Langkawi Akan Diberi Nafas Baru dalam RMK-10

LANGKAWI 8 Ogos — Kepulauan Langkawi akan menerima nafas baru dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi mengembalikan semula kegemilangan pulau pelancongan ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob.

Beliau berkata, terdapat banyak pandangan yang menyatakan bahawa pulau legenda ini sudah hilang daya penarik sejak beberapa tahun kebelakangan ini serta semakin suram.

Sehubungan itu kerajaan akan melakukan beberapa inisiatif untuk membangunkan pulau ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar bertemakan Pembangunan Langkawi - Hala Tuju, di sini hari ini.

“Sepatutnya Langkawi jadi niche product untuk sektor pelancongan. Kalau Thailand boleh berbangga dengan Pulau Phuket, Koh Samui dan Krabi manakala Indonesia ada Bali, Malaysia juga ada pulau-pulau yang menarik.

"Di Malaysia, Langkawi dilihat lebih terkenal,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah berbelanja banyak untuk membangunkan Langkawi dalam Rancangan Malaysia sebelum ini bagi mengembangkan ekonominya dan keadaan sekarang jauh lebih baik daripada tahun 90-an dengan banyak perubahan besar telah berlaku di Langkawi.

“Tetapi sebenarnya kerajaan belum berpuas hati. Kita sudah banyak belanja dan kena belanja sikit lagi untuk bangunkan Langkawi menjadi pulau yang ada daya tarikan maksimum.

"Yang penting sekali, kita kena sediakan ejen-ejen pelancongan yang berkemahiran kerana kita kena tumpukan kepada pelancong yang berbelanja tinggi,” katanya.

Nor Mohamed berkata terdapat cadangan untuk Malaysia terutama Langkawi mewujudkan akademi pelancongan bagi melatih tenaga kerja berkemahiran dalam bidang pelancongan.

"Selain itu kita kena selesaikan masalah-masalah yang nampak kecil tetapi mampu memberikan impak yang cukup besar. Sebagai contoh masalah kereta sewa.

"Ada pemilik kereta sewa kena membayar insurans RM6,000 setahun untuk sebuah kereta. Kita kena lihat isu pemain industri pelancongan di Langkawi,” katanya.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.