Ketua Menteri Melaka Bengang... SPR Mohon Maaf, Masih Bernyawa Dah Kata Mati..

ADUN Merlimau, Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Chinchin, Jasin, Melaka selepas solat Jumaat hari ini.Lebih 1,000 jemaah menghadiri solat jenazah yang diimamkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Rashid Redza Mohd Salleh.


NONEAntara kenamaan yang hadir ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mengiringi jenazah sehingga selamat dikebumikan.


Hidhir (pertama dari kiri) adalah rakan karib Abdullah sejak sekian lama dan dipilih bertanding sebagai ADUN ketika Adullah adalah perdana menteri.


“Jenazahnya dibawa ke masjid di Chinchin untuk disembahyangkan dan kemudiannya dikebumikan pada jam 2.50 petang,” kata speaker dewan undangan negeri, Datuk Wira Othman Muhammad.


"Selepas dikebumikan, pejabat speaker akan memaklumkan kekosongan kerusi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung kematian Hidhir," katanya.


Hidhir, 54 yang juga adalah anggota exco kerajaan negeri Melaka meninggal dunia di Hospital Putra pada jam 8.10 malam semalam selepas serangan sakit jantung.


azlanAllahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak.


Kematian itu menyaksikan pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari ini.


Ia adalah pilihan raya kecil ke-15 di negara ini selepas pilihan raya umum pada 8 Mac 2008 tetapi yang pertama di Melaka.


Namun pilihan raya kecil Merlimau ini tidak akan mengubah sebarang kedudukan dewan undangan negeri Melaka kerana BN menguasai 23 kerusi (Umno, 18, MCA, empat dan MIC, satu) manakala Pakatan Rakyat mempunyai lima kerusi yang semuanya dimiliki DAP.


Sementara itu, Othman berkata pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah berjumpa dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam malam semalam dan dimarahi kerana kesilapan mengumumkan kematian Hidhir semasa beliau masih bernyawa.


"SPR buat silap, tiada kenyataan rasmi daripada saya ataupun ketua menteri.


NONE"Abdul Aziz menjelaskan kepada kami kesilapan itu dibuat oleh seorang daripada pegawainya di Melaka dan beliau telah memohon maaf,” katanya.


Abdul Aziz pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Mohd Ali sebagai setiausaha kerajaan negeri.


Kesilapan itu menyaksikan Utusan Malaysia menyiarkan berita kematian Mohd Hidhir dan mengumumkan SPR akan bermesyuarat dalam tempoh 10 hari bagi membincangkan persiapan pilihan raya kecil.


Mengikut konvensyen, adalah menjadi tanggungjawab speaker bagi memaklumkan kepada SPR berhubung kekosongan kerusi di dewan negeri.

Sekali Lafaz Aktres Ayu Raudhah Sah Bergelar Isteri Pemain Bola sepak Kebangsaan, Zaquan Adha... Ayu Sebak

Zaquan Adha dan Ayu Raudhah selamat bergelar suami-isteri.

ALOR SETAR: Hanya dengan sekali lafaz, aktres Ayu Raudhah,26, akhirnya sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 23, pada majlis pernikahan mereka di Masjid Sultanah Bahiyah, di sini, Jumaat.



Pasangan ini telah dinikahkan pada pukul 3.45 petang oleh imam masjid tersebut, Mustafa Kamil Abdul Jamil yang mewakili walikan pihak perempuan iaitu abang Ayu, Roshidi Abu Bakar @ Che Wan.



Pada majlis yang serba ringkas itu, Ayu atau nama sebenarnya Raudhah Abu Bakar @ Che Wan yang kelihatan anggun dengan busana rekaan Man Kajang berwarna krim menerima mas kahwin RM1,888 serta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki dan berbalas sembilan dulang.



Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas persetujuan kedua-dua belah pihak. Difahamkan, wang hantaran itu mempunyai kaitan dengan angka lapan, iaitu nombor jersi Zaquan.



Momen bersejarah pasangan mempelai itu disaksikan oleh kira-kira 200 orang tetamu termasuklah ibu Ayu iaitu Zabedah Saad, ibu-bapa Zaquan iaitu Abd Radzak Salleh dan Azizah Arshad serta ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta kenalan rapat mereka.



Turut menyaksikan majlis akad nikah mereka, kakak Ayu iaitu aktres Rozita Che Wan, abang ipar mereka, aktor Mazlan Ahmad dan kembar kepada Mohd Zaquan iaitu Aidil Zafuan.



Ditemui selepas majlis berakhir, Ayu yang kelihatan sebak sebaik selesai akad nikah itu melahirkan rasa syukur kerana hubungan cinta mereka yang terjalin hampir dua tahun itu berakhir dengan sebuah ikatan perkahwinan.



"Saya bersyukur, lega dan amat gembira kerana akhirnya kami disatukan juga setelah hampir dua tahun mempertahankan hubungan ini," kata Ayu.



Menurut pelakon drama Nur Kasih ini, dia merasakan sudah sampai masanya untuk mendirikan rumah tangga dan tidak menyangka jodohnya adalah dengan seorang pemain bola sepak terkenal.



"Perasaan saya bercampur-baur sebaik selamat dinikahkan. Saya akan cuba menjadi isteri yang baik dan menghormati setiap keputusan suami walaupun kami berbeza umur tiga tahun,” tutur Ayu.



Sementara itu, Zaquan juga turut memanjatkan kesyukuran apabila majlis bersejarah mereka itu berjalan dengan lancar dan kini sah bergelar suami kepada Ayu.



“Saya rasa debaran ketika akad nikah tadi lebih mendebarkan berbanding debaran sepakan bola ke gawang gol. Bagaimanapun, saya bersyukur semuanya berjalan dengan lancar.



"Selama dua tahun ini, dia seorang yang amat mengambil berat tentang kerja saya. Ayu sentiasa memberikan sokongan untuk saya meningkatkan mutu permainan dan terus berjaya demi memantapkan reputasi bola sepak negara di persada antarabangsa," tutur Zaquan sambil mengukir senyuman manis.



Bercerita tentang percutian bulan madu, Ayu dan Zaquan belum menetapkan tarikhnya kerana sibuk dengan kerja masing-masing dan memilih sebuah pulau sebagai destinasi utama.



Beralih kepada soal anak, Ayu tidak menolak untuk mempunyai anak pada bila-bila masa memandangkan suaminya juga sangat menyukai kanak-kanak.



Pada sebelah malamnya, kedua-duanya menjalani resepsi perkahwinan berkonsepkan alam fantasi dan mengenakan persalinan rekaan Rizman. Majlis tersebut berlangsung di rumah pengantin perempuan.



Selain itu, mereka turut menggunakan khidmat pereka Qudyn untuk malam berinai pada 20 Januari di rumah Ayu.



Sementara majlis menyambut menantu akan dilangsungkan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada 30 Januari ini. Pasangan pengantin akan mengenakan persalinan Calvin Thoo dengan bertemakan tradisional.


Detik2 Pasangan Sensasi Zaquan Adha & Ayu Raudhah DiIjab Kabul Hari Ini Di Masjid Sultanah, Alor Setar


Hari ini pasangan sensasi Zaquan Adha & Ayu Raudhah bakal menamatkan zaman bujang selepas solat Jumaat hari ini.


Pasangan selebriti & pemain bola sepak kebangsaan ini bakal mengikat tali perkahwinan di Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas solat Jumaat.



Manakala majlis resepsi untuk keluarga & rakan rakan akan berlangsung pada sebelah malam di bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).



Tahniah buat Zaquan Adha & Ayu Raudhah dan juga kepada keluarga kedua dua belah pihak.

‘Bicara Tokoh’ Kejayaan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah Dan Mendapat Sambutan Di Luar Dugaan

http://www.wartakedah.net/images/nuar.jpg

ALOR SETAR – Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah menganjurkan ‘Bicara Tokoh’ yang membahaskan mengenai maqosid syariah dalam konteks masyarakat majmuk.



Tiga tokoh pimpinan ditampilkan bagi mengulas mengenai isu ini, iaitu Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Ketua Pembangkang Malaysia, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Malaysia serta Presiden Wadah Pencerdasan Ummah, Dato’ Dr Siddiq Fadzil.



Orang ramai membanjiri ruang Dewan Kolej Universiti Insaniah bagi mendengar pandangan, ulasan serta perbahasan ketiga-tiga tokoh yang disegani ini. Hinggakan terdapat masyarakat yang sanggup berdiri di dalam mahupun di luar dewan.



Mengenali Maqosid Syariah adalah satu perkara yang amat berharga kepada seorang muslim yang menyayangi agamanya. Maqosid Syariah adalah perkara yang memberi kebaikan kepada manusia yang menjadikan syariah dalam peraturan ajaran Islam.



Program ini dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi Jawatankuasa ‘Bicara Tokoh’, YB Abd Ghani Ahmad.



Seusai ucapan aluan, perbahasan dikelolakan oleh Pengerusi Wehdah, Cikgu Mohd Azmi Abd Hamid. Orang ramai diberi peluang mengajukan soalan kepada ahli-ahli panel bagi mengulas persoalan yang timbul.



Hadir sama pada program tersebut adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, YB Dato’ Dr Abd Isa Ismail, Exco-Exco, Ahli-ahli Parlimen, Ahli-Ahli Dewan Negeri dan wakil-wakil NGO.


Pemergiaan ADUN Merlimau Menguji Kekuatan PR Di Melaka Untuk Memalukan PM Najib. Jangkaan SPR Meleset....


Pemergian Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, ADUN Merlimau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka memang tidak diduga oleh sesiapa sekalipun beliau telah dimasukkan ke hospital sejak minggu lepas selepas mengadu sakit dada.

Kekosongan kerusi berkenaan menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil bakal diadakan iaitu yang ke-15 selepas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor yang jatuh pada 30 Januari ini.

Hasrat SPR yang mengharapkan pilihanraya kecil DUN Tenang akan menjadi pilihanraya yang terakhir sebelum negara melangkah ke pilihan raya umum nampaknya tidak kesampaian.

Ia sebagai bukti bahawa kuasa dan perancangan Allah sentiasa mengatasi kuasa dan perancangan manusia.

Isteri Mohamad Hidhir, Datin Norazian Mohamad Ali, 52, (kiri, bertudung) menenangkan anak perempuannya, Shahralina Adzizah di Hospital Putra, Melaka pada malam Khamis, ketika jenazah dibawa pulang ke Kampung Tersusun Lipat Kajang, Jasin

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang akhbar yang diadakan untuk mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang beberapa hari lalu menyatakan bahawa SPR telah membelanjakan lebih RM10 juta untuk mengendalikan 13 pilihan raya kecil setakat ini berharap pilihan raya kecil ke-14, di Johor, akan menjadi yang terakhir sebelum negara melangkah ke pilihan raya umum.

Setakat ini SPR telah mengendalikan 13 pilihan raya kecil dengan yang pertama pada Ogos 2008 membabitkan kerusi Parlimen Permatang Pauh dan yang terakhir kerusi DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi awal bulan lalu. PRK Tenang adalah yang ke 14 sementara Merlimau nanti adalah yang ke 15.

Namun, pilihan raya kecil sepanjang tempoh selepas Mac 2008 hingga sekarang bukan kali pertama negara menyaksikan pilihan raya kecil yang banyak jumlahnya.

Yang paling banyak iala sebanyak 16 pilihan raya kecil telah diadakan sepanjang tempoh antara 1995 dan 1998 iaitu sebelum pilihan raya umum 1999.

DUN MERLIMAU



Merlimau adalah sebuah pekan yang terletak di tengah perjalanan antara Bandaraya Melaka dan Bandar Muar, Johor. Jaraknya adalah kira-kira 23 km dari Bandaraya Melaka dan Muar serta 22 km selatan dari bandar Jasin.

Fakta:

Jumlah Pengundi: 10,471
Peratusan Kaum: M:64.69% C:21.11% I:14.16% L:0.04%

N27 Merlimau, di dalam pilihanraya umum yang lepas menyaksikan pertandingan dua penjuru diantara BN dan PAS. Di dalam pilihanraya sebelumnya (2004) Allahyarham Datuk Mohd. Hidhir Abu Hassan (BN) telah memenanginya dengan majoriti 5,087 undi. Pada PRU 2008, majoriti BN merosot dan hanya menang dengan 2,154.



Ini bermakna PAS hanya perlukan peralihan undi sekitar seribu lebih sahaja lagi untuk merampas kerusi DUN Merlimau selain mengekalkan jumlah undi pada PRU12 yang lalu.

Dari Tenang kita ke Merlimau pula nanti.

Kronologi Penyakit ADUN Merlimau.. Jenazah Akan Dikebumikan Esok Pagi Di Kampung Chincin.... Siapa Bakal Menjadi Calon BN Nanti????

ADUN Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan meninggal dunia pada jam 8.10 malam ini di Hospital Pakar Putra, Melaka selepas mengalami serangan jantung semalam.

Perkara itu disahkan Ahli parlimen Jasin Datuk Ahmad Hamzah.


Beliau merupakan antara pemimpin BN yang berada di hospital berkenaan sejak tengahari.


NONEKematian Mohamad Hidhir dijangka bakal menyebabkan pilihan raya kecil ke-15 diadakan sejak pilihan raya umum 2008.


Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Jan lalu.


Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidak selesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lepas, dan ujian mendapati arterinya tersumbat.



Dilaporkan, Mohamad Hidhir mengalami serangan jantung sebanyak tiga kali dalam tempoh lima hari lalu yang menyebabkan beliau berada dalam keadaan koma di hospital berkenaan hari ini.



Mohamad Hidhir dilaporkan mengalami serangan jantung yang pertama pada Sabtu lalu pada kira-kira jam dua petang dan mengalami serangan jantung kedua pada waktu
tengahari, Isnin lalu.


Ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau mendapati Mohamad Hidhir berada dalam keadaan koma sewaktu melawat ADUN berkenaan petang ini.

"Sewaktu menziarahi beliau sebentar tadi bersama beberapa anggota Exco negeri, beliau berada dalam keadaan koma dan bernafas menggunakan alat sokongan mesin," katanya kepada pemberita di hospital berkenaan.


Ketika ditemui di hospital berkenaan malam ini, Mohd Ali mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.



Jenazah akan dibawa ke rumah allahyarham sebelum dikebumikan esok, katanya lagi.


Antara yang turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham malam ini ialah Speaker DUN Melaka Datuk Othman Muhammad, anggota Exco serta pemimpin BN.


Allahyarham yang berasal dari Kampung Sungai Layang, Rembau, Negeri Sembilan dikenali sebagai seorang yang periang dan sentiasa mesra dengan penduduk sekitar kawasan yang diwakilinya.


Dikebumi di Kampung Chinchin


Dilahirkan pada 27 Jun 1956, Allahyarham pernah bertugas di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai pembantu luar dan jawatan terakhirnya sebagai pegawai seranta di Yayasan Melaka sebelum bertanding pada pilihan raya umum 2004.


Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Noor Azian Mohd Ali dan empat orang anak yang berada di sininya semasa beliau menghembuskan nafas terakhir.


Mohd Ali berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di Kampung Tersusun, Lipat Kajang dan akan disembahyang selepas solat Jumaat di Masjid Simpang Kerayong sebelum dikebumi di Kampung Chin Chin.


Merlimau merupakan kawasan majoriti Melayu dengan lebih 64 peratus daripada keseluruhan 10,500 pengundi. Selebihnya terdiri daripada 21 peratus pengundi Cina dan 14 peratus pengundi India.


Mohamad Hidhir mengekalkan kerusi berkenaan pada 2008 apabila menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan memperolehi majoriti undi sebanyak 2,154.


Allahyarham yang menjadi Naib Ketua Umno bahagian Jasin sejak 2004 itu, beliau memperolehi majoriti lebih besar sebanyak 5,087 undi dengan menewaskan calon PKR S Jayathas dalam pilihan raya pada tahun berkenaan.


Sementara itu, ketua pembangkang Melaka Goh Leong San turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Mohamad Hidhir ketika dihubungi hari ini.


Mengulas pilihan raya kecil yang dijangka akan berlangsung, Goh berkata beliau menganggap DUN Merlimau sebagai satu potensi kepada Pakatan Rakyat dan menjangkakan PAS akan bertanding semula di kerusi berkenaan.



Tambahnya, pilihan raya kecil itu akan menyediakan peluang yang baik kepada masyarakat tempatan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka ke atas pentadbiran Mohd Ali.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.