DPMPP: Datuk Man Kesal Pencalonannya Dibatalkan

GEORGE TOWN: Penyandang jawatan, Rizal Faris Mohideen berjaya mempertahankan jawatan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang tanpa bertanding selepas satu-satunya pencabar beliau, Datuk Azman Shah Omar Shah dibatalkan kelayakan bertanding.

Pencalonan Azman telah dibatalkan pada saat-saat akhir atas alasan seseorang calon hanya layak bertanding sekiranya ia telah melibatkan diri dalam mana-mana entiti perniagaan sekurang-kurangnya untuk tempoh 12 bulan.

Azman didakwa tidak memenuhi syarat tersebut.

Azman yang kelihatan benar-benar kecewa dengan keputusan itu ketika ditemui wartawan di luar dewan persidangan di Hotel Trader di sini berkata,beliau bukan sahaja terkejut dengan keputusan itu tetapi menyifatkannya sebagai satu konspirasi terancang.

“Sebelum berlangsungnya Persidangan Agung tahunan ini, semuanya kelihatan ok malah pada 1 Mac lalu borang pencalonan telah diedarkan dan saya menerima 45 pencalonan daripada 415 ahli dewan yang layak bertanding tapi hari ini tiba-tiba pencalonan saya dibatalkan,” tegas beliau.

Azman juga mendakwa dalam mesyuarat jawatankuasa dewan pada 5 Mac, minit pada mesyuarat sebelum itu menyatakan dengan jelas yang beliau layak bertanding.

“Dan ketika pencalonan ditutup pada 8 Mac, saya telah dimaklumkan bahawa penasihat undang-undang dewan telah memberi lampu hijau yang saya layak bertanding...jadi macamana tiba-tiba hari ini tak boleh bertanding pulak.

“Sebab itu saya terkejut apabila pengumuman dibuat yang kelayakan saya telah dibatalkan.Ini sungguh tidak adil," ujar beliau lagi.

Azman, yang telah menjadi ahli dewan pada tahun 1997, turut berkata, tidak ada peruntukkan di dalam perlembagaan dewan yang membolehkannya membuat rayuan.

Pada persidangan tahunan itu sejumlah 1,700 perwakilan hadir.

Dengan kemenangan secara teknikal itu, Rizal Faris akan mengetuai dewan untuk penggal yang kedua.

Rizal sebelum ini berkata, di bawah kepimpinannya, dewan perniagaan melayu telah berjaya mengurangkan hutang lapuk daripada RM12 juta kepada RM5 juta sahaja sekarang.

Beliau mengambilalih kepimpinan dewan pada tahun 2007 daripada Datuk Seri Abdul Rahman Maidin.

Khalid Samad Cabar Zul Lawyer BERDEBAT



PETALING JAYA: Setelah sekian lama berdiam diri berhubung isu laporan polis oleh Zulkifli Noordin mengenai isu Kalimah Allah, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini tampil 'menyerang balas' dan mencabar Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu untuk berdebat.

Menurut Khalid, debat terbuka itu bertujuan mencari kebenaran dan menilai sama ada pendirian kedua-dua mereka berlandaskan hujah yang tepat ataupun sekadar membangkitkan isu sentimen semata-mata.

"Apa yang hendak sibuk-sibuk buat laporan polis? Sediakan sahaja tempat serta waktunya dan panggil Astro Awani atau Hujjah TV9, kita berdebat secara siaran langsung demi mencari kebenaran.

"Sekiranya ada diantara apa yang saya fahami tidak tepat, tersasar dan tidak berlandaskan syariat, maka saya sedia diperbetulkan dan demikian jugalah saya harapkan sebaliknya," katanya dalam entri terbaru yang dipetik daripada blog http://www.khalidsamad.com.

Januari lalu Zulkifli membuat laporan polis tehadap Khalid yang didakwa secara berterusan mengeluarkan kenyataan menghina Islam berdasarkan kenyataan yang disiarkan portal berita Malaysiakini bertajuk ‘Enakmen larang kalimah Allah ketinggalan.’

Menerusi artikel itu, Khalid dipetik menyatakan enakmen agama Islam yang melarang penggunaan kalimah Allah dan perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman.

Jelas Khalid, beliau enggan memberi respon berhubung laporan polis berkenaan sebelum ini kerana ingin menjaga hubungan dengan PKR dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

"Waktu itu saya tidak mahu merumitkan lagi keadaan memandangkan dia masih lagi anggota PKR pada masa itu.

"Bagi saya hubungan (sesama) Pakatan Rakyat perlu dijaga, namun sekarang dia sudah tidak lagi dengan PKR ataupun Pakatan Rakyat," katanya.

Selain itu Khalid juga menganggap tindakan Zulkifli itu sekadar mencari publisiti murahan.

Dalam pada itu, Khalid menyifatkan tindakan PKR memecat Zulkifli daripada parti itu sebagai satu keputusan yang berani dan tegas demi menjamin kestabilan kerjasama Pakatan Rakyat.

"Tindakan tegas ini memberi mesej yang jelas berhubung komitmen PKR terhadap Pakatan Rakyat.

"Sekiranya mereka mementingkan diri semata-mata dan meletakkan Pakatan sebagai perkara yang tidak begitu penting iaitu meletakkanya di bahu dan bukan di kepala, sudah pasti mereka akan mempertahankan Zulkifli," katanya.

Katanya lagi, ketegasan PKR menyebabkan penyokong Pakatan Rakyat berasa lega dan selesa termasuk ahli PAS yang turut bersorak.

Khalid juga menegaskan beliau yakin Pakatan Rakyat mempunyai masa depan yang cerah dalam politik Malaysia sekirannya ketiga-tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP menunjukkan komitmen yang tinggi tanpa memikirkan keuntungan parti sendiri.

"Perlu difahami bahawa masa depan setiap parti bergantung kepada kejayaan Pakatan, jika Pakatan berjaya, maka setiap satu parti komponen yang bersama Pakatan akan turut berjaya.

"Jika Pakatan gagal, hasil dari keinginan untuk membela orang yang bermasalah dan suka menimbulkan masalah seperti Zulkifli demi kononnya kepentingan parti sendiri, maka kita semua akan gagal," tegasnya.

Isteri bukan Islam dapat hak jaga tiga anak mualaf



Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menyerahkan hak penjagaan tiga orang anak dalam kes melibatkan seorang mualaf, kepada ibu mereka yang bukan beragama Islam.

Peguam defe
nden, Mohammad Faizal Che Yusof, bagaimanapun, akan memfailkan permohonan menangguhkan pelaksanaan penghakiman tersebut petang ini

Hakim Wan Afrah Wan Ibrahim membenarkan permohonan M Indira Ghandi (kiri) untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anaknya yang didakwa diislamkan oleh suaminya setelah perbicaraan lebih setahun.

Guru tadika itu mendakwa bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah yang dahulunya dikenali sebagai K Pathmanathan mengislamkan anak mereka pada April 2009 apabila dia memeluk Islam.

Dia kemudian mendapatkan perintah daripada Mahkamah Syariah bagi mendapatkan hak penjagaan untuk ketiga-tiga anak itu.

Anak sulung pasangan itu, Ummu Salamah, 13 dan anak kedua mereka, Abu Bakar, 12, kini tinggal bersama Indira di Ipoh.

Anak ketiga mereka pula Ummu Habibah, 2 tinggal, bersama Mohd Ridzuan di Kota Bharu, Kelantan.

Pada 22 Januari lalu, Wan Afrah menangguhkan keputusannya selepas meluangkan masa bersama kanak-kanak itu kira-kira 10 minit dalam kamarnya.

Wan Afrah dilaporkan berkata beliau hanya mahu bercakap sendiri dengan semua anak berkenaan untuk memastikan beliau membuat keputusan yang tepat.

Bagaimanapun Mohd Riduan tidak membawa anak bongsu mereka ke mahkamah seperti yang diarahkan.

ANWAR "DILAWATI" LIMA ANGGOTA POLIS



Seramai lima orang pegawai polis tiba di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada kira-kira jam 11.30 hari ini untuk merekodkan kenyataan daripada ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiga pegawai polis yang merakam kenyataannya itu daripada tiga balai berasingan di Pulau Pinang, manakala dua lagi daripada unit cawangan khas Bukit Aman.

Kenyataan Anwar direkodkan di sebuah bilik dengan dinding kaca, di tingkat tiga pejabat berkenaan.

Adalah dipercayai siasatan polis itu berhubung kandungan ucapannya pada beberapa ceramah di Pulau Pinang, bulan lalu.

Siri ceramah itu diadakan bagi mendapatkan sokongan orang ramai kepada Pakatan Rakyat, khususnya PKR ketika Anwar berhadapan dengan perbicaraan kes liwat keduanya.

Pada siasatan polis hari ini, Anwar ditemani oleh dua peguam Yusmadi Yusof dan Sivarasa Rasiah, serta ADUN Pantai Jerejak Sim Tze Tsin.

Wartawan dibenarkan untuk memerhatikan prosiding berkenaan daripada luar bilik tersebut.

Selepas selesai merakamkan kenyataannya, Anwar berkata empat laporan polis dibuat ke atasnya berhubung ucapannya di beberapa ceramah sepanjang tempoh sambutan tahun baru Cina.

Anwar berkata siasatan mengikut Seksyen 112 Akta Polis itu dijalankan atas dakwaan fitnah, hasutan dan mengadakan perhimpunan haram.

"Tiga laporan polis daripada polis sendiri dan satu daripada orang awam," kata Anwar.

Siasatan polis adalah berdasarkan ucapan Anwar yang menyentuh tentang kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, pembelian kontroversi dua kapal selam, skandal dua pesawat pejuang yang kehilangan enjin serta perbicaraan kes liwatnya.

"(Dalam majlis berkenaan) sememangnya kita ada menyebut mengenai pembunuhan Altantuya, kita sebut mengenai komisyen dan rasuah dalam pembelian kapal selam," katanya.

Tiga daripada program berkenaan merupakan acara sambutan Tahun Baru Cina dan juga satu ceramah anjuran DAP.

Ucapan itu dibuat di beberapa tempat di Pulau Pinang - Kepala Batas di Seberang Jaya, Batu Maung di Bayan Baru, Kampung Padang Tembak di Bukit Bendera dan Kubang Semang di Permatang Pauh.

Anwar mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta ahli Umno lain menggunakan polis untuk menakut-nakutkan pemimpin pembangkang.

"Kami bantah sekeras-kerasnya siasatan ini.

"Semua program ini kita jalankan dengan permit (polis).

"(Saya seru) polis supaya jangan diperalatkan ahli politik dan beri tumpuan (membanteras) jenayah.

Ketika ditanya, Anwar berkata beliau tidak mengetahui dengan pasti mengapa polis mengambil tindakan ke atas program di Pulau Pinang sahaja.

"Saya percaya ini disebabkan mereka mahu tunjukkan kerajaan pimpinan Lim Guan Eng di Pulau Pinang itu anti Melayu dan Islam," katanya.

Tambahnya, setakat ini 15 ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat telah disiasat polis atas perkara yang sama.

Edarannya Merudum: Harakah Lakukan Bedahsiasat


Akhbar perlu menambat hati para pembaca Melayu, tambahan pula dengan pendirian akhbar arus perdana yang kini dilihat sudah kurang menggali isu-isu yang menyentuh nurani rakyat.

"Realitinya, pembaca Harakah adalah orang Melayu," kata pengamal media Wan Hamidi Hamid dalam suatu sidang muhasabah bersama para petugas Harakah dengan beberapa pimpinan dan aktivis PAS di sini, hari ini.

Perbincangan itu diadakan untuk menggali beberapa permasalahan akhbar, media alternatif di samping mengenalpasti beberapa tindakan baru untuk mengatasi masalah tersebut.

Tambahnya, berdasarkan maklumat yang beliau perolehi setakat ini, kadar jualan Berita Harian dan Utusan Malaysia misalnya berada di bawah 170,000 naskhah pada 2009 berbanding lebih 200,000 pada 2006.

"Ini kerana, salah satu sebabnya, ialah akhbar-akhbar perdana tersebut tidak akan melaporkan seperti yang yang dikehendaki oleh masyarakat, khasnya hal yang benar melibatkan kes perbicaraan Anwar Ibrahim.

"Kita mesti ingat, bahawa hari ini, Anwar masih lagi de facto dalam masyarakat," kata Wan Hamidi yang juga Pembantu Pengarah Research For Social Advancement (Refsa), sambil menjelaskan bahawa saingan Harakah yang terkini adalah Suara Keadilan.

Berdasarkan rekod, hasil jualan Harakah sejak Reformasi 1998 adalah sekitar 400,000 dan kini menurun sehingga 105,000.

Selain itu, berucap pada majlis yang sama, Setiausaha Dewan Muslimat PAS Aiman Athirah Al-Jundi berkata, Harakah telah menyiarkan banyak bahan maklumat kepada pembaca, tapi para pembaca khasnya muslimat kurang fasih mendalami isu-isu semasa.

"Kita kena gerakkan semacam suatu sekretariat untuk mengatasi masalah-masalah yang berbangkit dalam akhbar ini. Dan, mungkin kita perlu gerakkan kempen membaca dalam kalangan aktivis parti. Ini kerana, kalau ada maklumat pun dalam akhbar pun, mereka tidak membacanya," kata Aiman Athirah lagi.

Untuk menjadikan akhbar ini lebih dinamik, kolumnis Harakah, Abdul Shukor Harun berkata, akhbar itu tidak lagi boleh menjadi alat kepada organ parti sepenuhnya, malah ia mesti lebih banyak menjuruskan kepada usaha-usaha menggali isu-isu dalam masyarakat.

"Saya difahamkan, ahli-ahli Pas ada lebih sejuta orang, tetapi kenapa hasil jualannya cuma 105,000 naskhah sahaja?" soal beliau lagi.

Menyentuh hal yang sama, Ketua Pengarang Harakah Daily Zulkifly Sulong berkata, muka depan akhbar parti ini tidak boleh diletakkan berita parti bagi tujuan menarik minat pembaca terhadap akhbar tersebut.

"Suatu masa dahulu, kita pernah memutuskan supaya isu-isu nasional itu diletakkan di muka depan agar ia dapat menarik perhatian khalayak ramai.

"Sementara itu, laporan yang memuatkan berita parti pula, kita letakkan di bahagian belakang seperti berita Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan para pimpinan parti yang lain," kata beliau.

Program dihabiskan awal kerana Mazlan Aliman ditahan polis

Dalam pada itu, penulis politik Mohd Sayuti Omar berkata, antara kaedah yang boleh dibuat untuk menguatkan laporan akhbar ini, ialah dengan mengadakan program 'pertukaran' penulis dan penulisan antara akhbar-akhbar alternatif tersebut.

"Ini bermaksud, penulis Harakah boleh menulis di Roket, wartawan dan penulis di Suara Keadilan boleh menulis di Harakah dan sebagainya," kata beliau.

Selain itu, tambah Mohd Sayuti, akhbar Harakah ini perlu menjurus kepada laporan berbentuk 'human interest' yang boleh merakamkan kisah keperitan hidup masyarakat yang menyayatkan hati pembaca.

Pertemuan untuk sidang bedah siasat Harakah ditamatkan lebih awal tengah hari ini kerana panelis jemputan khas untuk sidang petang ini tidak dapat hadir, ekoran penahanan polis ke atasnya bermula semalam.

"Sepatutnya, sidang bedah siasat akhbar ini dijangka tamat pada 4 petang ini, tapi kita habiskan lebih awal kerana Mazlan Aliman yang dijangka dapat membentangkan syornya itu, telah ditahan polis dengan sebab ceramahnya baru-baru ini di Raub," kata Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman ketika ditemui.

Ambilan-erapakatan

Elia Suhana ragui lafaz cerai Sultan




KOTA BHARU 10 Mac – Isteri kedua Sultan Kelantan, Elia Suhana Ahmad, 31, musykil dengan kesahihan lafaz cerai yang difailkan oleh peguam suaminya semalam kerana beliau mendakwa pada ketika itu Tuanku Ismail Petra sedang gering.

Peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hasan berkata, perkara tersebut disampaikan oleh anak guamnya itu selepas permohonan pengesahan lafaz cerai Sultan dilaporkan secara meluas oleh media hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima salinan permohonan tersebut walaupun telah menghubungi peguam yang dilantik baginda.

“Saya telah memberitahu anak guam saya mengenai permohonan itu selepas membaca laporan akhbar pagi ini.

“Beliau musykil dengan kesahihan lafaz cerai ini kerana pada ketika itu baginda sedang gering dan dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar yang menyatakan Tuanku Ismail Petra telah menitahkan peguam yang dilantiknya, Zainul Rijal Abu Bakar memfailkan permohonan bagi pengesahan lafaz cerai talak tiga terhadap isteri keduanya itu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.

Dalam kenyataan kepada Bernama, Zainul dilaporkan berkata, beliau telah dititahkan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai antara baginda dan Elia Suhana.

Berdasarkan permohonan tersebut Tuanku Ismail Petra telah menceraikan Elia Suhana pada 12 Februari 2010 di hadapan beberapa orang saksi ketika dirawat di Hospital Mount Elizabeth.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) mengesahkan Tuanku Ismail Petra telah berkahwin dengan Elia Suhana pada 23 Disember 2007.

Dakwaan Kos Berlebihan Projek SPNB: PAC Siasat


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kini sedang menyiasat sama ada berlakunya kos yang berlebihan dalam pengendalian projek di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, isu berkaitan dakwaan tersebut terkandung di dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2007.

PAC juga katanya ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan yang mengatakan terdapatnya kelewatan di dalam membayar tuntutan kontraktor yang dilantik SPNB bernilai berjuta-juta ringgit.

“Keseluruhannya, kami melihat terdapatnya isu berhubung dakwaan kos berlebihan di bawah projek-projek SPNB sebagaimana yang ditemui dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“Jadi kita ingin mengetahui sama ada syarikat milik kerajaan itu mampu mengendalikan kos pengurusan mereka di dalam projek-projek yang mereka jalankan," ujarnya.

Menurut Azmi, SPNB telah membina 24,000 unit rumah dan menjual 9,000 unit tahun lepas dan ini merupakan satu pencapaian yang besar.

“Bagaimanapun, laporan Ketua Audit Negara memberi gambaran sebaliknya kerana ia mempertikaikan kos pengurusan projek yang didakwa telah melebihi had yang sepatutnya," katanya kepada para pemberita ketika ditemui di Bangunan Parlimen di sini.

Arahan Bayar RM6 juta kepada Anak Sultan Kelantan



Manohara Odelia Pinot dan ibunya Daisy Fajarina hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya membayar ganti rugi berjumlah RM6 juta kepada suaminya, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra.

Penolong Kanan Pendaftar, Noordura Mohamed Din dalam penghakiman beliau juga memerintahkan kedua-dua defendan membayar ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan pampasan yang setiap satunya bernilai RM2 juta.

Prosiding yang berlangsung dalam kamar selesai pada jam 9.35 pagi.

Pada 5 Nov 2009, Penolong Kanan Pendaftar Shazali Hidayat Shariff membenarkan Tengku Muhammad Fakhry (atas, berkaca mata gelap) memperoleh perintah ingkar terhadap Manohara dan Daisy setelah mereka gagal melantik peguam bela baru bagi kes berkenan selepas peguam mereka menarik diri daripada mewakili mereka.

Perintah ingkar ada
lah satu keputusan yang menyebelahi plaintif apabila defendan tidak memberi respons terhadap saman yang difailkan terhadapnya atau gagal menghadirkan diri di mahkamah.

Pada saman yang difailkan pada 20 Julai 2009, putera Sultan Kelantan itu mendakwa dua wanita berkenaan telah secara palsu dan jahat memfitnah beliau apabila mereka mendakwa pada satu sidang akhbar antara April dan Jun 2009 bahawa Manohara telah didera.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.