KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Umno Pulau Pinang mempertahankan pendirian mereka dengan menafikan dakwaan bahawa parti itu sengaja mencipta isu kononnya nama Ketua Menteri Lim Guan Eng digunakan dalam khutbah untuk menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Sebaliknya, Umno Pulau Pinang mempertahankan bahawa perkara itu benar-benar berlaku di beberapa masjid, sejak awal tahun ini.
Ketika menjelaskan kepada The Malaysian Insider, Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman menamakan enam masjid yang menurut parti itu telah menggunakan nama sama ada “Ketua Menteri ataupun Lim Guan Eng” dalam khutbah, yang dikesan sejak Februari lalu.
Masjid-masjid itu ialah Masjid Jalan Baru di Seberang Prai Tengah didakwa menyebut nama Guan Eng pada 13 Ogos lalu, Masjid Padang Menora, Seberang Prai Utara (25 Jun), Masjid Pengkalan Tambang Permatang Pasir (sekitar Mei), Masjid Jamek Jelutong, George Town (sekitar April) dan Masjid Permatang Binjai Kepala Batas (26 Februari).
“Dan, semalam (kelmarin), nama Lim Guan Eng disebutkan lagi di Masjid Kubang Buaya, Butterworth oleh imam Ustaz Zakaria Ahmad... terus digunakan walaupun ada laporan media mengenai isu ini,” kata beliau.
“(Oleh itu) ini bukan satu isu yang dibuat-buat (oleh Umno), ia sebenarnya berlaku,” kata Zainal Abidin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno.
Zainal Abidin memberitahu pandangan Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan bahawa Umno dan Utusan Malaysia sengaja mereka cerita dan mewujudkan sentiment perkauman terhadap kerajaan negeri diterajui Guan Eng.
“Tidak baik bagi Lim Kit Siang untuk mengatakan kami yang sengaja mengadakan perkara ini,” katanya.
“Sekarang ada bukti, apa mereka hendak kata?” kata Zainal Abidin sambil meminta Kit Siang dan Anwar menarik balik kenyataan mereka.
Zainal Abidin pula mendakwa Anwar sengaja membuat fitnah terhadap Umno.
Dalam kenyataan kelmarin, Anwar menegaskan beliau mendapati tuduhan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid Khamis lalu tidak berasas kerana ada membaca teks khutbah yang diedarkan menerusi rakan-rakannya di Pulau Pinang.
“Kit Siang seharusnya menarik balik kenyataannya, ini sesuatu yang berlaku di akar umbi,” kata Zainal Abidin dengan menambah, amalan tidak menyebut nama Yang di-Pertuan Agong sebenarnya berlaku sejak sebelum pilihan raya umum Mac 2008.
“Sebelum pilihan raya umum 2008, beberapa masjid yang dikuasai PAS tidak menyebut nama Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri, tetapi selepas pilihan raya umum 2008 ia sudah jadi satu fenomena biasa di Pulau Pinang,” kata beliau lagi.
Oleh itu kata beliau, ia satu perkara jahat yang boleh memecahbelahkan masyarakat di negeri itu khususnya kalangan umat Islam.
“Kita seolah-olah tidak mengiktiraf kewujudan institusi diraja dan Yang di-Pertuan Agong. Ini sesuatu yang tidak baik,” kata Zainal Abidin lagi.
Ketika ditanya sama ada nama Ketua Menteri disebut dengan pengetahuan Guang Eng, Zainal berkata, beliau tidak pasti.
“Saya masih percaya... Umno berharap Majlis Agama Islam Negeri, segala arahan diputuskan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Negeri, bukannya dipengaruhi atau dikawal secara langsung ataupun tidak langsung oleh Ketua Menteri Pulau Pinang,” katanya.
“Kami memandang berat... Majlis Agama Islam mesti kawal dan memastikan teks khutbah dibaca dengan penuh,” katanya lagi.
“Mereka seharusnya kawal sepenuhnya,” kata beliau sambil meminta agar mengetepikan apa yang telah berlaku sebelum ini dengan mematuhi keputusan yang diambil oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
Jawatankuasa Penulisan Khutbah dipengerusikan oleh Mufti Pulau Pinang Datuk Hassan Ahmad.
Ditanya kejadian tidak menyebut nama Yang di-Pertuan Agong wujud disebabkan tindakan khatib jemputan, Zainal menjelaskan, siapa yang hendak memberi khutbah tidak kisah tetapi mesti mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Pulau Pinang untuk berbuat demikian.
Laporan Utusan Malaysia semalam memetik Imam Masjid Jamek Padang Menora, Ibrahim Ishak yang mengakui khatib ada menyebut nama Ketua Menteri dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, ia bermaksud semoga Allah membukakan hati Guan Eng untuk menerima Islam.
Ibrahim juga mengakui nama Yang di-Pertuan Agong tidak disebut dan beliau telah menegur khatib terbabit dan mengakui kesilapan yang dilakukannya.
Menurut Ibrahim, pada setiap bulan pihak masjid akan menjemput khatib luar untuk membacakan khutbah di majlis berkenaan.
Katanya, adalah perlu bagi khatib dan jemaah mendoakan pemimpin negara dalam setiap doa yang dibaca mereka.
“Saya amat kesal dengan apa yang berlaku dan kami akan buat siasatan siapa yang menyebarkan berita tak betul ini,” katanya lagi.
Sinar Harian pula memetik Ketua Umno Cawangan Jelutong Abu Kassim Ismail berkata, isu khutbah menyebut nama Guan Eng bukan baru tetapi berlaku kira-kira dua hingga tiga bulan lalu.
Katanya, khatib yang membaca khutbah jemputan kerana bukan yang biasa bertugas di masjid berkenaan.
Mengulas lanjut, Zainal berkata, khatib jemputan mesti mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri.
“Kalau tidak mendapat kebenaran, tidak boleh dibenarkan,” kata beliau sambil menegaskan, nama Ketua Menteri tidak wajar disebutkan sama sekali dalam khutbah untuk mengelakkan salah faham.
“Jangan gunakan untuk berdoa, kalau baik OK tetapi bagaimana jika digunakan doa dengan tidak niat, mahu mengkritik... ini sudah pasti akan menimbulkan rasa tidak senang.
“Jadi tidak mahu nama Ketua Menteri disebutkan dalam khutbah,” kata lagi.
0 comments:
Post a Comment