Ketua Menteri Tolong Tengok Sat Rakyat Bawahan Nie... Dah 20 tahun kempunan, Segalanya Hampa..


Harapan penduduk Sungai Nibong dapat air, elektrik hampa

KUCHING: Ketika mengambil keputusan untuk berpindah ke tanah besar kira-kira 20 tahun lalu, beberapa penduduk dari Pulau Salak, mengimpikan kediaman mereka dilengkapi kemudahan asas seperti penduduk lain di negeri ini yang sudah lama menikmati pembangunan.

Kampung asal mereka yang terletak di atas sebuah pulau kecil di luar pantai Santubong itu tidak menerima kemudahan asas terutama bekalan elektrik 24 jam dan air bersih.

Berbekalkan harapan untuk menikmati kemudahan asas itu, mereka nekad membuka sebuah penempatan di kawasan paya bakau di tepi Jalan Pasir Pandak, yang terletak hanya kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar raya Kuching.

Selepas rumah didirikan dan mereka berpindah pada 1992, penduduk memberi nama penempatan yang baru mereka buka itu sebagai Kampung Sungai Daun dan memohon untuk mendapatkan bekalan elektrik dan air bersih.

Seorang penduduk, Abdul Wahab Abdul Latif, 55, berkata walaupun permohonan kali pertama ketika mula-mula menetap di Kampung Sungai Daun tidak mendapat perhatian, mereka bersabar kerana percaya kemudahan asas yang diimpikan akan menyusul.

Berbekalkan keyakinan itu, semakin ramai penduduk dari Pulau Salak berpindah untuk membina rumah di tepi jalan berkenaan dan sehingga kini lebih 20 rumah sudah didirikan.
Abdul Wahab berkata, apabila semakin ramai penduduk berpindah dan menetap di penempatan baru itu, lagi sekali permohonan dibuat, namun kesudahannya mereka tetap hampa sehingga kini.

“Kami berpindah ke sini hampir 20 tahun lalu dengan harapan akan menikmati kemudahan asas seperti orang lain kerana di kampung asal kami di Pulau Salak, bekalan elektrik hanya menggunakan dari jana kuasa, manakala air pula mengharapkan hujan selain perigi.

“Namun nampaknya harapan kami itu sekadar tinggal harapan dan kami terus kempunan, kerana hingga kini tidak ada tanda bekalan elektrik dan air akan disalurkan ke kampung kami ini yang namanya sudah diubah menjadi Kampung Sungai Nibong,” katanya.

Lebih malang lagi, kata Abdul Wahab, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kesulitan mereka dengan menjanjikan bantuan untuk mengatasi masalah mereka.

“Bukan sekali tetapi dua kali, penduduk kampung ditipu individu tidak bertanggungjawab dari Kuching yang mendakwa boleh membantu menyelesaikan masalah kami kerana katanya dia kenal ‘orang dalam’ di pejabat agensi berkaitan yang membekalkan kemudahan asas itu.

“Kejadian itu berlaku empat lima tahun lalu apabila individu terbabit datang ke kampung kami dan meminta wang cengkeram sebanyak RM50 bagi setiap rumah dan berjanji untuk memasang paip air dari jalan utama ke rumah kami. Namun paip air yang dijanjikan itu tidak kelihatan sehingga kini dan wang penduduk pula lesap entah ke mana,” katanya.

Ekoran ketiadaan bekalan elektrik, penduduk terbabit masih menggunakan jana kuasa dengan membelanjakan RM100 hingga RM200 sebulan untuk membeli bahan api bagi bekalan enam jam sehari.

“Penduduk yang menerima bekalan elektrik 24 jam pun tidak membayar bil sebanyak yang kami belanjakan untuk membeli diesel setiap bulan,” katanya.
Saniah Khalid, 51, pula berkata beliau tidak tahu sampai bila mereka perlu bergantung kepada air hujan dan perigi untuk kegunaan harian.

“Negara sudah lama merdeka dan orang lain sudah menikmati segala nikmat pembangunan, tetapi kami masih lagi menadah air hujan untuk makan minum. Apabila musim kemarau pula kami terpaksa menggunakan air payau dari perigi,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.