Sekali Lafaz Aktres Ayu Raudhah Sah Bergelar Isteri Pemain Bola sepak Kebangsaan, Zaquan Adha... Ayu Sebak

Zaquan Adha dan Ayu Raudhah selamat bergelar suami-isteri.

ALOR SETAR: Hanya dengan sekali lafaz, aktres Ayu Raudhah,26, akhirnya sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 23, pada majlis pernikahan mereka di Masjid Sultanah Bahiyah, di sini, Jumaat.



Pasangan ini telah dinikahkan pada pukul 3.45 petang oleh imam masjid tersebut, Mustafa Kamil Abdul Jamil yang mewakili walikan pihak perempuan iaitu abang Ayu, Roshidi Abu Bakar @ Che Wan.



Pada majlis yang serba ringkas itu, Ayu atau nama sebenarnya Raudhah Abu Bakar @ Che Wan yang kelihatan anggun dengan busana rekaan Man Kajang berwarna krim menerima mas kahwin RM1,888 serta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki dan berbalas sembilan dulang.



Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas persetujuan kedua-dua belah pihak. Difahamkan, wang hantaran itu mempunyai kaitan dengan angka lapan, iaitu nombor jersi Zaquan.



Momen bersejarah pasangan mempelai itu disaksikan oleh kira-kira 200 orang tetamu termasuklah ibu Ayu iaitu Zabedah Saad, ibu-bapa Zaquan iaitu Abd Radzak Salleh dan Azizah Arshad serta ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta kenalan rapat mereka.



Turut menyaksikan majlis akad nikah mereka, kakak Ayu iaitu aktres Rozita Che Wan, abang ipar mereka, aktor Mazlan Ahmad dan kembar kepada Mohd Zaquan iaitu Aidil Zafuan.



Ditemui selepas majlis berakhir, Ayu yang kelihatan sebak sebaik selesai akad nikah itu melahirkan rasa syukur kerana hubungan cinta mereka yang terjalin hampir dua tahun itu berakhir dengan sebuah ikatan perkahwinan.



"Saya bersyukur, lega dan amat gembira kerana akhirnya kami disatukan juga setelah hampir dua tahun mempertahankan hubungan ini," kata Ayu.



Menurut pelakon drama Nur Kasih ini, dia merasakan sudah sampai masanya untuk mendirikan rumah tangga dan tidak menyangka jodohnya adalah dengan seorang pemain bola sepak terkenal.



"Perasaan saya bercampur-baur sebaik selamat dinikahkan. Saya akan cuba menjadi isteri yang baik dan menghormati setiap keputusan suami walaupun kami berbeza umur tiga tahun,” tutur Ayu.



Sementara itu, Zaquan juga turut memanjatkan kesyukuran apabila majlis bersejarah mereka itu berjalan dengan lancar dan kini sah bergelar suami kepada Ayu.



“Saya rasa debaran ketika akad nikah tadi lebih mendebarkan berbanding debaran sepakan bola ke gawang gol. Bagaimanapun, saya bersyukur semuanya berjalan dengan lancar.



"Selama dua tahun ini, dia seorang yang amat mengambil berat tentang kerja saya. Ayu sentiasa memberikan sokongan untuk saya meningkatkan mutu permainan dan terus berjaya demi memantapkan reputasi bola sepak negara di persada antarabangsa," tutur Zaquan sambil mengukir senyuman manis.



Bercerita tentang percutian bulan madu, Ayu dan Zaquan belum menetapkan tarikhnya kerana sibuk dengan kerja masing-masing dan memilih sebuah pulau sebagai destinasi utama.



Beralih kepada soal anak, Ayu tidak menolak untuk mempunyai anak pada bila-bila masa memandangkan suaminya juga sangat menyukai kanak-kanak.



Pada sebelah malamnya, kedua-duanya menjalani resepsi perkahwinan berkonsepkan alam fantasi dan mengenakan persalinan rekaan Rizman. Majlis tersebut berlangsung di rumah pengantin perempuan.



Selain itu, mereka turut menggunakan khidmat pereka Qudyn untuk malam berinai pada 20 Januari di rumah Ayu.



Sementara majlis menyambut menantu akan dilangsungkan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada 30 Januari ini. Pasangan pengantin akan mengenakan persalinan Calvin Thoo dengan bertemakan tradisional.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.