Pihak berkuasa diminta agar menyiasat kumpulan jemaah tabligh yang diketuai Shamsudin Ajaib, yang menjanjikan balasan syurga kepada ibu bapa jika kanak-kanak perempuan mereka dikahwinkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata: "Satu siasatan yang terperinci perlu dilakukan oleh pihak berkaitan kerana janji mereka itu akan menarik hati ibu bapa yang tidak berfikir panjang seterusnya memperjudikan masa depan kanak-kanak tersebut."
Selain itu, "suami" kanak-kanak itu yang disifatkannya sebagai melampau yang menjadi punca kepada dua kes perkahwinan paksa kanak-kanak perempuan di Kelantan itu perlu dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang, katanya kepada pemberita selepas melawat Siti Zubaidah Hussin, 11, yang dipaksa berkahwin dengan lelaki tabligh berusia 41 tahun itu di Hospital Sungai Buloh hari ini.
Siti Zubaidah yang tidak dapat dijejaki sejak keluar dari rumah bersama bapanya dan Shamsudin pada 20 Februarilepas, ditemui di Masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera dekat Batu Caves Jumaat lepas oleh lelaki yang tidak dikenali.
"Saya gesa agar tindakan undang-undang diambil ke atasnya jika penyiasatan menunjukkan berlaku pelanggaran undang-undang sama ada mengikut Kanun Keseksaan atau di bawah Akta Syariah kerana berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur tanpa kebenaran," kata Shahrizat.
"Dia tidak bertanggungjawab... sudahlah melarikan kanak-kanak itu selama dua minggu dari keluarganya, kemudian ditinggalkan berseorangan tanpa sebarang rasa kasihan dan tanggungjawab. Mujurlah mangsa dapat diselamatkan," katanya.
Shahrizat berkata beliau turut menghantar surat kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan agar kes tersebut dapat disiasat segera dalam memastikan tiada kejadian serupa berulang.
"Kita tidak boleh berdiam kerana kanak-kanak ini masih kecil dan perlu dilindungi. Kita juga sudah minta Jabatan Kebajikan Masyarat memberikan rawatan dari segi perubatan dan kaunseling," katanya.
Dalam pada itu, sumber berkata kanak-kanak malang itu mengaku telah 'tidur' sebilik dengan suaminya di sebuah hotel di ibu negara selama dua atau tiga hari selepas dinikahkan.
Bagaimanapun, mengikut sumber, kanak-kanak itu mendakwa mereka bagaimanapun tidak melakukan sebarang hubungan seksual dan suspek cuma menyentuhnya di bahu.
"Itu yang diceritakan mangsa kepada seorang doktor yang memeriksanya di sini. Banyak yang dia tidak ingat, malah dia sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh berada di surau," katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Siti Sarnan Mat Ail, 42, berkata anaknya itu meminta untuk menetap bersama bapa saudaranya di Tanah Merah, Kelantan sebaik keluar dari hospital nanti.
"Dia juga akan ditukarkan sekolah berdekatan rumah bapa saudaranya selepas hampir tiga minggu tidak ke sekolah," katanya.
Siti Sarnan berkata anaknya kini beransur pulih dan berada dalam keadaan stabil tetapi tidak mampu bercakap banyak kerana masih dalam keadaan trauma.
Menceritakan mengenai kejadian itu, beliau berkata, Shamsudin cuba mempengaruhi dirinya agar Siti Zubaidah mengikuti lelaki itu dengan alasan untuk mendaftarkannya di sebuah sekolah tahfiz di Wakaf Baru, Kelantan.
Siti Sarnan berkata Shamsudin mendakwa anaknya itu akan dapat menghafaz al-Quran dalam tempoh singkat jika mengikuti kelas di pusat tersebut sepertimana anak Shamsudin yang dakwa turut dihantar ke pusat tersebut.
"Dia cuba pengaruh saya dengan mengatakan jika anak tamat tahfiz, dia boleh tolong ibu bapa di akhirat namun saya tidak bersetuju kerana berasa tidak sedap hati, lagipun Zubaidah masih bersekolah.
"Meskipun saya berat hati untuk membiarkan anak saya mengikut Shamsudin,
namun saya akur selepas mereka (Shamsudin dan suami) berkeras untuk membawa Zubaidah dan saya fikirkan tidak akan berlaku apa-apa memandangkan suami, Hussin Mat Salleh, 54, turut serta," katanya.
Siti Sarnan berkata ketika Siti Zubaidah dibawa suaminya dan Shamsudin pada pagi 20 Februari lepas, anaknya telah menangis teresak-esak.
Katanya beliau tidak tahu-menahu bahawa anaknya itu akan dikahwinkan malam tersebut.
"Saya mula runsing apabila mereka tidak pulang malam itu, malah suami saya gagal dihubungi selama tiga hari. Saya kemudinnya mendapatkan nombor telefon Shamsudin dari kawannya sebelum memaksa mereka pulang.
"Bila pulang, saya lihat suami seperti kebingungan dan bercakap seperti orang hilang akal seakan-akan seperti dipukau apabila menurut sahaja kata-kata lelaki tersebut. Manakala anak saya hilang," katanya.