Siapa Tak Sayangkan Suami, Buruk Baiknya, Dia Tetap Suami... Raja Azura Tak Mahukan Perpisahan?



MAHKAMAH Syariah bukan sahaja tempat untuk bercerai tetapi rujukan terbaik tentang hukum-hakam perkahwinan. - Kak Engku


RAJA AZURA melangkah tenang masuk ke bilik sidang media di pejabat AMP Radio Networks, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sambil melemparkan senyuman lebar.

Seperti biasa, matanya bersinar malah sempat berlawak dek kelucuan rakan setugasnya, Salih Yaacob yang masuk sambil menutup muka dengan sekeping sampul surat bersaiz A4. Konon-kononnya dialah artis yang menjadi tumpuan di mahkamah ketika itu.

"Ini pengantin," letus mulut Raja Azura atau lebih mesra dengan gelaran Kak Engku persis bergurau, barangkali sengaja cuba meredakan suasana tegang wakil media yang hadir menantikan pengakuan daripadanya.

Sejak spekulasi perceraiannya tersebar luas 4 Ogos lalu, satu kepastian tentang status perkahwinan Kak Engku, 38, dengan Adzmin Tan Sri Osman, 37, dituntut banyak pihak.

Semua itu gara-gara catatan kehadiran Kak Engku ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 3 Ogos lalu disedari khalayak media. Mereka dikatakan telah memfailkan permohonan perceraian perkahwinan, bagaimanapun pengesahan Kak Engku atau pihak mahkamah gagal diperoleh.

Dua hari hilang daripada konti Sinar FM meninggalkan rakan trionya Khairil dan Salih Yaacob mengendalikan Sinar Pagi, Kak Engku tidak dapat dihubungi. Panggilan telefon serta SMS yang dilayang, tidak juga dibalas.

"Bukan niat saya mahu mengelak atau mendiamkan diri, saya cuma perlukan waktu, saya percaya kalau kalian berada di tempat saya, kalian akan lakukan perkara yang sama," luah Kak Engku.

Jelasnya juga, benar dia bersama suami ada menghadirkan diri ke mahkamah 3 Ogos lalu tetapi bukan atas memfailkan perceraian tetapi sekadar satu prosedur kaunseling bersama pihak hakim dan peguam syarie.

Ia bertujuan mendapatkan khidmat nasihat terhadap masalah perkahwinan yang sedang dialami mereka sejak sekian lama.

Perang dingin dan pergolakan mahligai perkahwinannya memang telah wujud sejak tujuh tahun lalu.

"Dalam rumah tangga masalah akan wujud, bohonglah kalau tiada masalah. Kami sudah banyak berbincang tetapi selalunya tergantung tanpa penyelesaian, bila sesama sendiri dan bersama keluarga juga tidak ada sebarang penyelesaian, saya pilih untuk bertemu pakar yang arif.

"Baru saya tahu, rupa-rupanya mahkamah adalah tempat terbaik untuk mendapatkan nasihat. Di situ ada pakar yang arif tentang hukum dan masalah dalam perkahwinan," katanya menafikan sekali lagi ada membuat permohonan cerai baru-baru ini.

Pasangan Kak Engku dan Adzim berkahwin pada Mac 2001 dan dikurniakan dua anak lelaki iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, dan Megat Luqman Haqim, 7, serta seorang anak perempuan, Puteri Mia Maizura, 4. Akuinya lagi, anak-anak tidak pernah tahu masalah yang dihadapi mereka berdua. Selama diulit dilema, tidak pernah sekali pun dia bertikam lidah disaksikan oleh anak-anak.

Ditanya, bersediakah dia dengan sebarang kemungkinan, cerai seperti yang banyak berlaku di kalangan artis ketika ini, pengacara popular itu menjawab: "Saya tidak pernah terfikir ke arah itu. Saya tidak nampak perceraian akan berlaku dalam rumah tangga saya, saya kenal suami saya dan suami saya juga kenal saya.

"Sampai ke tahap ini, selepas pertama kali berkunjung ke mahkamah, rasanya seperti baru selesai menjalani kursus kahwin. Demi Allah, ketika ke mahkamah baru-baru ini, kami pergi bersama-sama, bukan berasingan."

Penuh sedar, penyampai radio serta pengacara yang terkenal dengan mulut becok itu bertutur merendahkan egonya. Dia sedar banyak bercerita dan membangkitkan emosi dalam soal suami isteri ketika bersiaran, bagaimanapun, pertuturan yang didengar semua itu bukan dibuat atas faktor peribadi.


RAJA AZURA dan Adzmin sedang berdepan dilema perkahwinan
namun mereka sedang memperbaikinya sebaik mungkin.


"Mungkin orang akan kata saya sedap-sedap bercakap pasal rumah tangga. Itu tanggungjawab saya, saya cuma menjadi watak yang dikehendaki oleh pendengar. Saya banyak membaca, bertanya kepada teman-teman serta golongan yang arif.

"Saya bangga dengan pengalaman yang ada sebab dari situ saya berfikiran matang dan waras dan buat keputusan yang betul untuk mencari penyelesaian masalah sendiri.

"Keputusan ke mahkamah dibuat atas perbincangan bersama walaupun tidak pernah terniat untuk ke situ," luahnya penuh emosi.

Ketika matanya sedikit berkaca, hatinya ditebak lagi, adakah masih tersimpan sayang buat suami di rumah?

"Mestilah sayang. Siapa tak sayangkan suami, buruk baiknya, dia tetap suami saya. Anak-anak pun masih kecil, masih banyak perlukan perhatian dan pembelaan," katanya.

Kak Engku menutup sidang media khasnya sambil mengharapkan yang baik-baik serta doa yang terbaik untuknya daripada semua peminat dan pendengar. Dia yakin, selagi keegoan mereka dapat diturun serendah-rendahnya, hubungan mereka boleh diperbetulkan.

Meninggalkan kegemparan spekulasi perceraian artis popular ini, saya teringatkan satu penyataan Kak Engku. Katanya, dia sangat menghormati Adzmin sebagai suami dan Adzmin juga menghormatinya sebagai isteri namun sikap hormat-menghormati suami itu ada batasan.

Jalan raya sudah berlubang jadi suami adalah kontraktor utama yang bertanggungjawab memperbaiki kerosakan itu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.