“I love Maria Farida”: Shah Jazle - Apakah Hubungan Sebenar Mereka Ini, Jurang Umur 18 tahun...

PETALING JAYA: Selepas aktor Shah Jazle menafikan hubungannya dengan aktres Maria Farida (gambar), kini giliran wanita itu pula tampil memberikan kenyataan.

Menerusi wawancara bersama wartawan rancangan hibutran sebuah stesen televisyen pada Ahad, Maria, 40, turut menafikan hubungan istimewa yang terjalin antaranya dengan pemuda berusia 22 tahun itu setelah foto mesra mereka berdua tersebar.

Malah dia menepis dakwaan bahawa Shah merupakan ‘anak ikan’nya memandangkan jurang usia pasangan ini agak jauh bezanya iaitu 18 tahun.

“Saya bukan murah untuk mempunyai ‘anak ikan’,” jawabnya sambil tersenyum.

Saat mengesahkan hubungan mereka, Maria tidak mengiya mahupun menafikan hubungan mereka berdua sebaliknya menjawab: “Saya berkawan dengan semua artis.”

Maria bagaimanapun berkata hubungan yang terjalin itu ibarat seperti kakak dan adik ketika diminta mengulas tentang mesej twitter Shah yang berbunyi “I love Maria Farida”.

“Mungkin dia sayangkan saya sebagai seorang kakak. Apa yang akan berlaku selepas ini, saya terserah. Kami sedang berkawan,” katanya lagi.

Pasangan ini pernah bergandingan dalam dua drama bersiri iaitu Asmara dan Bola Cintayang kini sedang disiarkan di televisyen.

Kempen Galas: Kenapa Akhbar Arus Perdana Disaman?

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini menfailkan saman fitnah terhadap The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) kerana menyiarkan artikel berunsur fitnah semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di akhbar Berita Harian, pada 2 November lalu.

Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, melalui Tetuan Karpal Singh & Co, di sini, petang ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Lim mendakwa NSTP telah secara salah dan berniat jahat menyebabkan artikel bertajuk "Tindakan Kit Siang tuduh UMNO kafir melampau" yang mengandungi perkataan-perkataan fitnah dicetak dan disiarkan di akhbar Berita Harian.

Lim berkata artikel itu antara lain bermaksud beliau telah berucap di satu ceramah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di Kelantan, di mana beliau telah menuduh orang Melayu Umno kafir dan beliau adalah seorang ahli politik yang berniat jahat untuk mewujudkan perasaan saling benci-membenci di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Lim mendakwa penyiaran perkataan-perkataan fitnah itu, telah merendahkan kedudukan beliau sebagai seorang ahli politik serta penghinaan awam, dan sehubungan itu beliau menuntut ganti rugi teruk, teladan, faedah dan kos.

Lim mendakwa defendan (NSTP) langsung tidak memohon maaf kepadanya walaupun mereka sememangnya mengetahui keadaan sebenar, malah ralat yang disiarkan NSTP pada akhbarnya keesokan hari, adalah tidak ikhlas dan menjadikan kesan lebih teruk kepada plaintif.
- BERNAMA

Hangat - Apa Sudah Jadi Dengan PKR : Datuk Zaid Letak Jawatan & Tarik Diri Bertanding Timb. Presiden PKR

KUALA LUMPUR, 8 Nov — Datuk Zaid Ibrahim meletakkan semua jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden di sebalik siri dakwaan pemilihan parti dicemari kecacatan dan tidak telus. Keputusan Zaid itu, yang diumumkan selepas kira-kira 18 bulan menyertai PKR, dilihat akan memberi kesan ke atas parti, diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat, yang sedang berusaha untuk kembali pulih daripada kekalahan dua pilihan raya kecil berturut-turut dan selepas sekumpulan wakil rakyatnya keluar parti awal tahun ini.

Zaid berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana tiada usaha di kalangan pucuk kepimpinan parti untuk menangani pelbagai isu manipulasi dan amalan-amalan pemilihan tidak adil meskipun isu terbabit telah dibangkitkan berulang kali.

“Saya ingin mengumumkan keputusan saya menarik diri daripada sebagai salah seorang calon yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan kesemua jawatan yang dipegang dalam parti,” kata Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan ini dalam tulisan terbaru blognya, disiarkan awal pagi ini.

Zaid, bekas anggota Kabinet kerajaan pusat, menyertai PKR pertengahan tahun lalu. Beliau kini merupakan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan menganggotai Biro Politik.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut sama ada akan kekal bersama PKR sebagai ahli biasa.

Pucuk kepimpinan parti itu sebelum ini termasuk yang terbaru semalam menafikan wujudnya sebarang elemen manipulasi dan penyelewengan dalam proses pemilihan secara langsung yang julung kali diadakan.

Dalam penafian kira-kira 4 petang semalam, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menafikan wujudnya elemen manipulasi dengan kertas undi didakwa boleh dibeli sebagaimana didakwa blogger hujung minggu lalu.

Dalam saingan jawatan timbalan presiden, Zaid berhadapan dengan cabaran dua naib presiden Azmin Ali, yang didakwa mendapat sokongan dan restu Anwar, dan Mustaffa Kamil Ayub.

Selepas 87 cabang telah menyelesaikan proses pengundian Azmin berada jauh di depan khususnya selepas pemilihan cabang-cabang Sabah kelmarin dan semalam.

Penyokong-penyokong Zaid mendakwa wujud manipulasi undi dalam proses pemilihan cabang-cabang di Sabah, tetapi ia turut dinafikan oleh jawatankuasa pemilihan pusat.

Dalam tulisan terbaru ini, tegas Zaid, beliau ditawarkan menyertai PKR di bawah kepercayaan bahawa boleh menghidupkan politik kesedaran dan progresif selain memelihara dan mengembangkan nilai-nilai politik berprinsip dan budaya dianggap penting bagi mengembangkan demokrasi dan urus tadbir pemerintahan baik di negara ini.

“(Tetapi) saya silap,” kata Zaid yang sebelum ini pernah mengkritik tatacara pemilihan dan meminta sekretariat membetulkan kelemahan dan kekurangan yang wujud.

Malah beberapa pihak meminta agar pemilihan ditangguhkan sementara segala kelemahan dapat diatasi.

Zaid menambah, di sebalik pemilihan parti insiden-insiden yang disaksikan menunjukkan kepimpinan parti membiarkan kecacatan dan penyelewengan dalam proses pemilihan demi mencapai matlamat disasarkan.

“Saya pasti mana-mana parti politik yang membawa nilai palsu dan hipokrit sedemikian tidak akan berupaya menawarkan pembaharuan bermakna kepada rakyat negara ini,” kata beliau.

Meskipun memutuskan untuk meletakkan semua jawatan dalam PKR, Zaid berkata, beliau akan kekal berpegang pada perjuangan Pakatan Rakyat dan terus membawa isu-isu menyentuh rakyat jelata.

Pakatan Rakyat turut dianggotai DAP dan PAS.

“Akhirnya, saya berharap peminat-peminat taksub Anwar Ibrahim tidak lagi menganggap saya sebagai pengacau dalam usaha menuju Putrajaya. Saya ucapkan mereka semoga berjaya,” kata beliau yang bertindak sebagai penyelaras Pakatan Rakyat dalam proses mendaftarkannya sebagai perikatan yang sah.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kesemua ahli yang menyokongnya dan meletakkan kepercayaan terhadap perjuangan reformasi selama ini, kata Zaid, adalah sesuatu yang mengecewakan kerana tidak mampu untuk meneruskan usaha itu ekoran proses pemilihan yang cacat ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.