Hj. Ahmad Yusof : Hadiah kemenangan kepada penyokong setia


ALOR SETAR - Pasukan Kedah sekali lagi mahu menghadiahkan penyokongnya dengan kemenangan pada pusingan akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.

Jurulatih Kedah, Ahmad Yusof berkata, anak buahnya kini sedang sibuk menjalani latihan bagi mengukuhkan corak permainan dan yakin pasukan itu sudah bersedia dengan perlawanan berkenaan.

Menurutnya, skuad Kenari dan Negeri Sembilan mempunyai peluang untuk memenangi Piala FA musim ini namun dengan persediaan yang dijalankan, beliau yakin anak buahnya mampu beraksi cemerlang.

“Saya yakin pemain dapat beraksi cemerlang sekiranya mereka memberi tumpuan pada sesi latihan.

“Jadi, kita juga mengharapkan sokongan yang padu daripada penyokong untuk perlawanan akhir nanti, dan berharap mereka akan memberi sokongan yang sama seperti perlawanan semi-final, Sabtu lalu,” katanya.

Ahmad berkata, diharapkan penyokong dapat memberi sokongan dan semangat kepada pemain dari awal perlawanan sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, bagi penyokong Kedah pula, mereka sentiasa mengharapkan kemenangan daripada skuad Kenari.

Penyokong Kedah, Badrul Hisham Mohd Ridhwan, 28, berkata, pasukan Kedah pasti memperoleh kemenangan kerana pasukan itu sudah meningkatkan dan memperbaiki corak permainan.

“Saya yakin pemain akan dapat beraksi cemerlang namun mereka tidak boleh cepat berpuas hati dengan corak permainan walaupun sudah memperoleh satu gol.

“Pemain perlu mengekalkan corak permainan mereka agar menjadi lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairul Ashraf Khalid, 26, berkata, penyokong Kedah akan sentiasa memberi sokongan kepada skuad Kenari untuk meraih kemenangan.

Khairul Ashraf berkata, pemain tidak boleh leka sewaktu hari perlawanan kerana bimbang pasukan lawan akan mengambil kesempatan.

“Pemain kena kekalkan strategi menyerang dan jangan leka agar pasukan lawan tidak mudah mematahkan corak permainan pasukan Kedah.

“Pemain juga perlulah mempunyai semangat yang sama seperti semi-final, agar mereka dapat mengekalkan kejayaan mereka,” katanya.

Mohd Zaki Zulkifli, 29, berkata, kemenangan daripada pasukan Kedah amatlah diharapkan bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah.

Menurutnya, walaupun Negeri Sembilan mempunyai pemain yang mantap namun yakin pasukan Kedah mampu menewaskan pasukan itu sekiranya pemain memberi tumpuan yang sepenuhnya pada hari perlawanan nanti.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.