Barang Dalam Kereta Dicuri Tanpa Kesan


JADI TANDA TANYA: Meskipun Encik Abdul Rahman sudah mengunci keretanya dengan menggunakan kunci kawalan jauh, keretanya itu masih dapat dimasuki pencuri tanpa memecahkan tingkap atau mengumpilnya. -- Foto KHALID BABA

16 Feb 2010 / SINGAPURA: KERETA milik Encik Abdul Rahman Majid yang dimasuki pencuri di Johor Bahru baru-baru ini tidak mempunyai tanda-tanda ia dipecah masuk atau diumpil.

Kehilangan barang-barang berharga daripada dalam MPV Honda Odysseynya itu menimbulkan tanda tanya bagaimana barangan dalam kereta tersebut boleh hilang.

Encik Abdul Rahman, 48 tahun, seorang ejen hartanah, berkata kejadian itu berlaku pada 24 Januari lalu sekitar 4.45 petang setelah beliau meletakkan keretanya selama 30 minit di hadapan pasar raya Tesco di Tebrau City.

'Saya sudah mengunci kereta menggunakan kunci kawalan jauh dan meletakkan barang seperti komputer riba milik anak saya di kerusi belakang.

'Apabila selesai membeli-belah, saya dapati kereta saya tidak berkunci. Kunci kawalan jauh tidak berbunyi dan sistem alat penggera tidak berfungsi lagi.

'Saya hairan bagaimana kereta saya boleh dimasuki. Setelah pulang, saya buat kajian sendiri dan saya rasa mereka menggunakan teknologi frekuensi atau RFID (Pengenalan Frekuensi Radio).'

Beliau kehilangan komputer riba ($2,000), telefon bimbit ($388), jam tangan, wang tunai $30, beg sekolah ($60), GPS ($499), cakera keras ($40) dan beberapa barangan lain.

Pakar automatif, Encik Mazlan Samad, yang juga mantan Ketua Editor majalah Wheels Asia berkata berdasarkan kajiannya, kemungkinan pintu kereta itu dibuka menerusi teknik membuat salinan kunci kawalan jauh kereta menerusi frekuensi radio.

'Pencuri akan menyalin frekuensi kunci kawalan jauh menggunakan alat elektronik imbasan (scanner).

'Setelah menyalin dan melihat pemilik kereta beredar, pencuri akan membuka kereta seolah-olah kereta itu miliknya,' kata beliau.

Seorang mekanik alat-alat aksesori di Johor Bahru, Encik Wong Ah Kim, berkata alat elektronik imbasan boleh dibeli di Eropah untuk menyalin semula frekuensi radio yang digunakan untuk kereta.

'Kerana itu apabila pemandu kereta mahu memasang kunci kawalan jauh, kami memintanya membeli yang paling mahal kerana ia tidak boleh disalin oleh alat elektronik imbasan,' kata Encik Wong.

Encik Abdul Rahman juga telah memasang sistem penggera yang baru berharga $540 di Singapura untuk mengelak perkara yang sama daripada berulang.

Namun apabila ditanya tentang cara terbaru menggunakan frekuensi radio untuk memecah masuk kereta, Timbalan II, Cawangan Jenayah Johor, Raja Shahrom Abdullah, berkata:

'Sejauh ini kami tidak menerima sebarang laporan mengenai kaedah terbaru menggunakan frekuensi radio itu.

'Kebanyakan kes pecah masuk yang tidak memecahkan cermin biasanya menggunakan kunci induk.'

Encik Abdul Rahman telah membuat laporan di Balai Polis Setia Indah.

Semasa dihubungi, jurucakap balai polis itu mengesahkan pihaknya masih menjalankan siasatan.
Oleh: Nizam Ismail

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.