PAS hari ini tampil mendesak kerajaan supaya segera membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Mesir dan bukannya memindahkan mereka ke negara-negara jiran di rantau berkenaan.
Naib presidennya Nasharuddin Mat Isa berkata protes yang dijalankan warga Mesir kini sudah menjadi tidak terkawal dan telahpun menular ke negara-negara di rantau itu.
"Saya minta supaya pihak Kementerian Luar Negeri menyediakan beberapa buah kapal terbang dan segera mengambil semua rakyat Malaysia yang dilaporkan berada dalam keadaan tidak selamat di Mesir.
"Saya berpendapat tindakan kerajaan mahu menghantar pelajar-pelajar Malaysia yang berada di sana ke negara jiran seperti Jordan, Libya dan Arab Saudi adalah kurang tepat memandangkan protes kebangkitan rakyat telah menjalar ke beberapa buah lagi negara di Timur Tengah termasuk di Jordan sendiri," katanya.
Katanya lagi, warga Malaysia di negara kawasan Alexandria di Mesir kini tertekan kerana berada bawah perintah berkurung dan amat sukar untuk mendapatkan makanan.Tambahnya, kes jenayah juga dibimbangi akan berlaku memandangkan "sejumlah besar banduan telah berjaya meloloskan diri daripada penjara."
"Selain itu, kawasan Tir'ah pula berada dalam keadaan yang tidak selamat. Kawasan Mansurah pula telah dilabelkan kod jingga sebagai tanda amaran akan berlakunya rusuhan secara besar-besaran," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.
0 comments:
Post a Comment