Simptom Influenza (ILI) : Dua sekolah di Langkawi ditutup


112 pelajar alami simptom demam, batuk dan selesema seperti influenza

ALOR SETAR: Dua sekolah di Langkawi diarah tutup, satu daripadanya sejak kelmarin oleh Jabatan Kesihatan negeri berikutan ramai pelajarnya terkena penyakit seperti influenza (ILI).

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba, ditutup selama lima hari bermula kelmarin berikutan 112 pelajarnya terkena jangkitan demam, batuk dan selesema, manakala Sekolah Kebangsaan Bagan Selat Nyiur diarah tutup semalam berikutan lebih 50 peratus pelajarnya terkena jangkitan sama.

Sementara itu, sebuah lagi sekolah, iaitu SM Teknik Langkawi diletakkan dalam pengawasan rapi oleh Jabatan Kesihatan dan dijangka dikenakan tindakan sama jika jangkitan terus merebak hari ini.

Difahamkan, Jabatan Kesihatan Daerah Langkawi menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani kes itu dengan melakukan pemantauan dan memberi penerangan mengenai cara mencegah jangkitan daripada merebak.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Marzukhi Md Isa, berkata bagi kes di SMK Langkawi Pulau Tuba, pihaknya sudah menghantar empat sampel diambil daripada pelajar yang terkena jangkitan untuk diuji di makmal Hospital Sungai Buloh, Selangor, bagi menentukan sama ada ia berkaitan dengan jangkitan Influenza A (H1- N1).

“Buat masa ini kita belum dapat mengesahkan apa jenis jangkitan yang dihidapi pelajar kerana belum mendapat hasil ujian daripada Hospital Sungai Buloh disebabkan sampel dihantar semalam (kelmarin).
“Bagaimanapun kita terpaksa meminta supaya sekolah ini ditutup buat sementara kerana terdapat tanda bahawa rebakan jangkitan ini menular dengan cepat di kalangan pelajar.

“Selain itu ia juga dibuat atas tujuan berjaga-jaga untuk menyekat sebarang jangkitan daripada merebak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, se-malam.

Selain itu, Dr Marzukhi berkata, setakat ini juga belum ada tanda jangkitan yang serius kepada mana-mana pelajar terbabit dan semua yang berkaitan sedang dirawat mengikut prosedur biasa.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama jika terdapat beberapa lagi sekolah yang perlu dikenakan tindakan sama berdasarkan nasihat Jabatan Kesihatan.

“Bagi kes di SMK Langkawi Pulau Tuba pihak sekolah sebelum ini menyedari terdapat tanda jangkitan penyakit yang tidak diketahui dan memaklumkannya kepada Jabatan Kesihatan untuk tindakan lanjut.

“Selepas menjalankan pemeriksaan, kami diminta Jabatan Kesihatan supaya sekolah ini ditutup sementara ujian dan pengesahan dibuat.

“Buat masa ini kita menutup sekolah berkenaan dan semua pelajar termasuk yang menginap di asrama diarahkan pulang,” katanya ketika dihubungi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.