Panas Kepala Di Bawah Bulan Purnama - Hangat Sementara Menimpa Di Serambi Mekah



Kisah Beruk Peliharaan Terlepas Di Kelantan!

SEBENARNYA saya tidak bernafsu lagi untuk mengulas panjang-panjang mengenai isu yang bergeliwat dalam Pas Kelantan dewasa ini. Macam mana Tok Guru Nik Aziz enggan layan dan merasakan ianya tidak penting, begitu juga dengan saya. Tetapi sejak pagi tadi hingga ke saat-saat ini tidak habis-habis menerima panggilan dan pertanyaan dari orang itu dan orang ini tentang Kelantan maka saya kena jawab atau beri sedikit ulasan. Mereka mahu mengetahui bagaimana pandangan saya. (Saya tidak suka mengecewakan penjenguk blog saya!)

Jadi saya tidak dapat elak, kena ikut sama mengulas serba ringkas mengenai apa yang geger gegak di Kelantan dewasa ini.

Pagi tadi seorang Adun telefon memberi tahu mengenai berita berhubung dengan skandal dinamakan GMC - Global Media Centre SB dengan wang RM4 juta dan perihal seorang bloger yang turun minyak. Adun itu dengan nada lirih bertanyakan, macam mana nak selesaikan isu itu. Katanya isu itu semakin parah dan ia telah memakan diri kerajaan Kelantan. Isu itu sedikit sebanyak memberi gambaran buruk kepada kerajaan Kelantan kalau tidak diatasi segera. Katanya ia sudah pun sampai ke bilik SPRM?

Adun berkenaan sangat bersimpati dan sedih atas apa yang berlaku. Suaranya semacam nak menangis. Saya juga simpati apa lagi kalau isu itu akan memberi kesusahan jiwa kepada Tok Guru. Tetapi apa boleh buat, kalam hamba panjangnya hanya sejengkal, kalau menulis hitamnya tidak seberapa lagi! Tok Guru pun satu masa begitu syok mendengar dendangan retorik sehinggakan saya pun disuruh minta maaf dari pendendang itu.

Keadaan di Kelantan kini kalau boleh diibaratkan kepada perahu bocor, airnya sudah melimpah dan bakal karam dan tenggelam sikit masa lagi. Kalau perahu itu tenggelam yang akan kelemasannya dan menenggelamkan bukan saja penumpang jahil berenang, mereka yang bijak berenang juga akan turut sama terlingkup.

Di sini apa yang saya boleh katakan begini saja. Apa yang berlaku di Kelantan sekarang ini kerana salah individu dalam Pas juga. Saya dah perkatakan awal-awal lagi mengenai hal ini. Check dan semaklah apa yang saya 'belebelkan' di dalam blog saya sebelum ini. Tetapi sayang sesetengah orang Pas tidak pernah rasional dalam hal ini. Tidak mahu menerima apa yang diperkatakan sebaliknya kita dikatakan berniat jahat.
Apa lagi mereka yang mengkagumi dan mempercayai kepada seseorang lekas menghukum kita. Tindakan saman ke atas saya walaupun soal benar dan tidak terletak di mahkamah dijadikan alasan untuk mengatakan saya bersalah dan jahat. Saya berniat jahat untuk memburuk seseorang. Hari ini saya ingin memulangkan pertanyaan itu siapakah jahat dan menjadi lebih jahat?

Mulanya blogger yang turun minyak itu juga turut naik minyak dengan saya. Check lah apa yang beliau tulis dan perkatakan kepada saya dalam membela seseorang yang menjadi taukeh dan tuannya. Saya banyak mendiamkan diri. Hari ini bila hujan batu sudah menimpa kepalanya, (yang dilempar oleh tuannya) nescaya kesakitan saya disebabkan lontaran tanah kol olehnya akan dirasai olehnya pula. Selamat merasa!

Untuk memahami keadaan yang berlaku di Kelantan sehari dua ini boleh difahami dengan melihat kembali kepada tindakan saya membelasah seorang Exco Kelantan satu masa dulu. Tindakan saya itu boleh dijadikan iktibar dan dijadikan ukuran, paling jitu. Mungkin waktu itu semua orang mengatakan saya silap dan emosi, tetapi dengan apa yang berlaku ke atas orang lain hari ini boleh dijadikan sempadan untuk melihat di mana rasional dan keperluan saya membuat kritikan pada masa itu.

Saya belasah Exco berkenaan ialah kerana sikap tidak bertanggungjawab yang dilakukan olehnya. Sikap beliau yang melepas tangan dan lari dari mendepani masalah walaupun masalah itu terbit jelas dan nyata bagaikan baris dari perbuatannya. Sikap kucing timbus tahi itulah yang menjadi masalah menyebabkan saya tidak tahan dengan ruapan bau najis kucing itu.

Cuba perhatikan sebaik-baiknya kronologi kenapa isu yang berlaku sekarang ini timbul? Siapakah yang bersalah dalam hal ini. Siapa yang memulakannya. Kenapa blogger berkenaan mengamuk mengacau itu dan ini. Jadi mabuk tuak tengah hari mengucar apa saja yang ternampak olehnya.

Keadaan blogger berkenaan saya sifatkan tak ubah seperti beruk peliharaan terputus tali yang tidak dipedulikan oleh tuannya. Beruk ini mengacau dan menganggu orang bukan kerana apa, kerana tempias marahnya kepada tuan yang tidak menghiraukan nasibnya.

Pada saya apa yang dilakukan bukan atas tanggungjawab sosialnya kepada rakyat. Tetapi kerana membalas dendam apabila beliau tidak dipedulikan oleh tuannya. Beruk ini menjadi mangsa ketidakadilan dan kekejaman politik yang beliau tidak pernah terfikir sebelum ini yang dilakukan oleh tuannya. Al maklumlah beliau tidak pernah terlibat secara mendalam dalam politik sebelum ini. Jadi apa yang menimpa dirinya merupakan satu kejutan eletrik.

Asalnya beruk ini jinak, pandai buat apa yang disuruh oleh tuannya. Tuan dia suruh panjat kelapa dan turunkan yang tua, dia buat. Turunkan yang muda juga dia buat. Kalau disuruh puji tuan dia dia akan angkat hingga ke langit. Tidak cukup diangkat dengan tangan diangkat dengan menggunakan galah.

Bukan itu saja, beruk ini juga sedia untuk menungging ponggeknya kepada sesiapa yang disuruh oleh tuannya. Beruk ini sangat setia pada mulanya. Disuruh gigit juga dia akan gigit. Dia hanya tahu apa yang diarahkan oleh tuannya saja, tanpa mengira ianya betul atau sebaliknya. Dia sedia berdepan dengan sesiapa saja hatta tok guru tuannya sendiri. Begitulah hebatnya beruk ini.

Beruk peliharaan ini sangat baik dengan tuannya. Menjadikan kepercayaan oleh tuanya. Tuannya bukan saja letak diselongen, tetapi ada kalanya dibawa masuk ke dalam ke dapur tumah dan dalam bilik tidur. Jadi bagi beruk berkenaan tidak ada apa-apa rahsia lagi.
Ia juga diberi makan tiap-tiap hari-hari sebagai upah. Apa yang diperlukan beruk itu diberikan; belakang, ulat daun pisang, telor, semua diberikan. Hatta cermin untuk menilik juga diberikan. Masa itu beruk ini rajin dan tidak ada masalah. Dia duduk tenang di 'selongen'nya sambil mengunyah siang malam makanan yang disimpan dalam kedua belah pipinya. Sesekali dia akan hingguk selongennya sambil membunyi suara lelakinya tanda senang hati.

Fikiran beruk ini tidak ada yang lain macam mana nak mendatangkan hasil kepada tuannya. Nak jaga tuannya supaya mendapat untung besar. Dia menggunakan sepenuh daya kretivitinya untuk menaikan imej tuannya. Harapannya kalau tuannya jadi orang besar maka besarlah makanan dan habuan yang diterimanya kelak.

Namun malang masa damai itu tidak panjang. Angan-angan beruk ini untuk hidup mewah bersama tuannya tidak kesampaiannya. Ternyata perancangan Tuhan mengatasi perancangan manusia! Akhirnya tembelang masing-masing pecah juga. Tuan mengetahui beruk berkenaan bukan dari baka baik. Dia adalah beruk hutan yang dijinak dengan menggunakan umpan harta benda dan wang ringgit.

Kalau asal keturunan bukan dari benih yang baik, anak keluaran, maka akhirnya dia akan menatijahkan yang tidak baik juga. Mungkin kerana makan banyak menyebabkan tuan beruk tidak tahan lagi untuk membekal makanan. Dia bukan saja memilik beruk itu tetapi masih ada beberapa ternakan lain, kera dan kambing. Itu tidak menjadi masalah, perangai tuan yang tidak berterima kasih sewajarnya kepada beruk menyebabkan beruk itu mengamuk.

Bila beruk mengamuk tahulah akibatnya. Dia akan hingguk dan renyuk selongen tempat tinggalnya itu. Atau dia akan pulas-pulas rantai ditengkoknya. Bila selongen sudah patah maka dia akan terlepas dari ikatan itu. Bila terlepas, maka jadilah ia seperti hari ini. Beruk itu merayau ke mana saja. Dia melepaksan dirinya kerana lapar dan protes dalaman yang kuat. Semua ini berlaku kerana sikap perhambaan yang keterlaluan dilakukan terhadapnya.

Jadi bila ia sudah terlepas maka dia akan mengamuk. Amukan itu menjadikan dia tidak waras dan kehilangan kretiviti cerdik lagi. Dia akan buka dapur rumah sesiapa saja. Dia akan panjat ke sangkak ayam sesiapa saja untuk makan telor. Dia akan lembal almari dan meja untuk memenuhi nafsunya. Dia dia akan kejar sambil membuka mulutnya kepada sesiapa yang mengusik dan mencabarnya. Saya teringat semasa kecil dulu cerita mengenai beruk terlepas di sebuah kampung di Kubang Kual, Rantau Panjang. Beruk ini naik ke rumah seorang nenek dan menyelak kain nenek itu yang sedang nyenyek tidur petang. Apa lagi, terkejut dan bertempiklah nenek itu sampai pengsan.
Nah... begitulah perangai beruk kalau sudah terdesak dia akan lakukan apa saja.

Beruk terlepas sukar untuk ditangkap. Dia sudah menjadi 'celika' (bukan celaka), celika bermaksud liar dan culas atau perit. Keadaanya juga merbahaya, sebab dia akan menganggu sesiapa saja. Satu-satu tindakan terbaik tetapi kejam ialah dengan menembaknya saja. Dum.....!

Tetapi beruk adalah hamba Allah yang tidak berakal. Dalam konteks ini beruk itu tidak boleh dipersalahkan. Dia akan bertindak mengikut panduan akalnya. Pihak yang perlu dipersalahkan ialah tuannya itu. Jadi kalau beruk ini telah mengkucarkacirkan kampung dan menganggu ketenteraman penduduk, maka tuan beruk itulah harus bertanggungjawab. Tuan beruk harus mengambil risiko atas kesalahannya itu dengan beredar meninggalkan hampung halaman itu. Pergilah, kerana dia harus bertanggungjawab atas perangai beruk yang memalukan itu. Apa lagi beruk itu semua orang tahu adalah beruk peliharaanya. Kalau dia tidak buat sesuatu maka tuan beruk itu samalah dengan beruk itu.

Khurakkk..... khurakkkh... inyeh... inyeh... khurakkkkk.... harrrrrkkk! [wm.kl. 200 pm 03/04/10]

Ambilan: Sumber MSO

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.