KEMPEN PEMUDA PAS PUSAT

Kempen Kesedaran Remaja oleh Pemuda PAS Pusat

India Bantu RM38 juta Kepada Palestin


NEW DELHI - India mengumumkan geran US$10 juta (RM38juta)kepada Palestin dan berharap Pelan Damai Arab akan segera digerakkan bagi menyelesaikan konflik di rantau itu.

Perdana Menteri, Manmohan Singh menyatakan komitmen kerajaan India itu kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang melawat Delhi semalam.

Dalam pertemuan itu, Abbas memberitahu pemimpin India itu mengenai perkembangan di Asia Barat dan juga berterima kasih kepada kerajaan India kerana sentiasa menyokong dan membantu rakyat Palestin.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar India mengulangi sokongan India terhadap Pelan Damai Arab dan berharap tindakan bersepadu dapat dipertingkatkan agar konflik di rantau itu dapat diselesaikan secara menyeluruh.

"Komitmen India terhadap perjuangan Palestin ini adalah selaras dengan sokongan kami kepada resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu," kata kenyataan itu

Kedah Sejahtera untuk semua kaum


ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah sentiasa mengamalkan polisi terbuka untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa sejajar dengan cogan kata “Kedah Sejahtera”.

Berucap merasmikan Karnival Tahun Baru Cina di Pekan Cina, Alor Setar, Menteri Besar Kedah berkata, Pekan Cina dan Pekan Melayu suatu masa dahulu merupakan tempat yang unik bagi masyarakat Alor Setar khususnya. Pekan Cina yang terletak sebelah-menyebelah dengan Pekan Melayu menjadi simbolik keharmonian kaum sejak dahulu lagi.
Menurutnya, Pekan Cina yang terletak di persisiran Tanjung Chali mempunyai potensi untuk dipertingkatkan menjadi satu tapak pelancongan yang menarik di Kedah, suasana yang meriah seperti malam Karnival ini patut dijadikan titik permulaan untuk mengembalikan kegemilangan Pekan Cina dan Pekan Melayu yang suram ketika ini.

“Segala aktiviti yang bercirikan kebudayaan, kesenian dan warisan akan dilangsungkan di kawasan ini demi mengimbau nostalgia serta membolehkan generasi muda terus menghayati sejarah Pekan Cina dan Pekan Melayu yang menjadi titik permulaan perkembangan Bandar Alor Setar,” katanya.
Beliau menjelaskan, Kerajaan Negeri Kedah akan berusaha untuk menghidupkan semula kawasan ini. Selain itu, kerajaan negeri akan menerima segala cadangan dan kerjasama untuk meningkatkan kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai serta pelancong.

Menurutnya, beliau mahu lihat rakyat yang berada di bawah pimpinannya hidup aman damai dan saling menghormati antara satu sama lain kerana perkara ini adalah penting untuk semua rakyat mencapai nikmat yang dapat dimiliki hasil daripada semangat harmoni dan kerjasama yang ditunjukkan.
Selain itu juga, pihak kerajaan peka dengan kehendak masyarakat Cina melalui pelbagai saluran khususnya melalui Dewan Perhimpunan Cina Kedah yang merupakan NGO terbesar yang mewakili kaum Cina di negeri ini.

“Sempena Karnival Tahun Baru Cina ini, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukkan wang dan memberi kerjasama kepada pihak Dewan Perhimpunan Cina Kedah untuk penganjuran acara-acara besar yang dapat memberi kebaikan kepada segenap lapisan masyarakat,”
Oleh: NIK NURUL NADZIRAH NIK MD ZABARI

Syarat penerima Skim Kafalah diperjelas


ALOR SETAR - Skim Kafalah adalah antara rancangan kerajaan negeri bagi mempastikan kebajikan rakyat sentiasa dijaga.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, program ini mensasarkan golongan miskin yang berpendapatan rendah perkapita RM180 ke bawah sebulan atau pendapatan seluruh isi rumah RM720 ke bawah.

Berucap di majlis Pelancaran Skim Kafalah Kedah di Dewan Sri Negeri, beliau menjelaskan, waris akan menerima RM500 bagi setiap kematian. Namun pendapatan isi rumah mestilah kurang daripada RM720 bagi melayakkan mereka menerima skim ini.

Pemberian bantuan khairiat kematian Skim Kafalah ini adalah kepada rakyat asal negeri Kedah manakala rakyat yang lahir di luar Kedah tetapi bermaustatin secara tetap juga layak mendapat bantuan tetapi Majlis Ketua Kampung (MKK) atau penghulu perlu mengesahkan tempoh permaustatin tersebut kepada Pejabat Daerah.

“Setiap permohonan perlu disokong oleh dokumen-dokumen yang disahkan iaitu salinan sijil kematian, salinan sijil penguburan, salinan kad e-Sinar, salinan kad pengenalan waris yang menuntut, sub-baucer pembayaran yang ditandatangani penerima bantuan serta pengesahan oleh MKK atau penghulu di mana simati bermaustatin,” katanya.

Ustazah Ashah berkata, peruntukan akan disalurkan melalui akuan pegawai daerah berdasarkan jumlah DUN di daerah masing-masing manakala pembayaran akan dibuat secara tunai atau cek.

Dalam majlis tersebut, seramai 26 orang telah menerima bantuan khairiat kematian untuk bulan Januari.

Oleh : NIK NURUL NADZIRAH NIK MD ZABARI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.