Anwar Mohon Digugurkan Pertuduhan Lantaran "Hubungan Terlarang" Saksi & Timb. Pendakwaraya

Perbicaraan kes liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan berikutan permohonan ketua pembangkang itu untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya dengan alasan seorang timbalan pendakwa raya dalam pasukan pendakwaan dikatakan mempunyai hubungan dengan saksi utama kes, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 9 Ogos depan untuk mendengar permohonan itu.

Peguam utama Anwar -- Karpal Singh -- yang sebelum ini cuti sakit selama 15 hari sehingga menyebabkan perbicaraan terpaksa ditangguhkan sementara, hadir hari ini.

Walaupun mengikut jadual, Dr Mohd Razali Ibrahim dari Hospital Kuala Lumpur sepatutnya memberi keterangan dan disoal balas, namun 'hubungan romantis' antara seorang timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes liwat ini dengan saksi utama yang juga merupakan pengadu kes ini, Mohd Saiful Bukhari Azlan dingka mencuri tumpuan.

Peguam Anwar mendesak hakim supaya membuang kes ini berdasarkan hubungan timbalan pendakwa raya, Farah Azlina Latif yang digugurkan minggu lalu dengan Mohd Saiful.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail Isnin lalu memutuskan Farah Azlina digugurkan dari pasukan pendakwaan agar 'hubungan romantisnya' tidak akan menjejaskan kes itu.

Beliau juga telah dipindahkan dari bahagian pendakwaan, pejabat peguam negara.

Perbicaraan hari ini dimulakan dengan Karpal memfail permohonan supaya pendakwaan terhadap ketua pembangkang itu digugurkan.

Hujahnya - hubungan romantis Farah Azlina dengan Mohd Saiful mempengaruhi kes berkenaan.

Bagaimanapun, ketua pendakwa raya membantah permohonan berkenaan tetapi bersetuju supaya kes itu ditangguh seketika.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersetuju untuk mendengar permohonan Karpal tetapi disebabkan peguam belum bersedia, perbicaraan ditangguh seketika.

Sebelum itu, seorang lagi peguam Anwar -- Sankara Nair mendesak Peguam Negara memberikan maklum balasnya berhubung dakwaan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, bahawa Farah Azlina mempunyai hubungan dengan Saiful.

Dalam pada itu, Anwar akan membuat laporan polis berhubung hubungan kedua-dua individu berkenaan.

Anwar tiba di mahkamah pada jam 9 pagi ini dengan diiringi oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pemimpin PKR termasuk, Saifuddin Nasution dan Dr Xavier Jeyakumar.

Selain Karpal, peguamnya yang lain yang turut hadir adalah Param Cumaraswamy dan Sankara Nair.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.