Cerita Disebalik Perceraian Roslin

Roslin (tengah) ketika di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, Rabu. - Foto oleh AU YEONG HOW

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Roslin Hashim,35, (gambar) memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur di sini, Rabu, bahawa dia telah melafazkan cerai ke atas isterinya, Norhayati Othman,38, dalam keadaan tegang setelah didesak oleh isteri serta ibu mertuanya.

Menurut Roslin, mereka telah memaksanya melafazkan cerai setelah mengesyaki dia berada berdua-duaan dengan produser filem terkenal, Raja Azmi Raja Sulaiman ketika mereka menyerbu bilik bernombor 533 Hotel Corus, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu, kira-kira pukul 8.30 malam.

Norhayati (kiri) di samping peguamnya di mahkamah syariah yang sama, Rabu.

Pada petang ini, kes sebutan pertama pengesahan cerai yang difailkan Norhayati selaku plaintif terhadap suaminya didengar di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad.

Roslin hadir ke mahkamah pada kira-kira pukul 2.38 petang dengan ditemani seorang saudara.

Manakala Norhayati yang berbaju kurung bertudung kelabu pula hadir lebih awal iaitu kira-kira pukul 2 petang.

Roslin diwakili peguam Roslizam Rahim manakala Norhayati yang juga Pengarah Pemasaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) diwakili Zulqarnain Lukman.

Ketika ditanya oleh Wan Mahyuddin Wan Muhammad kenapa dia mahu memfailkan penceraian, Norhayati memberitahu mahkamah bahawa dia mendapat tahu suaminya berlaku curang apabila pergi ke Hotel Corus bersama Raja Azmi.

Katanya, dia mengetahui suaminya telah mendaftar masuk ke hotel di bilik 533 yang didaftar di bawah nama produser itu.

"Kami sekeluarga termasuk ibu, dua adik saya telah ke tingkat lima. Di sini, kami tunggu Jalani Sidek (suami Raja Azmi) untuk membawa kami ke Bilik 533 tetapi dia cuba melengah-lengahkan perjalanan untuk ke bilik tersebut," katanya.

Norhayati mendakwa Jalani telah menelefon Roslin supaya keluar dari bilik berkenaan kerana dia bimbang pegawai jabatan agama akan menangkap dia dan Raja Azmi yang berada di dalam bilik berkenaan. Setibanya di bilik tersebut, menurutnya, Roslin bagaimanapun sudah keluar dan hanya tinggal Raja Azmi seorang diri.

Sehubungan itu, Norhayati meminta Jalani menelefon Roslin supaya datang ke bilik berkenaan untuk bersemuka bagi menjelaskan keadaan sebenar sehinggalah berlakunya perdebatan.

Katanya akibat tidak dapat menahan sabar akhirnya Roslin telah melafazkan talak “I cerai you-lah.”

Sementara itu Roslim ketika memberi keterangan sewaktu disoal oleh peguamnya, Roslizam memberitahu mengaku melafazkan cerai berkenaan.

Kata Roslin tiada siapa yang memaksanya untuk melafazkan cerai terhadap Norhayati.

Bagaimanapun Roslin amat marah kerana Norhayati cuba mengaibkannya dengan menghubungi pejabat agama dan juga wartawan untuk menangkap dia dan Raja Azmi.

Ketika ditanya oleh Roslizam apakah hubungannya dengan produser filem itu, ujar Roslin, dia telah mengenali Raja Azmi sejak 12 tahun lalu dan menganggapnya seperti kakak dan ibu.

Katanya ketika Norhayati tiba di hotel itu dia berada di luar dan kembali semula 20 minit kemudian. Pada ketika itulah berlakunya perdebatan sehingga menyebabkan dia melafazkan cerai.

“Kalau dia betul syak saya ada hubungan dengan Raja Azmi, kenapa tidak berterus terang dengan saya. Apa sebenarnya dia mahu?” soalnya.

Menurut Roslin, dia tiada niat untuk melafazkan cerai terhadap Norhayati sebaliknya sekadar meyebut perkataan itu tanpa ada bilangan talak.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan perbicaraan dengan menetapkan 1 September dan 22 September depan untuk pihak plaintif dan defendan memfailkan hujah bertulis.

Kedua-dua pasangan tersebut bernikah pada 9 Julai lalu selepas berkenalan tidak sampai lima bulan.

Bagaimanapun sebelum ini Roslin mengejutkan banyak pihak apabila perkahwinannya dengan Faizah Mohamad,32, pada 30 Januari 2009 tidak bertahan lama apabila mereka bercerai selepas 12 hari menjadi suami isteri.

Isu Perkauman Pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Selesai : KPP Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom hari ini menyatakan kenyataan seorang pengetua sekolah menengah di Johor yang didakwa bersifat perkauman hanyalah salah faham dan perkara itu telah diselesaikan.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Siti Inshah Mansor sebelum ini dikatakan mengeluar kenyataan “Pelajar Cina... boleh pulang ke China,” dan menyamakan gelang keagamaan kaum India seperti rantai anjing ketika perhimpunan sekolah itu.

Alimuddin menafikan pengetua itu telah ditukarkan ke sekolah lain.

“Tiada perubahan, isu ini hanyalah salah faham dan telah diselesaikan antara pengetua dan pelajar,” kata beliau kepada The Malaysian Insider menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Polis sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan provokasi yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun maksimum atau denda atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan sejumlah 17 aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kulai Jaya DSP Mohd Kamil Sukarmi memberitahu wartawan bahawa polis akan memanggil Siti Inshah untuk memberi keterangan hari ini.

Khamis lalu, pengetua tersebut dilaporkan membuat komen bersifat menghina semasa perasmian sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah.

“Pelajar Cina tidak diperlukan di sini dan boleh pulang ke China atau Sekolah Foon Yew. Kepada pelajar India, rantai keagamaan yang dipakai di leher dan tangan membuatkan mereka kelihatan seperti anjing kerana hanya anjing diikat sebegitu,” Siti Inshah dilaporkan berkata dalam sekurang-kurangnya satu laporan polis.

Penolong Pengarah Pelajaran Negeri Markom Giran juga telah mengeluarkan kenyataan pengetua itu ‘direhatkan’ sementara menunggu tindakan disiplin.

Pentadbiran sekolah mengesahkan bahawa pengetua itu telah pun bercuti semenjak semalam dan hanya akan kembali bertugas Isnin depan.

Semalam, Lim Kit Siang menyarankan kerajaan untuk mengambil tindakan tegas ke atas pengetua tersebut kerana membuat komen menghina dan bersifat perkauman ketika perhimpunan sekolah.

Kain Rentang Punya Pasal DS Anwar Turut Dirakam Kenyataan

Tiga anggota polis hari ini merakamkan kenyataan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti itu di Tropicana, Petaling Jaya.

Anwar yang juga ketua pembangkang tiba pada jam 10.38 pagi ini dengan diiringi oleh tiga pengawal keselamatannya.

Tur
ut hadir adalah ketua penerangan PKR, Latheefa Koya dan bendahari PKR William Leong, yang juga merupakan peguamnya.

DSP Che Mahazan Che Aik dan pegawai penyiasat ASP Aziz
Abdullah tiba kira-kira pada jam 11.45 pagi dan bersama Anwar serta pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng selama hampir satu jam.

Keterangan itu adalah bagi membantu siasatan berhubung penggunaan foto Sultan Johor pada kain rentang yang kononnya digunakan oleh penganjur bagi satu program ceramah yang di Batu Pahat, Johor bulan lalu.

Kain rentang itu didakwa oleh penyokong dan pemimpin Umno, termasuk oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tindakan tidak bertanggungjawab kerana mengheret Raja-raja Melayu ke kancah politik.

Bagaimanapun Chua dan beberapa pemimpin PKR lain menafikan parti itu bertanggungjawab menaikkan kain rentang berkenaan dan telah membuat laporan polis.

Mereka sebaliknya menuduh Umno sebagai dalang di sebalik kain rentang itu.

Pada sidang media selepas dirakamkan kenyataannya, Anwar Ibrahim berkata isu kain rentang provokatif itu yang bertujuan mengheret institusi diraja ke kancah politik kepartian sebagai muslihat dan niat buruk dengan matlamat menimbulkan kemarahan rakyat Johor, terutamanya di kawasan majoriti Melayu di luar bandar.

"Sudah tentu perkara ini tidak menguntungkan PKR ataupun Pakatan Rakyat. Ia sengaja dihantar ke kawasan majoriti orang Melayu, seolah-olah kita memperkenalkan Datuk Chua Jui sebagai Menteri Besar Johor.

"Ini tidak benar. Apa yang diputuskan oleh parti adalah beliau dilantik untuk membina kekuatan bagi PKR dan Pakatan Rakyat di negeri Johor.

"Tidak pernah menjadi amalan kita (untuk melakukan perkara tersebut). Apatah lagi apabila ia melibatkan nama baik Tuanku Sultan Johor. Jadi kita minta pihak polis siasat dengan segera dan teliti," kata Anwar.

Keterangan itu dibuat mengikut seksyen 112 kanun Prosedur Jenayah.

Chua pula berkata tindakan pihak yang cuba mengaitkan PKR adalah satu tindakan yang berniat jahat untuk menyebabkan Sultan Johor murka kepada parti.

"Kita tidak sebegitu bodoh untuk katakan, yang saya dicalonkan sebagai Menteri Besar Johor. Ini adalah satu muslihat yang gagal.

"Sebagai seorang peguam yang terlatih dalam bidang undang-undang, saya tahu bahawa orang Cina seperti saya tidak boleh menjadi Menteri Besar. Ini tak masuk akal dan tak logik langsung.

"Matlamat mereka gagal, kerana tidak ramai orang yang percaya dengan apa yang ditulis di atas kain rentang itu. Tiada siapa yang untung daripada perbuatan mereka ini. Jadi kami minta pegawai polis siasat dengan segera kejadian ini, dan tangkap mereka yang terlibat dengan komplot ini," kata Chua.

Pada 31 Julai lalu, Anwar dijadualkan untuk berucap di program ceramah di Markaz PAS Kampung Sungai Tongkang, Batu Pahat selepas menghadiri majlis makan malam dan perasmian Pakatan Rakyat Batu Pahat di Restoran Grand Sea View, di Jalan Tanjung Labuh.

Namun, pihak penganjur terpaksa membatalkan ceramah berkenaan selepas diserbu oleh pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Tujuh orang termasuk peniaga ditahan di Balai Polis Rengit tetapi mereka dibebaskan dengan jaminan polis keesokan paginya.

Tokoh Lantang ... MP Pas & MP Umno Ditemukan Dalam Forum Isu RMK-10

Dua tokoh parti yang 'bermusuh', Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan ahli biro politik PAS Khalid Samad - yang terkenal dengan kelantangan masing-masing - akan dipertemukan lagi dalam sebuah forum.

Kali ini, mereka berdua dijadual membentangkan analisis berhubung Rancangan Malaysia ke-10 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Menurut penganjurnya,
The Leaders - majalah kewangan terkemuka - forum tersebut diharapkan dapat menyalurkan ringkasan komprehensif terhadap rancangan itu, termasuk membahaskannya daripada aspek modal insan.

"Menemukan dua pihak yang berbeza parti politik, Khairy dan Khalid akan berkongsi pandang mereka berhubung RMK10 dan apa kepentingannya kepada sektor perniagaan dan individu," jelas
The Leaders salam satu kenyataan hari ini.

Pada 1 Ogos
Khairy vs Ibrahim Ali and khalid samad lalu, Khairy dan Khalid telah dipertemukan secara tiga penjuru bersama Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali dalam sebuah forum membincangkan politik ideologi dan bangsa dalam Sidang Kemuncak Pelajar Malaysia ke-4.

Bagaimanapun, tumpuan pelbagai pihak ketika itu hanya berpusat kepada Khairy dan Ibrahim ekoran pertelingkahan dan kata-mengata kedua-dua pemimpin itu dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang panas ketika itu.

Sehubungan itu, pertemuan Rabu depan ini dilihat bakal menghasilkan debat yang hangat dengan hujah-hujah dan sindiran tajam masing-masing.

Ini kerana, disamping mempunyai retorik yang menarik, kedua-dua pemimpin yang sering dirundung kontroversi itu dilihat 'agak intelektual' kerana mendapat pendidikan tinggi daripada universiti luar negera.

NONEMenurut kenyataan The Leaders lagi, majlis tersebut diharapkan memberikan manfaat kepada pemain dalam industri, pegawai kerajaan dan peserta yang hadir, yang mana ia antaranya bertindak sebagai satu 'bedah siasat' kepada RMK10.

"Di akhir program, penganjur harap terdapat pihak pembuat keputusan daripada pelbagai industri bersama-sama berkongsi pandangan dan pengalaman unik masing-masing dalam mendepani cabaran masa lalu dan merancang tindakan untuk masa depan," kata kenyataan itu.

Forum dua bulan sekali
The Leaders sekali merupakan nilai tambah yang ditawarkan oleh penerbitnya MY Events Publication bagi mengemaskan jaringan antara syarikat dan pembuat keputusan.

Majalah dengan edaran 10,000 naskhah itu dikenali peneraju sebagai media untuk perniagaan, berita politik dan trend.

Dr Pornthip Tetap Pertahankan Teoh Bukan Bunuh Diri - Inkues TBH

Ahli patologi forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand mula memberi keterangan di bangunan mahkamah di Shah Alam, jam 9.31 pagi bagi menyambung keterangan inkues kematian Teoh Beng Hock.

Beliau menceritakan penemuan dan kesimpulannya berhubung bedah siasat kedua yang dijalankan.

Pornthip, sebelum ini menimbulkan kontroversi dengan mendakwa hasil pemerhatiannya mendapati kemungkinan 80 peratus kematian Teoh adalah kerana dibunuh manakala 20 peratus lagi akibat bunuh diri.

Kehadirannya di mahkamah pagi ini disambut tepukan gemuruh oleh penyokong Teoh yang memenuhi bilik perbicaraan hari ini.

Aktivis telah berkumpul bagi menghadiri inkues ini bukan sahaja sebagai sokongan kepada Teoh dan mendengar keterangan terbaru Pornthip tetapi juga untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada pejabat Peguam Negara berhubung sekeping 'nota misteri'.

Bekas ketua forensik Unit Siasatan Lokasi Jenayah, Amidon Anan, juga berada di mahkamah hari ini. Beliau hadir atas kapasiti peribadi.

Saksi pertama

Koroner Azmil Munthapa Abas memulakan prosiding dengan memanggil Pornthip sebagai saksi pertamanya.

Beliau kemudian disoal oleh peguam, Malek Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor dengan meneliti laporannya dan beberapa gambar yang diambil pada bedah siasat kedua.

Pornthip berkata beliau mendapati pendarahan di tengkuk Teoh sehingga ke bahagian otot mangsa. Kesan berkenaan juga, katanya lebih luas daripada kesan dicekik kerana cengkaman fizikal di bahagian leher adalah lebih kuat.

Menurut Pornthip berdasarkan 34-35 kes kajiannya hasil jatuh daripada tempat tinggi sebelum ini, tidak ada yang mempunyai kesan seumpama itu. Katanya, dia berpendapat tidak mungkin lebam adalah kerana impak akibat jatuh.

Pornthip juga menolak kemungkinan lebam itu disebabkan keretakan tulang belakang. Beliau mempertahankan pemerhatiannya sebelum ini bahawa ia adalah kecederaan sebelum jatuh yang dilakukan dengan “tekanan dan kuasa yang lebih besar” berbanding dicekik.

Katanya, ia mungkin “ seseorang meletakkan sesuatu di tengkuk Teoh atau menekan kepalanya ke atas sesuatu”.

Tak sependapat dengan Dr Vaneziz

Merujuk laporan bedah siasat pertama, pakar patologi Thailand itu berkata dia tidak boleh menolak kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri semasa jatuh kerana laporan menunjukan berlaku 'cerebral edema'.

Ia menunjukkan Teoh mengalami hypoxia, di mana otak tidak menerima oksigen untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 minit. Hypoxia berlaku akibat salur darah, arteri atau trakea yang tersumbat.

Pornthip tidak bersetuju dengan Dr Peter Vaneziz bahawa tanda pendarahan di tengkuk adalah akibat keretakan pada dagu. Katanya, keretakan dagu hanya membabitkan pendarahan di kawasan kecil dan tidak merebak hingga ke dada. Juga tidak terdapat salur darah besar di dagu yang boleh menyebabkan pendarahan berlebihan.

Pada keterangannya itu, Pornthip juga memberitahu inkues bahawa tiada keretakan pada pergelangan tangan, yang lazimnya berlaku dalam kes apabila seseorang cuba melindungi diri mereka daripada kejatuhan dengan tangan.

Terdapat keretakan dan luka di atas satu daripada pergelangan kaki Teoh tetapi tiada dikesan pada dasar tengkorak mangsa. Justeru, Pornthip berkata dia tidak bersetuju dengan Vaneziz bahawa Teoh mendarat dengan kedua-dua kakinya dan mangsa sedar semasa jatuh.

Pornthip berkata kesan koyak di bahagian dubur dan kecederaan pada bahagian punggung adalah disebabkan akibat kejatuhan dan bukan kerana dipukul seperti yang disangkanya sebelum ini.

Sehubungan itu, Pornthip mempertahankan pendapatnya berhubung kecederaan sebelum kejatuhan tetapi tidak dapat mengesahkan bahawa Teoh sedar semasa jatuh. Beliau juga tidak mahu memberi peratusan punca kematian kerana kesimpulan berdasarkan laporan bedah siasat. Namun Porhthip pasti, kejadian itu bukan percubaan bunuh diri.

Malik selesai menyoal pakar patologi Thailand itu pada jam 10.45 pagi dan perbicaraan disambung dengan giliran peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh pula untuk bertanyakan soalan.

Tapak Penjara Pudu : Pembangunan Akan Dikaji Semula

Pelan pembangunan di tapak Penjara Pudu di Kuala Lumpur akan dikaji semula antaranya bagi memastikan kepentingan bumiputera turut dijaga, kata Pengerusi UDA Holdings Bhd Datuk Nur Jazlan Mohammed.

Selain itu, katanya, perkara yang perlu diambilkira dalam kajian semula itu adalah dari segi pasaran dan juga keupayaan dalaman Uda sendiri.

"Projek ini mungkin memakan masa selama 10 sehingga 15 tahun dan ia merupakan sebuah projek yang besar, justeru selain menjaga kepentingan bumiputera terdapat perkara lain yang perlu juga diperhalusi semula," katanya.

Nur Jazlan ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa Ancasa Hotel bersama 80 anak yatim dari Muassasah Darul Fuqaha di Bangi dan Baitu Saidati Khadijah, Gombak di Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir ialah Pengarah Urusan UDA Datuk Jaafar Abu Hassan.

UDA Holdings sebelum ini dilaporkan akan merubah kawasan Penjara Pudu sebagai ikonik baru Kuala Lumpur yang bakal dikenali Pusat Bandar Bukit Bintang membabitkan kos RM5 bilion.

Projek yang meliputi kawasan seluas kira-kira 7.76 hektar itu akan dibangunkan dalam beberapa fasa membabitkan ruang niaga, menara pejabat, apartmen servis, hotel, pusat komersial dan rekreasi serta hab pengangkutan awam mini.

Nur Jazlan berkata pembangunan tersebut mungkin akan dimulakan pada suku pertama atau kedua tahun depan sejurus selepas pelan pembangunan baru tersebut diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ditanya sama ada gerbang utama penjara itu akan dirobohkan, beliau berkata gerbang tersebut terpaksa dirobohkan jika DBKL mahu melebarkan Jalan Hang Tuah.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedia berunding dengan pihak yang berminat untuk memindahkan struktur pintu gerbang bangunan itu ke tempat lain atas faktor sejarah.

Jun lalu, sebahagian tembok sepanjang 300 meter yang mengelilingi penjara berusia lebih 100 tahun itu dirobohkan bagi membolehkan kerja pelebaran dan laluan bawah tanah Jalan Pudu dilakukan.

- Bernama

Gelombang Tsunami 'Gerakan 4B' Boleh Lumpuhkan UMNO Kedah?


Kedah berombak darat. Bukan di kepulauan Langkawi atau di perairan Kuala Kedah. Bukan PAS dan bukan juga Pakatan Rakyat.

Kali ini UMNO Kedah. Api di dalam sekam sudah mula menampakkan warna kebencian sesama sendiri.

Bashah Hanipah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah merangkap ADUN Bakar Bata yang didakwa segak pada misai sahaja tetapi kerjanya sangat hudoh.

Kawasan DUN Bakar Bata yang diwakilinya selama ini terbiar. Kasihan pengundi di situ. Bashah cuma menang kurang lebih 300 undi sahaja pada pilihanraya 2008 yang lalu.

Selama ini parti pembangkang tidak gemarkan cara politiknya. Kini bukan sahaja ahli UMNO meluat dengannya, malah komponen Barisan Nasional tidak bersetuju dengannya dalam banyak hal.

Khabar bertiup kencang sesama mereka bahawa kepimpinan Pemuda, Wanita dan Puteri mahu dia dibuang segera.

Salah seorang dari Pemuda UMNO mencadangkan slogan "Buang Bashah Bakar Bata"

Semoga slogan 4B ini akan merebahkan Bashah dalam pilihanraya ketiga belas nanti kata mereka.

MP Shah Alam Khuatir Perkasa Sengaja Cetuskan Ketegangan Kaum Untuk BN Gunakan ISA Tahan Pemimpin Pembangkang

SHAH ALAM, 18 Ogos — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad khuatir Perkasa sengaja cuba untuk mencetuskan ketegangan kaum dan agama yang dilihat boleh menyediakan ruang kepada Barisan Nasional (BN) menggunakan semula operasi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pembangkang.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu terbesar itu, berusia dua tahun, kelihatan lantang dan ke hadapan dalam memberi amaran kepada mereka yang mempersoalkan dasar-dasar afirmatif Bumiputera.

Baru-baru ini kumpulan itu membuat laporan polis terhadap sebuah gereja di Shah Alam yang bercadang mengadakan pementasan di sebuah pusat serba guna ramai di ibu negeri Selangor.

Bagaimanapun gereja itu telah membatalkan program mereka sebelum aduan polis Perkasa atas alasan cuti panjang awal bulan depan.

“Saya bimbang dengan keseluruhan strateginya, yang BN gunakan sekarang, menjelang pilihan raya umum akan datang dan (saya khuatir) ia mungkin akan mengadakan (semula) Operasi Lalang,” kata wakil rakyat PAS itu kepada The Malaysian Insider.

Khalid mengulas langkah Perkasa yang membuat aduan polis terhadap Gereja Grace Shah Alam dan pastornya dengan membandingkan tindakan di bawah ISA pada 1987 yang membawa kepada penahanan 106 orang, kebanyakannya pemimpin pembangkang dan aktiviti sosial.

Perkasa mahu gereja itu dan Pastornya Joseph Marcose disiasat kerana merancang mengadakan pementasan Kristian di Shah Alam ketika bulan Ramadan.

Pengerusi Perkasa Petaling Zainal Abidin Ahmad membuat laporan polis agar dijalankan siasatan di bawah peruntukan hasutan.

Sehubungan itu, Khalid percaya bahawa kerajaan BN mencari alasan untuk mengadakan pendekatan sedemikian dan meminta agar rakyat Malaysia mengabaikan “kapal yang sedang tenggelam itu.”

“Mereka sekali lagi telah membuktikan bahawa mereka tidak berupaya untuk menyatukan negara, bertindak dengan matang dan penuh tanggungjawab,” kata Yang Dipertua PAS Shah Alam ini.

Khalid berkata, Perkasa menggerakkan satu lagi paku ke atas keranda BN dengan mencetuskan isu agama dan kaum, yang secara tidak langsung memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Kata Khalid, masyarakat Kristian mempunyai hak untuk menggunakan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), yang terletak di tengah-tengah bandar raya Shah Alam.

Kata wakil rakyat itu, penganjuran program sedemikian di SACC tidak harus menjadi satu masalah selagi ia terhad kepada masyarakat bukan Islam, dan tidak dibuka kepada umat Islam.

Malah kata Khalid, umat Islam juga cukup matang dan berjiwa kental dalam mempertahankan iman dan sama sekali tidak akan terancam dengan program sedemikian.

Zainal Abidin memberitahu The Malaysian Insider bahawa Perkasa mahukan gereja itu dan pastornya disiasat kerana menghasut dan menghina Sultan.

Kata beliau, gereja itu tidak sensitif dengan menganjurkan program sedemikian berjudul “Harapan” di premis SACC ketika bulan Ramadan yang bermula minggu lalu.

Katanya, meskipun program itu hanya untuk masyarakat Kristian tetapi Perkasa bimbang ia bertujuan mengembangkan agama itu di kalangan umat Islam.

Zainal Abidin juga merujuk kepada bazar Ramadan diadakan sekitar SACC manakala kemudahan berbuka puasa pula diadakan dalam presmis itu.

Marcose berkata program 4 September itu yang diadakan sempena Hari Kebangsaan khusus untuk bukan Islam telah dibatalkan ekoran cuti panjang.

Selain membuat laporan polis Perkasa juga telah menghantar memorandum kepada Majlis Agama Islam Selangor dan SACC.

Roslin Hashim Bercerai Lagi? Nak Cipta Rekod Bercerai Pulak Ke???

PETALING JAYA: Jaguh badminton negara, Roslin Hashim,35, (gambar) akan memfailkan penceraian dengan isterinya Norhayati Othman,38, di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, Rabu, selepas sebulan mendirikan rumah tangga.

Mstar Online dimaklumkan, permohonan itu dibuat selepas berlaku masalah dalam rumah tangga yang dibina Roslin dengan Pengarah Pemasaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu.

Kedua-dua pasangan tersebut bernikah pada 9 Julai lalu selepas berkenalan tidak sampai lima bulan.

Bagaimanapun sebelum ini Roslin mengejutkan banyak pihak apabila perkahwinannya dengan Faizah Mohamad,32, pada 30 Januari 2009 tidak bertahan lama apabila mereka bercerai selepas 12 hari menjadi suami isteri.

MS Arjunan, Bekas Calun Keadilan Dakwa Cukup Bukti Untuk Kaitkan Timbalan Menteri Dengan Kegitan Pelacuran, Dadah....


Oleh Dzulkarnain Taib

PETALING JAYA 18 Ogos - M S Arjunan, bekas calun KEADILAN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Chenderiang berkata beliau mempunyai cukup bukti untuk mengaitkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kegiatan pelacuran, dadah dan gangsterime.

Ketika bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di sini petang semalam, Arjunan berkata beliau telah membuat satu laporan polis terhadap Saravanan apabila menerima sepucuk surat daripada ayah kepada seorang pelajar perempuan yang dikatakan menjadi mangsa kegiatan tidak bermoral yang didakwa didalangi Timbalan Menteri daripada MIC itu.

Arjunan, 50, membuat laporan polis itu di ibu pejabat polis daerah Brickfields kira-kira pukul 11.08 malam Sabtu lalu terhadap Ahli Parlimen Tapah itu yang didakwanya terlibat dalam kegiatan pelacuran kelas atasan termasuk membekalkan gadis terdiri pelajar kolej bagi tujuan tidak bermoral.

"Laporan polis yang saya buat hanya sebagai respons kepada aduan yang dibuat oleh ayah kepada seorang mangsa melalui sepucuk surat kepada saya," tegas Arjunan.

Menurut Arjunan lagi pelajar tersebut merukan penuntut Kolej Tafe di Negeri Sembilan antara tahun 1998 hingga 2001.

Beliau berkata hasil daripada laporan di dalam media mengenai pendedahnya seramai tiga orang wanita yang mendakwa menjadi mangsa kepada Saravana telah menaliponnya dan menceritakan pengalaman pahit yang dilalui mereka.

"Semua dakwaan ini kami ada bukti yang telah kami serahkan kepada peguam. Saya akan dedahkan bukti yang ada apabila kes ini di bawa ke mahkamah nanti," kata beliau yang ditemani Ketua Pemuda Persatuan Kamajuan Pelajar-pelajar Tamil Malaysia, A Kalaimughilan.

Arjunan juga membidas kenyataan Pengarah Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Zinin yang menganggap dakwaan terhadap Timbalan Menteri itu sebagai satu tohmahan.

Beliau secara sinis mengucapkan tahniah kepada Mohd Bakri kerana berjaya menyelesaikan dakwaan jenayah yang dilakukan selama lebih 10 tahun hanya dalam tempoh masa 3 jam sahaja.

"Saya nak ucapkan tanhniah kepada Mohd Bakri kerana saya rasa di antara anggota polis terbaik di dunia kerana dapat menyelesaikan masalah berkaitan jenayah yang dilakukan sejak 10 tahun dahulu hanya dalam 3-4 jam sahaja.

"Saya minta beliau supaya betul-betul adil dan jangan sokong sebelah pihak sahaja. Dia mesti jaga kepentingan rakyat. Saya sedia beri kerjasama sepenuhnya kepada beliau dan kalau saya memfitnah Saravanan heret saya ke mahkamah," kata Arjunan kepada Suara Keadilan.

Dalam responsnya kepada dakwaan Arjunan, Saravanan yang juga Naib Presiden MIC menganggap ia sebagai satu tindakan mahu memburukkan nama dan menghancurkan kerjaya politiknya.

Siapa S/U Akhbar Menteri Yang Sedang Disiasat SPRM??

JAM 1:35 pagi tadi seorang kawan lama menghantar SMS bertanya apakah saya sudah dengar cerita seorang setiausaha akhbar seorang menteri telah disiasat oleh SPRM. Katanya, beliau telah diberitahu oleh pegawai di kementerian berkenaan petang tadi. Kawan ini juga bekas pegawai di kementerian berkenaan. Si setiausaha akhbar itu juga merupakan rakan sepejabatnya satu masa dulu.

Walaupun mata sudah mengantuk, saya membalas juga SMS rakan itu dengan memberi tahu tidak dengar lagi. Beliau membalas memberi tahu cerita itu sudah kecur di pejabat kementerian berkenaan. Tidak ramai orang yang tahu. Bagaimana pun pegawai dalaman sudah pun mengetahuinya.

Menurut rakan itu, setiausaha akhbar berkenaan disiasat kerana gaya hidupnya yang mewah. Berkereta BMW, jam tangan berharga RM25k, rumah dekat RM1 juta dan beberlanja seharian cukup mewah. Kekayaan itu katanya tidak mampu dengan pendapatan sebagai seorang setiausaha akhbar. Begitulah kata kawan itu. Tambah beliau lagi setiausaha akhbar ini juga memang baik dengan beberapa ahli politik sejak sebelum menjawat jawatan itu kira-kira tiga tahun lepas.

Bila ditanya bila setiausaha akhbar itu kena siasat kawan itu lupa tarikhnya. Tetapi beliau jamin 100% kejadiannya benar. Menurutnya lagi seorang rakan bekas sepejabat dengan setiausaha akhbar berkenaan juga memberitahunya tentang kejadian itu. Malahan dia sendiri turut disiasat berhubung kes ini.

Hari ini kawan itu berjanji akan memberi maklumat detail mengenai berita ini. Apabila semuanya butiran sudah diperolehi nanti akan diketahuilah siapa gerangan setiausaha akhbar berkenaan. Dan saya juga sedang menghubungi beberapa mata-mata gelap lain untuk mengesahkan berita awal pagi yang penuh sensasi ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.