Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengesyaki terdapat sindiket haram pemberian kad pengenalan kepada warga asing berstatus penduduk tetap melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen.
Mahfuz pada sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, keraguan itu timbul apabila ianya didedahkan kepada beliau dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar oleh individu yang ditawarkan untuk membuat permohonan taraf warganegara tersebut.
Mahfuz menjelaskan, berdasarkan maklumat yang disampaikan kepadanya, terdapat beberapa 'program' yang diadakan khusus untuk warga asing ini yang kebanyakannnya warga Indonesia dan Kemboja bagi membolehkan mereka memperolehi kad pengenalan.
Menurutnya, pada 3 Julai lalu,bertempat di Dewan Zentrum, Setiawangsa, warga asing yang telah membuat permohonan ini dipanggil untuk diserahkan 'kad pengenalan' mereka.
Manakala pada 10, 15 dan 17 Julai, bertempat di Kompleks Integrasi Warisan, Salak Tinggi diadakan operasi dan diberikan taklimat kepada warga Indonesia dan Kemboja ini, mereka boleh memohon dan mengisi borang untuk permohonan warganegara.
"Mereka ini tidak pernah memohon tetapi dipanggil melalui agen yang telah pun dikenal pasti oleh pihak yang menganjur itu. Mereka diberitahu ini merupakan peluang untuk mereka menjadi warganegara. Mereka diberitahu apabila mereka memperolehi kad pengenalan nanti mereka hendaklah menyokong kerajaan,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.
Tambah Mahfuz lagi, sewaktu operasi 'permohonan kad pengenalan' itu berlaku, aktivis Pakatan Rakyat sempat mengambil gambar semasa operasi tersebut berlangsung dan mereka telah membuat laporan polis kerana mengesyaki seolah-olah terdapat sindiket mengeluarkan kewarganegaraan kepada pendatang asing.
"Saya mengesyaki mereka yang terlibat itu akan memenuhi senarai daftar pemilih bagi Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang. Ia juga mungkin memenuhi senarai dua juta daripada orang Melayu yang mendaftar sebagaimana diuarkan kerajaan memandangkan mereka mempunyai nama Islam yang mempunyai persamaan dengan nama-nama orang Melayu di sini. Jadi, kes ini mengulangi kes di Sabah yang membabitkan projek M dalam salah satu kawasan pilihan raya," katanya.
Kes yang berlaku di Sabah, katanya dibawa ke mahkamah dan dibuktikan oleh hakim memang berlaku pendatang asing yang diberikan kad pengenalan untuk mendaftar sebagai pemilih.
"Saya mengesyaki jika mereka tidak memberi keuntungan, kad pengenalan akan ditarik balik. Jadi saya menganggap isu ini sebagai pemerdagangan orang untuk kelangsungan politik Umno dan BN. Isu ini amat besar kerana melibatkan keselamatan negara," tegasnya.
Turut bersama pada siang media itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud, dan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming.
0 comments:
Post a Comment