MU Gantung Harap Pada Rooney


MILAN, Selasa – Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson memuji kehebatan bintangnya, Wayne Rooney dan bergantung harap kepada pengaruh pemain itu untuk menghadapi AC Milan pada Liga Eropah di San Siro awal pagi esok.

Ferguson mengakui terasa kehilangan Cristiano Ronaldo, pemain terbaik Fifa 2008, kepada Real Madrid, musim panas lalu tapi yakin Rooney sebagai nadi baru MU.

"Saya rasa Manchester United cepat membentuk dan melahirkan bintang-bintang baru dan Rooney adalah satu di antaranya.

"Saya tahu, dia hadir ke Old Trafford sebagai pemain muda dari Everton tapi penyokong sentiasa menganggapnya sebagai anak watan.

"Dia dibimbing dan menjadi hebat di kelab ini sejak hadir ketika berusia 18 tahun. Begitulah MU. Kami menghargai mereka lebih daripada pemain yang dibeli.

"Hari ini dia menakjubkan. Prestasinya sejak beberapa bulan ini meletakkannya di puncak kerjaya, tiada keraguan mengenai itu dan dia begitu bersemangat serta bertenaga.

"Bila orang ramai berkata, pemain itu bertaraf dunia, ia sebenarnya disalahertikan tapi Wayne ke tahap itu di mana kita perlu akui dia adalah antara terbaik di dunia,” katanya.

Ketika United kehilangan Ronaldo, Milan juga kehilangan pemain terbaik dunia, Kaka, juga kepada Real, tapi Ferguson enggan meramalkan pasukan mana di antara mereka yang lebih terasa kehilangan wira-wira mereka.

"Kedua-duanya pemain yang hebat. Tapi hanya Milan yang boleh menjelaskan ketiadaan Kaka. Saya tidak boleh menjawab untuk mereka tapi saya boleh jelaskan mengenai Ronaldo, dia pemain yang hebat," kata Ferguson.

"Saya rasa dia yang terbaik di dunia tapi itu pandangan berat sebelah. Bila pemain terhebat berpindah, ia satu kehilangan besar tapi anda perlu mengatasinya dan bangkit dengan pendekatan yang berbeza untuk meneruskan perjuangan.

"Tiada apa yang boleh kami lakukan. Kita tidak boleh bising. Terlalu banyak tugas penting di kelab daripada memikirkan kehilangan seorang pemain.

"Kami perlu meneruskannya dan kami sudahpun meneruskannya tapi dia memang pemain yang cukup hebat.”

Seorang lagi bintang yang berpindah sebelum Ronaldo ialah David Beckham, yang menggantikan pemain sayap Portugal itu pada 2003 ketika berusia 18 tahun.

Beckham menikmati kejayaan hebat bersama United, termasuk menjuarai liga Eropah pada 1999 tapi Ferguson menyatakan banyak sudah berubah sejak Beckham pergi, juga menyertai Real.

"David berpindah tujuh tahun lalu. Hidup perlu diteruskan. Dia pemain yang berbeza dalam pasukan yang berbeza. Itulah yang berlaku.

"David memiliki pengalaman yang luas. Dia sudah mewakili England lebih 100 kali, dia bermain untuk Milan, Real Madrid dan Manchester United. Dia sama seperti pemain Milan yang lain termasuk Andrea Pirlo, Clarence Seedorf dan Filippo Inzaghi. Mereka semua memiliki pengalaman luas.”

Kali terakhir kedua-dua bertemu dalam kejohanan ini ialah di peringkat separuh akhir 2007. United mempamerkan prestasi bersemangat untuk menang 3-2 di Old Trafford tapi mereka diaibkan dengan kekalahan 3-0 di San Siro. Milan muncul juara mengalahkan Liverpool pada final untuk muncul juara Eropah kali ketujuh.

Tapi Ferguson menjanjikan kelainan dan tidak akan mengulangi keaiban dua tahun lalu kerana banyak faktor yang boleh mengubah kedudukan dalam petemuan pagi esok.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.