CINTA SEJATI: Contohilah.... Moga hingga akhir hayat

Nikah lepas hilang 9 jari

BALING: Seorang remaja yang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selamat melangsungkan perkahwinannya semalam, walaupun kehilangan sembilan jari akibat dihempap mesin ketika bertugas di sebuah kilang pemprosesan cakera padat (CD) di Prai, Pulau Pinang, dua minggu lalu.

MESRA...Noranita menyuap nasi ke mulut Mohd Roszaimi selepas mereka diijab kabul, semalam. Mohd Roszaimi Md Rosdi, 18, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Noranita Othman,18, di rumah pengantin perempuan di Kampung Charok Bemban, Kupang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian 10 Februari lalu, Mohd Roszaimi putus sembilan jari akibat dihempap sebuah mesin ketika memunggah barang di kawasan berdekatan kira-kira jam 2.50 pagi.

Mohd Roszaimi ketika ditemui pada majlis perkahwinannya berkata, dia yang baru seminggu bekerja di kilang itu pada awalnya diarahkan membuat kerja ringan di bahagian depan kerana masih baru dan tidak tahu selok-belok termasuk penggunaan mesin di kilang berkenaan.

“Bagaimanapun, pada pagi kejadian saya diarahkan bekerja di bahagian mesin bagi menggantikan seorang rakan, apabila secara tiba-tiba ketika mengambil barang sebuah mesin jatuh dan menghempap kedua-dua tangan menyebabkan cedera teruk sebelum dihantar ke hospital.

“Selepas kejadian saya tidak sedarkan diri sehinggalah menyedari kehilangan sembilan jari di hospital. Pada mulanya saya sukar menerima kenyataan ini kerana kemalangan ini terjadi kurang dua minggu dari tarikh perkahwinan kami,” katanya.

Mohd Roszaimi, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Pegang (SMKKP) berkata, kemalangan itu menyebabkannya mengalami kecacatan kekal.

“Lebih menyedihkan selepas ini saya perlu memikul tanggungjawab sebagai suami dan perlu mencari rezeki menyara keluarga,” katanya.

Sementara itu, isterinya Noranita Othman, berkata, kemalangan itu tidak menghalang mereka bersatu sebagai suami isteri dan menganggap kekurangan yang ada pada suaminya akan mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan mereka.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan tetap menerimanya sebagai suami serta berjanji menjaganya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Syed Mohd Abdul Ghani Syed Ali berkata, Mohd Roszaimi perlu mengisi borang untuk memohon mendapatkan kad orang kurang upaya (OKU) kerana dia tergolong dalam kelompok terbabit.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.