Pakatan lancar sayap global, yakin menang PRU tergempar

Blogger Raja Petra Kamarudin bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat ketika
pelancaran sayap Sahabat Pakatan Rakyat di London semalam. - Gambar oleh Danny Lim

LONDON, 5 Julai — Pakatan Rakyat (PR) meneruskan langkah-langkah awal persiapan menghadapi pilihan raya umum tergempar dengan melancarkan sayap - Sahabat Pakatan sambil menegaskan, ia boleh menang besar dalam pilihan raya umum ke-13.

Pemimpin-pemimpin pakatan tiga komponen juga memperlekehkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan berkata Barisan Nasional (BN) kini semakin bimbang dengan kedudukannya sendiri.

“Umno berada dalam keadaan panik. Mereka melihat musuh di mana-mana,” kata ketua sekretariat PR Datuk Zaid Ibrahim ketika berucap pada majlis pelancaran sayap Sahabat Pakatan Rakyat (FoOR) di sini semalam.

PR memperlihatkan prestasi cemerlang dua tahun lalu dengan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan merampas lima negeri termasuk Perak yang kemudian diambil alih oleh BN.

Langkah pelancaran ini diambil beberapa hari selepas Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya bersedia jika BN mahu membubarkan Parlimen dan memanggil pilihan raya tergempar.

Difahamkan perkembangan beberapa minggu lalu termasuk tindakan kerajaan mengubah pendiriannya dan mengkaji semula beberapa keputusan dasar dilihat sebagai langkah awal Najib mula bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya tergempar.

Ada yang sudah mula membuat spekulasi ia akan diadakan bila-bila masa selepas September ini.

Selain itu, laporan terbaru yang disiarkan The Malaysian Insider menyebut ahli-ahli Parlimen BN akan menerima peruntukan tambahan RM500,000 berbanding RM1 juta sebelum ini, menyumbang kepada spekulasi pilihan raya awal.

“Saya diminta menjelaskan hubungan saya dengan Raja Petra Kamarudin oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Adakah satu jenayah untuk mengenali beliau,” kata Zaid mengenai Raja Petra yang telah mencabar agar kerajaan membawa tuduhan hasutan dan jenayah fitnah ke atas di mahkamah United Kingdom.

“Sekarang mereka minta saya menjelaskan hubungan saya dengan Bala, sedangkan saya baru jumpa dia (di sini) semalam,” katanya.

P. Balasubramaniam, detektif persendirian itu mengeluarkan dua akuan bersumpah berkaitan dengan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shariibuu yang dikaitkan dengan perdana menteri.

Beliau mengeluarkan maklumat terbaru akhir tahun lalu dan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM yang awalnya mahu menemui beliau di London hari ini telah mengubah fikirannya Rabu lalu.

Bendahari PAS Dr Mohd Hatta Ramli juga melahirkan kemungkinan pilihan raya tergempar kemungkinan dipanggil akhir tahun ini.

“Jika September, kami akan menang besar. Jika tahun depan, kami akan menang lebih besar,” kata Ahli Parlimen Kuala Krai ini.

Zaid menambah, menteri-menteri bercakap tidak tentu hala kerana mereka sudah mula panik berhubung pilihan raya umum datang.

Pandangan ini diberikan ketika Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam memberitahu masa telah tiba bagi BN khususnya Umno, membuktikan bahawa kelemahan dan kesilapan mereka yang wujud sebelum ini telah berjaya diatasi.

Oleh itu, BN dan semua parti komponennya kini perlu bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 tanpa dolak-dalik, kata Menteri Dalam Negeri ini.

Menurut beliau, alasan-alasan klise dan remeh yang sering diguna pakai sebelum ini tidak boleh lagi digunakan sebagai faktor penyokong untuk ‘lari’ dari bertanding dalam pilihan raya.

Katanya, pindaan terhadap perlembagaan Ummo dan transformasi menyeluruh dalam Umno adalah langkah drastik yang diambil untuk kembali memperkasakan parti, sekaligus membolehkan Umno muncul sebagai parti komponen BN pertama yang berani bertindak sedemikian rupa.

Pemimpin-pemimin PR yang lain juga menegaskan, pihaknya akan menghadapi pilihan raya umum ke-13 dengan lebih mantap berbanding ketika Mac 2008.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah menjelaskan PR kini lebih baik berbanding BN, malah merupakan alternatif berdaya maju buat masa sekarang.

Anak Anwar ni menambah, PR telah merangka Dasar Bersama akhir tahun lalu manakala di Selangor telah diperkenalkan jawatankuasa pilihan bagi memastikan ketelusan pentadbiran dan akan menggubal Akta Kebebasan Maklumat.

“Satu-satunya inovasi BN ialah Perkasa,” kata beliau dengan merujuk kepada pertubuhan bukan kerajaan digerakkan oleh Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali.

“Perubahan akan datang dan pilihan raya umum akan datang akan menjadi sesuatu yang tidak boleh mudah dilupakan oleh BN,” katanya.

Hatta menambah, dalam pilihan-pilihan raya lalu DAP, PKR dan PAS hanya membentuk kerjasama pilihan raya untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru dan berkempen secara berasingan tetapi kali ini mereka akan berkempen bersama dan membuat pengorbanan demi kepentingan bersama.

“Pentadbiran sekarang ini sepatutnya sudah berakhir dalam pilihan raya umum lalu. Kemenangan dalam lingkungan kami,” katanya lagi.

Naib Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw juga menekankan bahawa PR tidak akan menunggu sehingga menguasai kesemua kerajaan negeri terlebih dahulu tetapi akan mengambil alih kerajaan pusat dan negeri serentak.

“Sementara kami tidak boleh memastikan PR seratus peratus bersih (daripada rasuah) apabila kami berkuasa, kami berjanji kami tidak akan menunjukkan belas kasihan kepada mereka yang berasuah. Kita mesti ada integriti,” kata wakil rakyat Kepong ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.