Awas - Jiran Sendiri Sanggup Membunuh Tetangga Demi Wang.. Polis Tahan Suspek Bunuh Ustazah Dan Anak

pix_gal0
SEREMBAN: Ustazah yang ditemui mati bersama anak lelakinya berusia 10 tahun di sebuah apartmen di Jalan Sutera Lama, Port Dickson, 3 September lalu, dipercayai dibunuh jirannya yang menyamun mangsa bagi mendapatkan wang untuk melangsaikan hutang.

Polis juga tidak menolak kemungkinan Norliza Ishak, 35, turut dirogol manakala anaknya, Amirul Ayman Mohd Yusoff, diliwat sebelum dibunuh dan disamun lelaki berusia 34 tahun yang tinggal bersebelahan rumah mangsa.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata lelaki itu dikatakan memperdayakan ustazah berkenaan kononnya kunci rumah tertinggal dan mahu memanjat masuk ke rumahnya melalui dapur mangsa.

“Sebaik mangsa membuka pintu, lelaki itu terus menghentak kepalanya menggunakan siku. Anak mangsa yang menjerit apabila melihat kejadian itu, pula dipukul di kepala sehingga pengsan.

“Suspek kemudian mengikat tangan dan kaki kedua-dua mangsa, manakala mulut ditutup menggunakan pita pelekat dan kepala dibalut dengan kain sarung serta pakaian sebelum diletak di bawah air pancuran mandi menyebabkan mereka tidak dapat bernafas,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dua beranak itu dikatakan dibunuh pada petang 2 September sebelum mayat mereka ditemui, kira-kira jam 10 pagi keesokannya oleh rakan Norliza. Ketika kejadian, suami mangsa berada di luar negara, manakala isteri dan dua anak suspek pula pulang ke kampung di Sabah.

Osman berkata, suspek yang ditahan di rumah neneknya di Port Dickson pada 5 September lalu, mengaku melakukan pembunuhan itu dan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.

Katanya, bedah siasat juga mendapati ada kecederaan baru pada kemaluan kedua-dua mangsa, tetapi polis masih menunggu keputusan ujian DNA sebelum dapat mengesahkan sama ada Norliza turut dirogol, manakala anaknya diliwat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis turut menemui semula barangan yang dicuri termasuk komputer riba dan tiga telefon bimbit tetapi wang tunai sudah digunakan suspek untuk membayar bil serta bayaran bulanan keretanya.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pemasang paip gas syarikat minyak dan gas, mempunyai masalah kewangan kerana tidak mempunyai kontrak kerja selama beberapa bulan.

Osman juga kesal kerana jiran yang mendengar bunyi mencurigakan pada petang hari kejadian, tidak mengambil sebarang langkah termasuk memeriksa atau melaporkannya kepada polis.

"Kita dapati ada jiran mendengar jeritan luar biasa anak mangsa, selain bunyi bising dari dalam rumah, iaitu ketika mangsa jatuh di atas rak, tetapi tiada siapa berbuat apa-apa," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.