Kini kerusi Galas sudah terbuka untuk dipenuhi. Speaker Dun Kelantan akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan itu. SPR pula akan bermesyuarat menentukan pilihan raya baru dalam tempoh 60 hari.
Sudah pasti Pas akan mempertahankan kerusi berkenaan. Dan sudah tentu juga BN akan meletakkan calonnya. Musuh tradisi itu akan bertarung sekali lagi. Diharapkan semoga perjalanan pilihan raya itu nanti berjalan dalam keadaan dan suasana penuh tertib. Tolonglah...
Di sini apa yang hendak disentuh, ekoran kekosongan kerusi itu ia juga memberi peluang kepada sebuah NGO yang kini sedang mempersiapkan diri untuk menjadi parti politik. Kononnya NGO itu kini mendapat sambutan kalangan Melayu. Keahliannya sudah sampai puluhan ribu. Ia juga mendakwa memperjuangkan Melayu. Walaupun kebanyakan ahlinya terdiri ahli Umno dan bekasannya, tetapi mereka sudah tidak mempercayai kepada Umno.
NGO ini mendakwa perjuangan mereka hendak membela Melayu. Dalam masa sama mengutuk perjuangan Pas dan PKR. Kononnya kedua parti itu tidak mempertahankan Melayu malahan mengkhianati perjuangan orang Melayu.
Nah sekarang ini dengan kekosongan kerusi Galas moleklah kalau NGO itu mencuba sejauh mana kekuatan mereka. Mereka boleh menguji apakah mereka diterima atau pun tidak. Orang ramai mahu tengok sejauh mana kekuatan mereka apakah suaranya sama lantang dengan suara yang dilaungkan.
NGO itu boleh letak calon mereka kalau benar mereka berani dan mendapat sokongan. Kalaupun mereka tidak dapat bertanding atas lambang NGO berkenaan kerana ianya masih belum didaftar sebagai parti politik, mereka boleh guna apa-apa lambang yang dibenarkan SPR. Mereka boleh guna lambang payung ataupun harimau ataupun beruk ekor pendek.
Begitu juga kalau mereka tidak ada calon kerana tidak ramai ahli NGO itu di Gua Musang, mereka boleh pinjaman mana-mana ahli Umno atau sesiapa yang mendaftar sebagai pengundi dalam Dun Galas. Rasanya tidak ada masalah untuk NGO berkenaan mendapatkan calon. Keluar sedikit wang tentu ramai yang kepingin menjadi calon. Orang Asli juga boleh dipinjam oleh NGO itu untuk menjadi calonnya. Lagipun perjuangan mereka untuk memperkasakan kaum peribumi. Orang Asli juga merupakan peribumi negara ini.
Sekiranya dalam pilihan raya ini NGO itu 'mengelip' dengan menyokong BN nampaklah ianya hipokrit. Nampak sangat ia penipu. Dan nampak sangat kemarahan kepada Umno kini adalah sadiwara sahaja. Kita mahu tengok apakah NGO berkenaan berani ataupun akan menjadi hidung tidak mancung pipi pula tersorong-sorong akan menyokong calon BN.
Semasa berucap di stesen kereta api dua tiga hari lalu pemimpin NGO itu mendakwa mereka juga mendapat sokongan dari Cina dan India dan semua kaum. (Anih juga kalau Cina dan India di Kelantan kalau boleh bersetuju dengan perjuangan rasis NGO berkenaan). Tidak mengapa, kita terima ianya sebagai benar. Kalau begitu NGO berkenaan tidak perlu gerun untuk meletak calon di Galas. Cina, India dan Orang Asli di sana akan menyokong mereka.
Taburan pengundi di Galas boleh dianggap sebagai terbuka dan tidak begitu berpihak kepada mana-mana kaum. Ia bukan monopoli Melayu sepenuhnya. Daripada 10,330 pengundi yang berdaftar pada tahun 2008 orang Melayu mewakili sebanyak 65.81%, China 22.03%, India 1.81% dan lain-lain 10.32%. Kedudukan ini masih terbuka.
Kalau NGO itu merasakan orang bukan Melayu juga menyokong mereka, mereka tidak perlu takut untuk turut sama bertanding di Galas. Galas akan menjadi petanda sejauh manakah NGO itu diterima rakyat. Sebaliknya kalau NGO itu tidak berani meletakkan calon maka jelas suara lantang yang dikeluarkan oleh pemimpin NGO berkenaan tidak ubah seperti suara dalam tempayan budu sahaja, di mana talunnya lebih kuasa suara sebenarnya!
Sama-sama kita memerhati tindak tanduk dan hipokrasi NGO berkenaan dalam pilihan raya kecil Galas nanti.
MSO- [wm.kl. 7:20 am 28/09/10]
0 comments:
Post a Comment