Showing posts with label MalaysiaKini. Show all posts
Showing posts with label MalaysiaKini. Show all posts

Isu Maulidur Rasul: LGE kecam Utusan, KJ


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mengecam segelintir mereka yang bersikap 'rasis' yang didakwanya secara 'terpilih' mendedahkan dokumen yang mendakwa kerajaan negeri pimpinannya telah membatalkan perarakan Maulidur Rasul.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Tahun Baru Cina anjuran kerajaan negeri di Komplek Tun Razak (Komtar) di Georgetown, Lim mensasarkan akhbar Utusan Malaysia dan ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang didakwanya telah mencetuskan ketegangan antara kaum berhubung perkara tersebut.

"Saya berharap semua orang menyambut Tahun Baru Cina dalam suasana harmoni. Namun ada segelintir yang memainkan sentimen perkauman," kata Lim yang juga setiausaha agung DAP.

Utusan dan Bernama masing-masing melaporkan minggu ini dakwaan bahawa perarakan Maulidur Rasul untuk mengingatkan keputeraan Nabi Muhammad SAW telah dibatalkan oleh kerajaan negeri.

Malah, mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga pengerusi Insitut Kefahaman Islam (Ikim), turut mengulas perkara itu.

Dalam reaksinya terhadap laporan tersebut, Lim menafikan perarakan tersebut telah dibatalkan dan menyifatkan laporan itu satu pembohongan, dan berkata perarakan tahun ini akan diteruskan seperti yang dirancangkannya.

Lim juga berkata para menteri dari BN juga dijemput mengambil bahagian.

Bagaimanapun, dalam blognya, Khairy menyiarkan imej sepucuk surat - dari satu lagi blog pro-Umno - yang menyatakan perarakan itu telah dibatalkan.

Surat bertarikh 5 Februari 2010 itu dikatakan telah dihantar dari pejabat setiausaha kerajaan negeri, kepda semua ketua jabatan negeri dan pusat, badan berkanun serta presiden majlis perbandaran di Pulau Pinang.

Jawatankuasa negeri Pulau Pinang yang mengendalikan sambutan Maulidur Rasul di peringkat negeri itu, telah mengadakan satu mesyuarat pada 3 Februari lalu, dan memutuskan perarakan telah dibatalkan, menurut surat tersebut.

Sebaliknya, menurut surat itu lagi, satu perhimpunan akan diadakan pada 26 Februari di mana kesemua ketua jabatan dan badan kerajaan diminta hadir.

Sehubungan itu, Khairy berkata, Lim perlu menjelaskan perkara itu secara ikhlas dan jujur, selaras dengan aspirasi pentadbirannya yang cekap, berakauntabiliti dan telus.

Khairy juga menegaskan mengenai lamanweb jabatan halehwal agama Islam Pulau Pinang telah mengumumkan mengenai perhimpunan pada 26 Februari itu, tetapi tiada mengenai perarakan.

Tiga surat
Di Komtar hari ini, Lim sekai lagi menafikan perarakan Maulidur Rasul telah dibatalkan dan sebaliknya menuduh ada pihak yang cuba membesar-besarkan perkara itu.

Kerajaan Pulau Pinang, kata Lim, telah mengeluarkan tiga pucuk surat mengenai perarakan tersebut, dan tiada satupun yang mengandungi 'keputusan muktamad' mengenainya.

Surat pertama bertarikh 13 Januari, membincangkan mengenai perarakan dan meminta mereka yang dihantar surat itu, supaya menjawabnya pada 19 Februari, kata Lim.

Surat kedua - yang menurut Lim yang dirujuk oleh Khairyu dan pihak lain - dikeluarkan pada 15 Januari kepada semua masjid dan pertubuhan Islam - meminta maklumbalas mengenai perhimpunan dalaman Maulidur Rasul.

Manakala dalam surat ketiga bertarikh 12 Februari, kata Lim, dengan jelas menyatakan bahawa kedua-dua perhimpunan dan perarakan itu akan diadakan.

Sehubungan itu, Lim mendakwa, ada segelintir orang yang cuba memainkan sentiman perkauman dengan secara salah mentafsirkan perkara tersebut.

"Kita telah mengeluarkan tiga pucuk surat, tetapi mereka tidak membaca kesemuanya. Kemudian mereka membuat kenyataan palsu mengenainya," katanya.

Lim juga membidaskan sesetengah media Melayu dan Inggeris yang tidak menyiarkan kenyataan kerajaan Pulau Pinang mengenai perkara itu.

Hisham: 10, termasuk 9 rakyat asing ditahan ISA


Jan 27, 10, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengesahkan 10 orang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan keganasan.

Pada sidang akhbarnya Putrajaya, beliau berkata, semua 10 yang ditahan itu tersenarai sebagai suspek pengganas yang dikehendaki yang cuba merancang melakukan serangan.

Hishamuddin juga menyifatkan mereka yang ditahan itu boleh memberi ancaman kepada keselamatan.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan butiran mereka yang ditahan dan warga negara suspek terbabit.

Hishamuddin juga menafikan jumlah yang ditahan bukannnya 50 orang.

Sebelum ini, peguam Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan pejuang hak asasi, Edmund Bon mendedahkan lima puluh orang, termasuk rakyat asing dan pelajar universiti tempatan ditahan Khamis lalu.

Menurut Edmund, mereka yang ditahan dibawa ke ibu pejabat polis Bukit Aman.

Katnya, 38 orang daripada mereka dibebaskan sehari selepas itu, manakala yang lainnya masih ditahan.

Edmund juga berkata, beliau telah bercakap dengan beberapa mereka yang telah dibebaskan dan sedang berusaha menemui mereka yang masih ditahan.

ISA membenarkan penahanan tanpa bicara.

Kepala babi dilontar dalam perkarangan dua masjid


Kepala babi ditemui dilontarkan ke dalam perkarangan dua buah masjid sekitar Jalan Klang Lama, di ibu negara, hari ini.

Kepala babi berkenaan dijumpai di perkarangan masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

Insiden itu merupakan yang terbaru perbuatan merosak dan mencemarkan rumah-rumat ibadat sepanjang tiga minggu lalu, yang membabitkan 11 gereja, sebuah kuil Sikh, sebuah masjid dan dua surau.

Serangan ini dipercayai ada kaitan dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahaan untuk 'God'.

Menurut saksi, dua kepala babi dijumpai oleh jemaah di perkarangan masjid ketika datang hendak menunaikan solat Subuh pada jam 5.30 pagi.

Selain kepala babi, kepingan wang kertas juga ditemui ditaburkan di di situ.

Menurut wartawan Malaysiakini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pegawainya datang untuk menyiasat kawasan kejadian.

Wang juga dijumpai bertaburan

Sementara itu, satu beg plastik yang berisi dua kepala babi hutan di temui di tempat letak kereta Masjid Al-Imam Al-Tirmizi oleh seoang penduduk, Sharif Shaari, 57, yang datang pada jam 5.45 pagi tadi untuk mengerjakan solat Subuh.

Sharif, seorang peniaga, bersama seorang kawannya ternampak beg plastik itu tetapi tidak menyangka ia berisi kepala babi, lalu mereka terus masuk ke masjid untuk mengerjakan solat.

Selepas mengerja solat Subuh, mereka keluar semula untuk memeriksa beg tersebut dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi dua kepala babi hutan.

Mereka juga ternampak kepingan wang kertas ditaburkan di situ. Ia termasuk keping wang seringgit, lima ringgit dan sepuluh ringgit yang semunya berjumlah RM35.

Mereka kemudian terus masuk semula ke masjid dan memaklumkan perkara itu kepada imam masjid berkenaan, Zulkifli mohamad.

Seorang daripada mereka menelefon pihak polis yang tiba kira-kira 6.40 pagi tadi.

'Cabang PKR Kuala S'gor Tarik Ribuan Ahli baru'

Jan 21, 10 11:18am
Majlis pimpinan PKR Selangor akan menyiasat dakwaaan bahawa Cabang PKR Kuala Selangor yang diketua Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahm dibubarkan ekoran peletakan jawatan 13 ahli jawatankuasanya.

Sebaliknya, timbalan pengerusi PKR Selangor, Syed Shahir Syed Mohamud berkata perkembangan di cabang tersebut mutakhir ini adalah sangat positif dengan penyertaan ribuan anggota baru berbanding dengan sebelum pilihan raya umum lalu.

“Namun, saya mengesyaki bahawa perkembangan ini adalah merupakan sebahagian daripada agenda terdesak pihak tertentu untuk menekan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas dakwaan timbalan ketua PKR cabang Kuala Selangor, Arshad Abu Bakar, bahawa cabang itu telah terbubar, ekoran tindakan 11 anggota jawatankuasanya yang dipilih serta ketua pemuda dan wanitanya, telah meletak jawatan.

Semalam, Abdul Khalid telah menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai 'sandiwara Umno'.

Mengulas lanjut, Syed Shahir berkata perlembagaan PKR jelas menyatakan bahawa pembubaran cabang hanya boleh dibuat menerusi mesyuarat agung khas cabang, selaras dengan fasal 25.8 perlembagaan parti.

“Jika sekiranya benar majoriti AJK Cabang meletak jawatan, ini bermakna mesyuarat agung khas cabang harus diadakan bagi melantik semula barisan AJK baru bersesuian dengan fasal 25.9 perlembagaan parti,” katanya.

Syed Shahir berkata hasil siasatan itu akan dimaklumkan kepada majlis pimpinan pusat agar tindakan yang bersesuaian dapat diambil, selaras dengan perlembagaan parti terhadap mana-mana anggota part yang bertindak di luar perlembagaan.

Semalam, Arshad dilaporkan mendakwa cabang itu telah terbubar, berasaskan tindakan 11 anggota jawatankuasanya yang dipilih serta ketua pemuda dan wanitanya telah meletak jawatan.

Arshad mendakwa, hanya tinggal tiga pemimpinnya yang dipilih terdiri beliau sendiri, Khalid serta seorang AJK, Faridah Abdul Rahman.

Arshad mendakwa 11 AJK cabang serta Ketua Angkatan Muda, Nazarudin Darmawan, dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman, meletak jawatan antara November tahun lalu dan 18 Jan tahun ini.

Katanya mereka yang meletak jawatan itu bagaimanapun masih kekal sebagai anggota PKR tetapi mereka telah hilang kepercayaan terhadap Khalid untuk menerajui cabang Kuala Selangor.

Mereka mendakwa Khalid telah meletakkan PKR Kuala Selangor dalam keadaan 'penuh kecelaruan' tanpa asas tadbir urus yang kukuh.

Khalid juga dituduh tidak mengambil inisiatif memperkukuhkan parti meskipun ada ahli bukan Melayu di Ijok dan Batang Berjuntai telah keluar parti.

Dua surau di Muar jadi sasaran dibakar


Dua surau di Muar menjadi sasaran dibakar awal pagi ini - sebuah daripadanya rosak teruk.

Menurut polis, surau tersebut terletak kira-kira dua kilometer dari satu sama lain.

Ketika dihubungi, timbalan ketua polis Muar, Lee Choon Guan berkata, kejadian pertama berlaku di Kampung Sabok Awor pada kira-kira jam 3 pagi manakala surau kedua menjadi sasaran kira-kira 46 minit kemudian.

Katanya, surau kedua itu rosak teruk dengan permaidani, pintu dan tingkapnya terbakar.

Menurutnya, di surau pertama, hanya tirainya terbakar dan cermin tingkap pecah.

Imam surau Kampung Sabak Awor, Haji Deris Sehan, 63, memberitahu Malaysiakini bahawa penyerangnya menggunakan minyak tanah untuk membakar tirai itu.

Katanya, seorang penduduk yang menyaksikan kejadian itu, terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, ACP Mohd Nasir Ramli ketika dihubungi Malaysiakini, berkata kebakaran di suraiu pertama itu disedari oleh tiga orang yang sedang menaiki sebuah kereta ketika lalu di situ pada kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Menurutnya, apabila ternampak kebakaran tersebut, mereka berhenti kereta dan bergegas masuk untuk memadamkannya.

Mengenai sama ada ianya satu bentuk serangan ke atas surau tersebut, beliau berkata, pihak polis masih menyiasatnya.

Sejak 8 Januari lalu, beberapa tempat ibadat- sebahagian besarnya gereja - menjadi sasaran serangan bom api dan perbuatan vandalisme.

Ianya dipercayai ekoran keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang mengetepikan larangan kerajaan ke atas bukan Islam daripada menggunakan perkataan Allah sebagai terjemahan bagi perkataan 'God'.

Ekoran itu, mahkamah berkenaan memutuskan bahawa mingguan Katholik, Herald, boleh menggunakan perkataan Allah dalam versi bahasa Malaysianya.

Bagaimanapun, keputusan itu ditangguhkan sementara menunggu selesai rayuan oleh kerajaaan terhadapnya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata beliau telah dimaklumkan mengenai insiden oleh ADUN DAP Bentayan, Gwee Tong Hing.

"Kita tidak tahu sama ada insiden itu ada sebarang kaitan dengan kes serangan ke atas beberapa tempat ibadat sebelum ini.

"Tetapi ia pastinya akan meningkatkan lagi keresahan di kalangan rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, DAP mengutuk keras sebarang perbuatan seumpama itu yang menurutnya jelas bertujuan untuk mencetuskan rasa syak wasangska antara masyarat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Kita menggesa pihak polis supaya mempertingkatkan lagi siasatan dan mekanisme pemantauan untuk membawa mereka yang bertanggungjawab melakukannya, ke muka pengadilan, dan bagi mengelak insiden yang sama daripada berulang, demi memelihara kehidupan harmoni di kalangan rakyat kita," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.