Kerajaan Zionis Israel 'Tidak akan mohon maaf' : Insiden Serangan Konvoi Kemanusiaan

'Tidak akan mohon maaf'

TEL AVIV - Kerajaan Israel dengan angkuh menegaskan tidak akan membuat permohonan maaf kepada Turki berhubung insiden serangan terhadap konvoi kemanusiaan ke Gaza, bulan lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Tel Aviv juga tidak bercadang untuk membayar pampasan kepada keluarga sembilan aktivis warga Turki yang terbunuh semasa serangan rejim ganas itu, kelmarin.

Terdahulu, Ankara menuntut Israel memohon maaf, membayar pampasan kepada mangsa, menerima siasatan antarabangsa dan menamatkan sekatan ke atas Gaza dalam satu perjumpaan di antara menteri kedua-dua negara.

Menteri kanan Israel yang terlibat dalam perbincangan itu menggambarkan kemungkinan Tel Aviv akan mempertimbangkan bayaran pampasan kepada mangsa, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Netanyahu menafikan kemungkinan itu dan sebaliknya mempertahankan serangan itu yang kononnya dilakukan sebagai 'mempertahankan diri'.

"Israel tidak boleh memohon maaf kerana askar kita terpaksa mempertahankan diri daripada sekumpulan aktivis yang hampir menyembelih mereka," katanya dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Israel.

Menurutnya, Israel tetap mahu mengelakkan sebarang kerosakan lanjut dalam hubungan negara itu dengan Turki yang menjadi semakin tegang akibat serangan itu.

Turki, sekutu utama Israel di Timur Tengah, memanggil pulang dutanya di Israel dan membatalkan latihan ketenteraan bersama negara Zionis itu selepas serangan tersebut.

"Masih belum ada persetujuan antara Israel dan Turki tetapi langkah terbaik perlu diambil untuk mengelakkan hubungan kedua-dua negara terus merosot," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.