Tiga lelaki maut selepas kereta mereka naiki terlibat dalam kemalangan di KM 277.5 Lebuhraya Utara-Selatan menghala utara dekat plaza tol Nilai 4.30 pagi tadi. – Gambar Bernama
SEREMBAN, 4 Julai – Tiga maut dan dua cedera selepas sebuah kereta mewah jenis BMW bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki warga Denmark di Kilometer 277.5 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Nilai, dekat sini, pada pukul 4.30 pagi tadi.
Menurut jurucakap polis, kereta BMW itu dinaiki oleh empat bekas penuntut Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) yang baru selesai mengadakan pertemuan nostalgia.
“Pemandu kereta BMW itu cedera dan tiga rakannya maut. Kemalangan berlaku apabila lelaki Denmark tadi bergerak menentang arus selepas terlibat dalam satu kemalangan kecil dengan sebuah kereta Proton Waja sebelum itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Warga Denmark yang berada di laluan menuju ke arah Utara bertindak membuat pusingan U untuk ke Selatan sebelum berlakunya kemalangan ngeri itu, katanya.
Mereka yang maut dalam kereta BMW itu dikenali sebagai Mohd Sofee Mohd Tahir, 50, Ghazali Abdul Majis, 52 dan seorang lagi rakan mereka Zulkarnain Adam, 49, mati di hospital.
Pemandu BMW iaitu Zahari Abdullah, 49, dan pemandu warga Denmark yang tidak dikenali itu hanya mengalami cedera ringan, katanya.
Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, ASP Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. – Bernama
0 comments:
Post a Comment