TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

JOM SAMA2...

JOM SAMA2...

Datuk Siti Nurhaliza Tetap Berusaha Untuk Dapatkan Anak Walaupun Terpaksa Menggunakan Kaedah Tabung Uji (IVF)



SITI tidak mampu untuk menolak permintaan stesen televisyen yang mahu menerbitkan program raya untuknya.


SEJAK mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006, sudah tidak terhitung jumlah soalan mengenai cahaya mata yang diajukan kepadanya.

Setiap kali disoal mengani anak, jawapan Datuk Siti Nurhaliza tidak pernah berubah.

"Masih belum ada rezeki. Insya-Allah, kalau diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata, saya akan mengumumkan kepada semua pihak. Tiada apa yang perlu hendak saya rahsiakan."

Itulah antara jawapan yang sering diberikan Siti kepada sesetengah pihak yang tidak pernah henti bertanyakan soalan itu kepadanya.

Terfikir juga, adakah mereka tidak mengerti atau sengaja buat-buat tidak faham dengan jawapan Siti itu.

Sebagai seorang bintang ternama negara, Siti tidak mungkin akan merahsiakan dan pasti akan memberitahu kepada semua pihak seandainya dia diberikan rezeki untuk menimang zuriatnya sendiri.

Lewat ini, berita kononnya Siti kini sedang hamil kembali menjadi bualan gara-gara dia membatalkan sebuah konsert di Pulau Pinang yang sepatutnya berlangsung pada 25 September lalu.

Ia dikuatkan lagi dengan surat sokongan daripada doktor pakar sakit puan dari Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur yang menyatakan Siti perlu berehat dan tidak dibenarkan menjalani aktiviti berat.

Terbaru, Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dikatakan telah bertemu dengan seorang doktor pakar bagi mendapatkan nasihat ketika berbulan madu sebelum bulan Ramadan lalu.

Bukan itu sahaja, penyanyi popular itu juga dikatakan telah diberikan dengan ubat kesuburan bagi membantu mempercepatkan lagi proses kehamilannya

Semuanya adalah usaha Siti dan Khalid yang tidak pernah lelah untuk terus mencuba menimang cahaya mata mereka sendiri.

Bertemu dengan tuan punya badan sewaktu majlis rumah terbuka anjuran SimplySiti di Restoran Saloma Bistro di ibu negara, baru-baru ini, Siti hanya tersenyum apabila diminta untuk mengesahkan berita tersebut.

Dengan nada berhemah, Siti menafikan bahawa dirinya telah mendapatkan rawatan tersebut seperti mana yang dilaporkan.

"Sewaktu bercuti ke sana, saya dan suami sempat berkunjung ke sebuah pusat akupunktur untuk mendapatkan rawatan alternatif.

"Saya rasa tidak salah untuk kita mencuba rawatan lain selain daripada bertemu dengan doktor pakar. Seperti mana yang kita tahu juga, akupunktur ini memang baik untuk kesihatan dan kita dapat tahu masalah yang dihadapi.

"Apatah lagi, kebaikan ubat dan akar kayu yang sering kali digunakan dalam rawatan itu juga dapat membantu melancarkan sistem dalam badan. Itu yang sebenarnya berlaku ketika di London dan bukannya mendapat rawatan kesuburan itu," luah penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Cindai ini tanpa selindung.

Sudah menjadi seorang isteri selama empat tahun, untuk memegang portfolio sebagai ibu memang cukup diinginkan Siti.

Sebagai hamba Allah, dia cukup sedar dan akur dengan Qada dan Qadar apabila membicarakan tentang soal cahaya mata.

Terfikir juga tidak pernahkah Siti berasa bosan untuk menjawab soalan tentang anak daripada pihak yang seolah-olah tidak faham bahasa yang berterusan bertanyakan soal itu walaupun sudah dijawab berkali-kali oleh Siti.

"Saya cukup sedar dan akur dengan kedudukan saya sebagai seorang artis dan apa sahaja tentang diri kita, masyarakat mahu ambil tahu.

"Namun, saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku kerana ini jalan yang saya pilih dan saya harus menghadapinya dengan tabah serta tenang.

"Jadi, saya tidak boleh berasa marah mahupun geram apabila soal anak sering kali diajukan kepada saya. Apa yang berlaku hanya Allah sahaja yang tahu gelodak di dalam hati saya.

"Insya-Allah, sampai waktu dan ketikanya, saya pasti akan mengumumkannya sebab ia adalah perkara yang baik. Teruskan berdoa untuk saya," pinta juara Bintang HMI 1995 ini dengan maksud yang cukup mendalam.

Siti juga tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan kaedah persenyawaan tabung uji (IVF) dalam usahanya untuk mendapatkan zuriatnya.

Namun, semuanya bergantung kepada keadaan dan masa apabila difikirkannya perlu untuk mencubanya.

Siapa Sahaja Calon UMNO, Pas Tetap Lawan : TG Nik Aziz

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas pada 4 November depan.

pas muktamar 130610 nik abdul aziz nik mat 1Mursyidul Am PAS itu berkata jika Tengku Razaleigh ingin menjadi ADUN, pasti beliau telah bertanding ketika ahli parlimen Gua Musang itu menjadi pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan.

Bagaimanapun Nik Abdul Aziz berkata PAS tidak akan memberi kemenangan percuma jika Tengku Razaleigh menjadi calon di Galas biarpun beliau pernah memberikan sokongan kepada kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS berhubung isu tuntutan royalti minyak.

"Tuntutan royalti dan menentang calon dalam pilihan raya adalah perkara yang berbeza," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Lapan Briged di Kota Bharu hari ini.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, di Kuala Lumpur akibat barah usus pada 27 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Galas pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.

tengku razaleigh speech 110310 01Mengenai tarikh mengundi pilihan raya kecil itu, Nik Abdul Aziz berkata jentera PAS telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.

"Bagi PAS akan yakin menang juga sekalipun yang dicalonkan itu Tengku Razaleigh," katanya.

Mengenai pemilihan calon PAS, beliau berkata pihaknya sudah mempunyai calon yang sesuai untuk diketengahkan.

"Calon memang ada dan sekarang ini makin ramai orang layak jadi calon, kerana kita tunjuk secara fizikal dan praktikalnya di Kelantan, yang mneyebabkan orang Melayu, orang Cina pun sudah tertarik," tambahnya.

- Bernama

SPRM Digesa Siasat Penyelewengan Air Di Negeri Kedah Darul Aman

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat apa yang didakwanya sebagai penyelewengan berhubung isu air semasa Barisan Nasional memerintah negeri itu.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti banyak penyelewengan yang berlaku semasa pemerintahan BN membabitkan isu air dan setiap dakwaan adalah berasaskan fakta serta rekod.

"Kita tengok banyak penyelewengan dari segi harga contohnya pembinaan loji air di Lubuk Buntar (dekat Kulim) untuk 25 juta liter air, kos sebenar pembinaannya ialah antara RM25 juta hingga RM30 juta, tapi wang yang dibelanjakan ialah RM65 juta.

"Maklumat ini kita dapat secara tak rasmi, kalau nak yang rasmi SPRM kena cari," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Nawawi Ahmad semalam bahawa pemimpin BN tidak takut dengan ugutan Azizan untuk mendedahkan mengenai penyelewengan berhubung isu air itu.

Azizan berkata bukan tugasnya untuk membuat laporan kepada SPRM sebaliknya sesiapa sahaja boleh berbuat demikian kerana beliau telah membuat pendedahan mengenai penyelewengan itu.

"Kerja lain banyak lagi nak buat. SPRM kan rajin, tengok (berdasarkan) kenyataan dalam blog pun mereka dah siasat," katanya.

- Bernama

Sidang Akhbar Rahimi Osman Diganggu - Laporan Polis Dibuat Kerana Dipaksa Berkaitan Akaun Bersumpah

Satu sidang akhbar - yang dipercayai ada kaitan dengan perbicaraan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berjalan - oleh bekas pembantunya, Rahimi Osman, dibatalkan ekoran gangguan oleh satu kumpulan.

NONESidang akhbar itu sepatutnya diadakan di restoran Lotus di Klang pada jam 4 petang hari ini, tetapi kemudiannya dibatalkan ekoran kemunculan kumpulan tersebut.

Rahimi (tengah) memberitahu wartawan bahawa dia telah membuat laporan polis di ibupejabat polis daerah Klang pada jam 2 petang ini berhubung dua akuan sumpah (SD) yang dibuat pada 2008.

Peguam Rahimi - S Ravi Chandran - berkata laporan polis dibuat untuk menyatakan bahawa dua akuan bersumpah itu adalah tidak tepat.

Akuan bersumpah itu ada kaitan dengan perbicaraan liwat Anwar yang sedang berjalan, di mana beliau dituduh meliwat seorang lagi bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

NONEMenurut polis Klang, Rahimi telah membuat laporan polis, mendakwa dia telah dipaksa oleh orang Anwar supaya membuat dua akuan bersumpah tersebut.

Ketua polis Klang, Mohamad Mat Yusof mengesahkan menerima laporan tersebut tetapi enggan memberi maklumat lanjut kerana perkara itu telah dipindahkan ke polis daerah Shah Alam.

Rahimi adalah rakan persekolahan Saiful. Dia dipercayai membawa Saiful untuk bekerja dengan Anwar pada 2008. Saiful kemudiannya menggantikan Rahii yang berhenti pada tahun tersebut untuk meneruskan kariernya dalam bidang perniagaan.

Mengapa mengadu tiga tahun kemudian?

Ketika dihubungi, peguam Anwar - N Sankara - menafikan dakwaan bahawa akuan bersumpah itu dibuat secara paksaan.

Pada awalnya, tegas beliau, Rahimi disenaraikan sebagai salah seorang saksi pembelaan Anwar dan dia (Rahimi) membuat akuan bersumpah itu secara sukarela.

Sankara menegaskan bahawa Rahimi tidak dipaksa untuk menandatangani akuan bersumpah itu, tetapi sebaliknya membuatnya secara sukarela.

Lagi pula, tegasnya, mengapa Rahimi menafikannya sekarang selepas kira-kira tiga tahun berlalu.

Terkini: Rahimi Osman Buat Laporan Polis Dakwa Diliwat DS Anwar

Jam 2.00 petang, bertempat di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Klang, seorang pegawai khas Pakatan Rakyat dan Setiausaha Sulit Anwar Ibrahim telah membuat laporan polis yang beliau turut menjadi mangsa liwat Anwar Ibrahim.

Mangsa liwat tersebut adalah Rahimi Osman. Beliau dijangka akan membuat press conference di Lotus PJ pada jam 4.00 petang ini.

Anwar Ibrahim yang kini berada di Rome, Itali bagi menghadiri International Meetings of Prayers for Peace di Church of Sant’Egidio pasti tersentak dengan laporan dan pengakuan yang dibuat oleh Setiausaha Sulit beliau

(ini sumbernya dari blog pencacai UMNO)

Kerajaan Malaysia - Wang Yang Disatukan : Bila Mahu Dibersihkan?

by YB. Dr. Dzul

Asalnya memang malas hendak melayan isu ini. Memang kata orang, kerja orang politik senantiasa hendak menjatuhkan lawan. Mutakhir tampak macam Umno mencetus isu, mengambil sebanyaknya ‘mileage’ dan kemudiannya meninggalkan isu begitu sahaja. Pakatan hanya ‘mengekor’ sahaja dan bertindak reaktif. Contohnya mana isu YB Neo Ching masuk masjid, isu Kalimah Allah dsbnya.

Tak putus-putus serangan dibuat. Tapi kali ini Umno silap congak. PAS dan Pakatan tidak akan izinkan Umno mencetuskan isu dan melenyapkan isu ini begitu sahaja. Kali ini, PAS akan lanjutkan sehingga terlondeh Umno! Isu ini akan akhirnya ke Parlimen lagi!

Apabila Reezal Merican Naina Merican pertama-tama mendedahkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang telah menggunakan wang sumbangan sebanyak RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk pemberian wang ehsan RM100 kepada warga emas, Umno menyangka Ketua Penerangan Pemuda Umno itu bijak mencari isu membunuh lawan politiknya.

Serangan ini dianggap berjaya dan berkesan mencetuskan rasa marah orang Islam, khususnya warga emas yang memulangkan wang RM100 itu. Mereka bertujuan menjatuhkan wibawa Ketua Menteri Lim Guan Eng. Lantas ada yang ‘berlakon’ memulangkan pemberian itu kembali.

Umno menggeletek keseronokan melihat taktiknya menimbulkan kemarahan terhadap kerajaan Pulau Pinang dan Ketua Menteri itu berjaya. Ketika mendapat tentangan, serangan beraleh sasaran. Kali ini ditujukan kea rah program pembayaran RM1000 kepada waris ketika warga emas meninggal. Kedua-dua ini dikatakan dari sumber haram hasil derma RM2juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.

Kerajaan Pulau Pinang telah secara jelas mengatakan bahawa sumber kedua-dua program tersebut adalah dari peruntukan belanjawaan 2010 sebanyak RM20 juta hasil penjimatan penjimatan dari urustadbir CAT (kecekapan, pertanggungjawaban dan ketelusan). Tuduhan Umno jelas meleset. Tetapi peduli mereka tentang fakta dan kebenaran. Yang penting mereka ‘spin’ –‘putar-belit’ dan mampu yakinkan rakyat yang tidak membaca media alternatif dan internet – golongan yang bengantung seluruh maklumat dari media BN/Umno – Utusan, BH dan RTM.

Begitu juga program Rakan Anti-Kemiskinan (RAK). RAK adalah program kerajaan Pulau Pinang untuk membasmi kemiskinan tegar dengan mengeluarkan keluarga daripada garis pendapatan RM400 sebulan kepada sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

Umno kecewa. Program murni terus ini diserang Umno, kononnya sumber haram dan dari judi.

Pegawai Kewangan Negeri sendiri Dato’ Farizan Darus telah mengaskan bahawa sumber RM2juta daripada Kelab Lumba Kuda diasingkan dan dikhusus pemberiannya hanya kepada orang bukan Islam. Memang miskin tegar bukan hanya terdiri dari orang Islam. Tentunya tidak salah menyalurkan wang derma kepada orang bukan Islam sementara orang Islam tidak diberikan dari sumber ini. Bukankah ini satu usaha murni dari kerajaan negeri Pulau Pinang mempastikan orang Islam mendapat sumber yang halal?

Persoalan yang hendak ditanya rakyat, khususnya umat Islam ialah : Sejak bila pulak Umno pandai membezakan sumber rezeki halal dan haram? Sebabnya? Judi dan Umno ini sinonim sejak azali lagi!

Sejarah merakamkan betapa Umno mengingkari fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang pada tahun 1951 iaitu Tuan Haji Abdullah Fahim (Ayahanda mantan PM Tun Abdullah Ahmad Badawi) bahawa judi loteri adalah haram.

Ertinya halal dan haram dalam UMNO tidak pernah menjadi masalah sejak penubuhannya mereka lagi. Malahan, tumbesaran UMNO tidak sangat memperhitungkan halal-haram sejak Merdeka lagi.

Ini terbukti apabila kalangan ulamak di dalam Umno membantah loteri kebajikan adalah haram. Pemimpin Umno tidak memperdulikan bantahan ulamak dalam Umno, berakhir dengan episod penubuhan PAS pada 24 November 1951.

Sampai sekarang kita tidak dengar suara membantah secara agresif dalam Umno supaya judi dihapuskan, malahan baru sahaja kerajaan Umno BN meluluskan lesen judi bola 2010 sempena pertandingan Piala Dunia kepada Syarikat Ascot Sport Tan Sri Vincent Tan Berjaya Group pada 6 Mei 2010 tetapi terpaksa digantung buat sehingga kini.

Peliknya kerajaan Negeri Pulau Pinang yang pertama mengharamkan judi bola sekaligus memusnahkan rancangan Umno untuk membenarkan lessen judi bola di Malaysia. Kerajaan PAS lebih awal lagi tidak mengizinkan lesen judi di premis-premis di Kelantan setelah berbincang dengan semua tokoh agama-agama lain.

Isu pokok yang hendak diketengahkan ialah sumber pendapatan. Timbalan Perdana Menteri turut tumpang semangkok mengambil kesempatan untuk memukul kerajaan Pakatan Rakyat kononnya orang Islam cukup peka dengan sumber pendapatan mereka bukan dari sumber haram seperti judi.

Kalau benar TPM peka dan Umno peka dengan sumber pendapatan perlu bersih dan halal, mengapa kerajaan Umno/BN sejak berdekad lamanya masih mengumpulkan semua pendapatan dari cukai dan bukan cukai dari sumber yang haram seperti Cukai Dosa atau “Sin Tax”, rokok, judi, arak dsbnya masih tidak lagi dipisahkan bahkan disatukan dalam ‘Wang yang Disatukan’ atau “Consolidated Fund” di peringkat kerajaan Pusat?

Ahli Parlimem Kuala Selangor pernah membangkitkan perkara ini, seperti juga beberapa ahli Yang Berhormat yang lain, tetapi pimpinan Melayu Umno membisu seribu bahasa. Tiba-tiba nak tunjuk warak dan alim kononnya peka dengan sumber pendapatan – halal dan haram. Kemuncak hipokrasi Umno!

Seluruh rakyat perlu diberitahu bahawa pimpinan Umno menipu rakyat lagi khusus kakitangan kerajaan bahawa penerimaan gaji mereka adalah tidak jelas dari sumber yang halal kerana telah ‘disatukan’. Dalam amalan Kewangan Islam, sumber yang jelas boleh dipisahkan dari sumber yang haram bagi pembersihan pendapatan. Tentunya gaji kakitangan mampu dibayar dari sumber yang jelas halalnya.

Sudah sampai waktunya pimpinan negara bertindak menyelamatkan pembayaran imbuhan kakitangan kerajaan untuk umat Islam di segi gaji dan bayaran yang mereka terima. Hanya ‘political will’ atau iltizam politik yang tinggi serta kepekaan terhadap agama yang mendalam yang akan mampu membuat perubahan seperti ini. Umno/BN tidak diharapkan untuk membuat perubahan ini.

Kerajaan Pakatan Rakyat termasuk kepekaan pimpinan bukan Islam dari Pakatan tampaknya lebih bersungguh dari pemimpin elit Umno yang tegar dengan rasuah dalam kerasukan haloba tempolok masing-masing, meninggalkan kepentingan umat Islam dan mengorbankan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Dr Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat

Tarikh Pilihanraya Kecil Galas 4 November... Kenapa SPR Pilih Hari Khamis?

Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, di Gua Musang, Kelantan ditetapkan pada 4 November ini.

Pada sidang media di Putrajaya, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar juga mengumumkan tarikh penamaan calon akan diadakan pada hari Selasa, 26 Oktober ini.

Keputusan itu dibuat selepas SPR bermesyuarat, pagi ini.

Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemaskini sehingga 27 Sept lalu.

Menurut Wan Ahmad, seramai 11,553 pengundi yang melibat 11,426 pengundi biasa manakala 127 pengundi pos layak menentukan ADUN di Galas.

SPR juga menamakan Ketua Jajahan Gua Musang, Wan Mustaffa Wan Abdul Halim sebagai pegawai pengurus pilihan raya yang akan dibantu oleh tiga penolong pengurus.

Penamaan calon yang dijadualkan pada 26 Oktober ini bakal berlangsung di Bilik Gerakan Jajahan Gua Musang manakala Pusat Sivik Gua Musang akan dijadikan pusat penjumlahan undi pada malam 4 November.

Sebanyak 11 buah sekolah, sebuah balai dan dewan akan digunakan sebagai tempat mengundi yang membabit 25 buah saluran.

Wan Ahmad juga berkata seramai 323 petugas pilihan raya telah dilantik oleh SPR bagi melincinkan perjalanan pilihan raya itu.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 48, akibat barah usus, 27 September lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Chek Hashim mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Mohd Saufi Deraman (3,753 undi) dengan majoriti 646 undi.

Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang bersama DUN Nenggiri dan DUN Paloh.

SMS Dari Kubur: "Ibu cepatlah datang segera ke kubur, Siti takut tiada orang lain di sini."

Foto

NAJIB Abdullah Ghani mengubati Siti Balqis sambil diperhatikan Adun Jabi, Ramlan Ali (dua dari kanan) di rumah di Kampung Gong Nangka, Apal, Jertih, malam tadi.

JERTIH: "Ibu cepatlah datang segera ke kubur, Siti takut tiada orang lain di sini." Itulah khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Siti Balqis Mohd Nor, gadis yang mendakwa sering ghaib dari rumah selepas tiba-tiba menyedari berada di perkuburan Kampung Bukit Kenak, kira-kira lima kilometer dari rumahnya tiga hari sebelum Aidilfitri lalu.

Siti Balqis (atas), 22, yang menghadapi gangguan misteri sejak dua bulan lalu menyebabkannya sering ghaib dari rumahnya di Kampung Gong Nangka, Apal, di sini mendakwa ketika itu telefon bimbit yang ada bersamanya menunjukkan jam 2 pagi.

“Namun, saya tidak tahu bagaimana boleh berada di tanah perkuburan dan lebih dahsyat saya berada di dua tanah perkuburan pada malam itu.
Selepas tersedar berada di kubur Kampung Bukit Kenak, saya tiba-tiba berada pula di kubur Kampung Gong Rengas, kira-kira 10 kilometer dari rumah kami,” katanya ketika ditemui semalam.

Siti Balqis mendakwa hanya mengetahui kisah kubur berkenaan apabila dibawa semula ke kawasan berkenaan, tetapi hingga kini tidak tahu siapa yang membawanya, apa yang dilihat dan dilakukannya sepanjang lima hingga enam jam berada ‘di alam ghaib’.

Namun, Siti Balqis mendakwa sepanjang di tanah perkuburan itu, dia mendengar orang menangis, meminta tolong dan mengaji al-Quran.

Sementara itu, ibunya, Norizan Said, 47, berkata, pada malam mendapat SMS Siti Balqis, beliau bersama suami serta seorang lagi anaknya bergegas ke kubur berkenaan, tetapi selepas puas mencari, mereka tidak menemuinya.
“Kami bergegas pula ke kubur di Kampung Gong Rengas dan di satu kubur baru, ada bekas seperti diduduki seseorang, tetapi Siti tiada di situ,” katanya dan menambah mereka kemudian ke Balai Polis Jertih pada jam 5 pagi untuk membuat laporan.

Bagaimanapun, sejurus masuk ke rumah kira-kira jam 6 pagi, Siti muncul di depan rumah dengan tubuhnya dibasahi air dan baju berlumuran tanah merah.

Kisah Siti Balqis menggemparkan penduduk daerah ini hinggakan ramai yang sukarela membantu berjaga bersama keluarganya selepas anak sulung empat beradik itu dikatakan ghaib ke pelbagai tempat termasuk siling rumah, atas pokok, dalam mesin pembancuh simen dan atas kubur.

Siti Balqis juga mendakwa dia luka pada tangan dan kaki ketika berada di sebuah mesin pembancuh simen tidak jauh dari rumah dan ketika di atas pokok manggis, di belakang rumahnya.

Dia juga mendakwa ternampak saudara mara dan orang kampung mencarinya, malah ketika berada di sebuah rumah tinggal, dia menyentuh bapa saudaranya tetapi tidak perasan kehadirannya.

Malam tadi, Norizan menggunakan khidmat tujuh bomoh untuk mengubati anaknya secara tradisional dan wakil Berita Harian turut berada di rumah Siti Balqis bagi meninjau dan memastikan dakwaan dia ghaib.

Sementara itu, kalangan ahli agama di negeri ini berpendapat kejadian itu mungkin disebabkan gangguan jin yang cuba merosak keimanan manusia dan cara terbaik mengatasinya ialah amalan zikir dan membaca al-Quran serta solat hajat dan tahajud.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata kejadian adalah luar biasa tetapi perlu dilihat secara positif dari sudut agama.

Muhammad Ramli berkata, cara terbaik mengatasinya ialah ahli keluarga Siti Balqis sentiasa berdoa kepada Allah meminta dilindungi daripada perbuatan sihir dan diganggu syaitan.

Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri (Operasi), Omar Musa, pula berkata apa yang dialami Siti Balqis itu mungkin ada kaitan dengan gangguan makhluk halus.

Katanya, keluarga mangsa hendaklah bersabar dan mendapatkan rawatan alternatif perubatan Islam bagi membolehkannya tidak lagi diganggu oleh makhluk halus.

“Tetapi, perlu diingatkan jangan sekali-kali beranggapan apa yang terjadi terhadap Siti Balqis ada kaitan dengan keramat kerana ada makhluk jin yang mahu merosakkan dan menyesatkan pemikiran dan akidah orang Islam,” katanya.

Pelakon Bogel Popular Dunia Arab Enggan "Bertaubat"

Source: www.alarabiya.net
Translated by beritaislamglobal.blogspot.com, English version
here

Nihad Alaeddin (gambar), artis perintis dalam dunia Arab yang terkenal kerana melakonkan babak bogel, bukan sahaja memandang rendah extremisme Islam malah menyeru supaya seks di bawa semula ke rantau itu yang disifatkannya sebagai ‘kecewa’, menurutnya dalam satu temubual dengan sebuah akhbar.

“Kita perlu masukkan seks ke dalam panggung kerana penonton kita sudah kecewa,” katanya kepada New York Times.

Skirt –pendek sering dilihat berbanding hijab dalam kampus universiti sekitar tahun 60-an dan 70an, kerana orang Arab pada masa itu menikmati dasar keterbukaan yang dibawa oleh fahaman Marxisme dan komunisme, tetapi ‘fenomena liberal’ ini terhenti tiba-tiba apabila dipukul gelombang Islamisasi yang dibawa oleh puak-puak konservatif.

“Dulu kebebasan berkembang mekar,” kata Nabil Maleh (gambar), pengarah warga Syria yang membantu membina karier Nihad.


Nihad diberi jolokan sebagai Ighraa, perkataan Arab bermaksud godaan, kerana membuatkan ramai orang kagum dan terpesona dengan lakonan hebat beliau. Pada 2009 TV Syria menyiarkan dokumentari tentang kehidupannya, dan pada ketika ini seorang lagi pengarah terkenal Syria sedang berusaha menyiapkan filem kisah hidupnya.

Tidak akan ‘taubat’

Berpegang kuat pada pandangannya, dan berprinsip dalam pendiriannya, Nihad sering dikritik oleh golongan Islamis dan tidak seperti kebanyakan artis sezamannya; beliau menolak untuk meminta maaf atas lakonan-lakonannya yang panas dan penuh godaan itu.

“Hari ini orang lelaki bersikap hipokrit. Jika seseorang perempuan itu memakai hijab dia sudah tentu seorang yang jujur,” kata Nihad dalam suara yang tersekat-sekat akibat kuat merokok, semasa temubual tengah malam dengan akhbar Times. Golongan konsevatif pada hari ini, katanya, kebanyakkanya “penipu yang mengkritik orang lain tetapi tidak begitu percaya pada diri mereka sendiri.”

Sekalipun cenderung menentang situasi hari ini, Nihad adalah peminat utama Hassan Nasrallah, pemimpin Hezbollah Lebanon, walaupun tidak sependapat dalam hal-hal berkaitan prinsip Islam, tapi amat mengagumi kejujurannya. “Jika dia suruh saya korbankan darah, saya sanggup,” tambahnya.

Nihad berhenti sekolah semasa di gred kelima dan berpindah ke Kaherah bersama-sama kakaknya semasa berusia 13 tahun dalam tahun 50an.

Di sana dia diasuh oleh penari gelek lagenda Mesir, Tahia Carioca (gambar) sehingga membawa kepada lakonan dalam drama-drama televisyen. Tidak setakat itu, berbekalkan keazaman yang kuat, beliau terus mencipta kejayaan memegang watak utama, menjadi penulis skrip dan pengarah yang hebat.


Ketika penerbit menggelar beliau sebagai Ighraa (Arab untuk Godaan), kakaknya pula dikenali sebagai seorang yang 'Menawan'. Nihad masih mengekalkan nama gelaran tersebut, sementara kakaknya pula telah lama meninggalkannya kerana ingin mendekati agama dan tidak ingin lagi berbicara tentang kenangan lampau.

“Dia seorang yang amat penting kerana tidak menipu,” kata Khaled Khalifa (gambar), seorang penulis novel terkenal dan penulis skrip televisyen. “Dia tak pernah menyesal, dia tak pernah meminta maaf.”


“Hari ini, memang payah nak lihat adegan cium dalam televisyen dan filem di Syria,” tambahnya.

Kritik

Sekalipun tidak ingin berlakon lagi, masih terdapat pihak-pihak yang melemparkan kritikan mengatakan cerita-cerita terbaru tentang dirinya adalah semata-mata satu usaha bagi menyanjungi karier ‘porno-ringan’ beliau yang lepas.

“Saya tanggalkan pakaian saya atas prinsip,” katanya. “Kalaulah saya lakukannya semata-mata kerana wang, saya mungkin telah lakukannya dalam gelap dan boleh dapat lebih banyak (wang) lagi.”

Aksi pertama

Pada masa di mana industri filem Arab dikuasai oleh Mesir, filem yang dilakonkan Nihad pada 1970, “Harimau bintang”, adalah pelopor yang memasyurkan panggung wayang moden di Syria, dan kerana bimbang fiem tersebut tidak mendapat sambutan; pengeluar dan pengarah mencadangkan supaya beliau beraksi bogel.


“Saya rasa seolah-olah macam seorang pengebom berani mati apabila melakonkan adegan ini,” katanya mengingati kisah lampau. “Untuk melakukan adegan tersebut di Syria – sudah pasti akan dikritik.”

Nihad bersungguh-sungguh mempertahankan pilihan pengeluar dan pengarah pada masa itu.

Adegan yang menampakkan kelibat tubuh semasa aksi seks amat mengejutkan penonton pada masa itu, tetapi tidaklah terlalu panas jika dibandingkan dengan apa yang dihidangkan pada hari ini.

Filem-filemnya selepas itu menonjolkan beberapa adegan memakai bikini. Nihad telah menulis 25 skrip, dan menganggap kerjanya sebagai satu usaha untuk membetulkan sikap lelaki kepada wanita.

“Filem saya mengkritik sikap bermuka-muka lelaki Timur,” katanya. “Dia belajar di Eropah, tapi bila balik ke Timur, dia kembali dengan sikap lamanya. Kalaulah dia boleh kurung isteri dan adiknya, dia sanggup,” katanya kepada akhbar.

Ramai pembuat filem yang lebih muda menganggap lakonannya kurang penting berbanding dengan penentangannya, di dalam negara di mana artis-artis dipaksa mengikut kehendak badan penapisan filem, atau golongan konservatif agama.


Keratan akhbar semasa zaman kemuncaknya.

Kenapa KM Sarawak Sukar Tentukan Tarikh Pilihanraya Di Sarawak?

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata terlalu sukar baginya menentukan tarikh pilihan raya Sarawak kerana masih banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum pengumuman mengenainya dibuat, lapor Berita Harian Online.

Beliau mengakui petanda untuk mengadakan pilihan raya kini semakin ketara, namun beliau belum dapat memberikan sebarang keputusan.

bn supreme council mt meeting sapp sabah issue 190608 taib mahmud"Anda tahu macam mana sukarnya untuk menentukan tarikh pilihan raya? Jika anda hendak berkahwin, anda tentu tahu macam sukar untuk membuat keputusan walaupun keputusan itu hanya untuk seorang saja dan saya terpaksa membuat keputusan untuk lebih dua juta rakyat Sarawak," katanya kepada Berita HarianOnline.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Swinburne, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching, hari ini,

Seramai 292 graduan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu menerima sijil masing-masing pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Naib Canselor dan Presiden Universiti Teknologi Swinburne, Profesor Ian Young.

Abdul Taib yang sebelum ini mengumumkan untuk kekal menerajui Barisan Nasional (BN) negeri bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang, berkata perkara utama yang bermain dalam fikiran beliau ketika ini ialah perancangan yang akan dibuat untuk manfaat rakyat Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, perkara yang dirancang dan diyakini mampu dilaksanakan itu akan dimasukkan dalam manifesto pilihan raya negeri akan datang.

"Saya tidak akan menjanjikan (dalam manifesto) sesuatu yang saya tidak mampu laksanakan. Apa yang saya mampu buat dan tidak mampu buat, bergantung kepada maklum balas rakyat, sebab itu saya harus berhati-hati dengan apa yang saya hendak katakan.

"Saya tidak mahu menjanjikan sesuatu yang tidak boleh diterima rakyat, kemudian ia dirancang tetapi gagal dilaksanakan," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Taib, berkata beliau harus menyediakan manifesto yang mudah difahami rakyat dan untuk pilihan raya akan datang, beliau membayangkan manifesto akan menitikberatkan soal pembangunan ekonomi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.