Kes Dadah: Pelakon Ini Dan Tunangnya Bakal Dibebas Esok..

KUALA LUMPUR, 7 Nov — Seorang pelakon lelaki dan tunangnya yang ditahan Jumaat lepas kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dijangka dibebaskan esok.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamaluddin berkata tempoh tahanan reman kedua-dua mereka akan berakhir esok dan berkemungkinan akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas semua keterangan diambil.

“Polis telah mengambil keterangan daripada pelakon itu dan tunangnya, setakat ini kita berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan.

“Siasatan diteruskan untuk mengetahui punca bekalan dadah diperolehi dan sejauh mana penglibatannya dalam aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Amiruddin berkata polis turut menyiasat sama ada kedua-dua suspek terbabit dalam pengedaran dadah.

Jumaat lepas, pelakon dan tunangnya itu ditahan ketika sedang menunggu bekalan dadah dari bekas teman lelaki wanita itu (tunang) di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) di Ampang Jaya.

Hasil ujian saringan air kencing polis mendapati kedua-dua mereka positif dadah.

Amiruddin berkata polis masih mengesan bekas teman lelaki wanita itu yang dipercayai masih lagi berada di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

— Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.