasuk Datin Norazlina Ridzuan, Norhaizi Mohd Rani, Zainal Arifin Ismail dan Zulhairah Mustafa.

Selesai sahaja majlis pernikahan, Saiful terus mengerjakan sujud syukur manakala Aida yang menanti di pelamin kelihatan menitiskan air mata kerana akhirnya cinta yang disemi berakhir di jinjang pelamin.

Sejurus selepas itu, Saiful menyarungkan cincin perkahwinan di jari manis Aida. Majlis diteruskan dengan acara tepung tawar oleh kedua-dua keluarga pengantin baru.

Pada malam pernikahan itu, Aida menerima tujuh dulang hantaran iaitu, jam tangan, cincin, kasut, beg tangan, kek, sirih junjung, set barang kemas, set solekan jenama SKII dan kasut.

Mohd Saiful pula menerima sembilan dulang iaitu, Tafsir Al-Quran, songket, butang baju Melayu, cincin, kemeja, cermin mata gelap, sirih junjung, kasut, jam tangan dan kek.

Pada 13 Jun, pasangan itu akan diarak dengan kuda semasa majlis persandingan di rumah pihak lelaki di Changlun, Kedah.

Hari ini, mereka akan disandingkan ala-ala kesultanan Melayu dengan sentuhan perunding perkahwinan Arma Abdul Rahman.

Majlis resepsi mereka itu akan diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Dirampas Zionis: MV Rachel Corrie, kapal Terakhir Bawa Bantuan Kemanusiaan Diiring ke Ashdod Port di Israel



MV Rachel Corrie, kapal terakhir yang membawa bantuan kemanusiaan ke kawasan Gaza yang dikepong Israel, bersama sekumpulan aktivis damai termasuk enam dari Malaysia, telah dirampas oleh Pasukan Pertahanan Israel pada kira-kira 2.45 petang (waktu Malaysia) hari ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Menurut jurucakap Wisma Putra, kapal itu sedang diiring ke pelabuhan Ashdod di Israel.

Sembilan belas aktivis di kapal itu dilaporkan tidak diapa-apakan, kata jurucakap itu.

Dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Anifah berkata Malaysia mendesak Israel agar menentukan keselamatan kesemua sukarelawan di kapal berkenaan.

"Malaysia juga menuntut Israel tidak mengambil sebarang tindakan tentera yang drastik dan ganas terhadap penumpang Rachel Corrie yang tidak bersenjata itu," katanya.

Anifah berkata kesemua aktivis di kapal Rachel Corrie perlu diberi bantuan bagi menjamin keselamatan mereka.

Anifah berkata Wisma Putra memantau secara dekat perkembangan oleh kerana adanya enam rakyat Malaysia di kapal berkenaan.

Misi bantuan Gaza itu ditaja oleh Perdana Global Peace Organisation (PGPO), sebuah organisasi bukan kerajaan Malaysia.

Kapal Rachel Corrie diberi nama sempena serang wanita Amerika yang terbunuh oleh sebuah jentolak tentera Israel di Semenanjung Gaza pada 2003, ketika memprotes tindakan meroboh sebuah rumah.

Anifah berkata Malaysia turut menggesa Israel menentukan laluan selamat kapal itu ke Gaza untuk menyerahkan kargo bantuan kemanusiaan itu.

Dalam hubungan ini, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar turut meminta Israel memberi jaminan demikian.

-- Bernama

Kesan Darah Yang Sudah Pudar Jelas Kelihatan Walaupun Sudah Dicuci Dua Kali : Dr Syed Muhammad Haleem

Penduduk Gaza, Rakyat Palestin Wira Sebenar - Sukarelawan Malaysia

Daripada Muin Abdul Majid


Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan menunjukkan seluar yang dipakai beliau ketika berlakunya serangan maut Israel ke atas kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan kesan darah yang sudah pudar jelas kelihatan walaupun sudah dicuci dua kali. - AMMAN, 5 Jun (Bernama) -- Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan masih menyimpan seluar yang dipakai beliau ketika berlakunya serangan maut Israel ke atas kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan kesan darah yang sudah pudar jelas kelihatan walaupun sudah dicuci dua kali.

Selain merawat mereka yang cedera dan menyaksikan kematian di lantai kapal "Mavi Marmara" yang berlumuran darah, anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin, Haluan Malaysia, turut diacukan pistol di kepalanya pada suatu ketika.

Beliau dan 11 lagi sukarelawan Malaysia, termasuk dua wakil media, turut menangis kegembiraan dan memeluk satu sama lain -- lega kerana semua orang selamat -- ketika bertemu semula sebelum dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel pada Rabu.

"Bagaimanapun, kesulitan dan ketegangan yang kami alami pada hari tersebut dan selepasnya dalam pertempungan secara dekat dengan tentera Israel, tidak seberapa jika dibandingkan dengan apa yang dilalui penduduk Gaza dan rakyat Palestin setiap hari sejak bertahun-tahun.

"Mereka sebenarnya layak digelar wira," kata Dr Syed Muhammad Haleem kepada Bernama ketika menceritakan insiden serangan Isnin lepas terhadap kapal bantuan yang ketika itu sedang belayar di perairan antarabangsa menuju ke Semenanjung Gaza, dengan azam memecahkan kepungan Israel di wilayah pinggir pantai berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Sentimen beliau dikongsi ketua NGO Malaysia Noorazman Mohamad Samsuddin, yang merupakan ketua biro Palestin Haluan Malaysia.

"Memang apa yang kami lalui adalah sesuatu yang luar biasa, dan semua orang akan bercakap tentangnya. Tetapi saya rasa kisah sebenar di sini masih mengenai Gaza, Palestin dan penduduknya yang sedang menderita di sana," katanya.

Melihat kepada panggilan telefon tanpa henti yang diterima bukan sahaja daripada keluarga dan teman-teman, malah pihak media di Malaysia yang ingin mendapatkan butiran mengenai pengalaman mereka, kesemua 12 sukarelawan tersebut dijangka menjadi bahan berita untuk tempoh yang agak lama.

"Kami akan menggunakan setiap peluang yang ada untuk bercakap dan mengingatkan orang ramai tentang keperluan membantu saudara kita di Palestin yang sedang dijajah Israel," kata Noorazman.

"Nilai sebenar tugas kita bergantung kepada keikhlasan. Jika anda kehilangannya, apa sahaja yang anda lakukan tidak memberi sebarang makna," katanya.

Walaupun tidak boleh menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza itu secara peribadi, namun semua sukarelawan Malaysia gembira kerana serangan Israel menjelang waktu Subuh tersebut telah menyebabkan regim Tel Aviv dan layanan kejam mereka terhadap rakyat Palestin menjadi tumpuan utama dunia.

Di tengah-tengah kemarahan masyarakat antarabangsa berhubung kematian sembilan aktivis dalam insiden itu, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman berkata keganasan Israel telah didedahkan kepada dunia melalui peristiwa berdarah di atas dek kapal Turki itu.

Insiden itu, katanya, telah membuka mata masyarakat dunia, walaupun mereka yang sebelum ini tidaklah begitu simpati dengan keadaan pahit getir rakyat Palestin.

Sukarelawan Malaysia turut menceritakan pengalaman digari selama 15 jam atau lebih dan ditendang tentera Israel. Beberapa orang daripada mereka juga telah dibogelkan ketika diperiksa.

Noorazman berkata: "Kami dipisahkan, dan jika anda bersama-sama seorang lagi rakyat Malaysia, anda dianggap bertuah. Perkara itu menyebabkan kami risau mengenai nasib yang lain. Contoh lain, kami dimarahi apabila cuba bercakap sesama sendiri."

Wartawan penyiaran Astro Awani Ashwad Ismail pula amat mengagumi semangat sukarelawan Malaysia.

"Saya banyak belajar daripada mereka. Mereka adalah kumpulan yang berdedikasi dan setiap orang mempunyai semangat juang yang kuat," kata beliau yang berusia 25 tahun dan ditemani jurukamera stesen televisyen itu, Shamsul Kamal Abdul Latip dalam konvoi tersebut.

Ashwad menyifatkan dirinya seolah-olah diberi penghormatan untuk melaporkan mengenai misi bantuan kemanusiaan itu dan beliau juga berpeluang melihat konflik Palestin dan Israel sejak berdekad lepas, dalam tempoh sehari lebih.

Penganjur konvoi kemanusiaan tersebut yang digelar "Freedom Flotilla" berkata mereka membawa bekalan ubat-ubatan, bahan binaan dan barangan sekolah ke Gaza.

Muslim Care Malaysia yang diwakili Halim Mohamed Redzuan berkata, pihaknya membawa 300 set beg sekolah dan hampir 2,000 batang pen dan pensel.

"Perkara ini, seperti yang disebut oleh penganjur bantuan kemanusiaan ke Gaza iaitu IHH, adalah bagi membuktikan bahawa konvoi ini bersifat aman," katanya.

Namun, keadaan yang berlaku selepas itu adalah sebaliknya.

Dr Syed Muhammad Haleem juga menggambarkan keadaan di atas kapal Mavi Marmara bagaikan zon perang di mana keadaan hiruk-pikuk berlaku apabila tembakan dilepaskan ke arah aktivis.

Turut diceritakan ialah bagaimana beliau terpaksa bersembahyang dengan memakai seluar yang dicemari darah ketika berhenti sekejap daripada merawat mangsa yang cedera.

Beliau juga telah disoal tentera Israel yang bersenjatakan senapang sama ada mencintai rakyat Palestin -- yang diakuinya dengan tegas.

"Ketika melihat ke dalam mata beberapa tentera Israel, saya dapat merasakan bahawa mereka sebenarnya adalah pengecut," kata doktor itu.

Bagaimanapun, ujian terbesar buatnya adalah ketika beliau merawat dua komando Israel yang cedera.

"Pada mulanya, saya tidak menyedari perkara ini sehingga dimaklumkan seseorang. Bagaimanapun, sebagai seorang doktor, tugas saya adalah merawat pesakit.

"Memang terlintas juga di fikiran saya bahawa mereka adalah musuh. Bagaimanapun, tugas saya berbeza.

"Islam mengajar bahawa apabila musuh datang kepada anda sebagai tawanan, mereka perlu dilayan sebaik mungkin," katanya.

-- BERNAMA

'Politik dia pelik sikit' - Apakah Pasir Mas Tetap Sayang Ibrahim Ali???

Datuk Ibrahim Ali sentiasa berusaha untuk mengekalkan popularitinya di kalangan masyarakat, menurut penduduk di kawasan yang diwakilinya -- Pasir Mas, Kelantan.

Langkah itulah yang membolehkan dirinya sentiasa diingati oleh pengundi di kawasan tersebut, di samping kelantangannya
mengutarakan isu-isu melibatkan numiputera di Dewan Rakyat.

Bagi kawasan yang majoritinya penduduk Melayu seperti Pasir Mas, isu berkenaan merupakan modal utama Ibrahim bagi memenangi hati mereka.

Selain itu, menurut seorang penduduk tempatan yang ditemubual, Ibrahim juga dilihat sebagai seorang pemimpin yang "mesra rakyat" serta mudah untuk didekati.

Pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Abang Yie (kiri) berkata Ibrahim "tidak memilih" dalam mendekati masyarakat di sini.

"Dalam kedai kopi mana pun dia masuk untuk berbual. Dia bukannya macam sesetengah pemimpin, bila jadi ahli parlimen, susah untuk ditemui. Dia mudah," kata Abang Yie, 46.

Katanya lagi, sumbangan paling besar Ibrahim, yang sentiasa diingati oleh penduduk di sini ialah pembinaan Jambatan Sultan Ismail Petra yang menghubungkan Tendong dan Kampung Pendek di Pasir Mas.

Jambatan yang dirasmikan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada September 2002 itu juga dikenali dengan nama 'Jambatan Ibrahim Ali' oleh penduduk tempatan.

'PERKASA bukan pertubuhan rahsia'

"Jambatan (di) Tendong itu orang panggil (dengan nama) Jambatan Ibrahim Ali. Atas usaha dialah (buat jambatan itu). Banyak lagilah (usaha beliau), yang kita tidak tahu pun banyak juga," kata Abang Yie lagi.

Abang Yie juga berkata Ibrahim Ali juga popular kerana beliau mengambil berat kaum bumiputera.

"(Ibrahim) bukan perkauman, tapi Bumiputera memang dia ambil berat," kata Abang Yie lagi.

Tambahnya, beliau juga mengetahui mengenai kewujudan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

"Tapi saya belum masuk lagi jadi ahli sebab tak ada masa nak pergi sedangkan saya tahu pejabatnya di Jalan Pengkalan Batu (Pasir Mas). (Pejabat itu terletak) kira-kira 2 kilometer daripada sini.

"Aktiviti PERKASA ini saya tidak tahu sebab saya belum sertai lagi. Ada kawan-kawan yang masuk, tapi kita belum sertai lagi.

"(PERKASA) bukanlah pertubuhan rahsia. Dia memang buat (aktiviti) secara terbuka. Cuma kawan-kawan (saya) saja yang masuk (jadi ahli). Saya sibuk bekerja," katanya lagi.

Latar belakang Ibrahim Ali yang sebelum ini sering melompat parti sehinggalah sekarang menjadi wakil bebas, nyata tidak menggugat sokongan masyarakat di sini, seperti Abang Yie.

95% harapan menang

"Kalau Tok Him masuk mana pun, (parti) bulat ke, segi apa pun, pengaruh dia banyak di kawasan Pasir Mas ini. Daripada dulu lagi. Kalau dia masuk ke manapun memang boleh menang.

"Bukanlah 100 peratus, 95 peratus itu ada harapanlah untuk dia menang. Asal letak dia sebagai calon, mesti menang," katanya dengan yakin.

Bagi seorang warga emas di sini pula, Ibrahim Ali juga bukanlah seorang yang asing bagi kawasan tersebut.

Abdullah Yunus (kanan), 74, berkata, Ibrahim Ali mengenalinya dan sentiasa datang ke kedai makannya apabila berada di Pasir Mas.

Ibrahim juga akan membayar harga makanan dan minuman bagi setiap orang yang makan di kedai tersebut, setiap kali kunjungannya, kata Abdullah.

"Dia buat begitu (belanja makan) sebab hendak orang suka kepada dialah," kata Abdullah ketika ditemui di kedainya yang terletak di Bangunan Parti Semangat 46, di tengah-tengah bandar Pasir Mas.

Katanya lagi, kalangan masyarakat di sini masih berbelah bagi untuk menerima Ibrahim Ali. Abdullah sendiri tertanya-tanya sama ada Umno atau BN akan kembali menerima Ibrahim.

Abdullah juga berkata, beliau tidak dapat membaca sikap sebenar yang ditunjukkan Ibrahim di sebalik tindakannya yang sering berubah pendirian politik. Namun, beliau yakin masih ada penyokong PAS yang akan tetap menyokong wakil bebas itu.

'Politik dia pelik sikit'

"Politik dia ni, pelik sikit. Dia suka sebelah mana dia nampak kuat," katanya.

"Orang tak boleh baca (tindakan dia). Banyak orang tak boleh baca. Pergi tanya sesiapa pun, ramai yang tidak boleh baca.

"(penyokong PAS (akan) bagi (undi) kepada dia. Memang dia banyak tidak setuju (dengan) PAS, tapi susahlah Ibrahim Ali ni. Semua orang kata susah Ibrahim Ali.

"Tapi (penyokong) PAS ini dia tidak kira. Asalkan orang boleh menang, dia akan terus pangkah. Dia tidak kira," katanya.

Abdullah berkata, Ibrahim juga popular di kalangan penyokong PAS kerana sikap murah hati yang ditunjukkan.

"Dia memang tidak kisah masuk ke dalam kampung mana-mana pun. Kalau masuk dalam kedai (penyokong PAS) pun dia akan belanja semua orang. Kalau hendak panggil kenduri besar-besar dia akan panggil (semua orang). Sebab itu sesengah orang suka (kepadanya)," katanya lagi.

Tambahnya lagi, Ibrahim sememangnya karakter yang sesuai untuk memperjuang isu-isu melibatkan kepentingan Melayu kerana beliau dilihat bersemangat apabila berhadapan dengan isu seperti itu.

Namun cukupkah dengan semangat itu sahaja?

"Ya, itulah sebabnya nampak kelemahan dia. Dia punya 'angin' tu, tak tahulah kenapa (dia bersikap begitu," katanya.

"Kalau hendak bercakap soal cukai, dia akan ganggu juga (kerajaan). Dia akan pertahan (hak rakyat).

"Tapi dia degil. Orang (banyak mengadu) pasal perangai dia... jenis tak harap kepada orang," katanya lagi.

Ditanya pendiriannya sendiri terhadap Ibrahim, Abdullah berkata: "Suka pun macam itu sajalah... Saya ingat Ibrahim Ali ini, kalau dia tidak bertanding lagi lepas ini tak apalah. Orang lain boleh masuk lagi," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.