RTM diberi hak siar 35 perlawanan Piala Dunia 2010


Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini diberi hak sebagai penyiar berlesen Piala Dunia FIFA 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan bermula 11 Jun hingga 12 Julai ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata menerusi hak itu RTM akan menyiarkan 35 perlawanan dengan 24 siaran secara langsung dan 11 siaran tertunda.

"RTM berjaya mendapatkan pakej tawaran rancangan percuma sebanyak 26 jam dan sepuluh minit untuk siaran di TV1 dan TV2. Hampir semua penjadualan siaran langsung perlawanan akan bermula pada 11 malam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, Rais menyaksikan majlis menandatangani perjanjian RTM sebagai penyiar berlesen antara RTM yang diwakili Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf dengan pemegang hak siaran teristrial eksklusif Piala Dunia FIFA 2010 yang diwakili Pengarah Urusan Esprit Media Sdn Bhd, Datuk Ahmad Zaharul Annuar.

Rais berkata, dianggarkan lebih 18 juta penonton akan menyaksikan siaran langsung dan tertunda itu. "RTM kali ini juga menerima undian yang baik apabila rata-rata perlawanan membabitkan pasukan dari negara terbaik di dunia seperti England, Portugal dan Brazil memihak kepada RTM," katanya.

Beliau berkata, sementara menanti perlawanan bermula penonton akan disajikan dengan siaran menarik lain. RTM telah menjadi penyiar utama sejak Piala Dunia 1974, 1978, 1986, 1990, 1994, 1998, 2002 dan 2006 dan tema untuk penyiaran rasmi tahun ini ialah "Sorakan 1Malaysia 1Dunia".

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.