Masalah Teknikal SULIHH Tertangguh La Pulak..


ALOR SETAR: Pelaksanaan projek penapisan minyak Hab Hidro Karbon Sungai Limau (SULIHH) bernilai RM36 bilion (AS$10 bilion), kini sudah tertangguh lebih setahun - kali ini akibat pelabur menarik diri.

Sebelum ini, majlis pecah tanah SULIHH yang dijadualkan November lalu dan beberapa kali selepas itu, tertangguh apabila laporan kesan alam sekitar (EIA) yang dikemukakan oleh pelabur, ditolak Jabatan Alam Sekitar.

SULIHH ialah projek penapisan minyak di kawasan laut di Sungai Limau, Yan, yang ditambak. Minyak mentah dari Timur Tengah akan diproses untuk dieksport semula ke China dan negara Asia lain apabila loji itu beroperasi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, bagaimanapun yakin projek "emas" yang diharap memberi hasil kira-kira RM400 juta setahun kepada kerajaan negeri itu, akan terlaksana selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Tanpa mendedahkan pihak yang menarik diri, beliau memberi alasan projek itu tergendala kerana masalah teknikal, termasuk punca penarikan diri pelabur asing.

Masalah teknikal ini membabitkan ketiga-tiga pelabur - Merapoh Resources Sdn Bhd, Hong Kong Beijing Star Ltd, Winson Investment Ltd dan SK Engineering and Construction Ltd dari Korea," katanya kepada pemberita ketika ditanya perkembangan projek itu selepas mesyuarat mingguan Exco, di sini hari ini.

Azizan mengakui kerajaan negeri mengalami kerugian akibat kegagalan SULIHH dilaksanakan mengikut jadual dan memberi kesan terhadap agenda pembangunan negeri.
"Kelewatan itu bermakna jangkaan siap projek itu turut dipinda dari 2014 kepada 2015," katanya.

Beliau berkata, projek pembinaan depot simpanan minyak di Jerlun dan pemasangan paip sepanjang 50 kilometer dari Jerlun ke Bukit Kayu Hitam, akan dilaksana pada awal tahun depan.

"Projek pemasangan paip tiada masalah, cuma yang tinggal masalah pengambilan tanah untuk pembinaan depot simpanan minyak di Jerlun yang dijangkakan selesai tidak lama lagi," katanya.

Minyak yang diproses di SULIHH akan disalurkan ke depot simpanan Jerlun untuk dieksport semula ke negara Asia lain melalui paip bawah tanah dari Bukit Kayu Hitam yang disambung ke Thailand

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.