Adun Sungai Pinang beri syarat pada JK disiplin DAP

ADUN Sungai Pinang Teng Chang Kim tidak akan menghadiri siasatan jawatankuasa disiplin DAP jika beliau dipanggil atas kapasitinya sebagai Speaker DUN Selangor dan pengerusi jawatankuasa mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (Selcat).

"Saya perlu memelihara maruah DUN Selangor, speaker dan pengerusi Selcat," katanya dalam sidang akhbar di pejabat speaker hari ini.

"Tidak mungkin bagi saya menghadiri siasatan tersebut atas kapasiti saya sebagai Speaker DUN Selangor dan pengerusi Selcat, walaupun jika saya akan dipecat kerananya," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedia bekerja sama dengan jawatankuasa disiplin jika beliau dipanggil sebagai pemimpin parti atau ADUN Sungai Pinang.

Teng merujuk kepada kenyataan pengerusi jawatankuasa disiplin parti itu, Tan Kok Wai (kanan) semalam seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Tan dilaporkan sebagai berkata: "Jadi, kali ini pengerusi Selcat akan dipanggil oleh jawatankuasa disiplin untuk menjelaskan perkara itu."

Teng membidas Tan kerana tidak profesional dan tidak boleh membezakan antara perkara yang membabitkan parti dan kerajaan negeri.

"Selepas enam penggal menjadi ahli parlimen, Tan tidak sepatutnya membuat kenyataan tersebut," katanya.

Teng juga berkata, beliau berhak mengkritik keputusan jawatankuasa disiplin, dengan alasan bahawa para pemimpin Pakatan Rakyat juga selalu mengkritik penghakiman kes menteri besar Perak dan speaker Perak.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.