Ku Li Telah Ramal Bila Pilihanraya Umum ke 13 Akan Diadakan


KUALA LUMPUR, 18 Julai — Tarikh menentukan pilihan raya umum terletak di tangan di Perdana Menteri, pun begitu Tengku Razaleigh Hamzah meramalkan ia bergantung kepada prestasi Barisan Nasional (BN) di Sarawak, yang pilihan raya negeri perlu diadakan menjelang pertengahan 2011. Mandat lima tahun pentadbiran kerajaan negeri akan berakhir menjelang Julai 2011.

Ketika diajukan soalan berdasarkan spekulasi semasa, ahli politik veteran ini percaya kemenangan selesa BN di Sarawak akan mempercepatkan pilihan raya umum dalam tempoh beberapa bulan di awal 2012.

Jika kerajaan negeri BN gagal mengekalkan majoriti dua pertiga ataupun gagal berbanding prestasi semasa 2001 dan 2006, pilihan raya umum ke-13 hanya akan berlangsung lewat 2012.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider minggu lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, dengan mengambil kira beberapa kemungkinan, meramalkan paling cepat pun pilihan raya umum akan diadakan pada 2012.

Semasa ditemu bual khas oleh The Malaysian Insider di sini Jumaat lalu, Razaleigh yang mesra dikenali dengan panggilan Ku Li berpendapat bahawa prestasi baik BN adalah sangat penting kerana ia akan menjadi bayangan kepada ikatan itu mengekalkan kuasa peringkat persekutuan.

“Ia sangat bergantung pada keputusan (pilihan raya Sarawak). Jika kemenangan tidak memihak kepada BN, misalnya kekalkan kuasa di Sarawak (dengan majoriti kecil), maka ia akan memberi kesan di Sabah (dan kemudian di Semenanjung),” kata Ahli Parlimen Gua Musang ini.

Difahamkan bahawa Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud sendiri akan mengetuai misi BN negeri menghadapi pilihan raya negeri meskipun sudah wujud desakan agar ahli politik veteran itu meletakkan jawatan sebagai ketua kerajaan negeri.

Kata beliau, fikiran atau sentimen di peringkat bawah adalah isyarat tarikh pilihan raya umum akan ditentukan.
“Anda kena menentukan tarikh pilihan raya berdasarkan fikiran orang ramai di peringkat bawah atau iklim ekonomi negara,” katanya.

“Reaksi publik adalah kayu ukuran terbaik, lihat pada keputusan beberapa pilihan raya kecil.
“Melihat pada keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor, BN kelihatan gembira. Mereka terkejut apabila keputusan Sibu keluar (Mei lalu),” kata Razaleigh.

Bekas menteri kewangan ini memberitahu The Malaysian Insider bahawa kemenangan DAP di Sibu telah memaksa BN menggugurkan rancangan mereka untuk mengadakan pilihan raya negeri dan nasional serentak.

“Saya merasakan mereka telah merancang untuk mengadakan pilihan raya umum serentak bersama negeri jika mereka menang di Sibu. BN berpendapat bahawa mengadakan pilihan raya umum bersama adalah langkah baik.

“Itu percaturan mereka, tetapi selepas mereka kalah di Sibu, mereka memutuskan untuk tidak meneruskan pelan mereka,” kata Razaleigh.

Pada pilihan raya umum Mei lalu DAP yang bertanding mewakili Pakatan Rakyat memenangi kerusi itu julung kali, yang diadakan dua minggu selepas kemenangan BN di Hulu Selangor, mengejutkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memburu kemenangan kedua berturut-turut menghadapi pilihan raya umum ke-13.

1 comments:

  1. Jika umno melantik ku li selaku pengarah strategi, pakatan rakyat harus berhati-hati. ku li adalah seorang wakil rakyat yang paling lama buat masa ini. ramai rakan-rakan seangkatan dengannya telah berundur. pengundi digua musang sudah senonin dengan ku li. ramalan ku berdasarkan situasi yang lepas banyak yang tepat.Kerap berlaku umno bn akan menggunakan laporan sb pdrm sebagai kayu pengukur. zaman ini rakyat sudah pandai guna tektik memujuk, jadi, laporan dari pihak berkuasa berkenaan hanyalah sebagai hiasan meja saja. bagi pakatan rakyat, diharap tidak terpengaruh dengan ramalan ini. terus maju kedepan sehingga tercapai matlamat.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.