Markas PAS Taman Melewar Bakal Jadi Kolej Universiti


GOMBAK, 27 Feb: Tapak markas tarbiyyah PAS di Taman Melewar, akan dijadikan institusi pengajian tinggi yang menawarkan pelbagai kursus bagi memenuhi keperluan negara.

Ianya akan diberi nama Kolej Universiti Prof Dr. Zulkifli Ahmad yang pembinaannya telah pun bermula Disember lalu dan dijangka siap dalam masa enam bulan lagi.

Kampus itu dijangka memulakan 0perasinya pertengahan tahun ini selepas kurikulumnya diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menurut Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub sewaktu meninjau kawasan pembinaan itu petang kelmarin memberitahu, pembinaan kampus tersebut memerlukan dana hampir dua juta dan berharap lebih ramai dermawan tampil menghulurkan sumbangan.

"Setakat ini kita mendapat laporan tidak ada sebarang masalah dalam proses pembinaan kolej ini. Cuma kita masih memerlukan kewangan untuk menampung kos pembinaan yang bernilai hampir dua juta ini. Jadi saya harap lebih ramai para dermawan akan menghulurkan sumbangan," katanya.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad yang turut bersama dalam tinjauan itu pula berkata, Majlis Pendidikan PAS Pusat kini dalam proses mengemas kini kurikulum institusi itu.

"Kita mahukan kursus-kursus yang ditawarkan adalah lebih menjurus kepada kursus-kursus keperluan industri dan bukannya kursus tradisi. Mengenai kelayakan, jika kursus kita menepati syarat-syarat saya rasa tiada masalah,"katanya.

Sementara itu. Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh berharap pembinaan kolej tersebut adalah mesra wanita, dengan menyediakan kemudahan-kemudahan khusus untuk wanita seperti ruang solat dan rehat yang tertutup.

"Saya mewakili muslimat keseluruhannya berbangga dengan pembinaan kolej ini cuma apa yang kami harapkan, pembinaan bangunannya lebih muslimat. Supaya muslimat rasa lebih selesa untuk solat mahupun berehat," ujarnya.

Ditanya rasional kolej itu menggunakan nama Prof Dr Zulkifli Mohamad, Nuridah berkata, ianya bagi menghargai jasa Allahyarham sebagai tokoh yang disegani dalam parti dan sebagai ilmuan yang dikenali ramai.

"Kita memilih nama ini sebab ianya bersesuaian dengan hasrat kita melahirkan golongan profesional daripada kolej ini. Allahyarham bukan sahaja seorang politician malah seorang agamawan dan ahli akademik yang disegani ramai," katanya.

Bagaimanapun, salah satu dewannya akan kekal menggunakan nama Allahyarham Datuk Fadzil Nor seperti sebelum ini.

Turut bersama dalam tinjauan itu Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ishak Surin dan juga Ketua Penerangan Dewan Muslimat, Salbiah Wahab.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.