Kes muflis: Mahkamah ketepi hukuman terhadap bekas MP Labuan

KOTA KINABALU, 27 Sept – Mahkamah Tinggi hari ini mengetepikan hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan terhadap bekas Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman kerana gagal memaklumkan statusnya yang muflis kepada pihak bank 14 tahun lepas ketika menjadi penjamin dalam satu permohonan pinjaman perumahan.

Pesuruhjaya Kehakiman Stephen Chung membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Suhaili, 49, terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 10 Mac lepas.

Dalam penghakimannya, Chung berkata wakil rakyat itu dijadikan mangsa apabila didakwa setelah sekian lama dia bebas daripada status muflis iaitu pada 1997.

Hakim Mahkamah Sesyen Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman itu selepas Suhaili mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif iaitu gagal memaklumkan Malayan Banking Bhd bahawa dia seorang muflis pada 3 April 1996, ketika menjadi penjamin dalam borang permohonan pinjaman perumahan sebanyak RM110,000 dan kemudahan overdraf sebanyak RM50,000 oleh syarikat Saraequity Sdn Bhd, untuk membeli sebuah apartmen di Api-Api Centre di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 (1)(m)(ii) Akta Kebankrapan 1967 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam Rakbir Singh mewakili Suhaili manakala Timbalan Pendakwa Raya Fariza Hamzah bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.