Jom Kita Tengok Sapa Yang Kena : Rakyat Masih Diperbodoh Isu Banjir Di Kedah

oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Kedatangan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kedah 19 Januari lalu adalah road show biasa dibuat oleh mana-mana Pengerusi BN menjelang pilihanraya umum. Rakyat dihimpunkan oleh jentera kerajaan Pusat kononnya untuk majlis ramah mesra dengan Perdana Menteri, tetapi apa yang dihidangkan kemudiannya ialah ucapan politik pemimpin utama BN; berkempen supaya rakyat menyokong BN, mencaci dan memfitnah pembangkang. Termasuk yang menjadi sasaran fitnah ialah kerajaan negeri Kedah.

Sewaktu semua ceramah politik terbuka diharamkam di negeri ini, BN diberi kelonggaran berceramah oleh pihak polis. RTM menyiarkan secara langsung program Presiden Umno bertemu rakyat yang diadakan di Sungai Petani itu.

Radio Malaysia Kedah FM melaporkan kehadiran orang ramai mencecah 25 ribu. Sejurus selepas itu Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah memaklumkan bahawa kehadiran orang ramai adalah di sekitar 15 ribu. Najib yang bangun berucap menyebut bahawa kehadiran orang ramai pada petang itu ialah 10 ribu orang. Yang Mana satu betul?

Kecelaruan yang berlaku itu adalah muqaddimah terhadap kecelaruan selanjutnya yang dibuat Najib hingga menyebabkan pemimpin BN Kedah yang menanggung padah. Dalam ucapannya Najib beritahu, kerajaan negeri langsung tidak bantu rakyat dalam peristiwa banjir yang melanda Kedah. Sebaliknya BN yang memberi pelbagai bantuan. Selain wang tunai RM500 untuk setiap keluarga, Pusat katanya telah memberi sumbangan tilam dan dapur gas kepada setiap mangsa banjir. Ucapannya didengar oleh seluruh rakyat Kedah.

Sekarang Mat Bashah, wakil rakyat BN dan JKKK sudah pening untuk menjawab setiap mangsa banjir yang tidak dapat tilam atau dapur gas. Isu tilam menjadi hangat sebulan lepas banjir apabila Umno mengagihkan bantuan hanya untuk menyokong terpilih mereka sahaja. Penyokong PAS tak dapat biasa, tetapi apabila ramai penyokong Umno sendiri yang tak dapat mereka buat protes.

Tilam bukan isu besar tapi, bagi Umno apa saja habuan duniawi boleh jadi asas untuk mereka bergasak sesama sendiri. Lebih 90 peratus punca pertikaian dalam Umno berpunca dari isu fulus. Mereka berkelahi merebut jawatan pun kerana di situ ada sumber kewangan.

Ekoran ucapan Najib itu juga ramai kalangan mangsa banjir yang rasa tertipu dengan janji-janji manis BN kerana mereka belum merasa sesen pun wang ehsan banjir. Memang ada yang telah dapat, RM500 untuk sebuah keluarga, tetapi kebanyakan ahli-ahli Umno. Ramai mempertikaikan tindakan ‘kerajaan kedua’ di Kedah yang tidak bersikap professional dalam agihan bantuan banjir, walhal sumber kewangan dana banjir adalah dari wang kerajaan Pusat hasil cukai yang dikutip dari rakyat jelata.

Pada 23 Januari lalu, sebahagian mangsa banjir yang terdiri dari orang-orang Cina dari beberapa buah taman perumahan sudah hilang sabar akibat beberapa kali tertipu dalam isu banjir ini. Mereka hadir beramai-ramai ke Pusat Khidmat Ahmad Bashah yang menumpang di pejabat penghulu Mukim Mergong.

Pengerusi Umno Kedah itu tiada di pejabat, maka kakitangan pejabatlah yang menjadi sasaran kemarahan. Masing-masing bersingsing lengan, mujurlah pihak polis segera menghantar anggota-anggotanya mengawal keadaan. Dari pejabat Ahmad Bashah mereka bergegas pula ke pejabat Ahli Parlimen Alor Setar, Datuk Chor Chee Heung. Ramai anggota polis dihantar ke situ pula untuk mengawal keadaan. Kasihan pihak polis, malam sibuk mengawal ceramah pembangkang tanpa permit, siang sibuk pula mengawal pejabat wakil rakyat BN. Tapi cerita-cerita seperti ini digelapkan oleh media-media talibarut BN.

Menurut seorang mangsa banjir yang membuat protes itu, borang pendaftaran mangsa banjir telah diisi olehnya dan diserahkan melalui wakil MCA. Namanya tercicir kononnya kerana kegagalan mendapat pengesahan di borang tapi ada juga yang tersenarai.

“Bila ditanya nak cop di mana?, mereka suruh minta di pejabat UMNO,” ujar mangsa. Pihak pejabat Umno pula didakwa menyuruh borang itu dirujukkan kepada JKKKP. Mangsa banjir ditendang ke sana sini macam bola.

Menurut seorang mangsa banjir mendedahkan, beratus-ratus slip pendaftaran mangsa banjir tidak disahkan walaupun tarikh akhir untuk berbuat demikian adalah 6 Januari lalu.

Peristiwa banjir besar di Kedah hampir tiga bulan berlalu, tapi Pusat masih gagal menangani isu bantuan terhadap mangsa. Puncanya ialah kerana mereka tiada keikhlasan untuk membantu, sebaliknya semata-mata kerana politik.

Masa BN dulu semua bantuan Pusat disalurkan melalui jentera Negeri. Negeri mempunyai struktur birokrasi yang lengkap sehingga ke akar umbi. Ia berbeza dengan keupayaan Pusat di negeri-negeri. Selayaknya Pejabat Daerah dan penghulu diberi tanggungjawab, tetapi Pusat memilih rangkaian parti BN yang lemah dan langsung tidak boleh diharap.

Surat jemputan kepada mangsa untuk menerima bantuan pun menggunakan kepala surat Umno, walhal guna duit Kerajaan Pusat. Tempat menerima bantuan adalah pejabat Umno dan tukang hulur cek pun pemimpin Umno. Harapan mereka rakyat anggap itu sumbangan Umno/BN dan terus beri mandat pada BN.

Zaman ICT ini rakyat bukan boleh diperbodohkan semudah itu. Generasi yang ada hari ini umumnya bersekolah dan cerdik. Kedatangan Najib ke Kedah diharap membawa gelombang ‘BN Menang, Kedah Senang’. Rupanya selepas beliau pulang, pemimpin BN pula yang pening kepala hadapi kerenah rakyat, gara-gara ceramah politik seorang Perdana Menteri.

Protes Sejuta Rakyat Mesir : Tentera Di Kerah Sekat Laluan Menuju Bandar Kaherah & Iskandariah

27 Safar 1432H.


KAHERAH: Tentera Mesir membuat sekatan jalan raya menuju masuk bandar itu dan bandar lain menjelang protes besar-besaran bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Lebuhraya yang menghubungkan bandar Iskandariah dan Kaherah disekat oleh pusat pemeriksaan tentera kira-kira satu kilometer dari pinggir ibu negara berkenaan. Trak dan kereta yang membawa barangan dan menuju Kaherah kelihatan diarahkan supaya meletak kenderaan mereka di tepi jalan pada ketika tentera melarang kenderaan meneruskan perjalanan. Di laluan lain pula, kereta dan bas mini diperiksa sebelum dibenarkan memasuki Iskandariah, bandar kedua terbesar Mesir.

Sementara itu, jalan raya keluar dari bandar Mansura, bandar Suez dan Fayum, selatan Kaherah turut disekat pihak tentera. - AFT.

Kempen Anti Saman Ekor (KASE) : Kempen Bantah Saman Automatik JPJ

Kempen Anti Saman Ekor (KASE) hari ini menggiatkan kempennya ke atas usaha Jabatan Pengangkutan Jalan menswastakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Kempen berkenaan dijalankan dengan mengedarkan risalah kepada pengguna jalan raya di beberapa plaza tol di Kuala Lumpur.

NONEPengerusi KASE Datuk Mahfuz Omar Sena mengetuai pasukan sukarelawan berkenaan yang mengedarkan risalah berkenaan di plaza tol Sungai Besi petang ini.

Beliau yang juga naib presiden PAS berkata, kempen itu dijalankan sempena pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan yang berkuasa hari ini.

Tambahnya, pindaan berkenaan, termasuk penswastaan AES tidak akan memberi penyelesaian dan hanya akan menimbulkan lebih banyak masalah serta persoalan, katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Katanya lagi, kumpulan berkenaan turut bercadang untuk mengedarkan 20,000 risalah ke kawasan tol plaza Gombak, Sungai Buloh dan Shah Alam.

KASE ditubuhkan oleh Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS sejak Ogos tahun lalu bagi menggiatkan kempen bagi membantah penguatkuasaan saman melalui pembuktian fotografi oleh.

PAS Desak Kerajaan Bawa Pulang Rakyat Malaysia Di Mesir Segera

PAS hari ini tampil mendesak kerajaan supaya segera membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Mesir dan bukannya memindahkan mereka ke negara-negara jiran di rantau berkenaan.

Naib presidennya Nasharuddin Mat Isa berkata protes yang dijalankan warga Mesir kini sudah menjadi tidak terkawal dan telahpun menular ke negara-negara di rantau itu.

"Saya minta supaya pihak Kementerian Luar Negeri menyediakan beberapa buah kapal terbang dan segera mengambil semua rakyat Malaysia yang dilaporkan berada dalam keadaan tidak selamat di Mesir.

"Saya berpendapat tindakan kerajaan mahu menghantar pelajar-pelajar Malaysia yang berada di sana ke negara jiran seperti Jordan, Libya dan Arab Saudi adalah kurang tepat memandangkan protes kebangkitan rakyat telah menjalar ke beberapa buah lagi negara di Timur Tengah termasuk di Jordan sendiri," katanya.

Katanya lagi, warga Malaysia di negara kawasan Alexandria di Mesir kini tertekan kerana berada bawah perintah berkurung dan amat sukar untuk mendapatkan makanan.

Tambahnya, kes jenayah juga dibimbangi akan berlaku memandangkan "sejumlah besar banduan telah berjaya meloloskan diri daripada penjara."

"Selain itu, kawasan Tir'ah pula berada dalam keadaan yang tidak selamat. Kawasan Mansurah pula telah dilabelkan kod jingga sebagai tanda amaran akan berlakunya rusuhan secara besar-besaran," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Tidak Bersikap Profesional Pelakon Filem Azura 2011 Tarik Diri

Gambit

PETALING JAYA: Pelakon Gambit Saifullah,26, kurang senang apabila dituduh besar kepala termasuk meletakkan harga tinggi iaitu sebanyak RM50,000 untuk membintangi filem Azura 2011 arahan Aziz M. Osman.



Sebaliknya pelakon itu mendakwa isteri pengarah tersebut iaitu Puteri Lily Lokman tidak bersikap profesional kerana gagal memberi sebut harga yang sebenar ketika menawarkan dia watak Zack untuk filem itu.



Kata Gambit, dia terkejut apabila perjanjian harga yang sepatutnya dianggap sulit, telah didedahkan kepada heroin filem tersebut iaitu Neelofa dan menganggap cara Lily bekerja adalah tidak matang.

"Saya tak mahu panjangkan isu ini dan dengan penjelasan yang diberi, saya harap semua pihak faham dengan kedudukan saya yang sebenar.



"Perbincangan dibuat antara Lily dan pengurus saya iaitu Nor pada 16 Januari lalu. Pada mulanya kami telah mencapai persetujuan apabila pihak Lily bersetuju dengan bayaran RM40,000 untuk saya membintangi filem itu.



“Kemudian tidak sampai satu jam selepas persetujuan itu, pihak Lily memaklumkan harga diturunkan kepada RM35,000.



"Lebih memeranjatkan pada keesokan harinya saya menerima panggilan telefon daripada Neelofa yang memujuk saya agar menerima tawaran RM35,000 itu. Saya tertanya-tanya mengapa Lily boleh mendedahkan bayaran berkenaan kepada pelakon lain?" soalnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.



Tambah pelakon itu, dia menerima harga tersebut selepas Aziz menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan persetujuan sama ada dia menerima ataupun menolak tawaran berkenaan.



Kata Gambit lagi, dia lebih kecewa apabila pengurusnya memberitahu, isteri Aziz sekali lagi bertindak tidak matang apabila terus menurunkan harga sebanyak RM5,000 lagi kepada RM30,000.



"Saya rasa diri dipersendakan apabila Lily bermain tarik tali tentang tawaran harga tersebut. Daripada RM40,000 menjadi RM35,000 dan akhirnya dia tawarkan saya RM30,000. Adakan ia satu cara yang profesional?



"Bayangkan, saya terpaksa membatalkan tawaran berlakon filem lain kerana filem Azura 2011 ini di mana ia membabitkan penggambaran di Paris dan London selama 10 hari dan beberapa minggu di sekitar Malaysia.



"Saya tahu Aziz merupakan seorang pengarah filem yang berpengalaman. Tetapi isterinya mungkin terlalu muda untuk menguruskan mengenai tawaran perjanjian harga,” katanya.



Dengan penjelasan yang diberikan ini, Gambit berharap tiada lagi kontroversi remeh yang boleh menjejaskan karier lakonannya kerana dia ingin memberi tumpuan dalam kerjaya seninya.



Azura 2011 merupakan kesinambungan filem Azura arahan Deddy M. Borhan yang diterbitkan pada tahun 1984 lakonan Jamal Abdillah sebagai Zack sementara Ogy Ahmad Daud sebagai Azura.



Akibat masalah yang timbul itu tempat Gambit dikatakan digantikan oleh pelakon baru Shahz Jaszle.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.