Amir bersama Redza Minhat.
Ruang sempit untuk persembahan tiga teater di DBP tidak dipedulikan penonton
JUDULNYA, Main Dalam Stor sudah cukup unik untuk menarik khalayak memenuhi ruang persembahan Stor Teater Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), minggu lalu.
Mengangkat kisah aneka ragam manusia sebagai subjek utama bagi teater yang dipersembahkan secara santai tetapi penuh makna tersirat, masing-masing bijak bermain dengan isu semasa, keadaan kehidupan dan hakikat duniawi tanpa perlu berlebih-lebih, cukup digambarkan menerusi dialog serta ekspresi bersahaja dengan disulami elemen jenaka.
Secara keseluruhan Main Dalam Stor dihasil dan dilakonkan bakat tempatan. Mereka berani mencuba dengan semua perkara termasuk subjek cinta tanpa syarat apabila isteri berubah fizikal menjadi lelaki selepas diculik makhluk asing hingga perdebatan mengenai kebenaran tanpa sebarang agenda terselindung, semuanya hanya teater semata-mata.
Lebih dengan masyarakat apabila menggunakan Manglish - campuran bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa perantara membuatkan teater ini nyata dihasilkan bukan sekadar penyendal atau mengisi portfolio Playground Productions yang juga penerbitnya, kerana ia benar-benar memberi kepuasan kepada penonton.
Biar ceritanya ringkas, tetap pengisiannya padat dengan tiket menonton berharga RM25 sebagai berpatutan. Paling mendapat perhatian serta sorakan sebaik tirai berlabuh tentu saja karektor anak muda yang mengharapkan keajaiban di hadapan mesti pengeluaran wang automatik (ATM) lakonan personaliti TV, Razif Hashim menerusi Money.
Gara-gara kurang RM3 untuk membolehkan mesin itu mengeluarkan semua baki dalam akaun selain cek yang seharusnya diterima masih belum dilunaskan, jejaka ini terpaksa menjadi penunggu mesin ATM kerana tiada langsung wang untuk mengisi perut, manakala bekalan air di rumah pula dipotong.
Money yang diadaptasi daripada koleksi cerita pendek Amir Muhammad sememangnya lumrah yang biasa dihadapi hampir setiap insan, malahan Razif mampu menzahirkan bagaimana perasaan, keadaan, emosi serta tekanan memantikan jumlah angka di skrin mesin ATM itu menerusi monolognya iaitu cakap seorang diri.
Secara sinis turut mendedahkan kudis masyarakat apabila sanggup menggadai maruah diri untuk menjalani kehidupan lebih sempurna bukan sekadar cukup makan, kerana setiap dorongan sama ada baik mahupun buruk bermula daripada kehendak hati.
Pujian wajar diberikan kepada Razif yang menonjol dengan watak itu. Tawa penonton bergema di ruang yang menjadi medan pencinta serta penggiat teater berhimpun. Biarpun tampak kurang selesa, ia sudah cukup melambangkan kecintaan untuk berkarya yang boleh dipertontonkan di mana-mana, tidak semestinya di panggung besar.
Walaupun pernah dipentaskan sebelum ini, Energia dan Post-Modernism serta Faith masih dapat memancing khalayak penggemar baru yang dahagakan pementasan langsung seumpama itu.
Sebagai pelengkap, mereka terbabit dalam pementasan Projek Disko Baldi yang sebelum ini dipersembahkan di PJ Laugh Fest 2011 diberi tanggungjawab menghangatkan dewan.
Barangkali tempoh tiga malam tidak cukup untuk membolehkan lebih ramai pencinta teater berkongsi kepuasan mengikut produk yang dirasakan cukup dekat di hati penonton. Bahkan pengalaman trio yang memayungi Playground Production iaitu Redza, Megat Sharizal dan tuan Faisal Azmy digunakan sepenuhnya bagi menghidupkan pementasan ini.
0 comments:
Post a Comment